Ketika saya menulis ini, hari Jumaat telah sampai. Apabila Jumaat sampai telah menjadi tradisi kita untuk memakai baju melayu, sampin dan songkok. Ini bukan atas arahan Majlis Perbandaran Hulu Kinta tetapi ianya telah menjadi budaya sejak dari saya dulu lagi. Sejak dari sekolah rendah sehingga saya kini menjadi seorang warga yang bertanggungjawab ia terus menjadi tradisi.
Jumaat telah sampai. Jumaat menjadi begitu penting sekali di kalangan masyarakat Melayu yang beragama Islam. Sambutan Jumaat di negara ini sungguh meriah. Hari Jumaat adalah hari untuk berkumpul dan berjemaah di masjid. Ini peluang untuk kita anak semua bangsa bersama-sama, kenal-mengenal dan bersalam-salaman. Ini membawa tanda dan makna kita bersyukur kepada Yang Maha Esa dan ini membawa tanda dan makna kita merayakan kehidupan.
Apabila Jumaat sampai, masjid menjadi begitu sinonim sekali. Masjid menjadi tumpuan. Rasa saya ianya juga sama di tempat-tempat lain seperti Karachi, Riyadh, Cordova, Valencia mahupun Sarajevo. Warga akan berpusu-pusu memeriahkan masjid. Disini tiada makanan yang disediakan. Tiada minuman yang dihidangkan. Yang ada hanyalah permohonan doa dan ritual sembahyang untuk Yang Maha Esa.
Sejak saya kecil setiap hari jumaat lagi saya telah ke masjid untuk menunaikan Solat Jumaat. Ini telah menjadi kewajiban bagi saya. Jika saya tidak ke masjid saya akan ditibai oleh ibu saya. Saya tidak mempunyai keberanian untuk berpeleseran ke tempat-tempat lain. Ini kerana mengikut cerita nenek saya, tuhan akan mencampakkan orang yang tidak sembahyang ke dalam api neraka. Kata-kata dari nenek betul-betul menghantui saya. Ini betul-betul membuatkan saya potong stim untuk ponteng sembahyang jumaat dan melepak bersama kawan-kawan di bawah pohon jambu.
Tetapi sebagai anak kecil, saya merasakan kami telah diabaikan. Kami sebagai anak-anak kecil tidak diberikan perhatian sewajarnya. Kami anak-anak kecil selalu diperlekehkan. Kami anak-anak kecil selalu dianaktirikan oleh warga yang datang ke masjid. Pada hemat saya ini adalah satu tindakan jenayah yang perlu kita sama-sama nafikan. Ini satu tindakan jenayah yang perlu sama-sama kita dobrak agar ianya pecah dan terbarai.
Ketika kecil telah dibina sebuah masjid yang indah lagi mahal di kampong saya . Masjid ini gah sekali pembinaannya. Setiap kali saya ke sekolah pasti melintasi kawasan ini dengan bas. Saya pasti akan memandang masjid yang sedang dibina ini. Setiap kali saya melaluinya saya akan bertanya-tanya bilakah agaknya masjid ini akan siap. Kami anak-anak kecil sudah tidak sabar lagi untuk mengunjungi masjid dan bersembahyang disitu. Memandangkan kawasan itu luas maka kami telah menjangkakan kawasan itu akan menjadi pot kami merayakan zaman kanak-kanak. Kami juga memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa agar masjid ini berjaya disiapkan dengan secepat mungkin untuk kami sama-sama merayakan pembukaannya.
Hari berganti hari. Minggu bersalin minggu. Bulan bertukar bulan akhirnya masjid yang indah lagi mahal ini telah siap dibina. Kami anak-anak kecil ketika itu merasa sungguh gembira dan bangga. Apa yang lebih menggembirakan kami ialah masjid itu dibina dua tingkat. Kami anak-anak kecil semuanya terperanjat kerana belum pernah melihat sebelum ini masjid yang mempunya dua tingkat. Mengikut cerita yang sampai ke telinga kami anak-anak kecil, jemaah perempuan akan sembahyang di tingkat atas. Maka hampalah perasaan kami anak-anak kecil untuk melakukan sesuatu yang baru di dalam hidup iaitu untuk bersembahyang di tempat yang lebih tinggi. Berita yang sampai ke lubang telinga kami betul-betul potong stim. Tiba-tiba salah seorang dari kami anak-anak kecil bersuara. Katanya kami anak-anak kecil mempunyai peluang untuk bersembahyang ditingkat dua pada hari jumaat. Ini kerana tiada jemaah perempuan pada hari jumaat. Kami anak-anak kecil terbarai ketawa dan melompat kegirangan.
Jumaat tiba lagi. Masjid sudah siap.Hari yang ditunggu oleh kami anak-anak kecil untuk bersembahyang telah sampai. Setelah sampai ke masjid dan ketika khatib mula ingin mengambil tempat untuk menyampaikan khutbah, kami anak-anak kecil telah memanjat tangga masjid untuk ke tingkat atas. Inilah impian kami untuk sembahyang di tingkat atas buat kali pertama dalam hidup. Kami anak-anak kecil sangat gembira. Sambil memanjat tangga kami anak-anak kecil mengintai ke bawah. Kelihatan jemaah-jemaah lain sedang mengambil tempat. Alangkah hebatnya kami anak-anak kecil dapat bersembahyang lebih tinggi dari biasa.
Apabila kami sampai sahaja dan menjejakkan kaki ke karpet biru berbelang kuning telah muncul seorang tua yang menjaga masjid. Mukanya amat garang dan memang tidak kacak. Mukanya ada iras-iras Encik Mugabe. Kami anak-anak kecil tidak pernah melihat dia tersenyum. Dia telah mengherdik kamil. Dia telah memarahi kami dengan suara lantangnya. Dia telah menyimbahkan air liurnya kearah muka kami. Semua mata tertumpu kearah kami. Kami anak-anak kecil tidak dibenarkan untuk menyibukkan diri di bahagian atas masjid. Ini kawasan untuk orang-orang tua sahaja. Akhirnya kami dihalau turun kebawah.
Mengapa anak-anak kecil ini diperlakukan sedemikian rupa? Kami telah dimarahi kerana kami anak-anak kecil tidak layak untuk bersembahyang di bahagian atas. Tempat untuk kami ialah dibahagian belakang masjid. Tempat untuk kami ialah di bahagian simen bukan berkarpet biru berbelang kuning. Tempat untuk kami ialah bersebelahan tempat untuk mengambil air sembahyang.
Lihat, tengok dan perhatikan. Kami anak-anak kecil telah didiskriminasikan di dalam rumah tuhan. Tujuan kami datang adalah untuk memohon dan memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa. Kami bukan datang untuk memohon kontrak memotong rumput masjid atau mengopak tabung masjid. Kami anak-anak kecil telah diherdik dan di diskriminasikan. Mengapa kami tidak boleh bersembahyang bersama orang-orang tua? Mengapa kami tidak boleh bersembahyang di tingkat atas? Ini arahan dari siapa? Siapa yang bertanggungjawab menulis undang-undang ini? Rasa saya ini bukan kerja Zaid Ibrahim kerana dia belum menjadi menteri undang-undang ketika saya kecil. Rasa saya ini juga bukan kerja Rais Yatim kerana pada masa ini dia masih menjadi ahli Semangat 46.
Mengapa kami hanya layak bersembahyang di atas simen? Mengapa kami hanya boleh bersembahyang di sebelah kolah mandi? Masjid ini mahal. Masjid ini indah. Tetapi kemahalan dan keindahannya adalah untuk orang-orang yang terpilih. Kami anak-anak kecil bukan insan yang terpilih. Kami anak-anak kecil dianggap tidak penting di dalam struktur sosial masjid.
Pada hemat saya ini adalah satu jenayah sosial yang perlu dihapuskan. Anak-anak kecil bukanlah untuk kita pandang hanya dengan sebelah mata. Anak-anak kecil ini adalah pewaris kepada agama, bangsa dan negara. Cerita ini adalah cerita benar. Saya tidak chutia. Ini bukan cerita siakap senohong gelama ikan duri bercakap bohong lama-lama boleh jadi menteri.
Sebenarnya sehingga kini saya masih tidak faham kenapa peraturan bebal mendiskriminasikan anak-anak kecil ini dikuatkusakan di dalam masjid. Sebenarnya sehingga kini saya masih tidak faham bila peraturan ini sampai? Saya amat yakin peraturan ini tidak akan sampai dari langit terus menjunam ke dalam masjid. Saya amat yakin peraturan ini sebenarnya mengundang bahaya dan merosakkan nilai budaya masyarakat kita.
Saya melihat peraturan-peraturan yang dibuat dan dikuatkuasakan di dalam masjid ini hanyalah propaganda sahaja. Peraturan-peraturan yang dibuat ini hanya untuk melihatkan tukang jaga masjid ini mempunyai kuasa dan boleh menggunakan kuasa yang ada. Semakin banyak peraturan yang dikuatkuasakan maka semakin besarlah kuasa yang ada bagi penjaga masjid ini. Peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan ini wajib kita tolak sama sekali. Peraturan perlu dikuatkuasakan melalui kaedah ilmiah untuk membentuk nilai budaya. Peraturan dikuatkuasakan bukan untuk mematikan nilai budaya. Peraturan yang baik akan menghasilkan nilai budaya yang baik. Peraturan yang tidak ilmiah akan menghasilkan budaya bobrok.
Pada hemat saya anak-anak kecil ini perlu diraikan sama-sama sebagai jemaah. Anak-anak kecil juga wajib kita didik dan bawa bersama di dalam arus jemaah. Anak-anak kecil perlu kita sama-sama rayakan. Ini bertujuan untuk memastikan mereka tidak diperlekehkan dan dipinggirkan. Memperlekehkan dan meminggirkan anak-anak kecil akan memandulkan minat mereka untuk terus ke masjid.
Lihat, tengok dan perhatikan. Peraturan-peraturan untuk menyusun atur jemaah masjid kini semakin pecah dan terbarai. Hasil dari peraturan-peraturan diskriminasi ini boleh kita lihat setiap kali sembahyang jumaat. Anak-anak kecil kini mula memperlekehkan peraturan-peraturan yang suatu ketika dahulu memperlekehkan mereka. Mereka tidak lagi seperti generasi dahulu. Datang untuk memohon doa, datang untuk memperhambakan diri kepada Yang Maha Esa. Kini mereka anak-anak kecil tidak lagi ambil pot apa yang dikhutbahkan. Anak-anak kecil ini tidak lagi mahu bersembahyang bersama. Mereka lebih suka berkhutbah sendiri di luar masjid. Mereka lebih selesa melepak diluar rumah tuhan dari melangok mendengar tukang jaga masjid berlabon. Kah kah kah. Semua sudah pecah dan terbarai. Jalan menuju ke syurga bukan milik tukang jaga masjid dan orang-orang-orang tua sahaja. Jalan menuju ke syurga juga adalah milik anak-anak kecil kerana dunia ini milik anak semua bangsa.