Thursday, November 20, 2008

Bagitu Lama Dahulu

Bagitu lama dahulu. Ketika itu saya masih kecil. Ketika itu nenek masih kelihatan gagah. Dunia masih belum bagitu canggih. Walaupun pelita sudah dijadikan hiasan lampu kalimantang sudah mengambil tempat. Tetapi saya kira itu zaman kegembiraan saya. Zaman penuh dengan kemurnian nilai. Zaman dimana ‘kita’ masih mengetahui garis pemisah diantara yang betul dan salah. Tetapi zaman itu - zaman yang sudah berlalu. Zaman itu – zaman yang sudah dimakan masa. Zaman itu – bagitu lama dahulu.

Bila cuti sekolah sampai saya cukup gembira. Bukan sebagai kanak-kanak yang meninggalkan sekolah. Tetapi kerana dapat pulang ke kampung. Tetapi kerana dapat berdampingan dengan nenek. Tetapi kerana dapat menikmati sosiobudaya asli. Tetapi itu semua - bagitu lama dahulu

Bagitu lama dahulu. Semuanya kelihatan indah. Menikmati suasana kampung. Menikmati keaslian budaya. Menikmati ikan sungai. Menikmati petai. Menikmati jering. Menikmati gulai tempoyak. Menikmati gades kampung berkain batek. Menikmati pemuda kampung menggalang sabit. Menikmati kelapa sawit menjadi metafora kepada kehidupan. Tetapi itu - bagitu lama dahulu.

Saya membesar di kampong yang penuh adab dan tatasusila melayu. Berjalan kaki dan berbasikal menjadi agen penggerak utama. Berhala bergerak masih belum dapat mengambil tempat. Berhala bergerak masih di pinggiran. Berhala bergerak yang kini melintas ganas masih belum berjaya memiliki hati dan nurani kami - masyarakat melayu kampong. Tetapi itu – bagitu lama dahulu.

Rumah nenek berhampiran surau. Setiap pagi beduk akan berbunyi. Beduk akan diketuk menandakan subuh telah sampai. Hari baru telah bermula. Harapan baru untuk pencari rezeki. Pagi-pagi lagi mengikut nenek berjalan ke surau. Sejuk – menggigil. Nenek membelikan saya sehelai jaket. Jaket ‘bundle’ di pasar malam untuk melindungi cucu kesayangan dari digigit embun pagi. Pagi yang cukup romantis. Kami berpegang tangan tanda ikatan mesra. Berjalan merentasi kabus subuh. Kadangkala sambil berjalan saya melentukkan kepala di pinggang nenek. Cukup romantis. Tetapi itu – bagitu lama dahulu.

Di surau yang kecil. Hanya ada manusia bertaraf datuk dan nenek juga anak-anak kecil. Kami bagaikan saudara. Pertalian kami sungguh rapat dan erat. Tiada beza jiran tetangga dengan kami. Tiada beza antara ‘kita’ dan ‘bukan kita’. Kami berjemaah memohon ampun kepada Yang Esa. Memohon rahmat kepada Yang Esa. Memohon seribu satu permintaan kepada Yang Esa. Bagi saya yang masih kecil, saya tidak meminta intan dan berlian. Saya hanya meminta masa zaman kegembiraan saya bersama nenek ini akan berterusan untuk seribu tahun. Selepas sembahyang. Jemaah mula membuka pot di beranda surau. Mengasap keretek sambil menghirup kopi pagi. Tetapi itu – bagitu lama dahulu.

Rumah kami memiliki concorong. Concorong ini satu bahasa yang digunakan - bagitu lama dahulu. Concorong kami menggunakan wayar elektrik yang menjulur panjang bagi mendapatkan siaran. Concorong ini selalu kehabisan bateri. Tetapi dunia masih indah. Masih indah walaupun concorong tidak kedengaran. Tetapi itu – bagitu lama dahulu

Kampong kami mempunyai struktur binaan yang hampir sama. Jamban terperosok jauh dibelakang rumah. Bagi kanak-kanak saperti saya – untuk membuang air besar menjadi igauan ngeri. Nenek menjadi penyelamat. Membawa lampu suluh memimpin tangan untuk ke pelosok belakang rumah. Cukup romantis. Ini zaman cukup menggembirakan saya. Tetapi itu - bagitu lama dahulu.

Bagitu lama dahulu cukup meninggalkan kesan. Bagitu lama dahulu sudah jauh saya tinggalkan. Bagitu lama dahulu sudah menjauhi saya. Bagitu lama dahulu mungkin beranggapan saya sudah terlalu sombong untuk didekati.

Kenangan bagitu lama dahulu masih kekal dalam ingatan. Kenangan bagitu lama dahulu ini terus kekal dijadikan kenangan tanda kaseh dan sayang. Kenangan bagitu lama dahulu ini tanda setia saya kepada adat dan budaya. Kenangan bagitu lama dahulu ini memberi seribu makna dalam kehidupan. Tetapi ianya tetap bagitu lama dahulu.

Monday, November 17, 2008

Terbarainya Ketuanan Bahasa Melayu

Ketika saya duduk mengadap komputer riba ini saya telah membaca satu laporan berita mengenai gerombolan United Malays National Organization - UMNO. Sebenarnya laporan mengenai gerombolan ini memang bersepah-sepah di dalam dunia maya dan juga dunia bukan maya. Sebenarnya berita mengenai gerombolan United Malay National Organization ini sentiasa menjalar di dada-dada akhbar kerana akhbar-akhbar ini adalah hak milik mereka.

Tetapi rasa saya berita yang saya baca ini betul-betul membuatkan saya terbelahak ketika menelan kentang goreng.Apa yang saya telah baca ini betul-betul membuatkan saya terbarai ketawa. Pada hemat saya berita yang telah saya baca ini betul-betul pelik. Saya menjadi takjub. Ketakjuban saya ini adalah lebih takjub dari saya melihat ketuanan melayu sampai ke stesen angkasa lepas. Ketakjuban saya ini adalah lebih takjub dari melihat Shaberi Cheek sampai ke Angkasa Puri.

Berita ini menulis tentang ahli gerombolan United Malay National Organization telah membantah tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat. Bantahan ini dibuat kerana papan tanda yang berselirat di Pulau Pinang telah semakin terbarai dengan penambahan tulisan dari bahasa-bahasa lain selain Bahasa Melayu.

Di Pulau Pinang bukan sahaja Bahasa Melayu digunakan pada papan tanda tetapi juga Cina, Tamil dan Inggeris. Bahasa dan tulisan selain dari Bahasa Melayu ini telah meresahkan gerombolan United Malays National Organization. Gerombolan United Malays National Organization telah merasakan penggunaan bahasa dan tulisan-tulisan lain selain dari Bahasa Melayu ini sebagai satu ancaman. Ancaman ini dilihat wajib untuk dilawan. Ahli-ahli gerombolan ini telah menggunakan media untuk mengolah persetujuan orang ramai untuk melawan ancaman-ancaman yang mengancam Ketuanan Melayu ini.

Sebagai sebuah parti yang dipunyai oleh Orang Melayu, berjuang untuk Bangsa Melayu dan presidennya dari keturunan Melayu, gerombolan United Malays National Organization telah melihat dengan satu pandangan yang sangat bertanggungjawab dalam hal ini. Menegakkan ketuanan Bahasa Melayu di dalam sebuah negara yang majoriti Melayu dirasakan amat wajar bagi gerombolan United Malays National Organization ini. Gerombolan United Malays National Organization ini ingin melihat di seluruh Tanah Melayu ini hanya tulisan dan Bahasa Melayu sahaja yang terunggul. Bahasa Melayu sahaja yang boleh menjadi tuan. Bahasa Melayu saja yang dilihat lebih mulia dari bahasa dan tulisan lain.

Warga perlu ditakut-takutkan bahawa bangsa lain ingin menguasai Tanah Melayu ini. Bahasa Melayu ingin dirobek-robekkan. Bahasa Melayu menjadi sasaran untuk dimusnahkan. Warga yang takut dengan keadaan ini akan mencari pelindung untuk terus bergayut dan berpegang. Warga yang takut akan mencari perlindungan dari gerombolan yang kelihatan mahu mempertahankan mereka. Jawabannya ialah gerobolan United Malays National Organization.

Sebenarnya saya amat jarang bersetuju dengan gerombolan United Malays National Organization. Ini tidak memberi tanda dan makna saya bukan seorang yang tidak patriotik. Tetapi saya tidak akan setuju dengan pandangan-pandangan yang bebal untuk cari makan. Saya tidak akan bersetuju dengan pandangan-pandangan yang bebal untuk mendapatkan kontrak untuk membina longkang di Janda Baik.

Melihat dari berita ini saya telah terbarai. Ahli gerombolan United Malays National Organization kelihatan begitu taksub sekali dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu. Mereka kelihatan begitu gian sekali dalam menobatkan Bahasa Melayu di bumi bertuah ini. Kahkahkah. Saya ingin bertanya kepada ahli gerombolan ini. Perkataan United Malays National Organization - UMNO ini datangnya dari bahasa apa? Kahkahkah. Jangan jadi ngok. Jangan jadi bebal. Jawab soalan ini dahulu. Pada hemat saya soalan yang saya halakan ini wajib dijawab sebelum ahli gerombolan United Malays Nation Organizations menghunus keris setiap kali bermesyuarat. Kahkahkah. United Malays National Organizations ini dalam Bahasa Melayu membawa makna Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau PEKEMBAR. Mengapakah perkataan PEKEMBAR tidak digunakan.

Barisan National Backbencher Club pula adalah satu gerombolan sokongan bagi United Malays National Organization. Saya ingin bertanya kepada gerombolan United Malays National Organization ini. Bahasa apa ini Wak? Kahkahkah. Jangan jadi bengong. Ini Bahasa Inggeris. Kenapa tidak gunakan Bahasa Melayu?. Kahkahkah. Buatlah demontrasi di depan PUSRAWI. Bahasa Inggeris ini wajib dilawan. Ini penghinaan kepada Bahasa Melayu. Kahkahkah

Ketika saya muda remaja, saya telah berkenalan dengan seorang mahasiswi dari Universiti Malaya. Memandangkan saya tidak tinggal di Kampong Kerinchi dan dia tinggal di kampus Lembah Pantai maka kami telah merancang untuk berjumpa di tengah-tengah ibukota. Kami telah mengambil keputusan untuk beronggi-ponggi di Kuala Lumpur City Centre bersebelahan dengan Kuala Lumpur Convention Center. Kami berdua berpeleseran di taman air pancut. Saya ingin bertanya Kuala Lumpur City Centre dan Kuala Lumpur Convention Centre ini bahasa apa? Kahkahkah. Adakah penjajah British masih tinggal di dalam bangunan ini? Adakah bangunan ini hak milik abadi Frank Swettenham? Kahkahkah. Persoalan-persoalan saya ini betul-betul membuntukan. Tolong lah wak jawab.

Suatu ketika saya diberi tugasan membawa rombongan ahli keluarga saya ke kota. Memandangkan Putrajaya adalah sebuah bandar yang terunggul di dalam tamadun dunia maka saya mencadangkan agar mereka dibawa kesana. Ahli rombongan keluarga saya cukup gembira dan berhajat untuk bersembahyang di Masjid Putrajaya. Malangnya apabila saya sampai disana saya telah tersesat. Saya tidak tahu kemana harus saya tuju. Semua tempat menggunakan perkataan precint? Apakah binatang precint ini? Adakah ianya merupakan seekor langsuir yang sering kelihatan bergentayangan di Bangsar? Kahkahkah. Encik ahli gerombolan United Malays National Organization boleh saya bertanya. Apa jadahnya precint ini? Kahkahkah.

Beberapa tahun yang lalu saya telah berkenalan dengan seorang gades cun dan bergetah yang belajar di Jepun. Saya mengakui saya telah jatuh cinta padanya. Lalu dia mempelawa saya datang kesana. Dia mempelawa saya untuk berpeleseran di Rokkomichi. Lalu saya bersetuju untuk ke sana. Untuk sampai ke Jepun saya perlu menaiki kapal terbang. Apabila saya tiba di Kuala Lumpur International Airport ini saya telah melihat berbagai-bagai bahasa yang digunakan pada papan tanda. Ada tulisan seperti cacing. Ada tulisan seperti gigi buaya. Ada tulisan seperti bertih sawi. Yang sahih saya langsung tidak memahami isi butir tulisan ini. Mengapakah ahli gerombolan United Malay National Organizations tidak membawa sepanduk dan melakukan bantahan di Kuala Lumpur International Airport? Pelik, hairan, takjub dan ajaib. Kahkahkah. Soalan saya seterusnya Kuala Lumpur International Airport ini dari bahasa bangsa mana wak? Jawa? Bugis? Cina? Senoi? Kahkahkah. woit! Jangan jadi bebal. Jangan jadi ngok. Ini Bahasa Inggeris.

Bantahan yang dikemukan olih ahli gerombolan United Malays National Organization adalah bantahan yang poyo sahaja. Apa itu poyo? Tak tahu? Boleh kemas pakaian dan menetap di Congo. Kahkahkah. Jika ingin menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang unggul mengapa hanya perlu membantah papan tanda di Pulau Pinang? Mengapa tidak membantah di seluruh negara? Adakah kerana Pulau Pinang dikuasai oleh Pakatan Rakyat? Adakah kerana Pulau Pinang telah membaraikan United Malays National Organization di Permatang Pauh? Kahkahkah

Pada hemat saya bantahan yang dikemukakan oleh ahli gerombolan United Malays National Organization hanya untuk mengolah persetujuan Orang Melayu untuk terus berpayung di bawah United Malays National Organization. Melihat tulisan dan bahasa lain sebagai ancaman sambil slogan untuk terus membela Melayu digunakan untuk membolehkan mereka kembali mendapat sokongan. Selepas pilihanraya pada bulan Mac sokongan Orang Melayu dan rakyat Malaysia kepada United Malays National Organization ini semakin merosot. Bantahan ini tidak bersifat menyeluruh. Bantahan ini tidak bersifat ilmiah. Bantahan ini bantahan yang bersifat retorik sahaja.

Sebenarnya jauh disudut hati nurani saya menyokong usaha untuk terus memartabatkan Bahasa Melayu dimana-mana ceruk dalam negara ini termasuk di Cheruk Tok Kun. Bukan kerana saya seorang Melayu. Bukan kerana saya bersifat rasis. Sebenarnya ini sudah termaktub di dalam perlembagaan. Tak percaya? Sila bertanya dengan Mat Ghani Patail. Dia lebih mengetahui.

Saya menyokong usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu kerana bahasa ini dipelajari oleh anak semua bangsa di negara ini. Sebenarnya ada satu rahsia yang saya sembunyikan. Saya sebenarnya bebal dalam Bahasa Inggeris. Semasa saya bersekolah dahulu saya tidak belajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris. Sampai sekarang saya tidak tahu apa makna Midvalley. Ahli gerombolan United Malays National Organization boleh saya bertanya? Midvalley itu apa? Kahkahkah. Khalas.

Wednesday, November 12, 2008

Perasaan ‘Kita’ Terhadap ‘Bukan Kita’

Berada di tengah-tengah ibukota bukanlah satu perkara yang menyeronokkan. Terperangkap dalam kesesakan lalulintas kadang kala mencabar kesabaran saya sebagai warga. Duduk terperuk di dalam berhala bergerak berjam-jam lamanya adalah aktiviti yang memang membosankan. Mujur juga saya hanya sesekali melintasi ibukota. Jika saya begini setiap hari mungkin kepala saya akan menjadi botak.

Sedang saya terperangkap di dalam kesesakan, saya telah melihat seorang buta yang sedang berjalan. Tangan kanannya memegang tongkat manakala tangan kirinya memegang bekalan. Rasa saya bekalan itu adalah bekalan makanan. Dia berjalan di hadapan sebuah hotel yang terkenal. Di hadapan hotel itu kelihatan beberapa kereta mewah tersadai. Mungkin kereta ini kereta orang kenamaan yang berpeleseran di hotel mewah ini. Di sebelah deretan kereta mewah itu berdiri beberapa orang lelaki yang lagaknya seperti ‘pemandu’ kereta mewah . Mereka mundar mandir di hadapan hotel dan berlabon panjang sesama mereka. Adakala terbarai ketawa sambil mengasap keretek.

Orang buta ini melintasi kawasan yang dipenuhi dengan ‘pemandu’ kereta mewah. Keadaan permukaan jalan disitu agak berbukit dan menyukarkan pergerakan orang buta ini bergerak. Seorang pemandu kereta mewah datang menghampiri orang buta dan menawarkan bantuan untuk membawanya beberapa langkah ke hadapan.

Apabila melihat orang buta ini. Saya teringat di awal-awal tahun sembilan puluhan. Waktu itu saya masih bersekolah rendah. Apabila cuti sekolah bermula, saya adalah orang yang paling sibuk untuk pulang ke kampung. Pada hemat saya cuti sekolah harus saya rayakan di kampung. Saya mempunyai satu perasaan yang tidak lengkap jika masih melangok di bandar. Memandangkan ayah ketika itu seorang pegawai pendidikan, dia sibuk sepanjang masa. Jadi saya mengambil keputusan menaiki bas untuk pulang ke kampung. Adakalanya datuk dan nenek saya dari kampung datang menjemput saya. Jadi kadangkala saya ditemani datuk dan nenek untuk pulang menaiki bas.

Ketika itu hanya ada sebuah stesen bas di Bandar Kuantan. Stesen bas itu terletak di tepi Sungai Kuantan. Di gigi air sungai ini akan kelihatan ikan todak berenang-renang. Bot-bot nelayan juga tersadai di tepi tebing berdekatan stesen bas. Setiap kali saya menaiki bas untuk pulang ke kampung di musim cuti sekolah, bas akan dipenuhi penumpang. Ada masanya lebih ramai yang berdiri dari yang duduk. Apa yang saya perhatikan ialah setiap kali saya menaiki bas ini akan ada seorang pakcik tua yang cacat penglihatan naik ke dalam bas dan menjual telur puyuh. Saya selalu perhatikan pakcik tua yang buta ini memegang tongkat disebelah tangan kanan dan memegang bakul yang berisi telur puyuh, plastik, bekas duit dan tisu di sebelah tangan kiri.

Sebagai seorang anak kecil. Saya berasa begitu simpati melihat pakcik tua yang buta ini. Dia menjual telur puyuh dari bas ke bas. Ayah akan membekalkan sedikit duit untuk saya membeli makanan selain tambang bas. Duit untuk membeli makanan itu saya akan simpan untuk membeli telur puyuh. Pada hemat saya sosok tua yang buta ini perlu saya bantu.

Malangnya apabila orang tua yang buta ini menaiki bas untuk menjual telur puyuh, kita sebagai manusia yang merasakan kita sempurna tidak melakukan perkara yang betul. Apabila sosok tua yang buta ini datang menghampiri bas, pemandu dan penumpang akan mengatakan bahawa tiada siapa ingin membeli telur puyuh itu. Saya yang terperosok di belakang bas yang dipenuhi penumpang lain gagal untuk membeli telur puyuh itu. Duit yang ayah berikan masih dalam genggaman.

Di sini saya bukan ingin menimbulkan kesalahan golongan orang cacat. Apa yang ingin saya timbulkan ialah sikap kita orang yang tidak cacat terhadap mereka. Kita yang menganggap diri kita sempurna telah melihat golongan orang cacat ini sebagai satu ancaman. Kita melihat golongan orang cacat ini sebagai ‘mengerikan’. Rasa saya, kita sebenarnya telah gagal untuk melihat. Saya memahami bagaimana perasaan ini timbul. Saya memahami bagaimana perasaan ini datang. Tetapi pernahkan kita bertanya kenapa perasaan ini timbul dan kenapa perasaan ini datang? Pernahkah kita memikirkan jawabannya?

Perasaan ini timbul dan datang kerana selama ini kita telah menjauhkan pandangan kita dari golongan orang cacat ini. Kita telah malu untuk melihat mereka. Kita sebagai insan yang menganggap diri kita selama ini sudah sempurna telah terlalu angkuh dan sombong untuk melihat keadaan ketidaksempurnaan di alam ini. Keangkuhan kita dari melihat kekurangan yang ada pada golongan orang cacat ini telah melahirkan satu sistem awam yang bobrok dalam negara kita. Keangkuhan yang kita miliki ini telah menyebabkan kita tidak mengambil peduli bagaimana golongan orang cacat ini ingin terus hidup.

Sebenarnya di dalam dunia ini golongan orang cacat ada di merata-rata. Baik di Eropah, baik di Asia, baik di Afrika, baik di negara maju dan di negara dunia ketiga. Kesemua negara-negara ini mempunyai golongan orang cacat. Tetapi saya melihat di negara kita ini kelihatan sebagai satu dunia yang agak ganas dan kasar untuk golongan orang cacat.

Kita sebagai anak semua bangsa perlu mengetahui bahawa mereka – golongan orang cacat ini juga mampunyai perasaan, cita-cita dan impian. Sebagai anak semua bangsa kita perlu menyedari bahawa mereka juga adalah sebahagian dari kalangan kita, saudara-mara kita dan kaum kerabat kita. Mengapakah kita takut dan gusar untuk membina lantai budaya yang sama rata? Ini persoalan yang wajib kita halakan kepada batang tubuh kita.

Ketika saya sampai ke negara Jepun, saya telah melihat bagaimana lantai budaya antara orang-orang yang sempurna dengan golongan orang cacat telah didirikan sama rata. Di merata-rata tempat telah dibina lantai budaya yang adil dan saksama. Di merata-rata tempat jika ada fasiliti untuk orang-orang sempurna maka akan ada juga fasiliti untuk golongan orang cacat ini. Kadang-kadang saya melihat bagaimana golongan kurang upaya dan cacat ini diberi layanan yang lebih baik dari golongan sempurna.

Sebagai contoh tandas untuk kegunaan golongan kurang upaya dibina lebih luas dari saiz biasa. Tandas ini kelihatan begitu selesa bagi mereka yang kekurangan anggota badan. Tandas ini juga kelihatan begitu selesa jika yang ingin melepaskan hajat ini sedang menaiki kerusi roda. Saya telah menjumpai tandas jenis ini di merata-rata tempat.

Di tengah-tengah bandar juga disediakan landasan pejalan kaki untuk orang-orang buta. Di atas landasan pejalan kaki ini dibina garisan lurus untuk memberitahu orang-orang buta bahawa jalan itu selamat untuk mereka bergerak. Garisan-garisan diatas landasan pejalan kaki ini dapat dikesan melalui tongkat yang digunakan oleh orang buta. Jika garisan-garisan ini bertukar rupa bentuk kepada bentuk bulat. Ini membawa tanda dan makna orang buta perlu berhenti kerana lampu isyarat sudah tersergam indah di hadapan batang tubuh mereka.

Lampu isyarat juga telah memainkan peranan yang penting di dalam pembinaan kesamarataan lantai budaya ini. Untuk golongan cacat penglihatan, lampu isyarat ini akan berbunyi menandakan lampu hijau sedang menyala. Jika lampu ini tidak berbunyi, tandanya lampu merah sedang menyala.

Begitu juga jika golongan ini melintasi jalan. Kesemua kenderaan akan berhenti untuk memberikan mereka laluan. Ini membawa tanda dan makna golongan kurang upaya atau cacat ini didahulukan dan dihormati. Rasa saya di negara kita jika melintasi jalan sewenang-wenangnya sudah lama golongan kurang upaya ini menjadi arwah.

Cerun-cerun kecil juga telah dibina di setiap landasan pejalan kaki. Cerun-cerun ini bertujuan untuk memudahkan pergerakan golongan orang cacat yang menaiki kerusi roda. Cerun-cerun ini memberikan dunia tanda kesamarataan lantai budaya.

Tetapi apa yang saya lihat ini tidak berlaku di dalam negara kita. Pada hemat saya kegagalan kita untuk menyediakan fasiliti-fasiliti ini adalah kerana kita telah gagal untuk melahirkan perasaan kasih dan sayang kepada golongan orang cacat. Kita selalu beranggapan kesempurnaan kita adalah yang terbaik. Kesempurnaan yang kita miliki telah menjadi selaput tebal di hadapan biji mata kita untuk menghalang kita dari melihat perihal kemanusiaan. Kita beranggapan orang yang sempurna ini sebagai warga kelas satu. Golongan orang cacat sebagai warga kelas dua.

Pada hemat saya selagi kita gagal untuk membina lantai budaya yang sama rata ini, selagi itulah kita telah gagal untuk memahami salah satu aspek perjuangan pejuang agung Muhammad di Tanah Arab beberapa kurun yang lalu.

Hari ini saya telah kembali ke stesen bas yang telah lama saya tinggalkan. Pakcik tua yang buta yang menjual telur puyuh sudah tidak kelihatan lagi. Ikan todak yang bermain di gigi air juga tidak kelihatan lagi. Kemana perginya makhluk tuhan ini atau adakah saya sudah buta untuk melihat kegagalan kita membina lantai budaya yang sama rata?

Monday, November 10, 2008

Gades Manis Di Dalam Bas Sekolah

Hari saya menulis ini adalah hari dimana selasa telah sampai
Hari ini hari sekolah
Pagi tadi melihat anak-anak kecil berjalan kaki ke sekolah
Berjalan merentasi kabus pagi yang tebal
Akhir-akhir ini kabus selalu muncul
Saya kurang pasti sama ada ianya petanda yang baik atau tidak

Melihat kanak-kanak ke sekolah teringat kesah lama saya dulu
Bangun awal pagi ketika ayam belum berkokok
Ayam tidak berkokok bukan kerana ayam itu terlelap sampai dinihari tetapi di kota memang tiada ayam yang berkokok.

Saya ke sekolah menaiki bas. Bas yang saya naiki itu adalah bas yang paling buruk dalam sejarah bas sekolah. Tingkapnya sudah tidak boleh ditutup. Kerusinya telah barai – koyak rabak. Tiada ruang untuk melelapkan mata kerana bunyi enjinnya begitu kuat. Cermin retak sana sini. Bila hujan turun air mengalir masuk. Anak-anak sekolah perempuan menjerit kerana takutkan air. Kami anak-anak sekolah lelaki menjerit kerana takutkan jeritan anak-anak sekolah perempuan.

Pemilik bas ini seorang cina. Pemandunya juga seorang cina dan konduktornya seorang nyonya. Nyonya ini sangat terkenal di waktu itu. Rambutnya afro seperti David Arumugam dan selalu memakai seluar ketat dan baju berbunga-bunga. Sampai hari ini saya tidak mengetahui namanya. Apabila mengenangkan nyonya ini hati saya sayu. Dia kelihatan susah. Dari segi pemakaiannya saya tahu dia orang susah. Saya agak dia bekerja menyara keluarga. Kasutnya telah lusuh, koyak dan rabak. Tiada maskara di mata. Tiada 'blusher' di pipi. Tiada pemerah dibibir. Jarang tersenyum. Dalam hati terdetik “ingin benar saya ketemu dengannya”.

Bas ini terpaksa mengambil kami awal pagi kerana ia bergerak amat perlahan. Untuk mengelakkan kami anak-anak sekolah sampai lambat ke sekolah pemandunya terpaksa mengambil kami betul-betul selepas subuh. Baru-baru ini saya masih terserempak dengan bas ini. Bayangkanlah setelah sepuluh tahun saya meninggalkan alam bas sekolah ini ia tetap berjalan, bergerak dan menghantar anak-anak ke sekolah. Pada hemat saya, besar jasanya bas sekolah ini mungkin sesuai untuk dianugerahi anugerah Datuk.

Walaupun setiap pagi saya terpaksa bangun awal untuk ke sekolah, saya tidak ambil kesah. Sebagai seorang penidur tegar selalunya saya amat culas untuk bangun pagi. Tetapi untuk ke sekolah saya tidak berdepan dengan masalah besar. Ini kerana saya telah menyedari bahawa di dalam bas itu ada seorang gades yang cantik dan manis. Rumahnya tidak jauh dari rumah saya. Dia mempunyai enam orang adik beradik dan selalu berpeleseran menunggang basikal bertayar besar. Dengan jujur saya mengakui bahawa dia cantik dan manis. Saya juga mengakui dengan jujur bahawa saya sudah jatuh hati dengan gades manis ini.

Setiap pagi bas akan sampai di depan rumah dan apabila saya menaiki bas saya tidak akan masuk ke belakang tetapi berdiri di depan pintu bas. Pintu bas sekolah ini terletak ditengah-tengah. Tujuan saya berdiri disitu dengan harapan saya dapat melihat wajah gades manis ini menaiki bas. Apabila bas berhenti di depan rumahnya saya menggelabah. Yang pasti saya akan melemparkan senyuman buat gades itu. Tiada bunga ros merah atau kobis bunga untuknya. Saya cukup yakin saya bukan seorang yang romantis tetapi saya seorang realis.

Di dalam bas saya selalu curi-curi pandang. Untuk menegur saya cukup tidak berani. Tidak ‘cool’. Tetapi dia langsung tidak ambil pot. Saya hampa. Setelah tiba saya akan mengekori gades manis ini sampailah dia hilang dari pandangan. Dia berjalan merentasi kabus pagi bersama kakaknya. Sebenarnya sekolah kami hanya bersebelahan. Hanya dipisahkan dengan satu jalan kecil di belakang sekolah.

Satu ketika saya telah menerima bungkusan plastik dari seorang gades cina di sekolah. Kami hanya memanggil gades cina ini dengan nama ‘Itek’. Ini kerana nama sebenarnya hampir sama dengan bunyi ‘itek’. ‘Itek’ yang berkulit putih ini menyampaikan pesanan. “Bungkusan plastik ini untuk awak. Bukan dari saya, tolong jangan perasan. Tetapi dari seorang gades sekolah sebelah”. Saya menggelabah lagi. Melihat nama yang tertera saya tersenyum. Bungkusan itu saya simpan bertahun-tahun sampai ianya hilang ketika saya berpindah ruang untuk tidur.

Suatu hari saya ketinggalan bas untuk ke sekolah. Ayah membuat keputusan supaya saya menaiki van sahaja. Walaupun harganya sedikit mahal tapi van ini datang lewat dan lebih selesa. Saya hampa..Sudah pasti saya tidak dapat lagi menatap wajah gades cantik dan manis ini. Semenjak dari hari itu saya tidak lagi menggelabah. Semenjak dari itu mata saya terus mengantuk untuk ke sekolah. Tiada apa lagi yang saya tunggu. Tiada apa lagi yang saya nantikan.

Kabus pagi telah pergi – matahari telah keluar. Mata saya masih mengantuk. Pagi ini saya telah bangun, gades cantik dan manis itu tidak lagi menaiki bas. Saya tidak lagi menunggu bas. Woit ini cerita sepuluh tahun lepas lah.

Thursday, November 6, 2008

Lanun Baru Sudah Sampai - Bahagian Dua


Pagi ini saya bangun lagi dari tidur
Pagi ini saya bangun dan masih berada di atas katil yang sama
Pagi ini saya bangun untuk meraikan kehidupan sebagai warga dunia
Apa yang saya boleh raikan bukan kemenangan Obama
Apa yang saya boleh raikan bukan kematian Osama

Apa yang boleh saya raikan ialah tertegaknya demokrasi rakyat Amerika.
Sistem media seluruh Amerika telah berlaku adil dengan menjual dua sosok untuk menjadi ketua – rakyat mendapat manfaat untuk membuat penilaian.
Malang sekali demokrasi ini tiada di Malaysia. Hegemoni daulah tidak ada keberanian menjual sosok sebegini. Tiada padang sama rata. Tiada gelanggang saksama.
Jika demokrasi tulen ini melingkari lanskap politik Malaysia, hegemoni daulah akan pecah-lerai-berderai-terbarai.

Menanti Obama melakukan perubahan di atas muka bumi adalah tidak salah. Saya tidak akan menahan warga dunia dari terseringai menanti. Tetapi adakah ianya benar realis?

Menanti Obama melakukan perubahan sama seperti menunggu ular batik tidak mengejar anak ayam selepas bersalin kulit. Ini tindakan betul. Ular batik tidak akan mengejar anak ayam lagi selepas bersalin kulit. Tetapi hanya untuk sementara waktu. Selepas ular batik ini kembali lapar ia akan tetap mengejar mangsa yang sama. Amerika juga kini bersalin kulit tetapi mempunyai isi dan ruang rangka pemikiran yang sama.

Menanti Obama melakukan perubahan sama seperti tahun 2003. Singkap sejarah lima tahun sudah - rakyat Malaysia menunggu perubahan dari zaman gelap Mahathir Muhamad kepada zaman cerah Abdullah Badawi. Dua sosok berlainan tetapi berkongsi ideologi yang sama. Sampai pagi ini kita semua terus menanti dengan penuh harapan. Tetapi harapan tidak pernah sampai bertemu dan menyapa batang tubuh kita. Harapan ini semakin tersepak jauh,

Warga dunia. Belajarlah dari sejarah.

"Sejarah adalah sebahagian dari diri sebagai bangsa, dia tidak boleh dipisahkan apalagi dilupakan. Melupakan sejarah - apalagi meninggalkan sejarah - sama ertinya dengan kehancuran sebuah bangsa." - Bung Karno, 17 Ogos 1966

Wednesday, November 5, 2008

Lanun Baru Sudah Sampai

Obama menang
Warga dunia bersorak – riang ria kerana Obama ke rumah putih
Warga dunia mula memasang harapan sebelum tidur malam ini semoga dunia kembali aman.
Makcik di Kenya, Pakcik di Monggol, Pak Lebai di Riyadh mula berharap.
Minah-minah cun di belakang lorong di Bangkok tidak ambil pot. Obama menang Mc Cain kalah tidak peduli. Rezeki mesti dicari

Adakah harapan untuk semua ini?
Saya sanggup berlutut di depan maharaja Sweden untuk tidak menjadi bebal. Kita sebagai warga dunia perlu sabar seketika. Apa yang sudah terjadi di atas muka bumi ini perlu kita renungkan. Kita sebagai warga dunia perlu berfikir secara lebih waras.

Sebagai warga dunia yang cintakan keamanan kita perlu mempersoalkan dari mana sosok Obama ini lahir?
Dari mana sosok Obama ini datang ?
Apakah sistem ekonomi yang digunapakai oleh sosok Obama?
Siapa menyediakan dana yang besar untuk Obama melobi dan dilobi.
Persoalan-persoalan pokok ini perlu kita halakan kepada batang tubuh kita.

Obama telah lahir dalam sistem ekonomi kapitalis
Obama telah lahir dalam Parti Democrat kapitalis
Obama telah lahir di dalam negara kapitalis tulen
Negara kapitalis dikuasai oleh borjuis-borjuis kaum pemodal yang mengejar keuntungan maksimum tanpa memikirkan kesan terhadap hukum sosial.
Sistem ekonomi kapitalis adalah sistem ekonomi yang menindas rakyat.
Lihat polisi Amerika selama ini. Untuk terus memperkayakan negara mereka terus-terusan menceroboh Iraq dan Afghanistan. Mengancam Korea Utara, Iran dan Venezuela. Tanpa penindasan sistem kapitalis tidak lengkap. Tanpa peperangan sistem kapitalis akan pencong. Tanpa huru-hara sistem kapitalis akan tempang.

Ancaman ini sampai bukan kerana Republican atau Democrat. Ancaman ini sampai bukan kerana Sarah Palin itu cun. Ancaman ini sampai kerana sistem ekonomi kapitalis telah disujud. Ancaman ini sampai kerana sistem ekonomi kapitalis telah disembah. Sosok Republican atau Democrat tidak melambangkan apa-apa. Sosok parti ini hanya untuk mengolah persetujuan rakyat. Sosok parti ini hanya untuk mengolah persetujuan warga dunia.

Pelobi kabal-kabal zionis telah meresap masuk ke dalam Republican dan Democrat. Pelobi ini adalah borjuis-borjuis kaum pemodal yang berpengaruh. Borjuis-borjuis kaum pemodal ini menentukan hala tuju sistem ekonomi kapitalis Amerika.

Jangan jadi bebal kerana sosok Obama. Tugas kita sebagai warga dunia adalah untuk membaraikan Dolar Amerika. Tugas kita sebagai warga adalah untuk mendobrak sistem ekonomi kapitalis yang menindas. Tugas kita sebagai warga dunia adalah untuk menentang segala kezaliman untuk terus hidup aman.

Malam ini saya akan berdoa. Malam ini sebelum tidur saya akan menadah tangan. Doa saya bukan untuk Barack Obama. Doa saya untuk warga dunia yang ditindas. Doa saya untuk Palestin. Doa saya untuk Afghanistan. Doa saya untuk negara-negara yang ditindas sistem ekonomi kapitalis. Doa saya juga untuk warga plentong yang sedang kehilangan tanah dan rumah mereka.

Tuesday, November 4, 2008

Hujan Hujan Lagi

Hujan turun dengan lebat. Guruh dan kilat saling bertengkar. Antara guruh dan kilat saya tidak tahu untuk menyokong yang mana satu. Air di bawah flat 5 tingkat sudah berladung.Menunggu masa untuk melimpah. Harap hujan tidak lama

Jiran dibawah rumah saya sibuk mencari anaknya yang hilang bermain. Habis kawasan flat ini dikelilinginya. Dari tingkat empat ini saya dengan jelas melihat anaknya sembunyi dalam longkang di belakang surau. Mujur saya belum mempunyai anak. Jika tidak mungkin saya juga begitu.

Apabila hujan, guruh dan kilat sampai, saya menggelabah. Bimbang ada peralatan elektrik yang rosak dipukul ribut. Bimbang terputus bekalan elektrik. Jika terputus bekalan elektrik bermakna saya bergelap. Mengelabah lagi mencari lilin. Kembali kepada kesah zaman jepun zaman dimana ketika itu guru menjadi pejuang nasionalis yang mendobrak dunia kolonial. Kini guru telah dibarai dan membaraikan

Hujan masih belum berhenti. Dimana agaknya warga plentong yang tanah mereka dirampas dan rumah mereka dirobohkan oleh cukong-cukong? Dimana mereka sekarang? Dimana mereka berteduh? Hujan-hujan begini jika tidak berumah pasti akan lencun. Pasti sedang kesejukan. Buku untuk anak-anak kesekolah pasti sudah berderai dipukul hujan. Bagaimana keadaan anak-anak yang baru dilahirkan yang masih menyusu? Malam ini dimana mereka melelapkan mata?

Kan lebih baik jika kuasa daulah yang menyusun atur perumahan rakyat. Jika kuasa daulah yang memiliknegarakan penyusunan rumah rakyat, cukong-cukong yang menindas ini akan mati tergantung. Mereka pasti mereka akan mati kering. Pasti mereka hilang mata pencarian. Pasti mereka kebuluran. Apabila penindas mati kebuluran rasa saya kita sebagai warga akan mengadakan pesta setiap malam untuk meraikannya. Malangnya kuasa daulah masih bebal. Kuasa daulah masih bertengkar sesama mereka membeli jet pejuang, helikopter dan kapal selam. Warga plentong bukan mahu naik kapal selam untuk ke Poland. Mereka mahukan rumah yang selesa untuk meneruskan kehidupan sebelum mati - membesarkan anak-anak dan berkeluarga.

Hujan masih belum berhenti - sejuk. Kalau menjalar di bawah selimut enak juga. Tapi perut sudah keroncong. Tanda dan makna perlu memasak. Memasak lebih penting dari membeli. Memasak lebih untung dari membeli. Memasak menjamin kebersihan perut. Ini teori orang bujang yang kopak dan sengkek. Kuasa daulah juga perlu dimasak agar lebih mengerti kesengsaraan dan keperitan rakyat.

Monday, November 3, 2008

Antara Tanda Dan Makna Sistem Ekonomi Kapitalis Dan Fikrah Akhbar Melayu

Kah kah kah. Buat lawak lagi. Rasa saya sudah beratus lawak yang dibuat. Tapi kali ini lawak yang paling ‘cool’. Saya terbarai ketawa. Saya terbarai dengan kuat. Sebelum ini jiran saya pernah membuat aduan mengenai rumah saya yang selalu bising dengan ketawa. Jiran saya ini mengatakan dia tidak lagi tahan untuk menahan segala barai ketawa saya.

Kah kah kah. Jiran saya memang tidak ‘cool’. Rasa saya jiran sebelah rumah flat lima tingkat ini mula khuatir dengan tahap kewarasan sosok tubuh saya. Mungkin esok atau lusa jiran saya ini akan berpindah. Mungkin petang ini anak-anak jiran saya ini tidak lagi dibenarkan bertentang mata dengan saya. Mungkin anak-anak kucingnya akan dikurung dari berjumpa dengan saya. Kah kah kah.

Sebenarnya saya terbarai ketawa kerana dunia kini sedang membawa tanda dan makna. Alam sentiasa memberi tanda dan makna kepada kita sebagai manusia. Tetapi kerana keangkuhan kita sebagai manusia kita tidak lagi mahu bersahabat dengan alam. Percaya atau tidak dengan kesah klasik melayu kuno? Katak memanggil hujan. Alam memberi tanda jika katak bernyanyi maka itu memberi tanda hujan akan turun. Jika langit gelap bermakna petani-petani akan diberi rezeki – hujan akan turun tanah akan subur. Jika bulan penuh, air dilaut pasang dan kita berada ditengah-tengah kalendar hijrah. Bulan penuh – boleh mencandat ketam. Pada masa ini ketam isinya penuh. Apabila angin kencang musim tengkujuh timur laut di Laut China Selatan mula reda – sotong akan mengawan dan bertelur. Inilah masa sesuai untuk mencandat sotong. Alam sentiasa membantu kita untuk menyelesaikan masalah. Sebelum adanya kompas. Ibn Batutta belayar mengelilingi dunia ini menggunakan arah bintang. Bukankah ini cukup jelas kepada kita bahawa alam memberi tanda dan makna? Adakah begitu sukar kepada kita untuk memahaminya?

Kini sistem ekonomi kapitalis sedang memberi kita tanda dan makna. Sistem ekonomi kapitalis sedang mengalami kemelesetan. Sistem ekonomi kapitalis dunia diterajui oleh Amerika, Britain dan Yahudi. Ketiga-tiga malaun ini sedang mengalami krisis yang tenat. Lebih tenat dari krisis kewangan 97/98 dimana Anwar Ibrahim ketika itu telah dihumban ke dalam jeriji besi. Krisis ini telah membawa kepada kerugian lembaga-lembaga syarikat dan lembaga-lembaga bank elit. Untuk menyelamatkan lembaga-lembaga syarikat dan lembaga-lembaga bank ini, kuasa daulah terpaksa menggunakan dana yang ada iaitu wang rakyat. Jika sesebuah negara menggunakan wang rakyat untuk menyelamatkan lembaga-lembaga syarikat atau lembaga-lembaga bank, itu memberi tanda dan makna negara itu sedang mengalami krisis. Ini bukan hukum dari Gordon Brown tetapi ini adalah hukum ekonomi.

Kongress Amerika telah meluluskan dana negara sebanyak 700 bilion dolar untuk membantu lembaga-lembaga bank yang berkemungkinan jatuh muflis. Di Britain Perdana Menteri Gordon Brown telah meluluskan 500 bilion pound sterling untuk tujuan yang sama. Sebuah lembaga penyimpan/peminjam dana Northern Rocks telah di hak miliknegarakan oleh kerajaan Parti Buruh Gordon Brown.

Apabila krisis sistem ekonomi kapitalis ini sampai, kadar inflasi akan meningkat naik. Permintaan untuk barangan dikurangkan. Ini memberi tanda dan makna perusahaan akan mengurangkan pengeluaran. Keuntungan telah menurun, pekerja akan kehilangan pekerjaan. Gaji tidak mampu lagi dibayar. Berita terbaru hampir 50,000 pekerja Malaysia berdepan risiko dibuang kerja di Singapura.

Krisis ekonomi ini memberi tanda dan makna peperangan yang dihalakan oleh Amerika, Britain dan Yahudi ke atas Iraq, Afghanistan dan Palestin menemui kegagalan. Memang betul Saddam Hussein sudah menjadi arwah. Osama Laden hilang ghaib di Tora Bora dan Abdel Aziz Rantissi sudah menemui ilahi di Nazareth. Tetapi itu hanya kemenangan sementara pihak-pihak malaun ini. Apa yang perlu kita sedari sebagai rakyat dunia ialah perang memerlukan perbelanjaan yang besar - kemusnahan harta dan nyawa. Jika perang yang semakin melebar ini merebak ke negara-negara jiran – perang akan menjadi semakin parah. Maka semakin besarlah belanja perang yang terpaksa ditanggung oleh daulah kapitalis. Perbelanjaan besar akibat perang ini boleh mempercepatkan keruntuhan sistem ekonomi kapitalis.

Sistem ekonomi kapitalis menggunakan Dolar Amerika sebagai tukaran wang. Sistem ekonomi kapitalis menggunakan dolar Amerika di dalam urusniaga – termasuk minyak yang dikorek dari perut bumi di Terengganu hingga ke Sudan. Penggunaan Dolar Amerika juga akan menyebabkan negara yang bergantung kepada ekonomi Amerika akan mengalami kemelesetan ekonomi. Sebarang dagangan menggunakan Dolar Amerika oleh negara-negara lain akan turut sama terjebak di dalam krisis ini.

Kini rakyat dunia tidak lagi mahu menggunakan Dolar Amerika sebagai wang tukaran. Kini rakyat dunia sudah hilang keyakinan terhadap Dolar Amerika. Keadaan ini sama seperti gerombolan United Malays National Organization yang sudah hilang keyakinan terhadap Abdullah Badawi. Warga dunia sudah meluat melihat wang kertas Dolar Amerika. Keadaan ini sama seperti gerombolan United Malays National Organization meluat melihat muka Khairi Jamaluddin.

Maka nilai Dolar Amerika akan jatuh. Sistem ekonomi kapitalis akan rebah dan runtuh rantah. Saddam Hussein telah menjadi arwah bukan kerana beliau mempunyai senjata pemusnah tetapi kerana mamat ini telah meninggalkan tukaran wang Dolar Amerika. Iran yang menjadi musuh ketat Amerika kini sudah lama ingin meninggalkan tukaran Dolar Amerika. Venezuela bukan sahaja mempunyai gades-gades manis di tepi pantai yang seksi-meksi tetapi mereka juga telah lama membaraikan Dolar Amerika ini.

Negara kita juga mempunyai jalur perniagaan dan ekonomi dengan lembaga-lembaga daulah di Amerika Syarikat. Ekonomi kita juga saling bergantungan dengan ekonomi Amerika Syarikat. Negara kita juga akan mengalami tempias jika ekonomi dunia terus berlanjutan sedemikian rupa.

Tetapi apa yang telah membuatkan saya terus terbarai ialah pemimpin-pemimpin besar negara kita telah menafikan bahawa negara kita berada di dalam krisis. Mereka menafikan sekeras-kerasnya negara kita akan terjerumus di dalam kancah krisis ekonomi dunia. Mereka mengatakan negara kita mempunyai jalur ekonomi yang mampan dan berdaya tahan. Kah kah kah. Ini satu lawak yang cukup ‘cool’. Semua negara atas muka bumi ini mengalami krisis ekonomi yang tenat . Tetapi negara kita Malaysia tidak mengalaminya. Kah kah kah. Apakah teori ekonomi pemimpin negara kita pakai? Rasa saya pemimpin-pemimpin besar yang menguasai daulah kita ini patut menjadi Pengerusi Bank Dunia. Selepas itu rakyat dunia akan menjadi selamat, aman dan makmur kerana tiada lagi krisis ekonomi. Kah kah kah. Alangkah beruntungnya kita menjadi rakyat di yang bertuah ini. Negara ini mempunyai benteng yang kukuh untuk menghalang krisis ekonomi dunia dari terus menjalar. Poodah!

Apa yang menjadikan saya terus-menerus terbarai ketawa ialah lawak ini terus-menerus menular. Semalam saya telah membaca satu laporan dimana Kerajaan Malaysia telah meminjam RM 5 billion dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menyuntik dana sebuah syarikat pelaburan Valuecap Sdn Bhd untuk dilaburkan – mungkin dileburkan di bursa saham. Kah kah kah. Apa punya tur. Nak buat apa dengan RM 5 billion ini? Nak beli penyapu? Khir Toyo sudah belikan. Kah kah kah atau nak tampal atap parlimen yang bocor? Samy Vellu sudah tampalkan. Kah kah kah. Nak tampal Samy Vellu? Warga Sungai Siput sudah tampalkan. Kah kah kah.

Rakyat Malaysia diberitahu negara ini tidak mengalami krisis ekonomi dunia. Sistem yang dipakai oleh negara ini bukan kapitalis? Rakyat Malaysia diberitahu ekonomi negara semakin kukuh. KDNK terus melonjak. Inflasi paling rendah seantero dunia. Negara terus kaya-raya. Kah kah kah. Singapura yang lebih kaya lima kali ganda juga mengalami kemelesetan ekonomi. Tetapi negara kita yang lebih kaya dari Bangladesh dan Ivory Coast masih tetap utuh. Ini betul-betul ajaib.

Pada hemat saya ramai diantara warga kita yang semakin pening kepala dan mungkin mengalami serangan jantung. Ini kerana mereka terpaksa membaca laporan yang berlainan dari setiap helaian akhbar. Mungkin sudah ada yang naik sasau atau gila. Laporan menulis tentang ekonomi yang semakin kukuh. Muka surat sebelah laporkan kerajaan pinjam duit rakyat untuk pelaburan di bursa saham. Laporan mengatakan negara stabil. Esok warga membaca laporan kerajaan tidak jadi membeli helicopter kerana krisis ekonomi dunia. Harga minyak tak boleh dinaikkan. Lepas pilihanraya harga minyak naik mencanak. Pilihanraya tidak akan diadakan tahun ini. Sidang akhbar keesokannya memberitahu pilihanraya lagi dua minggu. Bernanah otak meleleh sampai ke lutut warga kita membaca laporan-laporan tahyul ini.

Saya tidak mahu menjadi gila dalam usia emas ini. Saya masih mahu merayakan kemudaan saya sebagai warga dunia. Ini kerana dunia ini milik anak semua bangsa. Untuk mengelakkan saya menjadi gila saya berjanji untuk tidak membaca surat khabar Utusan Malaysia dan Berita Harian. Mungkin selepas ini saya akan beralih kepada suratkhabar antarabangsa seperti Washington Post atau Jerusalem Post yang kelihatan lebih jujur. Ini memberikan kita tanda dan makna setiap laporan akhbar perlu dibaca dengan maksud terbalik Kah kah kah.