Monday, July 28, 2008

Terbarainya Teori Darwin dan Beruk-Beruknya

Satu ketika dahulu ketika saya masih bersekolah di darjah empat, saya mempunyai seorang ustaz yang mengajar matapelajaran Agama Islam.Saya sangat mengagumi ustaz ini kerana ketinggian ilmunya.Ketinggian ilmu ustaz ni adalah lebih tinggi dari cikgu pendidikan seni saya yang suka membaling pemadam papan hitam ke arah pelajar.Ustaz ini tidak suka membaling pemadam papan hitam ke arah pelajar tetapi suka membaling pelajar ke arah papan hitam.

Satu hari ustaz ini bersurah.Dia bersurah mengenai Charles Darwin.Tidak semena-mena saya terbarai ketawa.Saya terbarai ketawa kerana mendengar nama Charles Darwin.Begitu lucu sekali.Saya tertanya-tanya siapakah gerangan si mamat Darwin ini? Adakah dia seorang penjual berger depan kedai mamak di Putra Country Height? Atau tukang jaga parking kereta di Kompleks PKNS? Atau kucing peliharaan Gita Gutawa?

Ustaz saya ini terus bersurah mengatakan Charles Darwin adalah orang yang bertanggungjawab mencipta Teori Darwin.Saya melopong ternganga.Teori Darwin ini pula mengikut ustaz saya ialah satu teori yang mengatakan manusia ini berasal dari beruk dan kemudiannya berubah menjadi manusia secara evolusi.Perubahan evolusi ini berlaku mengikut arus kemodenan sesuatu tempat atau kawasan

Sekali lagi saya terbarai ketawa.Kali ini nyaris-nyaris saya ditampar oleh ustaz itu.Saya terbarai ketawa bukan kerana ingin memperlekehkan cerita ustaz itu.Jauh sekali untuk tidak menghormatinya.Tetapi bagi saya kejadian manusia berasal dari beruk amat lucu sekali.Pada hemat saya mana mungkin saya berdatuk dan bermoyangkan beruk.Kahkahkahkah.Saya langsung tidak ambil peduli mengenai Teori Darwin ini.Apa yang saya ambil peduli adalah mengenai Kumpulan Evolusi yang penyanyinya berasal dari Raub yang sedang meletup-letup dengan lagu Mei Hua.

Saya menolak dakwa-dakwi yang mengatakan manusia berasal dari beruk.Mengikut kitab suci yang saya baca, manusia ini berasal daripada Nabi Adam A.S yang diciptakan oleh Allah SWT daripada tanah.Keturunan Nabi Adam inilah yang berkembang-biak menjadi manusia yang tersebar ke merata dunia.Tidak mungkin ada beruk yang akan menjadi manusia.Dari mana idea Charles Darwin ini? Apakah ini sahaja yang sempat dipelajarinya di Christ’s College Cambridge?

Suatu hari saya ingin ke kota untuk berpeleseran.Saya menaiki bas untuk kesana.Ketika saya menunggu bas saya telah menjadi hairan.Kehairanan saya ini muncul apabila saya melihat aparat-aparat manusia yang sedang duduk bertenggek menunggu bas di stesen.Cara mereka duduk bertenggek amat ganjil sekali.Aparat-aparat ini melabuhkan punggung di atas tempat bersandar manakala meletakkan kaki di tempat duduk.Saya menjadi hairan.Sejak bila warga kita pandai bertenggek sedemikian rupa?Adakah ini satu cabang seni bertenggek yang baru di zaman glokal? Walaupun ada ruang kosong untuk bertenggek, saya telah menarik diri kerana melihat kotoran melekat di tempat duduk itu.Untuk menyertai aparat-aparat ini tidak mungkin akan saya lakukan.

Suatu ketika yang lain pula, saya ingin mengambil seorang kenalan di sebuah perhentian bas berdekatan rumah.Saya sekali lagi terkejut melihat fenomena yang sama berlaku.Dari kanak-kanak, muda remaja hinggalah ke tua bongkok tiga kesemua mereka meletakkan kaki diatas tempat duduk dan meletakkan punggung mereka ditempat bersandar.Rupa bentuk keadaan mereka semasa itu saling tak tumpah seperti keadaan di dalam kandang Zoo Negara.Rupa-rupanya barulah saya sedari bahawa cara bertenggek ini telah meresap dan menjadi budaya di kalangan warga kita.Rupa-rupanya budaya bertenggek jenis ini merupakan satu budaya baru yang perlu kita sama-sama rayakan.

Jika anda masih ragu-ragu, anda bolehlah berpeleseran di mana-mana stesen bas atau stesen teksi untuk melihat penularan budaya songsang ini.Anda pasti akan terjoblos sama menikmati pemandangan yang menjulingkan anak mata.

Setiap perkara yang terjadi di dalam dunia ini mempunyai sebab dan akibat.Mempelajari dari setiap sebab dan akibat ini dinamakan pengalaman.Pengumpulan segala pengalaman ini kita boleh jadikannya sebagai satu ilmu.Dari satu ilmu ini kita boleh kembangkan menjadi cabang-cabang ilmu.Sehingga kini saya masih belum menemui sebab musabab aparat-aparat ini melakukan kerja bebal meletakkan kaki di atas tempat duduk ini.Sehingga hari ini saya masih belum dapat menemui sebab musabab budaya ini perlu kita rayakan.Hendak dikatakan budaya ini budaya globalisasi saya juga pernah melintasi Ochard Road dan Arab Road di seberang tambak tetapi saya tidak pula pernah melihat warga temasik bertenggek sedemikian rupa.

Tiba-tiba saya teringatkan kembali cerita ustaz saya di sekolah belasan tahun yang lepas.Mengikut cerita ustaz ini Charles Darwin mengatakan beruk mempunyai sifat yang suka duduk di tempat yang tinggi.Antara tempat yang paling tinggi yang mampu diduduki oleh beruk ini adalah pokok.Jadi pokok telah menjadi pilihan beruk.Akibat bosan berada di atas pokok beruk-beruk ini tadi akan turun ke tanah untuk berpeleseran.Apabila mereka mula merasakan keseronokan akibat berpeleseran di atas tanah akhirnya mereka merasakan tidak lagi sesuai bagi mereka untuk tinggal di atas pokok.Lama kelamaan ekor yang digunakan untuk mengimbangi badan untuk melompat dari dahan ke dahan tidak lagi berfungsi.Apabila tidak lagi berfungsi maka ia akhirnya hilang.Rupa bentuk juga mengalami tranformasi ke arah lebih cantik.

Apabila saya mengaitkan teori Darwin ini dengan aparat-aparat yang bertenggek di atas kerusi menunggu di stesen bas ianya mempunyai kaitan yang amat rapat sekali.Sekali lagi saya terbarai ketawa.Saya ketawa kerana telah menolak dakwa-dakwi Teori Darwin ini.Tetapi apa yang difikirkan oleh Darwin ini mempunyai persamaan dengan perilaku warga kita.Satu pertanyaan telah bermain dibenak saya.Adakah Charles Darwin ini sempat singgah di Pelabuhan Batu Sawar di zaman kegemilangan kerajaan Melayu Johor untuk membuat kajian lalu terbentuknya Teori ini? Sungguh tidak dapat saya menjawabnya.

Suatu petang ketika saya berpeleseran di kampung, saya terlihat seorang tua sedang mengheret basikal ke sebuah ladang.Sedang dia mengheret basikal itu dia meletakkan beruk diatas tempat duduk basikal itu.Ternyata beruk itu melabuhkan kakinya diatas tempat duduk dan bukan melabuhkan punggungnya.Untuk kesekian kalinya saya sekali lagi terbarai ketawa.Saya terbarai ketawa kerana perlakuan beruk ini sama seperti aparat-aparat bertenggek yang di perhentian menunggu bas.Kali ini orang tua dan beruknya pula hairan melihat saya terbarai.

Wednesday, July 23, 2008

Mari Berpesta Bersama Saya


Saya telah berpesta.Saya berpesta bukan kerana hari lahir saya telah jatuh pada hari ini.Saya berpesta bukan kerana saya telah menyunting si gadis manis Dayana Mendoza dari Venezuela.Saya berpesta kerana Radovan Karadzic si aparat yang celaka telah ditangkap

Bukan saya sahaja yang berpesta pada hari ini, sanak-saudara saya yang berada di Sarajevo turut meraikannya dengan membanjiri jalanraya sambil menyanyi dan melaungkan nama sesiapa sahaja yang dikenali.Mereka juga menggunakan hon kereta untuk meraikan rasa gembira.Wajib bagi saya untuk bersama mereka merayakan hari yang bersejarah ini.

Saya masih dapat mengingati dengan jelas bagaimana nama aparat ini akan sentiasa tersembul keluar dari mulut Harjit Singh Dillon atau Farit Ismeth Emir mahupun Hasyim Embi.Meraka akan menyampaikan berita kezaliman dan kekejaman malaun ini ketika dia berkuasa dengan membunuh ribuan penduduk Islam Bosnia.Walaupun ketika itu saya masih kecil tetapi menjadi kegemaran saya untuk bertenggek di depan televisyen untuk mendengar berita dari Balkan.Adalah wajib bagi saya ketika itu untuk mendengar berita mengenai Sarajevo.Pada hemat saya kekejaman ini sungguh menyakitkan dan saya sungguh bersimpati dengan nasib penduduk Sarajevo.

Pernah saya dibaraikan ibu saya kerana menyampaikan hasrat supaya keluarga kami mengambil anak angkat dari Bosnia ini.Kini setelah 13 tahun berlalu.Saya tidak lagi menyampaikan hasrat itu kepada ibu saya dan saya bertambah yakin dengan berita ini ibu saya juga akan turut gembira.

Jika saya diberi pilihan sama ada keluar ke taman bunga dengan Dayana Mendoza atau melempang si malaun Radovan Karadzic, saya akan memilih untuk melempang si malaun Radovan Karadzic ini.

Monday, July 21, 2008

Kebebalan Pengangguran Dan Jenayah

Saya telah terbarai lagi.Saya terbarai bukan kerana sarang tebuan tersangkut di dahan pokok mempelam.Saya terbarai juga bukan kerana tebuan telah sesat mencari sarang di celah pokok mempelam.Saya terbarai lagi kerana pihak berwajib masih kekal bebal.Saya terbarai lagi kerana pihak berwajib masih kekal gagal memahami tanda-tanda alam.

Tanda-tanda alam yang saya maksudkan tiada kena mengena dengan tanah runtuh-rantah di Taman Maluri atau banjir besar telah menimpa Kampung Pak Badol di Kota Bharu.Tanda-tanda ini ialah peningkatan kadar jenayah.

Baiklah, biar saya berlabon agar semua warga faham kedudukan sebenar.Negara kita kini sedang diancam.Negara kita diancam oleh jenayah yang tidak berperikemanusiaan.Jenayah penculikan kanak-kanak.Kanak-kanak akan diculik dan kemudian akan dibunuh atau hilang entah kemana.Tahun lalu saya pernah menulis mengenai jenayah ini.Beberapa bulan lalu kisah jenayah ini telah menggemparkan negara kita.

Apa yang saya baraikan disini ialah tindakan dari pihak berwajib.Pihak berwajib telah menyarankan agar satu tindakan drastik dilakukan bagi membendung jenayah yang berlaku.Pihak berwajib telah menyarankan agar kesemua kanak-kanak ini diletakkan di sekolah di dalam jagaan guru hingga ke waktu petang atau hingga ke waktu ibu dan bapa mereka pulang dari kerja.

Kah kah kah marilah ketawa bersama saya.Kenapakah saya ketawa? Adakah saya telah diserang oleh penyakit Kwasyiokor? Lu pikir lah sendiri.Sebentar ya! Saya perlu mengesat air mata yang menjejes-jejes keluar.

Daripada apa yang saya lihat, idea ini tidak mendatangkan banyak kebaikan tetapi akan mengawan masalah yang baru.Sebagai warga yang bertanggungjawab kita perlu berwaspada kerana apabila sesuatu masalah itu mengawan maka ia akan bunting akhirnya lahirlah masalah yang baru.

Ramai yang beranggapan idea ini adalah cukup bernas kerana ramai daripada warga yang beranggapan kerja sebagai pendidik di sekolah adalah kerja yang paling mudah dalam dunia ini.Kesemua guru-guru akan pulang selepas tengahari dan tidur sambil beronggi-ponggi di atas katil.Apa yang saya ingin nyatakan disini bahawa dakwa-dakwi yang mengatakan guru adalah kerjaya yang paling senang dan tidak bermasalah adalah sesuatu yang tidak tepat.Ketidaktepatan dakwa-dakwi itu tidak boleh diukur dengan pembaris kayu tetapi melalui fikrah anugerah dari Yang Maha Esa.Pada hemat saya guru sebagai pendidik bukanlah satu tugas yang mudah Cuma masa sengsara di tempat kerja sahaja yang sedikit pendek.

Kita selalu menonton di televisyen dimana ibu bapa datang ke sekolah mengamuk dan mahu menyaman guru.Kita selalu menonton drama swasta dimana ibu bapa akan datang ke sekolah kerana anak mereka dicubit oleh guru.Kita juga selalu melihat ibu bapa datang ke sekolah kerana anak mereka telah dijentik di telinga.Apabila berita ini keluar sahaja di televisyen dan di dada akhbar maka guru telah dilihat sebagai seorang yang tidak lagi waras.Guru akan dilihat sebagai tidak bertindak rasional.Guru juga tidak lagi dilihat sebagai pendidik yang unggul cemerlang gemilang dan terbilang.Poorah!!.Stesen televisyen dan wartawan juga akan menemubual warga untuk membaraikan kerjaya keguruan ini.Dan berbondong-bondonglah sumpah seranah khas untuk guru-guru.

Kemudian akan bermula satu episod baru dimana akan ada penguatkuasaan dimana guru tidak lagi dibenarkan mencubit pelajar.Guru-guru tidak lagi dibenarkan menjentik pelajar.Guru-guru tidak lagu boleh merotan pelajar.Guru-guru tidak lagi boleh mengherdik pelajar.Guru-guru juga telah dipondankan agar tiada lagi pelajar yang lebam punggungnya.

Apabila generasi muda ini rosak akhlaknya.Apabila generasi muda ini tidak lagi mempunyai kefahaman nilai agama, budaya dan adat.Apabila generasi muda ini mula pandai servis kuda kepala bapak mereka.Maka kita akan mengatakan sistem pendidikan kita bertaraf kelas tiga.guru-guru gagal dalam mendidik.Guru-guru pemalas, banyak songeh dan banyak cuti.

Pernahkah kita sebagai warga berfikir mengapa pelajar ini dirotan? Pernahkan kita berfikir mengapakah pelajar ini dijentik.Pernahkah kita berfikir mengapa pelajar ini lebam punggungnya? Pernahkah kita berfikir mengapakah guru-guru ini bertindak sedemikian rupa?

Kini guru-guru bakal dibebani dengan tugas yang baru.Tugas menjaga pelajar selepas waktu persekolahan.Mengapakah saya mengatakan ini idea yang tidak cukup bernas dan mengawan masalah yang baru? Sebagai warga yang bertanggungjawab, cuba kita fikirkan jikalau pelajar ini mengalami sebarang kecederaan sewaktu berada dalam jagaan sekolah sewaktu selepas sesi persekolahan.Saya pasti akan ada ibu bapa yang akan membawa gunting pokok untuk menyembelih guru.Sekali lagi guru akan menjadi tempat untuk disalahkan atas malapetaka yang berlaku.Lelaki kucing yang suka menculik kanak-kanak sekolah pasti akan ketawa terbahak-bahak.

Pada hemat saya kejadian jenayah yang berlaku tidak ada sangkut paut dengan guru yang beronggi ponggi di atas katil.Jenayah yang berlaku tidak ada kena mengena dengan lebam punggung pelajar.Jenayah yang berlaku adalah disebabkan oleh kegagalan kita untuk menyediakan sebuah negara yang selamat untuk diduduki oleh warga.Kegagalan kita untuk membendung masalah jenayah.Kegagalan kita untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada warga.

Kegagalan kita mengawal permasalahan ini membawa malapetaka dan bencana yang sungguh dasyat.Berpuluh-puluh ribu warga masih menganggur samada mereka mempunyai kelulusan atau tidak.Warga yang menggangur kini sedang terhimpit di suatu sudut yang amat menyesakkan.Warga yang menganggur ini sedang dihimpit ke suatu sudut yang sukar untuk mereka bernafas.Warga ini akan melakukan apa sahaja kerja untuk meneruskan hidup.

Sudah menjadi fitrah manusia sejak dari zaman batu duduk di dalam gua sambil memakai cawat mereka akan tetap meneruskan kehidupan.Mereka sanggup bergaduh berperang malahan membunuh untuk mendapatkan makanan dan punca rezeki.Bagi manusia walau apa yang berlaku hidup mesti diteruskan.

Dengan kenaikan harga minyak kini bermakna kehidupan warga kita semakin sesak.Kos kehidupan menjadi semakin tinggi.Kadar inflasi akan semakin buruk.Ekonomi merudum.Gedung-gedung perniagaan ada yang mengecilkan kos operasi bermakna akan ada pekerja yang dibuang dan ada yang terus gulung tikar.Pekerjaan semakin berkurangan.Pengangguran akan terus berleluasa dan jenayah pasti akan meningkat.Adakah terlalu sukar untuk kita memahami tanda dan makna kehidupan ini?

Untuk itu, meletakkan anak-anak kita disekolah selepas waktu persekolahan akan mengundang bencana kepada pihak lain dan tidak akan mengurangkan kadar jenayah.Saya sangat sedih melihat situasi ini berlaku kerana ramai diantara saudara, sahabat dan kenalan saya bekerja sebagai guru.Kita sepatutnya memberi ruang dan peluang kepada guru untuk mencorakkan kreativiti mereka membentuk generasi muda yang akan mendobrak dunia ini.Jika guru-guru ini dipondankan maka terhasilah generasi yang hanya layak tinggal di belakang lorong.

Penyelesaian yang hanya untuk melindungi kelemahan beberapa pihak ini dan memangsakan pihak lain amat perlu kita tolak sama sekali.Sama seperti kita menolak kehidupan di belakang lorong.

Puisi ini hasil karya Pyan Habib
Selamat Pagi Cikgu

aku terkenang zaman bersekolah dulu-dulu:
* membawa pucuk paku, pucuk ubi kayu ke sekolah untuk diberi kepada cikgu.
* memadam papan hitam, membersih meja cikgu, mengutip sampah sekitar sekolah.
* sambut cikgu di kereta, tolong cikgu bawa buku, belikan sarapan cikgu di kantin.
* kelilingi cikgu di bawah pokok manggis, mendengar cikgu bercerita, bernasihat teladan.


aku terkenang zaman bersekolah dulu-dulu:
* jerkah cikgu menggigilkan seluruh kelas, diketuk pembaris dahi berbekas.
* didera berlari keliling padang, berdiri atas bangku, telinga terkoyak berdarah dipulas.
* cikgu berbasikal masuk kampung menziarahi anak muridnya yang sakit pening.
* cikgu ziarahi rumah ke rumah jika ada anak muridnya berhari-hari tidak ke sekolah.


aku terkenang zaman bersekolah hari ini:
* sekali anak dicuit, emak bapak datuk bapak satu kapal menggigil sakit otak!

Wednesday, July 16, 2008

Ketika Bercanda Bersama Pyan Habib

Bertemu dengan Pyan Habib sangat menggiurkan.Tiada keraguan lagi rupa-rupanya dia benar-benar Osman Tikus, ya Balada Osman Tikus.Lebih mempersonakan saat berkesempatan melihat dan mendengar sendiri suara unik Pyan Habib mendeklamasikan sajak beliau.Ternyata ia berjaya menerobos kecorong kedua-dua belah telinga lalu terjoblos ke lubuk jiwa.Tepuk amai-amai belalang kupu-kupu tepuk biar ramai pak kadok malang selalu

Monday, July 14, 2008

Bermotosikal Merayakan Kemudaan

Negara kita kini kian diancam.Ancaman yang dialami negara kita kini bukanlah satu perkara yang main-main.Ianya perlu dipandang secara serius lagi ilmiah.Melalui pandangan secara serius dan ilmiah sahajalah ancaman ini akan berakhir.

Saya tidak mahu membicarakan mengenai ancaman Washinton terhadap Teheran mahupun ancaman Hindraf terhadap kerajaan.Saya mahu menceritakan ancaman versi yang lain yang tidak ada kena-mengena dengan Uthayakumar mahupun Nasi Terbakar Condoleeza Rice.

Ancaman yang ingin saya utarakan ini ialah mengenai Rempit.Sebenarnya penggunaan perkataan rempit ini begitu meluas dan mungkin telah sampai ke Stesen Angkasa Antarabangsa setidak-tidaknya ke Angkasapuri.

Kini, saya sedang bercuti panjang.Jadi dengan mempunyai masa yang terluang berpeleseran di bandar dan kota telah menjadi satu acara yang menggiurkan.Apa yang menghairankan saya ialah dimana sahaja saya berada saya sentiasa dikelilingi manusia bermotor yang menunggang secara berbahaya, membisingkan lagi memekakkan telinga.Mungkin inilah yang dipanggil Rempit.Saya telah menjadi rimas, lemas lagi menyesakkan.Seperti kata pepatah ‘dimana ada lalat disitulah ada tahi’.Dimana sahaja saya berada, saya sentiasa bertemu dengan golongan rempit ini.

Begitu juga di dalam kawasan perumahan, bermula petang hinggalah ke malam hari pencemaran bunyi hampir sama taraf dengan Litar Monaco di Negeri Uncle Bernard.Jika mamat-mamat rempit ini dibawa ke Bandar Isla Margarita sudah pasti Cik Scarlet Ortiz akan terbelahak menelan pasta.Pelbagai aksi boleh ditonton dari tayar depan ke atas sampailah ke tayar belakang pun diatas.Jika anda mempunyai masa terluang sila hubungi saya kerana saya ingin menjemput anda semua menyaksikan aksi sarkis ini secara percuma.Saya memberi jaminan aksi mereka tidak mengecewakan mungkin sama taraf dengan aksi Royal London Circus.

Sebelum ini kita selalu terbaca di dalam akhbar mahupun di televisyen tentang kehaprakan golongan rempit ini.Mereka bukan sahaja dianggap ganas tetapi juga penjenayah terbesar di dalam negara kita.Apabila ada kes ragut golongan rempit ini dipersalahkan.Apabila ada kemalangan yang melibatkan motosikal maka golongan rempit dikatakan memandu secara merbahaya.Apabila motosikal ini melanggar kanak-kanak di tepi jalan maka wajib bagi media massa negara kita menyalahkan golongan rempit.Jika ada anak gadis yang diperkosa maka golongan ini juga yang dikatakan membuat onar.Pendek kata semua bala bencana yang terjadi di bumi Malaysia ini semuanya diletakkan ke atas bahu golongan rempit ini.Jadi sesiapa yang membawa motosikal anda berisiko dicap sebagai golongan rempit yang tidak bermoral.Maka Martina Navratilova akan dipandang lebih mulia dari anda.

Tahukah kita mengapakah fenomena rempit ini terjadi?

Sebenarnya budaya bermotor ini sudah lama bertapak di Malaysia iaitu sebelum Boon Siew membuka Kedai Honda.Jika kita menyingkap sejarah silam, Tentera Jepun datang dan menjajah negara ini juga menggunakan motosikal.Tentera Jepun ini juga telah merempit ke serata kampung.

Suatu masa dahulu di dalam tahun 60-an telah muncul satu budaya baru iaitu budaya yang dipanggil Pop Yeh-Yeh, dimana pemuda ketika itu juga merempit.Keadaannya adalah sama sahaja dengan kini cuma bezanya di tahun 60-an mereka merempit menggunakan vespa.

Mengapakah fenomena bervespa ini muncul? Fenomena ini muncul adalah kerana disebabkan oleh masalah pengangguran golongan muda di dalam era 60-an.Mereka ini tidak mempunyai kerja dan membuang masa dengan menunggang vespa dan kepala mereka berjambul.Mengapakah mereka ini tidak mendapat kerja? Disurahkan remaja pada masa itu tidak mendapat kerja kerana mereka tidak mahir Berbahasa Inggeris.Kerungsingan mereka memikirkan masa hadapan yang tidak menentu dan keadaan ekonomi yang kacau bilau menyebabkan mereka telah mengambil keputusan untuk mententeramkan jiwa dengan melakukan aktiviti bermotor.

Jadi masalah utama gejala ini berlaku adalah kerana masalah pengangguran.Saya amat percaya gejala rempit yang berlaku kini berkait rapat dengan masalah pengangguran.Dua atau tiga tahun lepas kita telah dikejutkan dengan statistik siswazah yang menganggur seramai lebih 80,000.Saya amat mempercayai statistik ini dan amat percaya setiap gejala buruk yang berlaku di Malaysia ini berkait rapat dengan statistik ini.

Merujuk kepada dua fenomena yang berlaku ini iaitu budaya merempit juga Pop Yeh-Yeh bervespa ini dapatlah dirumuskan ianya berpunca dari kekurangan pekerjaan di dalam sebuah negara.Percayalah, dengan keadaan ekonomi yang tidak kukuh telah menyebabkan pengangguran yang sebegini ramai.Apabila ketiadaan pekerjaan, ditambah dengan bebanan kenaikan kos kehidupan, kenaikan harga minyak di pasaran dunia, kenaikan harga barang dan kenaikan harga tol ramai diantara kita telah menjadi sesak.

Di dalam mencari jalan keluar dari kesesakan inilah mereka mengambil apa sahaja peluang untuk berhibur menghilangkan resah kehidupan yang tidak terjamin dan tidak menentu.Jika anda masih ragu-ragu kenyataan saya ini, marilah sama-sama kita lihat dan kaji dari kelas manakah mereka ini datang? Mereka ini datang dari kelas bawahan.Kelas bawahan merujuk kepada golongan miskin.Lihat saja cara mereka berpakaian dan jenis motosikal yang mereka gunakan.Sehingga hari ini saya masih belum berjumpa dengan mamat-mamat rempit ini yang menggunakan motosikal Cagiva Mito dan singgah di Hotel Shangri-La untuk minum petang.

Di tengah-tengah kegawatan keadaan ini, muncul satu kumpulan pihak berwajib yang tiba-tiba sahaja dengan rela dan penuh ketakwaan cuba untuk menjadi penyelamat kepada gejala merempit ini.Saya kurang pasti sama ada kumpulan penyelamat itu ikhlas untuk menyelamat atau sekadar ingin membuat lawak sarkis sahaja.

Ketua kepada kumpulan penyelamat ini telah berdondang sayang ke seluruh negara dengan ideanya yang geliga.Ketua kumpulan penyelamat pihak berwajib ini menyatakan bahawa mamat-mamat rempit ini akan dibawa berkonvoi bersama minah-minah rempit ke seluruh negara dan berbakti kepada masyarakat bagi mengurangkan jenayah yang dilakukan.

Tanpa dapat ditahan saya telah terbarai ketawa.Terbarainya ketawa saya ini hingga mengeluarkan air mata dan air hidung.Saya beranggapan ini adalah satu idea yang dihasilkan oleh manusia yang kurang daya akal fikrahnya.Adakah dengan membawa mamat-mamat rempit ini bersama-sama pasangan masing-masing menunggang motosikal ke seluruh negara akan menyelesaikan masalah pengangguran lalu mengurangkan kesesakan hidup mereka? Porfaor!! Stupidas stupidas stupidas!! Ini adalah idea yang sungguh khurafat.

Apa yang ingin saya tegaskan disini, punca utama kejadian jenayah ini adalah disebabkan masalah pengangguran.Masalah pengangguran ini yang menyesakkan kehidupan masyarakat.Dengan ketiadaan wang untuk meneruskan kehidupan ditambah bebanan kos yang melampau manusia akan mencari apa sahaja peluang untuk untuk mendapatkan duit termasuk melakukan jenayah dan merempit.

Pada hemat saya, untuk mengurangkan kadar gejala ini ialah pihak berwajib wajib menyediakan peluang pekerjaan kepada warganya.Untuk menyediakan peluang pekerjaan ini ekonomi negara perlulah dipacu dengan mampan.Bagi memacu ekonomi dengan mampan pihak berwajib wajiblah memerangi rasuah.

Saya telah bersyukur kerana ketika zaman saya merempit, golongan bermotosikal masih lagi tidak dipandang lekeh oleh dunia.Sebenarnya merayakan kemudaan dengan menunggang motosikal adalah satu nikmat yang sangat menggiurkan untuk anak muda seperti saya.

Thursday, July 10, 2008

Berpeleseran Bersama Hishamuddin Rais


Berpeleseran sebagai anak muda di ibu kota kali ini sungguh menakjubkan.Berpeluang sekali lagi bertemu dengan Hishamuddin Rais.Walaupun tidak sempat ngobrol panjang tetapi tetap menggiurkan.Kepada Isham Rais tahniah diatas semangat yang luar biasa untuk mempertahankan hak warga.Malapetaka dari Carburator Dung turut dikesali.

Monday, July 7, 2008

Kenduri Kahwin Dan Makan Free

Beberapa hari lalu saya telah menghadiri satu majlis kenduri kahwin.Sememangnya saya agak suka untuk menghadiri majlis seumpama ini kerana sudah tentu saya dapat melihat bagaimana adat istiadat Melayu berpesta merayakan tamatnya zaman bujang.Pada hemat saya pesta ini patut sama-sama kita rayakan.

Sepanjang hidup, sudah banyak kali saya berpesta merayakan kenduri kahwin ini.Ada yang diadakan di bandar ada juga yang di adakan di kampung dan bagi golongan yang berkemampuan mereka mengadakan pesta ini di hotel atau ‘rest house’.Saya tidak peduli mengenai lokasi yang penting jika ada kelapangan, saya pasti akan muncul.Salah satu daripada keseronokannya ialah apabila malam muncul tiba.Waktu ini biasanya diadakan majlis nyanyi-menyanyi.Saya adalah seorang warga yang tidak akan melepaskan peluang untuk menyanyi secara percuma.Pernah sekali saya berpeluang menyanyi di khalayak sambil diiringi “live band’ kampung.Tercengang juga Pak Imam dan Pak Lebai melihat kehebatan saya mendendangkan lagu A. Rahman Onn.Tetapi selepas itu saya cepat-cepat berjumpa dengan Pak Imam dan Pak Lebai memohon ampun maaf kerana telah melaghokan mereka.

Walaubagaimanapun, saya melihat ada sesuatu yang pelik lagi memelikkan di dalam budaya berpesta merayakan kenduri kahwin ini.Kebanyakan dari rakan-rakan saya berkata mereka amat seronok ke pesta kenduri kahwin ini kerana mereka akan dapat makan ‘free’.Saya telah menolak dakwa-dakwi mengatakan merayakan pesta kenduri kahwin adalah satu acara makan secara percuma.Kepercayaan ini adalah kepercayaan yang saya kira karut dan tidak munasabah.Inilah yang dikatakan budaya pelik lagi memelikkan.

Saya menolak dakwa-dakwi ini kerana kebelakangan ini saya tidak pernah lagi melihat makan di kenduri kahwin sebagai makan ‘free’.Apa yang saya perhatikan ialah apabila kita selesai makan kita perlu mengadap tuan rumah untuk membayar apa yang telah kita telan.Waktu mengadap tuan rumah inilah waktu yang selalu memotong keberahian saya untuk berpesta.Selalunya apabila selesai kenduri kahwin saya telah menjadi pokai kerana duit saya telah disita oleh pihak tuan rumah.

Sebenarnya acara mengadap tuan rumah ini mempunyai tanda dan makna.Tanda dan makna ini memberi pengertian yang mendalam.Pengertian bahawa tiada yang percuma di alam fana ini.Tanda pertama ialah kita perlu menunjukkan bahawa kita adalah tetamu yang sudi datang berpesta merayakan majlis kenduri mereka.Tanda kedua ialah kita perlu bersalam dengan tuan rumah tanda terjalinnya ikatan mesra.Sambil bersalam itu kita juga diwajibkan meletak duit di dalam tangan kemudian melepaskan duit tadi untuk disambut oleh tuan rumah.Bagi saya budaya ini sangat pelik.Budaya pelik ini dinamakan sebagai budaya salam kukut.Selalunya bayaran yang menjadi kebiasaan ialah RM10.Mengapakah RM10? Adakah jumlah yang kita makan tadi termasuk air sirap rewang ini berjumlah RM10.Mengapa tidak RM5.50 mengikut harga pasaran di kedai mamak? Mengapa perlu bermain sorok menyorok didalam tangan untuk membuat bayaran? Mengapa tidak menghulurkan dengan cara yang biasa atau diletak di dalam sampul surat?Adakah ini juga salah satu seni bergurau didalam masyarakat kita? Ataupun satu permainan silap mata?

Lebih menyirapkan hati apabila tuan rumah ini akan kehulu dan kehilir bergentayangan membawa beg besar untuk menyimpan duit yang diperolehi melalui salam kukut itu.Ada juga yang akan duduk berpeleseran di satu kawasan keluar masuk tetamu dengan harapan akan dapat bersalam kukut dengan seramai mungkin tetamu yang datang.

Pada hemat saya kegilaan untuk mengumpul wang dari tetamu ini adalah satu tindakan yang sangat menjelikkan.Lebih menjelikkan apabila buah tangan atau ‘goodies’ hanya akan diberi kepada sesiapa yang bersalam kukut sahaja.Ini membawa tanda dan makna bahawa salam kukut ini adalah agenda penting tuan rumah untuk dirayakan bersama tetamu.Kita perlu berhati-hati, jika tidak bersalam kukut kita pasti akan berjalan pulang dengan tangan kosong.

Kegilaan ini bagi saya akan menyebabkan keberahian untuk merayakan kenduri itu sendiri menjadi hambar.Menjadikan salam kukut ini sebagai salah satu dari adat budaya perlu dianggap sebagai sesuatu yang bebal.Kebebalan ini haruslah kita musnahkan agar ianya tidak membawa malapetaka kepada masyarakat.Kebebalan ini juga haruslah kita lenyapkan agar adat dan budaya kita tidak menjadi songsang.

Bagi mereka yang sedang pokai mungkin sahaja akan melarikan diri dari menghadirkan diri ke kenduri kerana makan tengahari sahaja mereka perlu membelanjakan RM10.Itu jika baru satu kenduri.Bayangkan pada hari itu ada lapan kenduri.Pasti warga kita akan bernanah otak mereka meleleh sampai ke kaki.

Tetapi perlu diingat, jika ada tetamu yang datang ikhlas ingin memberi sumbangan bagi saya adalah sesuatu yang normal dan tidak perlu ditolak.Tetapi kegilaan untuk mengumpul wang ketika waktu kenduri sehingga membuka kaunter pembayaran telah menjadikan budaya Melayu itu tidak lagi indah.Ianya juga akan merubah rupa paras tuan rumah tidak ubah sebagai seorang tokey funfair yang sedang menjaga kaunter tiket funfairnya.

Seringkali saya ke pesta kenduri kahwin, saya hanya datang untuk marayakan kehidupan tetapi bukan untuk memusnahkan adat budaya itu.Setiap kali ingin pulang saya akan mengelak dari berjumpa dengan tuan rumah.Saya mengelak adalah untuk menyelamatkan diri saya dari budaya songsang ini.Tetapi jika suatu hari nanti saya tertangkap kerana tidak bersalam kukut saya akan redha.Saya akan berkata kepada tuan rumah “Err Pak Cik, boleh saya dapatkan no akaun? Saya berjanji akan membuat bayaran melalui Maybank2u yer!!” lalu saya akan terbarai ketawa disitu.