Tuesday, September 30, 2008

Raya Menjelang Tiba

Raya menjelang tiba
Hati begitu teruja
Perasan begitu gembira
Ehem-ehem berada di tanah air setelah bertahun terpisah oleh laut dan samudera
Ini raya yang cukup romantik

Hari Raya bukan untuk kita melangok di depan televisyen
Hari raya bukan masa untuk kita merayakan filem dan drama
Hari raya masa untuk kita bergurau senda dengan kaum kerabat
Yang jauh yang dekat yang tua yang muda yang kaya mahupun papa
Perbezaan ini patut kita sama-sama rayakan

Jangan melangok terlalu lama
Jangan melantak terlalu banyak
Bersuka rialah dengan nikmat tuhan
Berlabonlah dengan kaum kerabat setelah lama tidak berjumpa
Berkisah-kisahlah dengan rakan taulan selagi kita ada masa bersama
Selepas ini entah bila akan berjumpa

Berhati hati di jalanraya
Jangan jadikan jalan raya sebagai pemutus ikatan silaturrahim antara kita
Jalanraya dibina bukan untuk kita berlumba
Jalanraya dibuat bukan untuk menjadi kubur kita semua
Anak bangsa kita harus berkembang biak menjadi satu rumpun yang merayakan nikmat perbezaan yang ada
Bukan bergelimpangan di atas jalanraya yang tidak bertuan menjadi kubur yang tidak bernisan
Mati kerana berumba-lumba
Sedarkah kita dengan kelajuan yang kita kejar tidak dapat memendekkan jarak?

Biarkan air mata nenitis kerana lama tidak berjumpa
Biarkan air mata menitis tanda gembira
Jangan biarkan air mata menitis kerana kehilangan anak bangsa kita
Jangan biarkan air mata menitis kerana kelajuan yang tidak dapat memendekkan jarak antara kita dan dia.

Selamat Hari Raya Aidilfitri Dan Maaf Zahir Batin

Monday, September 22, 2008

Budaya Ramadhan Yang Lama Ditinggalkan

Semenjak saya dilahirkan ke dunia hingga ke hari ini, saya dapat merasakan kenikmatan hidup. Setiap hari saya merayakan kehidupan sebagai seorang warga. Saya memilih zaman kanak-kanak sebagai zaman yang paling romantik yang pernah saya lalui. Pada hemat saya zaman kanak-kanak adalah satu zaman yang cukup indah, bersih lagi suci. Cukup indah, cukup bersih dan cukup suci dimana saya hidup dengan mitos-mitos Melayu, adat yang masih asli dan belum begitu terpengaruh dengan dunia modeniti.

Sebagai kanak-kanak saya telah memilih bulan Ramadhan sebagai bulan paling romantik untuk dirayakan.Semasa saya kecil, pulang ke kampong untuk merayakan bulan Ramadhan adalah paling menggiurkan. Selalunya dalam bulan Ramadhan saya akan pulang ke kampong sebanyak dua kali. Kali pertama iaitu hari permulaan puasa dan kali kedua ialah pada akhir Ramadhan dan menjelang hari raya.

Kadang kala dengan kesibukan keluarga, saya memilih untuk pulang ke kampong dengan hanya menaiki bas. Walaupun ketika itu saya hanya berusia 13 tahun. Tetapi keseronokan merayakan ramadhan di kampong menyebabkan saya menyahut cabaran untuk menempoh perjalanan sejauh 118 kilometer tanpa ditemani oleh ahli keluarga. Selalunya apabila sampai di kampong saya akan mencari cermin yang panjang dan berdiri di hadapan cermin lalu merenung diri sendiri. Saya akan tersenyum dan mengucapkan tahniah ke atas diri sendiri kerana berjaya berdikari.

Ketika saya kecil, kampong saya sudah agak moden berbanding tahun 70-an. Sudah memakai lampu elektrik dan bukan pelita mahupun lampu minyak tanah. Sudah mempunyai dapur gas bukan lagi dapur arang. Sudah boleh mengunyah nasi bukan lagi ubi kayu dengan kelapa. Sudah mempunyai gerai Ramli Burger. Cengkerik juga ceria berlagu di hening pagi dan ia sungguh menyeronokkan.

Sahur bukanlah menjadi kewajiban untuk kami anak-anak kecil melahap sampai kenyang. Nafsu kami anak-anak kecil selalunya tertutup oleh tahi mata yang bergelimpangan ditepi birai-birai mata. Kami bangun hanya untuk merayakan detik-detik indah di dalam bulan Ramadhan. Sebelum berakhirnya sahur saya bersama datuk dan nenek akan bersiap untuk ke surau berhampiran rumah untuk berjemaah.

Selalunya kekusyukkan saya betul-betul terganggu olih tahi mata yang bergelimpangan di birai-birai mata. Mengikut mitos yang disampaikan olih teman-teman saya, tahi mata itulah menyebabkan kelopak mata susah untuk diangkat dan sentiasa melekat dan itulah punca utama kami mengantuk di waktu Tok Imam Bin Pak Lebai membaca Al Fatihah. Bagi saya mengantuk juga adalah satu perkara yang kami anak-anak kecil wajib rayakan. Maka kami anak-anak kecil di dalam surau terus menyimpan tahi mata dan tidur-tidur ayam. Ketika itu tiada siapa yang memarahi tingkah laku kami. Tiada siapa yang melarang kami terus dibuai perasaan mengantuk. Mungkin juga orang-orang tua begitu menghormati semangat yang ada pada anak-anak kecil untuk bersama-sama mereka meneruskan ritual agama. Ini juga dianggap sebagai satu rahmat.

Sebagai anak-anak kecil, waktu siang adalah waktu yang sangat menyeksakan. Melihat teman-teman lain makan ais krim sambil mengayuh basikal amat memanaskan hati. Pernah saya beberapa kali cuba untuk mengamuk sambil mengacukan muncung botol air kickkapoo kearah mulut. Nenek saya dengan ‘cool’ dan ‘steady’ berkata bahawa dia tidak akan menolong saya jika saya dicampakkan ke dalam api neraka. Kata-kata itu sungguh menakutkan dan saya terus membatalkan niat untuk berbuka puasa. Kata-kata itu betul-betul potong stim saya ingin berbuka.

Jam adalah satu benda penting untuk berada disisi pada waktu siang. Pada waktu ini kami anak-anak kecil merasakan jam bergerak begitu lambat sekali. Seolah-olah jam itu mengejek supaya kami terus berlapar dalam jangka masa yang panjang. Untuk memberi laluan kepada masa supaya cepat berlalu pergi kami anak-anak kecil menyelesaikan masalah dengan tidur. Apabila tidur, kami dapat rasakan masa seakan laju meninggalkan waktu.

Waktu petang. Inilah waktu yang ditunggu-tunggu. Inilah waktu yang dipuja-puja jutaan anak-anak kecil. Menunggang basikal dengan teman-teman ke Pasar Ramadhan sambil dibekalkan duit oleh nenek. Selalunya nenek adalah sumber biasiswa saya. Saya tidak perlu berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri Papua New Guinea untuk memohon biasiswa. Nenek saya lebih memahami dari pembesar di Papua New Guinea.

Setiap petang nenek saya akan berniaga cendol untuk meraih pendapatan. Saya membantunya di gerai. Saya juga menghantar cendolnya di gerai-gerai lain di kawasan sekitar untuk diniagakan. Hasil dari kerja yang saya lakukan, saya memperoleh sedikit upah dan dengan upah inilah saya ke Pasar Ramadhan bersama teman-teman. Kadang-kadang saya menggunakan kapcai datuk saya untuk meraikan zaman indah kanak-kanak. Walaupun saya tidak mempunyai lesen tetapi saya tidak pernah disaman? Berbeza dengan sekarang dimana saya sudah mempunyai lesen tetapi surat saman sentiasa mengekori dimana jua saya berada. Sebagai anak-anak kecil, dapat menunggang motosikal mengelilingi kampong sudah dianggap sesuatu yang sangat mengujakan.

Adakalanya saya mengikuti datuk ke sungai untuk menjala ikan buat sajian berbuka puasa. Saya hanya mengikut saja dan membawa plastik beras untuk diisi dengan ikan. Menangkap ikan memang bukan minat saya dan sampai sekarang saya tidak pernah pandai menangkap mahupun menjala ikan. Satu lagi kelemahan saya ialah untuk menghafal nama ikan. Pernah suatu ketika saya membawa pensil dan kertas ke tebing sungai. Setiap kali ikan dapat dijala saya akan melukis gambar ikan dan menamakannya. Tapi sehingga kini kertas itu tidak pernah saya baca hilang entah kemana dan sehingga kini saya tidak pernah mengenal ikan selain jerung. Itupun selepas menonton filem yang datang dari barat.

Waktu azan maghrib menjelang tiba. Kami anak-anak kecil sudah berkumpul di depan rezeki. Nenek saya memang pandai memasak. Jika nak dibandingkan dengan Fasha Sandha saya berani berjanji dan menyatakan bahawa masakan nenek saya lebih cun dan sedap dari masakan minah itu. Selalunya nenek akan masak ikan patin sambal tempoyak. Ayam masak pedas dan sayur-sayuran. Air soya menjadi hidangan wajib juga cendol yang tidak habis dijual. Masa ini kami akan membuka cerita seharian berpuasa. Nenek akan bercerita mengenai cendol yang dijualnya. Datuk akan bercerita mengenai kehebatannya menjala ikan di sungai. Saya hanya bercerita yang saya sudah kehabisan tenaga untuk berpuasa keesokan harinya. Bolehkah sekiranya saya tidak berpuasa? Nenek saya menjawab dengan ‘cool’ dan ‘steady’ bahawa dia tidak akan menolong saya jika saya dicampakkan ke neraka.

Selesai makan, kami berjemaah menunaikan sembahyang maghrib dan ke surau untuk berterawikh. Selesai berterawikh ada jamuan di surau. Saya akan cuba menyonglap pisang sebanyak mungkin untuk menjadi hidangan kawan-kawan yang ponteng sembahyang terawih di belakang surau. Kami anak-anak kecil pulang lewat berbanding orang-orang dewasa. Kami merancang aktiviti-aktiviti keesokan harinya dan sedikit taktik mengumpul duit raya. Paling menyeronokkan ialah bermain mercun. Pernah juga sekali saya cuba bermain meriam buluh. Tetapi hanya sekali sahaja kerana bunyinya yang kuat menyebabkan kami dihambat oleh Ustaz Yaakob. Dengan bunyi yang begitu kuat juga menyedarkan saya bahawa meriam buluh bukanlah seorang kawan yang sejati.

Malam semakin pekat. Lampu hampir dipadamkan. Cicak semakin kuat berdengus. Cengkerik semakin berani bernyanyi. Mata saya semakin layu. Saat untuk tidur datang lagi. Sebelum tidur saya berdoa kepada Tuhan Yang Maha Esa supaya menyedarkan saya untuk bangun sahur. Saya berdoa kepada Yang Maha Esa supaya merahmati datuk dan nenek saya. Saya berdoa kepada Yang Maha Esa supaya Lailatul Qadar itu milik saya. Saya berdoa agar Lailatul Qadar itu milik datuk dan nenek saya. Pangjangkan lah usia mereka dan limpahankanlah rahmat buat kami sekeluarga. Amin

Kini, budaya yang datang di dalam bulan Ramadhan sudah lama saya tinggalkan. Budaya ini semakin menjauh. Saya tidak lagi berpeluang bermain mercun. Mercun kotak, mercun lidi, mercun papan dan mercun bawang semuanya telah dirampas Kastam Di Raja Malaysia. Kastam telah merampas hak saya untuk merayakan budaya seperti dulu. Saya sebagai warga semakin hari semakin tidak mampu mengumpul masa-masa yang indah bersama kampong halaman.

Bunyi cengkerik semakin perlahan. Cicak berdengus semakin kelam. Katak hijau sudah tidak melompat lagi. Kemanakah perginya makhluk tuhan ini? Adakah makhluk tuhan ini juga semakin hilang ditelan arus modeniti?

Datuk dan nenek semakin tua. Saya semakin dewasa. Semakin sibuk mengumpul masa. Masa yang tidak ketahuan untuk apa dikumpulkan. Masa yang dikumpulkan hanya untuk menjauhkan hubungan antara saya yang dulu sebagai anak-anak kecil dengan dia.

Ramadhan yang datang bukan hanya untuk kita lapar dan dahaga. Ramadhan yang datang bukan hanya untuk kita beribadat kepada Yang Maha Esa. Ramadhan yang datang juga perlu kita mengeratkan kembali silaturrahim sesama ahli keluarga. Ramadhan yang datang juga menjemput kita untuk kembali kepada fitrah sebagai manusia. Ramadhan yang datang juga menuntut kita mempunyai perasaan kasih dan sayang kepada manusia. Begitulah romantiknya budaya masa lampau.Nostalgia itu tidak akan berakhir kerana ramadhan datang setiap tahun. Nostalgia ini akan terus diceritakan dari generasi ke generasi akan datang dan ingatan tidak akan luput untuk terus membenarkan jari mengetip kesah yang klasik.

Monday, September 15, 2008

Lompat Si Katak Lompat

Lompat si katak lompat, lompatlah tinggi tinggi. Kah kah kah.Woit katak mana yang sedang melompat. Katak mana yang ingin melompat. Tinggi mana katak ini ingin lompat. Sesungguhnya amatlah tidak saya ketahui. Percayalah saya tidak kelentong. Saya tidak menipu dan saya tidak chutia.

Negara ini sudah gempar. Negara ini gempar kerana kisah katak ingin melompat. Apa yang menghairankan saya ialah kenapa kita perlu menjadi hairan apabila katak ingin melompat. Bukankah itu satu fitrah bagi katak. Kita perlu menjadi pelik apabila katak ini tiba-tiba berlari laju seperti Usain Bolt. Kah kah kah. Mahu kenal sama Usain Bolt sila bertanya kepada kawan karib saya Mat Google Bin Mat Yahoo.

Tanggal 16 September ini dicanangkan kita akan membentuk kerajaan baru. Benar atau tidak wallahualam bissawab. Saya tidak tahu kerana sehingga kini saya masih belum menganggotai mana-mana parti politik. Saya juga bukan ahli parlimen. Saya hanya seorang warga yang tinggal di flat lima tingkat, mempunyai sepasang kasut kulit berwarna coklat berjenama Bata dan beberapa ekor kucing parsi yang disedekahkan jiran di belakang rumah ibu saya. Saya tidak mempunyai tali pinggang Versace mahupun baju yang bercap I Love Malaysia.

Bagaimana kerajaan baru ini bakal terbentuk? Kerajaan baru ini bakal terbentuk melalui persetujuan ahli parlimen kerajaan sekarang untuk melompat parti. Melompat parti ini membawa tanda dan makna mereka mengubah haluan. Mengubah haluan dari berada di dalam saf parti kerajaan bertukar masuk ke parti pembangkang. Apabila melebihi jumlah tertentu iaitu pembangkang mempunyai ahli parlimen yang lebih ramai dari kerajaan maka kerajaan akan bertukar tangan. Pembangkang akan menjadi kerajaan dan kerajaan akan menjadi pembangkang.

Budaya menukar parti ini dinamakan lompat parti. Mana-mana ahli parlimen yang lompat parti akan dipanggil katak. kah kah kah. Adakah badan mereka juga akan bergerutu selepas ini? Adakah badan mereka akan berlendir selepas ini? Adakah mereka sudah tidak makan sambal petai selepas ini ? Adakah mereka hanya menjamah serangga selepas ini tidaklah saya ketahui.Saya pasti Uncle Pet juga tidak mengetahuinya.

Apa yang melucukan bukanlah jolokan nama katak. Nama katak ini bukan sesuatu yang lucu. Tetapi gerombolan United Malays National Organisation telah membuat lawak Mat Sentul. Lawak Mat Sentul ini betul-betul menjadi. Saya telah beberapa kali berulang alik ke Kedai Hj Khairi membeli tisu untuk mengesat air mata yang menjejes-jejes keluar.

Apa yang lawaknya? Lawaknya kerana gerombolan United Malays National Organisation ini mengatakan yang lompat parti ini hanya gimik politik. Cerita chutia. Cerita yang tidak ada asas sama sekali dan tidak perlu dilayan tetapi pada masa yang sama mereka cuba mengutip tanda tangan ahli parlimen supaya setia. Mengapa perlu ambil tandatangan? Mengapa tidak ambil tanda lahir sekaligus? Kah kah kah apa punya turr.Mereka juga telah menghantar ahli parlimen mereka ke Taiwan untuk lawatan sambil belajar mengenai pertanian.Woit, mana pergi Menteri Pertanian? Mana pergi Persatuan Petani-Petani Seluruh Malaysia? Untuk apa ahli parlimen ini melangok ke Taiwan? Banyak masalah rakyat yang belum selesai.Sepupu saya yang telah gagal dari universiti ingin meminta biasiswa.Tolong la woit! Kasihan sama dia.

Bukan itu sahaja. Ada lagi lawak Mat Sentul yang dibuat olih United Malays National Organisation. Maka tersembulah keluar muka ahli United Malays National Organisation di kaca televisyen yang mengatakan lompat parti ini tidak beretika. Tidak bertamadun. Tidak demokrasi. Tidak demokratik. Tidak itu dan tidak ini. Woit!! siapa yang luluskan undang-undang lompat parti ini? Parlimen negara mana yang bersidang dan meluluskannya? Woit kalau tidak beretika mengapa diluluskan oleh parlimen? Gerombolan mana yang ramai melangok dalam parlimen dan meluluskannya? Woit, kalau tidak betul mengapa tidak diharamkan? Kalau salah, mengapa tidak ditangkap aparat-aparat yang melompat parti. Woit, kalau tidak betul mengapa tidak diseret mamat dan minah parlimen ini ke mahkamah Agustin Paul? Kah kah kah.

Perkara ini perkara serius. Perkara ini bukan perkara main-main. Perkara ini bukan soal longkang tersumbat di Brickfield. Ini soal pemerintah. Ini soal rakyat. Ini soal kehidupan. Ini soal ekonomi. Ini soal sosial dan ini soal politik. Ini soal masa masa depan negara. Ini soal bagaimana warga ingin memenuhkan perut mereka dengan nasi.

Sebenarnya lompat parti ini bukanlah satu pekerjaan yang keji. Ini saya pasti. Ini saya tidak kelentong. Ini cerita benar. Lompat parti ini telah diluluskan oleh parlimen. Jadi bagaimana kita boleh mengatakan lompat parti adalah kerja yang tidak demokratik jika parlimen sendiri yang meluluskannya. Jika gerombolan United Malays National Organisation mengatakan lompat parti tidak beretika. Merekalah sebenarnya yang meluluskan perkara yang tidak beretika ini.Sebenarnya merekalah yang tidak beretika kerana meluluskannya. Bukankah ini satu lawak Mat Sentul. Jika Mat Sentul mengikut cerita lawak ini sudah pasti dia akan turut sama terbarai.

Mari kita berfikir dengan waras. Jangan gelabah. Jangan muhabalah. Jangan muzakarah tak tentu pasal. Sistem politik di Malaysia ini perlu kita fahami terlebih dahulu. Parti pemerintah yang ada sekarang ini bukanlah didominasi oleh satu parti sahaja tetapi gabungan beberapa parti. Jika hanya satu parti sahaja maka mereka akan gagal untuk membentuk kerajaan. Gabungan beberapa atau banyak parti ini menyebabkan mereka akan memperolehi majoriti. Dengan majoriti inilah mereka akan berkuasa, mempertahankan kuasa dan meluaskan kuasa.

Lompat parti akan hanya berlaku jika gabungan ini sudah tidak ada lagi keyakinan dan kepercayaan sesama mereka. Lompat parti ini hanya berlaku jika mereka sudah tidak lagi berminat untuk menjalinkan kerjasama. Lompat parti hanya berlaku jika gabungan ini sedang mengalami masalah yang kronik. Mereka melihat diantara mereka telah gagal dan tidak berupaya untuk mencari alternatif bagi menyelesaikan sesuatu isu. Itu sahaja.

Lompat parti juga bukan hanya melibatkan gerombolan parti tetapi juga individu.jika individu itu dari parti kerajaan, mereka juga boleh melompat ke dalam parti pembangkang.Begitu jugalah sebaliknya. Ini tidak menyalahi kot etika atau undang-undang negara ini. Jangan jadi bebal sangat. Jangan jadi ngok sangat.

Ini bukan soal tidak beretika. Yang tidak beretika ialah para pemimpin yang rasuah. Para pemimpin yang tidak demokratik. Pemimpin yang zalim. Pemimpin yang telah gagal menentukan hala tuju negara berada di landasan yang betul. Pemimpin yang gagal untuk menjadi peka dan peduli tetapi menjadi Yang Berhormat yang pekak dan tuli.

Pada hemat saya katak hanya pandai melompat kehadapan. Belum pernah saya berjumpa dengan katak yang cuba melompat secara gostan. Jika katak–katak ini melompat kehadapan ianya mempunyai petanda yang baik. Jangan marahkan katak melompat kehadapan tetapi kita perlu menjadi pelik jika katak tidak melompat apabila dihambat seekor ular yang ingin memakannya.Kah kah kah. Saya ingin merayu dan jika diizinkan saya ingin melutut di depan Maharaja Taiwan meminta supaya janganlah memperbodohkan warga senegara saya.Dengan pesanan JANGAN JADI NGOK.Kah kah kah.

Monday, September 8, 2008

Kita Dan Merdeka


Setiap kali saya membaca akhbar arus perdana Hishamuddin Aun dan Johan Jaafar pada bulan Ogos akan ada para pemimpin kita yang akan berlabon mengenai kemerdekaan negara ini.Jika anda masih belum mengenali siapakah Hishamuddin Aun dan Johan Jaafar sila berkenalan melalui kawan karib saya Mat Google Bin Mat Yahoo.Dia akan membantu anda.

Para pemimpin dari United Malays National Organisation akan berlabon mengenai tarikh kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.Inilah tarikh keramat negara kita merdeka.Disini dapat kita lihat bagaimana United Malays National Organisation berjuang mendapatkan kemerdekaan.Setiap helai muka surat akan menulis mengenai negara kita dan merdeka juga susuk wujudiah United Malays National Organisation ini.

Tetapi harus kita ingat bukan semua rakyat Malaysia bersetuju dengan tarikh kemerdekaan kita ini.Saudara mara kita dari Sabah dan Sarawak tidak mengiktiraf tarikh itu sebagai tarikh kemerdekaan negara kita.Kenyataan-kenyataan ini telah menyebabkan pemimpin United Malays National Organisation naik angin.Kenyataan-kenyataan ini menyebabkan pemimpin United Malays National Organisation naik minyak.

Kah Kah Kah.Saya terbarai lagi.Saya terbarai ketawa kerana perangai marah tak tentu hala ini sangat melucukan.Muka mereka akan terpampang di depan akhbar dan televisyen mengatakan hanya ada satu tarikh kemerdekaan negara iaitu 31 Ogos 1957 kerana atas alasan perpaduan nasional.Kah kah kah.

Seharusnya kita tidak perlu marah-marah sangat.Ingat, apabila sudah tua dan marah-marah nanti boleh dihinggapi sakit jantung.Apa yang perlu naik angin.Apa yang perlu naik minyak.Harga minyak sudah dinaikkan.Takkan harga angin juga ingin dinaikkan.Ini sudah lebih.Apa punya turrr!!

Pada hemat saya, ini satu cerita sejarah.Cerita sejarah telah dikaji oleh sejarawan.Fakta sejarah tidak boleh dipadamkan.Fakta sejarah tidak boleh diubah.Nabi Muhammad SAW berhijrah daripada Mekah ke Madinah untuk menyebarkan syiar Islam adalah sejarah.Fakta ini tidak boleh diubah waima oleh Professor Nordin Kardi dari Sintok Kedah.Nabi Muhammad SAW menandatangani Perjanjian Aqabah dan Perjanjian Hudaibiyah bersama kaum Ansar adalah sejarah.Sejarah ini tidak dapat diubah oleh sesiapa termasuk Saiful Bukhari Azlan walaupun dia bersumpah di Masjid Kampung Kerinchi di Lembah Pantai.

Begitu juga dengan Malaysia.Malaysia sebuah negara berdaulat yang mempunyai sejarahnya.Sejarah yang diketahui umum yang tidak dapat kita sorokkan walaupun dimasukkan ke dalam guni beras dan dicampakkan ke dalam gaung di Kuala Kubu Baru.Sejarah yang tercatat ini akan sentiasa diingati oleh sesiapa yang mahu mengingatinya.Tidak perlu kita menyembunyikan fakta.Khalas.

Apa masalahnya? Apa yang kita nak marah-marah.Apa yang kita mau naik angin.Jangan jadi ngok sangat.Ini perjuangan datuk, nenek moyang kita.Bukan perjuangan datuk, nenek moyang beberapa kerat orang sahaja.

Biar saya berlabon mengenai sejarah ini.Mungkin ramai anak muda yang masih bernanah otak apabila membaca akhbar Hishamuddin Aun.Buat pengetahuan warga Hishamuddin Aun tidak ada bau-bau bacang dengan Hishamuddin Rais.

Semenanjung Tanah Melayu ini telah bebas dari jajahan British pada 31 Ogos 1957.Ini bermakna Semenanjung Tanah Melayu telah merdeka.Merdeka dari jajahan British.Tetapi perlu diingatkan bahawa yang merdeka, yang bebas dan yang berdaulat ialah Semenanjung Tanah Melayu sahaja.Tetapi Brunei, Singapura, Sabah dan Sarawak masih dalam jajahan British.Ini membawa tanda dan makna Brunei, Singapura, Sabah Sarawak masih belum merdeka.Apabila Semenanjung Tanah Melayu merdeka ia dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu.

Walaupun persekutuan tanah melayu sudah merdeka tetapi rantau ini masih menerima ancaman dari komunis.Komunis sangat ditakuti kerana mereka bukan berfahaman kapitalis.Mereka berfahaman sosialis yang tidak sealiran dengan British.Jadi untuk mengekang kemaraan ancaman komunis ini, dicadangkan supaya Brunei, Singapura, Sabah dan Sarawak dimasukkan ke dalam Persekutuan Tanah Melayu.Singapura, Sabah dan Sarawak bersetuju untuk masuk di dalam gabungan ini.Sultan Brunei pada masa itu bersetuju tetapi Parti Rakyat pimpinan AM Azahari telah melakukan pemberontak untuk menentang kemasukan Brunei ke dalam Persekutuan Tanah Melayu.Akhirnya Brunei menarik diri.

Pada 16 September 1963 secara rasmi terbentuklah Persekutuan Malaysia dengan Persekutuan Tanah Melayu disertai oleh Singapura, Sabah dan Sarawak.

Jadi tarikh kemerdekaan Semanjung Tanah Melayu ialah 31 Ogos 1957.Manakala tarikh penubuhan Malaysia dan kemerdekaan Sabah dan Sarawak dari cengkaman British ialah 16 September 1963.

Kita juga perlu mengetahui dimana negara jiran tetangga kita seperti Filipina dan Indonesia tidak bersetuju dengan penubuhan Malaysia.Mereka telah menganggap Malaysia proksi kepada British dan penjajah baru atau neokolonialisme.Mereka menuduh Malaysia sebagai ingin menjajah negara lain iaitu Singapura, Sabah dan Sarawak.Indonesia kemudiannya telah melancarkan konfrontasi terhadap Malaysia melalui slogan Ganyang Malaysia dengan menghantar tentera ke semenanjung untuk berperang.Nasionalis Agong Bung Karno telah memutarkan lagu Mamula Moon di concorong untuk memperlekehkan pemimpin Malaysia.Apa itu lagu Mamula Moon? Sila bertanya kepada Mat Google bin Mat Yahoo.Dia yang lebih mengetahui.

Cerita ini cerita sejarah.Cerita ini bukan khayalan.Cerita ini bukan cerita dongeng.Cerita ini bukan arahan daripada Badul.Cerita ini bukan chutia punya cerita.Cerita ini betul-betul punya cerita.Jadi mengapa kita perlu melarang warga Malaysia dari semenanjung meraikan kemerdekaan pada 31 Ogos setiap tahun? Mengapa kita mahu melarang warga kita dari borneo untuk meraikan kemerdekaan negeri masig-masing pada 16 September setiap tahun? Kita layak merayakan kemerdekaan negara kita kerana kita telah bebas dari penjajahan asing.Apa hak beberapa aparat ini ingin melarang itu dan ini? Apa hak aparatchik ini untuk marah dan naik angin? Saya telah gagal menemukan jawaban yang cocok mengapa mereka naik angin dan naik minyak.

Kita juga perlu menyedari melalui kemerdekaan ini orang-orang Melayu banyak berkorban.Kaum-kaum lain perlu menerima ini sebagai fakta.Disebabkan itu apabila orang Melayu menerima kaum-kaum lain sebagai rakyat Malaysia, orang Melayu mendapat beberapa keistimewaan sebagai balasan seperti kuota bumiputera, MARA dan lain-lain lagi yag termaktub di dalam perlembagaan termasuk kontrak sosial.Orang Melayu juga perlu mengetahui yang kaum-kaum lain seperti Cina dan India ini sudah menjadi sebahagian dari keluarga besar kita.Mereka juga mempunyai hak untuk menetap, berkeluarga, makan minum, mendapat pelajaran dan bekerja di negara ini.Apa masalahnya? Apa yang nak naik angin? Apa yang nak naik minyak? Jangan lah jadi ngok sangat.

Apa yang sensitif? Apa yang perlu disorokkan? Apa yang perlu dimasukkan dalam guni? Ini semua fakta.Ini semua sejarah.Ini semua dari datuk dan nenek moyang kita.Ini semua dari keturunan Nabi Adam.Ini bukan dari beruk rekaan Charles Darwin.

Semasa saya kecil saya selalu menonton televisyen semasa menyambut kemerdekaan.Apa yang diuar-uarkan ialah negara kita merdeka dengan aman tanpa ada pertumpahan darah.Kah kah kah.Woit!! Hang nak tipu saya encik televisyen oi! Negara kita merdeka tanpa pertumpahan darah? Kah kah kah ini betul-betul fakta gila.Ini betul-betul fakta biol.Ini betul-betul fakta ngok.Siapa punya fakta ini? Dari mana fakta ini muncul? Jika Maharaja Meiji dan Jeneral Tojo masih hidup pasti mereka juga akan turut terbarai bersama saya.Kah kah kah.

Tok janggut yang mati digantung kepala kebawah itu apa? Leftenan Adnan yang ditikam kehabisan peluru di Bukit Chandu itu siapa? Rosli Dhobi mati dihukum gantung itu siapa? Dato’ Maharaja Lela dari Pasir Salak itu yang mati akibat membunuh si malaun JWW Birch itu siapa? Adakah kita boleh nafikan mereka juga sebagai pejuang bangsa? Kematian mereka ini juga adalah fakta sejarah yang wajib kita terima walaupun mereka tidak menganggotai mana-mana parti politik.Apa punya turr.

Maka kita janganlah menjadi ngok seperti mereka yang cuba menafikan fakta-fakta sejarah.Fakta-fakta ini seharusnya kita sampaikan kepada warga agar ianya dapat menjadi satu ilmu pengetahuan.Negara kita tanggungjawab kita.Cemerlang gemilang terbilang.Fakta sejarah jangan mau temberang.Apa punya turrrrrrrrrr!!!!

Tuesday, September 2, 2008

Takoyaki Dari Kobe


Ketika jari-jemari saya sedang mengetip untuk menulis, telinga saya sedang mendengar lagu sekuntum bunga plastik.Saya tidak dapat memastikan tahun bila lagu ini mula dicipta.Jika anda ingin mengetahuinya sila bertanya kepada kawan karib saya Mat Google Bin Mat Yahoo.

Saya bukan ingin berlabon mengenai lagu ini.Jauh sekali mencari sejarah lagu ini.Lagu ini terpasang secara kebetulan.Saya tidak membeli cakera padat lagu ini tetapi hanya mengambilnya dari komputer riba mamat yang tinggal di sebelah flat dimana saya menetap dan menulis.

Sebenarnya saya baru sahaja sampai ke kampong.Sudah lama saya tidak pulang ke desa yang indah lagi permai ini.Saya pulang bukan untuk meraih undi.Saya pulang kerana ada kenduri doa selamat yang wajib saya rayakan.Saya jarang pulang ke kampong bukan kerana saya sudah menjadi mamat bandar yang ‘cool’ lagi
‘steady’.Saya tidak selalu pulang ke kampong kerana saya tidak mempunyai dana yang mencukupi.Perjalanan hidup saya dipengaruhi oleh dana yang saya punyai.

Apabila saya pulang ke kampong perkara pertama yang akan saya lakukan ialah meminjam motor datuk untuk meronda-ronda dan melihat keadaan kampong.Ternyata ianya telah banyak perubahan yang berlaku.Mungkin inilah yang dinamakan zaman globalisasi atau inilah hasil dari Dasar Ekonomi Baru.

Kampung saya kini sudah mengalami transformasi.Walaupun tidak setaraf dengan Kampung Kerinchi atau Kampung Pandan tetapi disini sudah mempunyai Mat-Mat Rempit.Minah-Minah Rempit sudah pandai menjalar diatas motor.Mat dan Minah ini sudah pandai memonggek diatas motor EX5.Mereka juga tidak kalah dengan gaya.Memakai talipon tangan yang berjenama Sweden dan Korea.Talipon mereka berkamera dan boleh menyimpan lagu Mas Mona.Berbanding dengan saya yang hanya menggunakan talipon tangan cap ayam.Wow ini sudah maju.Ini sudah glokal.Ini sudah berwawasan.Kedai topup-mopup sudah bertebaran disana-sini.Pergi tersepak pulang terlanggar.

Setelah melalui kawasan kedai.Saya melintasi padang bolasepak.Ada ramai anak muda sedang berpesta.Ini bukan pesta muda-mudi.Ini bukan pesta merayakan kemerdekaan.Ramai Mamat berkopiah sedang bermesyuarat.Mamat kopiah ini sedang melakukan beberapa tugas.Rupa-rupanya mereka sedang membuat persiapan untuk mengadakan forum perdana.Hah! pasti ramai mat rempit dan minah rempit yang menjalar di atas motor akan melarikan diri dari melintasi kawasan ini.

Kemudian saya melintasi satu kawasan dimana anak muda merayakan kemudaan mereka.Anak-anak muda ini merayakan kemudaan di padang permainan.Mereka bersukan untuk memenuhi masa lapang.Apa yang menyedihkan saya ialah apabila melihat timbunan sampah-sarap yang bersepah-sepah di persekitaran padang permainan.Anak-anak muda ini kusyuk bermain dan langsung tidak mengindahkan sampah sarap yang bersepah-sepah ini.Rasa saya sampah yang bertebaran ini hasil dari kerja tangan anak-anak muda yang bermain disitu.

Mereka akhirnya meninggalkan padang permainan begitu sahaja tanpa rasa tanggungjawab untuk membersihkan kawasan itu.Begitu juga dengan kawasan permainan kanak-kanak.Kanak-kanak ini juga seperti orang dewasa.Makan dan buang sampah sarap merata-rata sehinggakan saya melihat lebih banyak sampah dari infrastruktur permainan yang disediakan oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Pada hemat saya, walaupun kita sudah celik IT tetapi warga kita masih belum celik sampah.Warga kita masih belum dapat ditanam dalam diri mereka rasa kebertanggungjawaban menjaga alam sekitar.Sambil mereka merayakan kemudaan sambil mereka menyumbang kepada kekotoran alam sekitar.Sambil mereka merayakan kehidupan sambil mereka membuang sampah merata-rata.

Masalah ini bukan hanya berlaku di sekitar taman permainan tetapi di seluruh negara.Masalah ini bukan hanya berlaku di kampong saya sahaja tetapi juga di kampong Mahathir Muhamad.Ini cerita betul.Ini bukan lawak badul di TV3 suku.

Satu ketika sedang saya menumpang seorang kawan untuk ke kota, ketika itu kami sedang berlabon panjang mengenai tanah dan bukit yang dijarah oleh lanun.Saya telah terkejut.Saya terkejut bukan kerana polong berambut panjang di Bukit Seguntang telah muncul dan menghalang perjalanan kami tetapi kereta yang kami naiki melanggar segerombolan sampah.Sampah ini bukan datang dari Pejabat MCA di Jalan Wong Ah Jang tetapi datang dari kereta yang berada di hadapan kereta kami.Bayangkan begitu bonsai sekali rasa kebertanggungjawaban warga kita.Sambil mereka merayakan kehidupan di jalanraya, sambil itu juga mereka melakukan kedurjanaan terhadap alam sekitar.

Baru-baru ini saya telah sampai ke Permatang Pauh.Saya datang ke Permatang Pauh untuk merayakan pesta rakyat.Pesta rakyat ini ialah ibu kepada semua pesta.Saya sampai lewat sehari dari hari penamaan calon.Tempat pertama yang saya kunjungi ialah tempat penamaan calon.Apa yang memeranjatkan saya ialah padang tempat warga berkumpul untuk penamaan calon dipenuhi sampah.Hampir-hampir saya gagal untuk melihat kehijauan rumput-rampai padang disitu.Begitu banyak timbunan sampah.Sampah-sampah ini bukan sahaja menjalar di padang tetapi di dalam longkang dan tepi jalanraya.Rasa saya jika hujan lebat melanda Permatang Pauh sudah pasti bandar ini akan ditenggelami air kerana longkang telah tersumbat dengan sampah sarap.

Ketika saya mula sampai di negara Jepun.Saya juga telah terkejut.Takoyaki yang saya telan hampir-hampir meragut nyawa saya.Takoyaki yang saya telan telah tersekat di dalam esofogus.Saya terkejut dan takoyaki ini tersekat kerana saya telah terlihat satu peristiwa.Ketika itu kenalan saya di sana seorang minah yang cun lagi bergetah mengajak saya ke Tokyo dari Kobe.Perjalanan Kobe ke Tokyo ini mengambil masa hanya dua setengah jam sahaja jika menaiki Shinkansen (jika anda tidak tahu apa itu Shinkansen sila bertanya kepada Mat Google Bin Mat Yahoo).

Tetapi disebabkan saya tidak cukup dana kami hanya menaiki bas ekspres sahaja yang mengambil masa lapan jam.Sebelum kami menaiki densha ke stesen bas dia mengajak saya bersantai di tepi gerai untuk menikmati makanan Jepun iaitu takoyaki (jika anda tidak tahu apa itu densha sila bertanya kepada Mat Google Bin Mat Yahoo).Sedang saya menikmati wajah gadis yang cun lagi bergetah itu sambil saya merenung ke kawasan persekitaran.Anak mata saya mengekori seorang tua yang berkot membawa seekor anjing bersiar-siar.

Satu ketika anjing itu berhenti.Pada hemat saya mungkin anjing ini telah penat berjalan dan ingin berhenti rehat.Rupa-rupanya anjing ini berhenti kerana ingin membuang air besar.Takoyaki tersekat bukan kerana saya melihat najis anjing tersebut berjejes-jejes keluar.Apa yang menyebabkan takoyaki tersekat di esofogus saya ialah apabila tuan anjing yang tua itu telah mengeluarkan beg plastik beg dari dalam kotnya dan air mineral.Kemudian dia telah memasukkan najis anjing peliharaan ke dalam beg plastik dan menyimpannya di dalam kot kerana disitu tidak kelihatan tong untuk membuang sampah.Dia kemudiannya menjirus kesan najis itu dengan sebotol air mineral.

Hah! Ingin saja saya keluar dari gerai berlari kearah orang tua itu dan memberi tabik hormat.Tetapi saya telah dilarang oleh gadis yang cun lagi bergetah yang sedang makan bersama saya.Untuk menghormati gadis yang cun lagi bergetah ini maka saya membatalkan sahaja niat suci itu.

Saya telah menjadi hairan dengan tahap kesedaran menjaga alam sekitar penduduk Jepun ini.Saya menjadi pelik bagaimana Maharaja Meiji membentuk sahsiah penduduknya.Setahu saya orang Jepun ini tidak mempunyai agama dan tidak mengenal huruf alif min nun dan wau.Tetapi tahap kesedaran mereka begitu baik sekali.Begitu juga di tempat pembuangan sampah.Mereka akan meletakkan sampah hanya pada hari yang ditetapkan dan mengasingkan plastik,kaca dan sampah basah.Hah bernanah otak saya meleh sampai ke lutut untuk memikirkan bagaimana mereka dapat ditanam dengan nilai murni sedemikian rupa.

Ingatan saya melayang secara tiba-tiba.Kira-kira dua tahun lepas di dalam perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan.Saya terlihat seorang mamat telah memberhentikan kereta di tepi lebuhraya.Dia kelihatan sungguh cemas.Dari riak mukanya saya dapat merasakan dia dalam kesusahan.Saya semacam dapat merasai penderitaannya.Dia bergegas keluar dari kereta dan menuju ke pinggir hutan.Apabila sampai ke pinggir hutan dia telah berdiri tegak.Saya menyangka dia sedang menyanyikan lagu Negaraku.Rupa-rupanya dia telah membuang air.Betul-betul hampeh mamat ini.Cuba kita menerobos sedikit.Najis sendiri pun tidak berupaya buang di tempat yang betul inikan pula najis binatang peliharaan.Apatah lagi bila berbicara mengenai penjagaan alam sekitar.

Untuk mengatasi masalah ini, saya ingin mencadangkan kepada Pak Menteri Pengajian Tinggi supaya mata pelajaran celik sampah diperkenalkan kepada anak mahasiswa supaya mereka sedari awal lagi dapat disedarkan mengenai keburukan gejala tidak celik sampah ini.Begitu juga dengan Pak Menteri Pengajian Rendah.Saya mencadangkan juga supaya di peringkat sekolah diperkenalkan mata pelajaran Ilmu Sampah supaya anak-anak sekolah ini mengenal apa itu sampah.Semoga bila mereka besar nanti tidak membuang najis dan sampah di tepi lebuhraya.Jika saranan saya ini berjaya saya berjanji tanpa bersumpah muhabalah untuk belanja Pak-Pak Menteri ini makan takoyaki di gerai Jepun di One Utama Damansara.