Wednesday, August 27, 2008

Dari Permatang Pauh : Akhirnya Anwar Menang Terima Kasih Semua


Ketika saya menulis ini saya baru terjaga dari tidur.Apabila saya terjaga saya mulai merasa nikmat menjadi seorang warga Malaysia.Semalaman saya berpesta.Semalaman saya meraikan kemenangan.Saya bersumpah saya berpesta tanpa Dom Perignon dan Moet Chandon.

Dari malam hingga ke awal pagi ini saya menerima puluhan sms dan panggilan telefon menanyakan berita dan ucapan tahniah juga terima kasih.

Seminggu saya berkelana di Permatang Pauh.Mencari berita, membekalkan berita, mendapat kawan baru, meredah kampong mengikuti ceramah politik sampailah terperangkap di dalam kesesakan lalulintas.Semuanya kini dalam kenangan.Kenangan manis untuk Malaysia mencipta sejarah baru.

Saya bangun dengan penuh gembira.Saya bangun untuk merayakan kemenangan.Gembira merayakan kenangan di Permatang Pauh.

Hari ini saya mula mengetahui mengapa saya mencintai Malaysia.

Tuesday, August 26, 2008

Dari Permatang Pauh : Penentuan Projek 3P


Hari ini adalah penentuan kepada projek 3P - Permatang Pauh, Parlimen dan Putrajaya.Pengundi di Permatang Pauh masih lagi mengundi.Pengundian akan diteruskan sehingga jam 6 petang.Keadaan sungguh meriah lagi menyesakkan.Dari Kampung Pelet sampai ke Kubang Semang hingga ke Penanti membawa ke Seberang Jaya keadaan kecoh mecoh sekali.

Jika Anwar Ibrahim menang saya akan berpesta sampai pagi tetapi jika Anwar Ibrahim kalah saya sudah menyediakan sehelai tuala kecil untuk menangis.

Monday, August 25, 2008

Dari Permatang Pauh : Semalam Yang Hangat


Kehangatan Di Permatang Pauh terus menerus meledak.Pada hemat saya ledakannya hamper sama dengan ledakan yang dikenakan ke atas arwah Benazir Bhutto.Keadaan panas tuduh menuduh, cela mencela terus menerus dipraktikkan.Inilah yang menarik perhatian penduduk Permatang Pauh

Saya mendengar perkabaran Encik Ramlang Porigi imam yang dikatakan hadir di dalam sumpah laknat Mamat Jambu telah hadir di Permatang Pauh.Imam Ramlang Porigi ini telah berlabon mengenai dia telah dipaksa untuk hadir di majlis gilang gemilang sumpah laknat tersebut.Ini bermakna tanpa kerelaannnya.

Selain itu, bom kecil juga telah meletup di kem Puteri United Malays National Organization.Bom ini telah menyebabkan ahli Puteri United Malays National Organization melatah dan terperanjat.Ada hikayat yang disurahkan, salah seorang Puteri United Malays National Organization telah terbelahak menelan gulai itek ketika bom ini meletus.Mengikut cerita dari ketua lepak dikawasan Puteri United Malays National Organization, bom tersebut telah diletupkan oleh Pakatan Rakyat.

Wow!! Pakatan Rakyat sudah mempunyai bom.Kalau begitu mereka juga pasti mempunyai pakar membuat bom.Saya rasa jika Mahmoud Ahmadinejad mengetahui rahsia besar ini pasti beliau akan mengambil ahli Pakatan Rakyat ini bekerja di loji nuklear di Teheran sebagai pembacuh serbuk kimia.

Saturday, August 23, 2008

Dari Permatang Pauh : Cina Tokei Kedai Jeruk Salak

Semasa saya merayau-rayau di sekitar Permatang Pauh untuk meninjau suasana kehangatan politik, saya telah singgah di sebuah kedai menjual jeruk salak.Tokei kedai ini memandang saya dari atas hingga ke bawah.Pada hemat saya dia hanya ingin mengetahui samaada saya berasal dari kawasan Permatang Pauh atau hanya menjadi pelancong politik dari luar.

Saya memperkenalkan diri.Tekaan saya ternyata betul.Dia memang menyangka saya dari luar dan tokei kedai itu adalah anak tempatan dan telah berniaga menjual jeruk salak bertahun-tahun.Perniagaannya itu dibantu oleh anak-anaknya termasuk seorang amoi yang cun lagi bergetah yang telah memberi saya diskaun hebat di dalam proses jual beli buah salak itu.

Dia telah bersurah mengenai keyakinan dirinya mengenai politik tempatan.Dia telah bersurah mengenai keyakinan dirinya mengenai sosok Anwar Ibrahim.Dia telah bersurah mengenai keyakinan dirinya bahawa Anwar Ibrahim akan menang besar.Katanya bukan mudah rakyat Permatang Pauh melupakan jasa besar Anwar disana selama berpuluh tahun hanya dengan tuduhan seorang Mamat Jambu dari Kuala Lumpur.Mengikut cerita Cina ini, ramai Mamat Jambu dari Cherok Tok Kun hingga ke Berapit tetapi mereka tidak pernah di’usha’ oleh Anwar Ibrahim.Betul-betul ’kool’ Cina tokei kedai jeruk salak ini bercerita.

Dia bersurah lagi.Katanya amat sukar untuk orang lain menang dalam wilayah Anwar.Isterinya boleh menang apatah lagi dirinya sendiri.Dengan keadaan ekonomi semasa, bukan masalah besar untuk Anwar menang dan ke Parlimen.

Tidak dapat saya pastikan samada anaknya amoi yang cun lagi bergetah itu turut bersetuju atau tidak memandangkan dia hanya ternganga mulut mendengar ayahnya berlabon panjang mengenai sosok Anwar Ibrahim.

Sedang saya mendengar Cina itu berlabon panjang saya telah dikejutkan dengan kehadhiran helikopter yang bergentayangan di udara meninjau keadaan Permatang Pauh.Kebiasaannya helikopter ini akan berlegar di malam hari dimana Anwar Ibrahim berceramah.Tetapi pagi itu lain pula ceritanya.

Selang beberapa ketika selepas itu saya telah terserempak dengan beberapa trak polis yang sarat dengan FRU.Dari mana hendak kemana tidak dapat saya ketahui.Mungkin dari Jemapoh ke Manchestee.

Saya beredar dengan membeli tujuh kilo jeruk salak untuk buah tangan apabila pulang nanti.Saya beredar untuk terus menjamu mata di dalam keadaan hujan yang amat lebat dan awan hitam terus berarak melintasi ruang udara P44 Permatang Pauh .

Friday, August 22, 2008

Dari Permatang Pauh : Berpesta Bersama Hishamuddin Tun Hussein


Sempat bersua dengan Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein dalam kesibukan pilihanraya Permatang Pauh.Tertarik dengan penggunaan perkataan populis yang banyak digunakan dalam ucapan beliau.

Beliau banyak menarik perhatian pendengar dengan isu politik semasa yang menggugah politik dan masyarakat.Politik naik dan turun.Tetapi tetap komited dengan agenda yang telah digariskan.Adakah dengan kehadhirannya dapat menukar lanskap politik P44 Permatang Pauh?

Thursday, August 21, 2008

Dari Permatang Pauh : Berpesta Bersama Wan Azizah



Dari anak kecil, anak muda dan tua bangka kelihatan membawa panji- panji keadilan tidak kira samada bendera, baju atau pelekat di kereta.Kesemua mereka menyatakan sokongan dan dokongan masing-masing

Pesta rakyat diteruskan dengan gelombang biru yang sentiasa sesak dengan ribuan warga untuk mendengar amanat dari pemimpin.Ribuan warga ini ingin mendengar dengan telinga dan mata mereka sendiri.Mereka kepingin bukan untuk mendengar sumpah seranah jauh sekali sumpah muhabalah tetapi ingin secara matang mendasari dasar perjuangan, ketelusan, integriti calon dan adakah mereka mampu selepas ini untuk terus memenuhkan perut anak dan jurai keturunan dengan nasi dan beras.

Kebetulan dengan cuti sekolah diambil peluang sepenuhnya olih anak-anak sekolah ini membantu keluarga mereka menjual makanan.Anak-anak muda tempatan terus menerus menggantung poster di celah pokok, di dahan mempelam dan di tiang elektrik.

Disini di Permatang Pauh ada dua jenis cara untuk meraih undi.Satu meraih undi dengan diadakan jamuan dan makanan.Manakala satu lagi puak hanya dengan air liur iaitu berlabon mengenai isu semasa, harga minyak, kesengsaraan hidup warga dan banteras rasuah.nampaknya warga disini hanya berminat dengan air liur tetapi bukan dengan makanan dan minuman.

Mereka kelihatan sudah tidak sabar lagi untuk menanti seorang warga tempatan dijulang sebagai pahlawan di Parlimen Malaysia.Ayuh kita dobrak segala kekangan yang ada.

Tuesday, August 19, 2008

Dari Permatang Pauh : Berpesta Bersama Anwar Ibrahim


Sudah lama saya tidak meraikan pesta sebagai warga.Sudah agak lama saya tidak merayakan kemudaan saya.Seingat saya akhir sekali saya merayakan pesta rakyat yang terbesar beberapa bulan lalu.Kini kehangatan pesta rakyat kembali semula.

Kali ini saya tidak lagi ke kota untuk menikmati pesta.Saya tidak perlu menggelintar sesat di dalam kota untuk mencari pesta ini tetapi saya telah ke Permatang Pauh.Di Permatang Pauh ini ada ibu segala pesta.

Pesta ini cukup meriah untuk dinikmati.Pesta ini amat menggiurkan.Saya tidak perlu bersumpah sampai ke Masjid Kampung Kerinchi untuk menzahirkan keseronokan merayakan pesta ini.Saya tidak perlu bermuhabalah di depan Pejabat JAWI untuk menyatakan kemeriahannya.Puluhan ribu umat manusia memenuhi Permatang Pauh.Semoga ianya menjanjikan kita satu zaman pencerahan yang sama-sama kita impikan.

Monday, August 18, 2008

Antara Itu Dan Ini

Baru-baru ini saya telah terbaca mengenai satu pertubuhan yang mewakili beberapa pihak yang ingin mempersoalkan mengenai Melayu dan Agama Islam.Sebenarnya perkara mempersoalkan itu dan ini sudah lama berlaku dan banyak kali berlaku.Dalam negara demokrasi tiada salahnya untuk kita mempertikaikan atau mempersoalkan itu dan ini.Khalas.Tetapi apa yang menghairankan saya ialah beberapa pihak lain telah melakukan demonstrasi untuk menghalang dari perkara ini dibincangkan.

Sejak dari kecil lagi saya telah dididik untuk mempersoalkan itu dan ini.Ayah saya juga telah banyak meninggalkan saya paradoks untuk memaksa saya bertanya itu dan ini.Ayah saya bersurah apabila saya bertanya itu dan ini saya akan menjadi pandai.Maka untuk menjadi pandai saya perlu bertanya itu dan ini.Pernah saya bertanya kepada ayah saya kenapa beruk itu mempunyai ekor? Kenapa tidak berenjin seperti kapal selam dari Poland? Ayah saya tidak melenting tetapi dengan penuh kesedaran dia memberitahu bahawa ekor itu dikurniakan oleh tuhan yang mencipta makhluknya.Jadi, beruk mempunya ekor adalah untuk mengimbangi badannya ketika melompat dari pohon ke pohon.Enjin tiada di bahagian tubuh beruk kerana enjin itu buatan manusia.Manusia tiada kepakaran untuk memodifikasi beruk untuk dijadikan mesin kerana keupayaan manusia itu terbatas berbanding tuhan yang maha esa.Saya tidak pernah dimarahi atau diketuk menggunakan pinggan yang berjenama alcopal kerana bertanya mempersoalkan itu dan ini.Selepas saya bertanya soalan, saya dapat rasakan yang saya telah menjadi pandai dari beberapa rakan lain yang hanya sibuk bermain guli dan dam aji.

Sebagai penyokong demokrasi tegar saya sangat berbangga dengan negara yang mengamalkan kebebasan bersuara.Pada hemat saya kebebasan bersuara adalah satu amalan yang baik dan menghormati kebebasan bersuara adalah perkara yang terpuji.Mempersoalkan itu dan ini adalah satu cara untuk menjadikan kita lebih pandai.Mempersoalkan itu dan ini menjadikan kita lebih tahu.Mempersoalkan itu dan ini membolehkan kita membebaskan diri dari kebebalan.

Apa yang saya pelik lagi hairan ialah mengapa dalam negara kita ini mempunyai isu yang sensitif.Mengapa dalam negara kita ini perlu ada isu yang tidak boleh dibincangkan? Mengapakah dalam negara kita ini ada isu yang menjadi hak milik orang-orang tertentu sahaja.Pada hemat saya ini bukanlah satu amalan yang sihat.Mengapakah kita tidak boleh mempersoalkan satu perkara yang kita ingin ketahui.Mengapakah kita tidak boleh mempersoalkan apa yang kita tidak fahami.Mengapa ada perkara sensitif? Mengapa ada perkara tidak sensitif? Siapa yang menentukan perkara itu sensitif atau tidak sensitif.Bagaimana jawaban itu sampai ke pengetahuan warga?

Hah!! Bernanah kepala otak warga untuk menjawab persoalan ini kerana akan ada kuasa daulah yang akan memerhati, mencuri dengar dan menangkap sesiapa yang berbicara soal yang sensitif.Amat menakutkan.Pada masa yang sama kita didendangkan sebagai negara demokrasi dan bebas bersuara.Kahkahkah.Siapa yang membuat lawak badul ini?

Pada hemat saya, sebagai warga yang bertanggungjawab kita perlu bertanya untuk mengetahui apa yang sedang berlaku dalam negara ini.Sebagai warga yang bertanggungjawab kita perlu mempersoalkan perkara-perkara untuk menjadikan kita lebih faham akan negara kita ini.Saya menolak segala dakwa-dakwi yang mengatakan beberapa isu itu sensitif dan tidak boleh dibincangkan.Ianya hanya boleh dibincangkan secara tertutup.Jika tertutup maknanya tetap dibincangkan.Tetapi warga lain tidak boleh ambil pot? Mengapa akan ada sesetengah warga sahaja yang mempunyai kuasa untuk membincangkan itu dan ini.Manakala yang lain hanya perlu menerima kedudukan sesuatu isu.Mengapa ada beberapa pihak lain yang hanya perlu menerima paradoks tanpa ada keperluan untuk berbahas dan bertanya itu dan ini? Mengapa perlu ada pihak yang tidak boleh masuk campur untuk berbincang soal yang dianggap sensitif.

Mari bersama saya untuk berfikir dengan lebih waras.Ruang demokrasi ini perlu kita gunakan sebaik mungkin untuk melahirkan warga yang bertanggungjawab dan berpengetahuan.Jangan kita jadikan negara kita ini hanya sebagai slogan sahaja dan menerima sesuatu perkara tanpa ada usul periksa.

Sebagai warga FELDA adakah kita perlu melarang dari mereka bertanya mengapa kerajaan menanam kelapa sawit? Mengapa tidak tanam kelapa bali? Mengapa tidak ditanam pokok berbunga lalang.Soalan ini wajib kita jawab kerana pokok kelapa sawit akan menghasilkan minyak untuk kegunaan dunia.Hasil dari jualan minyak ini akan kembali kepada warga felda dan juga kerajaan dapat menikmati hasil untuk memajukan negara.Warga felda akan mendapat pulangan untuk meneruskan hidup, beranak pinak dan mempunyai pekerjaan.Cuba kita bayangkan jika kita melarang warga felda dari mempersoalkan perkara ini.Sampai berkurunlah mereka tidak berpuas hati mengapa mereka perlu menanam kelapa sawit.Sebenarnya dengan menjawab soalan ini kita dapat menjadikan warga felda lebih berpengetahuan.

Bayangkan jika disekolah kita mengamalkan budaya songsang ini.Guru-guru melarang pelajar-pelajarnya untuk bertanya itu dan ini.Itu sensitif dan ini sensitif.Apa agaknya anak-anak kita akan belajar disekolah? Jika mereka bertanya soalan maka guru-guru akan menampar muka mereka sehingga merah.Apakah anak-anak kita akan menjadi lebih bijak? Ini bukan cara kita mengendalikan dunia ini dengan betul.Cara ini akan menghunjam kita ke arah kebongsaian fikrah warga dan anak-anak kita.Ini satu gejala yang tidak sihat.Ini satu jenayah sosial demokrasi yang mengancam habitat otak dan fikrah dari berfikir.Untuk menjadi pandai adalah hak setiap warga.

Begitu juga dengan mempersoalkan mengenai Melayu dan Agama Islam.Apabila ada pihak yang mula ingin bertanya mengapa Melayu itu mempunyai keistimewaan dan mengapa memeluk Islam itu mempunyai kelebihan disisi undang-undang dalam negara ini? Pada hemat saya ini satu soalan yang cukup baik dari mereka yang bukan Melayu dan bukan Islam.Mereka bertanya kerana mereka ingin mengetahui.Mereka bertanya kerana mereka bebal dalam berkara ini.Dengan perkataan mudah mereka bertanya kerana mereka bangang dalam hal ini.Sudah menjadi tugas kita sebagai warga Malaysia yang berbangsa Melayu dan beragama Islam untuk menerangkan perkara sebenar.Ini peluang yang sangat baik untuk kita menyingkap sejarah silam kemerdekaan negara dimana Melayu sudah berkorban melalui konsep jus soli, termaktubnya kontrak sosial dan perlembagaan persekutuan yang telah dipersetujui oleh pemimpin dahulu.

Jika mereka berforum mempersoalkan itu dan ini.Kita perlu menggunakan medium yang lebih besar seperti televisyen untuk menerangkan kepada mereka dan keseluruhan warga mengenai perkara ini.Kesudahnya bukan mereka sahaja yang kehilangan kebebalan itu tetapi juga kita akan menyedarkan anak-anak muda kita supaya lebih prihatin terhadap negara ini.Adakah ini menjadi masalah besar kepada kita?

Setiap soalan yang dipersoalkan memerlukan jawaban.Setiap jawaban memerlukan kebertanggungjawaban.Adakah kerana kita malas untuk berfikir menyebabkan kita perlu haramkan itu dan ini.Kita perlu letakkan itu dan ini sebagai sensitif bagi menghalang orang lain mengetahui tentang suatu perkara.

Pada hemat saya ruang untuk kita bersoal jawab, berhujah, berbincang dan berbeza pendapat adalah budaya yang perlu kita rayakan.Jika kita tidak mempersoalkan itu dan ini, berhujah, berbincang dan berbeza pendapat ini membawa tanda dan makna yang kita tidak pernah berfikir.Orang yang berfikir akan mempersoalkan itu dan ini.Orang yang bijak pandai akan menjawab itu dan ini.Tanpa persoalan itu dan ini kita tidak mampu terbang ke angkasa lepas dan tanpa itu dan ini kita akan mempercayai yang manusia itu berasal daripada beruk.

Monday, August 11, 2008

Penyembahan Berhala Bergerak

Saya telah terbaca satu berita yang sangat menakjubkan.Berita yang saya baca ini sungguh menggiurkan halwa fikrah saya.Saya terbaca berita mengenai satu syarikat besar di sebuah negeri di dalam negara kita.Syarikat ini telah membeli berbelas-belas kereta Mercedes Benz yang jumlah harganya mencecah jutaan ringgit.Mereka membeli kereta ini adalah untuk tujuan yang suci murni.Kesucian ini lebih suci dari Suci Musalmah.Mereka membeli berhala bergerak yang berjenama Mercedes Benz untuk kegunaan syarikat bagi menggantikan berhala bergerak syarikat yang lama iaitu Proton Perdana yang telah barai lagi membaraikan.

Jurucakap syarikat ini mengatakan mereka terpaksa membeli berhala bergerak jenis Mercedes Benz adalah kerana kos penyelenggaraan Proton Perdana yang tinggi dan membebankan syarikat mereka.Jadi jalan penyelesaian terbaik ialah membeli berhala bergerak Mercedes Benz untuk menjimatkan kos syarikat.Kahkahkah lawak lahanat jenis apakah ini? Lawak ini sungguh mencuit hati saya.Lawak ini telah membuatkan Lan Pet-Pet ingin pencen saja dari terus melawak.

Pada hemat saya kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat ini adalah kenyataan yang bebal.Mana mungkin untuk menjimatkan kos syarikat mereka terpaksa membeli berhala bergerak baru yang bernilai berbelas juta ringgit.Kos penyelenggaraan yang mahal ini pula telah dibaraikan oleh kilang yang membuat berhala bergerak Proton Perdana itu.Saya dengar Badan Pencegah Rasuah telah bertindak cepat untuk menyiasat dan sudah membuat tangkapan.Melalui pendengaran saya yang masih belum kotai ini, hanya berhala bergerak sahaja yang mereka berjaya tangkap.Tetapi pembeli kereta itu dan juga pemilik kedai servis yang telah mentekedarah duit rakyat itu masih belum ditangkap.

Saya tidak peduli jika syarikat ini ditubuhkan dari duit mereka yang diangkut menggunakan tongkang dari Mongolia atau melalui akaun rahsia En Mugabe mahupun duit ini telah melayang jatuh dari pucuk kelapa ke dalam poket mereka.Saya menjadi peka dan peduli kerana duit untuk menubuhkan syarikat ini adalah duit rakyat.Duit rakyat yang hidup dalam keadaan sesak lagi menyesakkan.

Persoalan yang bermain di kepala otak saya ketika ini ialah mengapa untuk menjimatkan kos operasi syarikat mereka terpaksa membeli Mercedes Benz? Mengapa tidak membeli berhala bergerak lain seperti Wira, Kancil, Waja atau Datsun Batman? Bukankah kereta-kereta ini lebih murah dan kos penyelenggaraannya juga tidak menjerut leher warga.Mengapa kos penyelenggaraan Proton Perdana lebih mahal dari kebiasaan? Adakah enjinnya sudah dimodifikasi sama seperti enjin kereta Juan Pablo Montoya?

Nanti dulu, kita jangan tersilap.Kita tidak boleh beranggapan ketua syarikat ini bodoh piang atau bebal.Kebebalan ketua syarikat ini untuk menilai berhala bergerak ini bukanlah kesalahan azalinya tetapi kesalahan kita sebagai masyarakat.Kita sebagai anggota masyarakatlah antara yang bertanggungjawab menjadikan sesiapa sahaja di dalam negara ini bebal.

Pada hemat saya, persepsi kita terhadap berhala bergerak ini sungguh menakutkan.Persepsi kita terhadap berhala bergerak ini sungguh songsang lagi menyongsangkan.Kita selalu beranggapan sesiapa sahaja yang memiliki berhala bergerak yang mewah mewakili kaum elit dan kaya.Sesiapa yang memiliki berhala bergerak yang mewah mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat.Sesiapa yang memiliki berhala bergerak yang mewah akan dipandang sebagai mempunyai status.

Persepsi ini telah menjadi ejen pendesak kepada warga kita untuk berlumba-lumba memiliki berhala bergerak yang mewah.Status yang diberikan oleh masyarakat ini telah menyebabkan ramai diantara kita yang tidak lagi berfikir secara waras.Status yang diberikan secara percuma oleh masyarakat ini telah menyebabkan ramai diantara kita tidak lagi berfikir secara ilmiah.

Jika anda masih ragu-ragu terhadap saya, mari kita lakukan pemerhatian.Setiap kali hari raya menjelang tiba akan berduyun-duyunlah warga kita untuk pulang ke kampung.Apabila kita pulang ke kampung kita dapat melihat kampung kita sesak dengan berhala bergerak ini dan sesiapa yang memiliki berhala bergerak ini akan dipandang mempunyai pekerjaan yang baik dan memiliki status.Awas! Sesiapa yang tidak memilikinya akan dipandang sebagai manusia yang masih belum stabil dan naïf kehidupannya.Semakin mewah berhala bergerak dipandu pulang maka semakin tinggi pandangan masyarakat kita terhadap si empunya berhala bergerak itu.Bukankah ini satu pandangan bebal dan songsang.

Mari kita berfikir dengan ilmiah lagi rasional.Dunia kini sedang mengalami krisis.Sesiapa yang berfikir dan beranggapan bahawa mereka tidak tergolong di dalam krisis ini adalah orang meletakkan otaknya di kepala lutut untuk menipu orang yang mempunyai otak di dalam kepala.Dunia mengalami krisis makanan, krisis ekonomi dan krisis minyak.Kini minyak sudah melintasi 134 dolar setong.Peningkatan harga minyak amat menyesakkan kehidupan kita sebagai warga.Ini membawa tanda dan makna sesiapa yang memiliki berhala bergerak semakin menghampirkan dirinya untuk dijerut leher.

Saya melihat jika situasi sekarang berterusan kita tidak akan mempunyai peluang untuk merasai penurunan harga minyak lagi.Saya yakin ketika rencana ini ditulis ramai diantara kita termasuk mat rempit, kontraktor kelas F dan guru kimia Sekolah Teknik Sungai Abong sedang menghadapi krisis kesesakan untuk hidup.

Memiliki kereta semasa kenaikan harga minyak naik secara mendadak mengundang malapetaka yang amat dahsyat sekali.Memiliki berhala bergerak ketika dunia dalam krisis mengundang malapetaka.Semakin mewah berhala bergerak yang kita miliki semakin sesak kehidupan kita.Ini adalah kerana harga minyak akan terus melonjak.Kenaikan harga minyak ini tidak akan sama nisbahnya dengan kenaikan gaji.Ini bermakna kos kehidupan semakin meningkat.Peningkatan kos kehidupan ini menyebabkan kita akan bertambah miskin.

Mari kita membuat perbandingan yang mudah.Jika si Mamat A mempunyai jumlah nilai gaji sama dengan Mamat B.Mamat A memakai berhala bergerak berjenama Mercedes Benz manakala Mamat B memiliki berhala bergerak berjenama kancil.Maka kita tidak boleh mengatakan Mamat A adalah lebih kaya berbanding Mamat B.Maka kita tidak boleh mengatakan Mamat A mempunyai status dan Mamat B tidak mempunyai status.Kita perlu mengatakan Mamat B lah yang lebih kaya dan memiliki status tinggi.Bukan status berhala bergerak yang dinilai tetapi status akal dan fikrah yang lebih tinggi.

Bagi saya kita perlu memperbetulkan persepsi kita terhadap berhala bergerak ini.Perlumbaan untuk memiliki gaya hidup mewah melalui berhala bergerak perlu segera kita baraikan.Jika kita tidak lakukannya sekarang maka akan ramai lagi warga kita yang akan terikut-ikut mengagung-agungkan berhala bergerak ini.Mengagung-agungkan berhala bergerak ini mungkin akan sampai ke tahap munculnya mazhab baru yang sesat lagi menyesatkan.

Tidak dapat tidak, kita perlu melakukan perubahan gaya berfikir barulah kita dapat mengubah gaya hidup.Saya menolak segala perubahan gaya hidup yang didondang-dendang pihak berwajib kerana pihak berwajib adalah satu kuasa daulah yang buta perut.Perubahan yang mereka laungkan tidak datang dari daya fikrah yang luhur.Perubahan yang mereka laungkan tidak datang dari hati yang menderita menahan asakan krisis.Mereka mengeluarkan idea dari mulut yang haprak.Saya merasakan saya jauh lebih luhur dari mereka kerana saya adalah warga yang terpaksa menanggung kesesakan secara langsung dari peningkatan harga minyak ini.

Kini jika saya ingin ke kota saya hanya menaiki bas.Jika ingin berjumpa Si Jantung Hati saya hanya menaiki komuter.Jika hendak ke tempat kerja saya hanya menaiki motor sahaja.Berhala bergerak ini hanya digunakan seminimum yang mungkin.

Monday, August 4, 2008

Terbarainya Daulah Demokrasi

Kali ini saya tidak terbarai lagi.Saya tidak terbarai kerana saya telah menjadi marah.Saya menjadi marah kerana dalam negara ini banyak berita yang tidak betul.Dalam negara ini banyak berita yang telah diselewengkan.Saya menjadi marah bukan sebab Miss Universe Si Cantik Manis Dayana Mendoza sudah menemui cinta baru.Saya tidak pedulikan hal ehwal Dayana Mendoza.Tetapi saya menjadi marah apabila cerita karut marut ini sedang dijaja dan menjadi fitnah yang amat dahsyat.

Setiap kali saya menonton berita di televisyen dan acap kali saya membaca surat khabar bersepah-sepah sekali berita yang saya anggap tipu, karut bin marut dan sesat lagi menyesatkan yang sentiasa menjalar dan bertebaran kesana-kemari.Selalunya pihak-pihak pembangkang kepada pemerintah akan menjadi mangsa fitnah.Puak-puak yang tidak menjadikan pihak pemerintah sebagai idola menjadi mangsa tohmah dan caci.Pihak-pihak yang tidak memberi sokongan kepada pemerintah akan di cap sebagai khianat kepada negara.Pihak-pihak yang tidak sealiran dengan pemerintah akan dituduh pro-Yahudi, pro-Cina, pro-India, pro-gol, pro-liwat dan berbagai-bagai pro lagi.Apa punya lahanat semua ini?

Sebelum kita tersesat dengan lebih jauh marilah bersama saya kembali kepada fitrah manusia.Fitrah manusia yang dilahirkan melalui pelbagai latar belakang.Ada miskin, ada kaya, ada sederhana, ada papa kedana, ada dari keluarga tentera, ada dari keluarga perubatan, ada dari keturunan petani, ada dari salah silah pendidik ,ada dari zuriat perompak dan lanun, ada dari kaum yang menjarah tanah dan bukit, ada yang berkulit hitam, ada yang bermata sepet, ada yang berambut gerewel dan ada yang berhidung mancung.Jadi kita ini dilahirkan dari pelbagai sosok.Apabila kita dilahirkan dari pelbagai sosok dan latar belakang maka cara hidup, cara berfikir dan persepsi kita juga akan berbeza.

Adalah tidak adil bagi kita sesama manusia memaksa orang lain untuk berfikir cara kita berfikir.Kita tidak akan berjaya memaksa seorang doktor untuk berfikir seperti orang yang suka menjarah tanah dan bukit.Ini mustahil untuk kita lakukan.Dengan memaksa orang lain menyokong gagasan atau pemikiran kita adalah satu perkara yang sangat durjana.Adalah tidak adil bagi kita sebagai manusia untuk menuduh orang lain sebagai pro-yahudi kerana orang lain tidak menyokong kita.Adalah tidak adil menyatakan orang lain pro-hindu kerana orang lain tidak menyokong kita.Pada hemat saya ini adalah satu propaganda yang sangat biadap lagi memualkan.Semakin lama saya mendengar propaganda sebegini semakin saya meluat.Kucing saya yang bernama Gibut juga terberak mendengar propaganda busuk ini.

Adakah jika saya bergambar dengan kawan zaman sekolah saya seorang India yang bernama Prabhu maka saya sudah dianggap murtad dan menyembah Dewa Vishnu? Adakah dengan bergambar dengan kawan saya yang bernama Khoo Yih Cheong saya sudah dianggap tidak lagi Melayu dan saya sebagai pengkhianat kepada agama bangsa dan negara? Siapa yang ajar teori politik yang bebal begini.

Saya mempunyai perasaan simpati terhadap puak yang tidak menyokong pihak pemerintah.Saya simpati kerana mereka sentiasa digambarkan sebagai penjahat dan ingin menjual negara ini kepada pihak asing.Ini satu propaganda bebal.Saya yakin propaganda ini diplagiat dari seorang aparatus yang datang dari Texas bernama George W Bush saudara rapat kabal-kabal Zionis.Propaganda ini sama sahaja dengan propaganda yang mengatakan Islam agama menganjurkan keganasan.Tuduhan yang tidak ada asas sama sekali.

Adakah jika tidak setuju dengan dasar pemerintah yang sedia ada akan membawa tanda dan makna kita mahu menjual negara ini kepada malaun yang bernama Ehud Olmet? Adakah jika kita tidak bersetuju dengan pemerintah maka jalan penyelesaiannya ialah bersekongkol dengan kabal-kabal zionis? Ini satu pemikiran yang bebal dan dangkal sama sekali.Ini satu tuduhan yang bengap dari otak beku yang tidak pernah berfikir secara waras lagi rasional.Ini propaganda bankrupt dari puak-puak yang terdesak.Saya ingin bertanya jika negara ini ingin dijual, di pasar tani manakah yang menjadi pilihan untuk berurusniaga? Di Selayang? Di Old Al-Ghannin? Di Oslo? Atau di Bordeaux? Berapa ringgit harga negara ini sekilo? Berapa sen sekati? Berapa rial seliter?

Kini apabila rakyat sudah mengalih perhatian untuk tidak lagi memberikan sokongan kepada pihak pemerintah maka rakyat akan dianggap sudah tertipu dan menjadi mangsa kepada propaganda Yahudi.Saya ingin bertanya Yahudi mana telah berjaya mempengaruhi otak dan pemikiran rakyat? Siapa nama Yahudi itu? Berapa umurnya? Masih bujang atau sudah berkahwin? Berapa ramai zuriatnya? Adakah dia mempunyai anak gadis yang cun lagi bergetah? Apa kerjanya? Adakah dia mempunyai jambang seperti Radovan Karadzic?Saya tidak terbarai ketawa tetapi saya menjadi marah.

Mari bersama saya untuk berfikir secara waras lagi rasional.Negara ini negara demokrasi yang memilih pemimpin melalui pilihanraya.Negara demokrasi pastinya mempunyai parti-parti politik.Parti-parti politik ini adalah pertubuhan yang ditubuhkan untuk merebut dan mempertahankan kuasa.Kuasa digunakan untuk membuat keputusan politik bagi sesebuah negara mencapai matlamatnya.Negara demokrasi ini juga membenarkan pelbagai parti politik mengikut pilihan dan kesesuaian sendiri tidak kira ideologi sama ada islamis, nasionalis, komunis, sosialis, kapitalis mahupun Sheril Merlis.Ini kerana yang akan memilih mereka adalah rakyat.Rakyat yang menentukan kekuasaan sesebuah parti politik itu.Jika mereka berjaya meyakinkan rakyat maka mereka akan menang dan memegang kuasa.Parti politik yang kalah akan menjadi pembangkang yang akan mengkritik tindakan pemerintah.Pembangkang ini juga dikira sebagai suara rakyat yang minoriti.Apabila menjadi pembangkang bukan bererti mereka mempunyai pertalian darah dengan Yahudi atau ketua mereka bertukar menjadi ipar duai Ariel Sharon.

Pihak pembangkang ini juga seperti pemerintah mahu merebut kekuasaan untuk memperkukuhkan ideologi mereka.Mereka juga adalah rakyat Malaysia yang mempunyai kesedaran mengenai ekonomi politik mahupun sosial.Mereka membesar dalam negara ini mempunyai ibu bapa adik beradik sanak saudara dan ipar duai disini.Mereka juga mempunyai semangat patriotik dan sayang akan negara ini.Mereka juga prihatin masalah dan kehendak rakyat.Apa masalah mereka untuk menjadi pembangkang.Tanpa pembangkang negara ini bukan negara demokrasi lagi.Tanpa pembangkang siapa yang ingin membetulkan kesilapan pihak pemerintah.

Ketidakadilan ini perlu diperbetulkan.Meracuni fikiran rakyat kepada satu kepercayaan yang salah adalah jenayah bagi hukum-hakam demokrasi.Demokrasi tidak akan subur jika hanya tidak menyokong pemerintah maka akan dituduh menjadi aparat kepada kabal-kabal zionis.Ini kerja gila.Ini kerja gila.Ini kerja gila.Hanya orang gila buat kerja gila.

Apabila rakyat tidak lagi menyokong aspirasi pemerintah bukan kerana rakyat terlalu bebal untuk mengenal yang mana Yahudi yang mana Kabal Zionis.Tetapi ini adalah tindakan mereka untuk keluar dari kesesakan hidup yang melampau.Mereka ingin mencari satu saluran lain yang diyakini boleh mengurangkan penderitaan mereka.Mereka ingin satu saluran alternatif untuk menyelamatkan generasi mereka dari terus dijarah.Mereka inginkan perubahan.Mereka ingin melihat negara ini sebagai satu platform yang mempunyai nilai kemanusiaan.Mereka ingin menghapuskan ‘explotasion harlom parlom’ penindasan manusia ke atas manusia.’Explotasion Harlom Parlom’ ini tidak tinggal di Marseilles atau di Helsinki mahupun di pekan Guadalajara.Explotasion Harlom Parlom ini sedang menjalar di depan biji mata kita yang wajib kita hapuskan.