Friday, June 20, 2008

Sophie's World - Jostein Gaarder


Setelah habis menelaah pemikiran Hishamuddin Rais dalam Buku Keganasan, Penipuan & Internet. Kini tiba giliran untuk menerobos pemikiran Jostein Gaarder dalam Sophie's World.Saya difahamkan buku ini ialah Sebuah Novel Sejarah Falsafah Terlaris Di Dunia.Buku berkaitan falsafah sememangnya menggiurkan saya selain politik.Belum lagi sempat menelaah Sophie's World, dua buah buku lain sedang menunggu.Budaya membaca seharusnya perlu kita rayakan bersama.

Monday, June 16, 2008

Ibu Kota Dan Papan Tanda


Baru-baru ini saya telah pergi ke Kuala Lumpur ibukota negara Malaysia.Saya memang mempunyai tujuan ke Kuala Lumpur ini .Saya datang ke kota ini adalah untuk merayakan kemudaan saya.Saya datang kerana saya ingin berpeleseran di kota ini.Sebenarnya sejak dari kecil hingga dewasa saya amat jarang berpeleseran.Berpeleseran ini pada pandangan orang tua-tua adalah satu perbuatan membuang masa dan tidak berbudaya ilmu.Jikalau ibu bapa terjumpa anak-anak mereka berpeleseran pasti kepala anak mereka akan ditunjal.Tetapi apabila semakin dewasa, saya mula mengerti bahawa berpeleseran sama ada di dalam kota atau di kampung adalah satu nikmat yang perlu dinikmati oleh setiap anak muda.Pada hemat saya, jika kita pandai menikmati nilai budaya berpeleseran ini kita akan mendapat ilmu.

Tetapi Kuala Lumpur bukanlah sebuah kota yang menyenangkan.Kuala Lumpur bukanlah sebuah kota yang bersih, mesra pengguna dan tersusun rapi.Jika anda tidak percaya bahawa Kuala Lumpur ini kotor, anda bolehlah menapak ke lorong-lorong di belakang bangunan.Kita boleh nikmati sampah-sarap yang bersepah, tikus dan lipas yang sedang berpesta merayakan kehidupan mereka.Jika anda bernasib baik, anda akan disapa mesra oleh kenalan baru.Awww!! Kuala Lumpur juga tidaklah mesra pengguna, kita boleh membuat ekperimen untuk mengetahui kebenaran kenyataan saya ini.Anda boleh mencuba melintas jalan di saat lampu hijau pejalan kaki sudah bernyala.Tetapi awas, anda perlu menunggu beberapa lama sebelum boleh melintas, jika anda terus melintas ketika lampu hijau pejalan kaki menyala anda pasti akan menjadi arwah.Saya mempunyai banyak pengalaman dan beberapa kali nyaris menjadi arwah.

Apa yang ingin saya surahkan disini ialah mengenai papan tanda.Bagi saya sebagai pengguna, papan tanda penunjuk arah di sekitar kawasan Lembah Kelang ini sangat menyusahkan.Saya telah ke Kuala Lumpur saban tahun tetapi saban tahun jugalah saya telah tersesat.Apabila saya memandu di sekitar Lembah Kelang otak saya pasti akan mendidih.Mendidih kerana sukarnya untuk memahami makna dan tanda yang terpampang.

Suatu malam selepas pulang dari makan malam bersama seorang gadis nan indah disebuah restoran, saya ingin menumpang tidur dirumah sepupu saya.Sepupu saya ini tinggal di Seksyen 19 Shah Alam.Dalam perjalanan saya telah melilau-lilau mencari papan tanda ke Seksyen 19.Saya merasa lega kerana saya telah berjumpa papan tanda yang dikehendaki.Lalu saya mengikut arah yang ditunjukkan.Lama-kelamaan barulah saya tahu yang saya telah tersesat jalan.Apabila saya berpatah balik, saya hanya menjumpai papan tanda yang menujukkan arah Seksyen 18 dan Seksyen 17.Beberapa kali saya berhenti di stesen minyak untuk bertanyakan arah malangnya pekerja di stesen minyak itu juga kelihatan pening-pening lalat untuk menjawab pertanyaan saya.Hampir dua jam saya melilau-lilau mencari jalan akhirnya saya telah gagal.Malam itu saya hanya tidur di dalam kereta ditemani nyamuk, kepanasan malam, langsuir dan pontianak.

Beberapa bulan sebelum itu saya juga telah tersesat, saya tersesat kerana papan-papan tanda ini dilitupi oleh pokok-pokok.Papan-papan tanda ini tidak kelihatan dengan jelas.Saya tidak pasti sama ada ini adalah satu idea pengindahan dari majlis perbandaran atau satu seni penanaman pokok yang terbaru.Mungkin juga tuan punya stesen minyak berdekatan telah menanam pokok ini dengan harapan orang ramai akan tersesat dan kehabisan minyak.Papan tanda yang tersembunyi di sebalik pokok ini telah menyusahkan hidup saya.Saya telah berjanji untuk membawa gergaji pokok apabila berkunjung ke Kuala Lumpur suatu hari nanti.

Melalui pengalaman yang saya telah lalui ini terdetik di hati saya untuk mengetahui siapakah yang mendapat kontrak untuk memasang papan tanda ini? Kontraktor kelas apakah yang memacak papan-papan tanda ini? Adakah Melayu Baru yang dilahirkan melalui Dasar Ekonomi Baru yang punya angkara? Adakah ini salah satu dari konspirasi antara pihak kontraktor dengan persatuan pemandu teksi untuk memastikan tambang teksi menjadi mahal kerana pemandu teksi perlu melilau-lilau berjam-jam seperti saya? Mungkin juga kontraktor yang memasang papan tanda ini adalah orang setempat yang sudah tahu selok-belok jalan.

Lebih memburukkan keadaan papan-papan tanda ini telah dipenuhi dengan kertas-kertas iklan seperti perkhidmatan membaiki paip pecah, perkhidmatan urut mengurut Spa Q, Undangan perkahwinan Ramli Sarip-Khadijah Ibrahim dan undangan majlis kenduri bersunat anak Makcik Ramlah.Iklan-iklan yang tidak masuk akal ini telah menambah suhu takat didih otak saya.Kini otak saya bukan sahaja telah mendidih bahkan telah bernanah dan berdarah.

Pada hemat saya, kita perlukan perubahan.Perubahan yang membawa kepada kebaikan.Papan-papan tanda ini perlu dikaji semula untuk kemudahan warga kita.Kita memerlukan papan-papan tanda yang memudahkan perjalanan dan pemudah cara.Masa dapat kita manfaatkan dengan sebaik mungkin dan tidak membazir berjam-jam hanya kerana tersesat di jalan yang terang.Ditambah pula kini dengan kenaikan harga minyak sekurang-kurangnya warga kita dapat menjimatkan minyak dari membazir melilau-lilau mencari jalan kebenaran di dunia yang fana ini.

Saya mencadangkan agar kontrak baru untuk membuat papan tanda ini diserahkan secara tender tertutup kepada anak saudara Raja Sweden dari Stockholm ini kerana jika tender ini diberikan kepada kontraktor dari Klang pasti dia sudah mengetahui jalan ‘shortcut’.Papan tanda ‘shortcut’ inilah yang akan membawa kepada jalan kesesatan.Sempena tahun melawat Malaysia yang dilanjutkan setahun lagi pasti ramai ‘mat saleh’ dan ‘minah saleh’ yang akan tersesat di Batang Berjuntai untuk ke KLCC

Tuesday, June 10, 2008

Fikrah Yang Sasau


Apabila kerajaan menaikkan harga minyak, saya telah menerima sms bertalu-talu tanpa dapat dihentikan.Sahabat handai saya semuanya marah dan menyumpah seranah.Ketika itu keadaan menjadi gawat dan stesen minyak dipenuhi dengan kenderaan untuk mengisi minyak.Sekali pandang sudah seperti pesta muda-mudi yang patut dirayakan.

Saya tidak ingin berlabon panjang mengenai harga minyak di Malaysia yang telah dinaikkan.Saya tidak ingin berlabon mengenai subsidi yang ditarik balik dan saya tidak ingin berlabon mengenai mekanisme yang patut dilakukan oleh kerajaan untuk menangani krisis ini.Saya kira sebagai warga yang bertanggungjawab kita sudah mengetahui perjalanan ceritanya.

Apa yang menghairankan saya ialah labonan dari seorang menteri.Malam kelmarin saya telah mendengar menteri ini berlabon didalam televisyen dengan mengatakan bahawasanya kenaikan harga minyak tidak akan membebankan rakyat.

Saya tidak tahu samada menteri ini berada dalam keadaan sasau atau separuh sedar ketika memberikan hujah atau daya fikrah menteri ini telah ‘overhaul’.Saya juga kurang pasti sama ada menteri ini pernah melalui persekolahan secara formal atau tidak.

Sebagai warga yang bertanggungjawab disini saya ingin nyatakan kepada menteri ini bahawasanya setiap kenaikan tidak kira minyak atau apa juga yang perlu dibayar menggunakan Ringgit Malaysia akan menambah beban kepada rakyat.Tiada perkara dalam dunia ini yang naik tarifnya akan menyebabkan rakyat senang hati atau rakyat akan bertambah kaya.Ini bukan satu hukum yang baru saya rekacipta ini adalah hukum ekonomi yang wajib kita percaya.Menafikan perkara yang saya nyatakan ini samalah seperti mengatakan muka Charlie Chaplin adalah sama dengan Towkey Kedai Emas Poh Kong.

Tengah hari tadi saya telah membaca akhbar arus perdana dimana menteri ini sekali lagi berlabon memberitahu rakyat jelata bahawasanya harga barang keperluan asas tidak akan naik walaupun harga minyak telah naik secara mendadak.

Saya terus diulik resah gelisah yang berpanjangan seperti lagu Liza Hanim Gelisah Mimpi.Sudahlah kenaikan harga minyak meresahkan jiwa dan raga ditambah pula dengan kenyataan ‘ngok’ dari menteri ini menambahkan luka di dada.

Sekali lagi saya sebagai warga yang bertanggungjawab menyangkal dakwa-dakwi dari menteri ini.Saya menolak hujah-hujah dangkal yang khurafat sesat lagi menyesatkan ini.Mana logik akalnya.

Pada hemat saya, kenaikan minyak adalah tidak boleh disamakan dengan kenaikan harga emas di Kedai Emas Poh Kong.Ini satu perbandingan yang kurang waras.Kenaikan minyak akan menyebabkan kos pengeluaran dan kos operasi sesuatu produk itu meningkat kerana setiap produk yang dihasilkan memerlukan minyak untuk menggerakkan mesin dan perlu menggunakan kenderaan untuk dihantar ke kedai.Kesemuanya memerlukan minyak.Tidaklah saya ketahui jika ada syarikat yang bangang menghantar barang menggunakan kerusi roda atau kasut beroda Apek Senario.

Sudah pasti jika harga minyak dinaikkan, harga barang-barang juga akan turut serta naik termasuk tambang bas, tambang teksi dan harga ikan talapia.Menahan kenaikan harga barang ini samalah seperti cerita klasik Singapura menahan serangan todak menggunakan betis.Maknanya, ia hanyalah kerjaan yang sia-sia.

Saya menyeru warga yang bertanggungjawab supaya bersama-sama saya menyangkal dakwa-dakwi yang cuba memperbodohkan minda kita.Marilah kita bersama-sama wujudkan satu kempen “Jangan Jadi Bodoh’ sebagai tanda protes kepada kenyataan yang bebal ini.

Ditanya mengenai cadangan memotong elaun menteri sebagai langkah penjimatan, beliau (menteri itu) berkata, jumlahnya terlalu sedikit dan meminta orang ramai tidak membuat cadangan berdasarkan emosi

- Dipungut dari Berita Harian 9 Jun2008


Melalui berita yang saya pungut dari akhbar tempatan ini secara tidak semena-mena warga kita telah diklasifikasikan sebagai warga yang emosi.Sudahlah membuat kenyataan yang bebal kini rakyat pula telah disalahkan.Emosi ini adalah satu tindakan yang tidak mengikut akal yang waras.Sekali lagi saya menolak dakwa-dakwi menteri yang dangkal ini.Apa dia ingat ini negara dia yang punya? Saya mula meragui tugasnya sebagai menteri.Ingin membela nasib rakyat atau ingin cari pasal?

Dalam menghadapi krisis minyak yang sangat dasyat ini, tiba-tiba saya teringat kepada kisah lori kambing.Ketika itu saya bersekolah dan tinggal di asrama.Setiap dua minggu saya dibenarkan keluar ke bandar.Pernah beberapa kali saya menumpang lori yang membawa kambing untuk ke bandar.Saya menumpang lori ini adalah untuk menjimatkan tambang kerana pakcik lori kambing ini tidak pernah menyamun wang saku saya tidak seperti prebet sapu yang sentiasa berkeliaran di depan sekolah menunggu mangsa.Apakah kini dengan kenaikan harga minyak yang melampau pakcik lori kambing masih tidak mengenakan tambang kepada junior-junior saya?

Jadi, jika saya diberi pilihan sama ada untuk makan tengahari dengan pakcik lori kambing atau minum petang dengan menteri ini di Starbuck sudah pasti saya akan membuat pilihan untuk bersama pakcik lori kambing kerana dia ternyata lebih berhati perut.

Monday, June 9, 2008

Tamadun Minyak Hampir Ke Penghujung


Saya telah tinggal di asrama ketika zaman persekolahan.Tinggal di asrama bukanlah satu perkara yang menyeronokkan.Kadang-kadang tinggal di asrama ini saya samakan dengan tinggal di dalam Zoo Negara.Saya menghadapi pelbagai masalah ketika di asrama tetapi tidak mengapalah sebab saya bukan anak bangsawan untuk hidup selesa dari tinggal di Zoo Negara.

Salah satu masalah yang saya hadapi ketika di asrama ialah krisis makanan.Saya amat jarang makan di dewan makan sekolah.Saya hanya akan ke dewan makan ketika minum petang sahaja selain dari itu saya jarang bertandang ke sana.Ini adalah disebabkan makanan yang disajikan adalah amat tidak menggiurkan saya.Bayangkan jika kita makan nasi yang lebih keras dari beras atau mengunyah ikan goreng lebih garing dari batu jalan, saya fikir jika Slobodan Milosevic sempat bersekolah bersama saya sudah pasti abang-abang dan kakak-kakak dewan makan ini akan mendapat penampar percuma dari Serbia.

Jadi seboleh-bolehnya saya akan menolak untuk bertandang ke sana.Jika saya bertandang juga itu bermakna bukan kerana makanan tetapi kerana dewan makan sekolah kami berkongsi dengan pelajar perempuan.Kantin sekolah dan dewan makan adalah dua lokasi yang berbeza.Kantin berada di sekolah manakala dewan makan terletak di asrama.

Untuk mengelakkan krisis kebuluran, saya hanya makan di kantin sekolah atau koperasi asrama, malangnya koperasi dan kantin ini tidak dibuka dalam jangka masa yang panjang, malahan saya tidak mempunyai cukup wang untuk membeli makanan selalu.

Apabila saya menolak untuk makan di asrama, bermakna saya akan lapar apabila malam kunjung tiba.Saya tiada pilihan lain selain dari mencari tokan megi.Di kalangan rakan saya di asrama, ada yang menjadi peniaga berjaya.Saya katakan berjaya kerana mereka berjaya menyeludup megi secara besar-besaran ke dalam sekolah untuk berniaga tanpa dihidu oleh pihak berkuasa sekolah.Apa yang mengagumkan saya ialah cara mereka berniaga ini mengikut hukum ekonomi dan mereka berjaya dengan hukum itu.Saya sungguh kagum.Kekaguman itu adalah sama seperti mana saya kagum dengan rakyat Amerika yang berjaya ditipu oleh George W. Bush hidup-hidup.Kekaguman saya juga ialah dimana mereka begitu berdikari berniaga tanpa melibatkan dokumen sokongan ahli parlimen mahupun kuota bumiputera mahupun AP dari kerajaan.

Suatu malam saya begitu lapar, lalu saya pergi mencari tokan megi ini.Saya telah berniat malam itu untuk makan megi kerana duit sudah semakin berkurangan untuk membaham lauk di kantin sekolah.Apa yang mengejutkan saya ialah apabila diberitahu oleh tokan megi yang harga megi malam itu telah naik melambung dari 50 sen ke RM2.Saya sudah berkira-kira ingin mengadakan demonstrasi jalanan di perkarangan asrama untuk membantah kenaikan harga megi.Nasib baik si tokan megi ini cepat menerangkan hukum ekonomi yang dianutinya, maka saya diwajibkan untuk memahami hukum ekonomi itu.

Kenaikan harga megi ini berpunca dari kekurangan bekalan megi yang diseludup dari luar.Kenaikan ini disebabkan bekalan megi telah putus, jumlah megi telah berkurangan tetapi orang yang senasib dengan saya lapar ketika malam tiba begitu ramai.

Pada mulanya saya tidak percaya tetapi apabila melihat dari senarai orang yang menempah megi saya mulai percaya.Jadi untuk mengelakkan perebutan megi berlaku si tokan megi ini telah membuat peraturan.Peraturannya ialah siapa yang menawarkan harga megi paling tinggi akan dapat hak mutlak membaham megi tersebut.Tawaran boleh dibuat sehingga menjelang tengah malam.Akhirnya dalam keadaan lapar saya terpaksa mengalah dengan tuntutan hukum ekonomi ketika itu dan mendapat hak mutlak membaham megi dengan harga RM2 sebungkus.Situasi inilah yang dipanggil hukum ekonomi.

Jadi apabila harga minyak naik di pasaran dunia saya tidak terkejut.Ini adalah kerana hukum ekonomi menjadikan ianya sedemikian rupa.Lagipun sejak akhir-akhir ini menaikkan harga minyak di negara kita telah mula menjadi warisan agung dan nilai seni.

Kini harga minyak dunia sudah melintas AS$138 satu tong.Kenaikan minyak ini di pasaran dunia adalah kerana faktor minyak yang sudah kehabisan di dalam perut bumi.Kita perlu menyedari bahawasanya kuantiti minyak di dalam perut bumi semakin hampir pupus.Minyak adalah sumber ekonomi yang tidak boleh diperbaharui.Maka kita seharusnya menerima qada’ dan qadar dengan hati yang terbuka.

Cuma yang pasti semahal mana pun megi yang dibeli, ia tidak perlu dimasak menggunakan minyak.


*tokan megi ialah penjual megi di asrama sekolah secara haram tanpa permit dari warden asrama


Sunday, June 8, 2008

Buku Yang Dicari Telah Dijumpai


Buku yang diidam-idamkan telah pun dijumpai.Jenuh mencari akhirnya bertemu di Jusco Bukit Raja Kelang.Kepada Hishamuddin Rais terima kasih kerana membantu.Kepada Cik Shazzy dan Cik Tini terima kasih kerana maklumat yang cukup berguna.Kepada Si Jantung Hati terima kasih kerana berjaya mengharungi jalan kesesatan di Kuala Lumpur ke Bukit Raja.Percayalah cahaya akan sentiasa berada di hujung terowong.

Tuesday, June 3, 2008

Gades Jepun Yang Indah


Semasa saya kecil balik ke kampung ketika musim cuti sekolah adalah menjadi satu aktiviti wajib.Saya sungguh gembira kerana akan berjumpa dengan datuk dan nenek.Kadang-kadang dengan kesibukan ayah saya pulang sendiri menaiki bas ‘ting-tong’.Begitulah fanatiknya saya pulang ke kampung.

Di kampung, saya berpeluang menjadi budak kampung tulen.Mengikut datuk ke ladang kelapa sawit, memancing, menjala, mencari kulat, membantu nenek menjual nasik lemak dan cendol, berbasikal bersama rakan sebaya meredah hutan dan mengorat anak Pak Hasyim yang putih melepak yang kini sudah beranak dua adalah kenangan manis yang tidak mungkin saya lupakan sepanjang hidup.

Di sebelah kampung saya ada sebuah perkampungan lain yang diduduki oleh masyarakat Cina dan India.Perkampungan ini terletak di pinggir hutan perantaraan ke sebuah daerah lain.Orang-orang Melayu akan pergi ke perkampungan ini untuk membaiki motosikal, membeli peralatan elektrik atau ingin menge'teh'.Kedai-kedai pomen dimonopoli oleh Orang Cina.Manakala kedai makan atau minum dimiliki oleh Orang India atau Mamak’.Kedai mamak ini mepunyai tarikan yang tersendiri.Ia akan sentiasa membuka panggung gusti, dimana Hulk Hogan akan membelasah Andre The Giant dan akhirnya Andre The Giant yang besar itu akan kalah jua di tangan Hulk Hogan.Semua ini adalah kehidupan di kampung saya.

Saya tidak peduli sama ada Bret Hart akan datang membantu Hulk Hogan untuk menghayun Andre The Giant ke bawah gelanggang.Saya juga tidak peduli sama ada Pak Aji sanggup melengah-lengahkan sembahyang asar untuk menunggu Andre The Giant dihayun ke bawah gelanggang.Semua itu saya tidak peduli dan semua itu tidak ada kena mengena dengan pengajaran sains dan matematik di dalam Bahasa Inggeris

Apa yang menjelikkan saya ialah perangai Orang Melayu bila mereka datang ke perkampungan ini.Identiti dan fikrah Melayu akan terus berubah.Orang Melayu ini apabila datang ke kedai Cina akan bercakap melayu dalam dialek pelat cina.Malah ada yang lebih pelat cina dari orang cina.Jika Mereka ke kedai mamak, dialek mereka bercakap mengikut telor mamak.Ada juga yang lebih mamak dari mamak.Bagi saya ini adalah satu penghinaan kepada Bahasa Melayu.

Mengapa kita harus bercakap seperti Cina berbahasa Melayu? Mengapa kita perlu bercakap seperti mamak berbahasa Melayu? Adakah kita akan dapat diskaun 50% dari harga barang yang dibeli kerana melacurkan Bahasa Melayu.Ini yang saya cukup tidak faham.Jika anda masih ragu-ragu mulai hari ini anda bolehlah pergi ke kedai Cina atau India dan tunggulah Orang Melayu datang dan berbicara dengan mereka.Anda akan bertemu dengan spesis ular berkepala buaya ini.

Dunia sudah terbalik.Seharusnya kita sebagai Orang Melayu dengan hati tulus ikhlas membantu Orang Cina dan India menggunakan Bahasa Melayu dengan betul.Sepatutnya mereka yang mengikut kita menggunakan Bahasa Melayu dengan betul.

Satu ketika sedang saya beratur menaiki Roller Coaster di Disneyland Tokyo di Jepun, saya telah terlihat seorang minah Jepun yang sangat indah memberi senyuman manis kepada saya.Saya pun berkenalanlah dengan minah Jepun yang sangat indah itu.Dia memperkenalkan dirinya sebagai Maiko.Cik Maiko.Apa yang mengejutkan saya, ketika berkenalan dia telah menggunakan Bahasa Melayu dengan fasih.

Dia berbahasa Melayu tanpa menggunakan susun atur Bahasa Jepun mahupun Cina ataupun India.Dia berbahasa Melayu sama seperti ibu saya.Melihat saya kehairanan dia telah membuka rahsia bahawasanya dia adalah bekas penuntut universiti di Malaysia selama beberapa tahun.

Bayangkan dalam masa beberapa tahun sahaja si minah yang indah dari Jepun ini telah pandai berbahasa Melayu bukan sahaja berbahasa Melayu tetapi bahasa pasar juga.Saya mengandaikan bahawasanya Cik Maiko ini adalah lebih berjiwa Melayu dari spesis ular berkepala buaya.

Monday, June 2, 2008

Kelas Pencerahan Professor Kangkung : Dari Rumah Yang Sempit

Kelas pencerahan diteruskan bersama Encik Azmi merungkai permasalahan masyarakat Melayu kini.Dia mula berlabon mengenai gejala yang lapok lagi membosankan iaitu rempit.Setiap kali saya mendengar perkataan rempit ini saya merasa loya dari bahagian esofogus hingga ke hujung lidah, loya bukan kerana perut saya sudah berisi bayi tetapi loya disebabkan banyak kepercayaan karut yang dipesongkan kebenaran.Tidak perlu membuka Kitab Tuhfat An-Nafis, Bustanus Salatin atau Hikayat Merong Mahawangsa.Mari mendengar saya berlabon mengenai gejala rempit ini.

Saya menafsirkan bahawa rempit adalah gabung jalin antara perkataan REMpuh dan himPIT.Virus rempit ini hanya berjangkit di kalangan anak muda sahaja tetapi bukan untuk warga tua yang mempunyai kuasa.Apabila jangkitan hanya menular di sekitar anak muda maka anak mudalah yang menjadi sasaran tohmah dan caci maki.

Tetapi mengapakah ini berlaku? Banyak sekali faktor yang menyebabkan berlakunya gejala ini tetapi apa yang ingin saya surahkan pastinya faktor pendorong atau ejen pendesak yang paling dekat dihati jiwa nurani saya.

Di kampung saya, gejala ini amat berleluasa tetapi ianya hanya berjangkit di kalangan keluarga kelas bawahan iaitu keluarga yang berpendapatan rendah.Apakah sebab musababnya? Sebabnya mereka ini tinggal di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).Mengapa Di PPRT gejala ini berlaku? Ini adalah kerana di PPRT yang dibina oleh golongan tua yang berkuasa hanya menempatkan dua bilik.Secara logiknya satu bilik untuk ibu bapa manakala satu lagi bilik untuk anak-anak perempuan.Jadi dimanakah anak-anak lelaki ditempatkan? Anak-anak lelaki akan tidur di depan tv, di ruang tamu, di sebelah peti ais, di tepi tandas.Ini adalah kerana saiz rumah yang begitu kecil dan bilik yang terhad.

Keadaan ini telah merimaskan anak-anak lelaki.Mereka akan mencari jalan penyelesaian untuk menghilangkan perasaan rimas yang menghantui mereka.Harta keluarga yang mereka ada pastinya hanyalah motosikal kapcai kerana tidak mampu untuk membeli kereta berjenis Mercedes Benz Brabus.Mereka akan menggunakan motosikal kapcai hak milik warisan keluarga dengan cara yang paling efektif.Mereka akan berkumpul bersama anak muda lain yang senasib dengan mereka untuk mula berpesatuan dan melakukan aktiviti.Ibu dan bapa pula lebih senang anak-anak tidak berada di rumah kerana keadaan rumah yang sempit lagi menyesakkan kepala otak mereka.

Dari sinilah gejala-gejala busuk dan hamprak ini bermula.Jika anda masih ragu-ragu, seelok-eloknya anda perlulah mendaftar menjadi pegawai rukun tetangga atau menjadi Ahli Jawatankuasa Kemajuan Kampung untuk menyiasat dakwaan saya ini.Apabila mereka mula berkumpul dan berpesatuan dengan hanya motosikal untuk ditunggang maka wajiblah kita percaya gejala rempit ini telah muncul.Maka merayakan kemudaan dengan bermotosikal pun bermula

Dari sinilah punca gejala ini berlaku.Siapakah yang dipersalahkan? .Siapakah yang mereka bentuk rumah untuk golongan berpendapatan rendah? Kontraktor manakah yang membina perumahan PPRT ini? Kuasa ghaib manakah yang meluluskan perumahan ini? Siapakah yang menyediakan dana perumahan ini? Kesemuanya adalah kerja Warga Tua yang mempunyai kuasa.Tetapi anehnya mereka tidak dipersalahkan walaupun puncanya dari warga tua yang mempunyai kuasa.

Bagi saya ini adalah satu ketidakadilan yang melanda anak muda seperti saya yang sentiasa dipersalahkan atas malapetaka negara yang berlaku.

Dengan itu, saya menyeru marilah wahai anak-anak muda kita mempertahankan diri kita dari dibongsaikan fikrah dan akal kerana hanya kita sahaja warisan yang ada yang bisa mendobrak dunia ini.