Monday, November 3, 2008

Antara Tanda Dan Makna Sistem Ekonomi Kapitalis Dan Fikrah Akhbar Melayu

Kah kah kah. Buat lawak lagi. Rasa saya sudah beratus lawak yang dibuat. Tapi kali ini lawak yang paling ‘cool’. Saya terbarai ketawa. Saya terbarai dengan kuat. Sebelum ini jiran saya pernah membuat aduan mengenai rumah saya yang selalu bising dengan ketawa. Jiran saya ini mengatakan dia tidak lagi tahan untuk menahan segala barai ketawa saya.

Kah kah kah. Jiran saya memang tidak ‘cool’. Rasa saya jiran sebelah rumah flat lima tingkat ini mula khuatir dengan tahap kewarasan sosok tubuh saya. Mungkin esok atau lusa jiran saya ini akan berpindah. Mungkin petang ini anak-anak jiran saya ini tidak lagi dibenarkan bertentang mata dengan saya. Mungkin anak-anak kucingnya akan dikurung dari berjumpa dengan saya. Kah kah kah.

Sebenarnya saya terbarai ketawa kerana dunia kini sedang membawa tanda dan makna. Alam sentiasa memberi tanda dan makna kepada kita sebagai manusia. Tetapi kerana keangkuhan kita sebagai manusia kita tidak lagi mahu bersahabat dengan alam. Percaya atau tidak dengan kesah klasik melayu kuno? Katak memanggil hujan. Alam memberi tanda jika katak bernyanyi maka itu memberi tanda hujan akan turun. Jika langit gelap bermakna petani-petani akan diberi rezeki – hujan akan turun tanah akan subur. Jika bulan penuh, air dilaut pasang dan kita berada ditengah-tengah kalendar hijrah. Bulan penuh – boleh mencandat ketam. Pada masa ini ketam isinya penuh. Apabila angin kencang musim tengkujuh timur laut di Laut China Selatan mula reda – sotong akan mengawan dan bertelur. Inilah masa sesuai untuk mencandat sotong. Alam sentiasa membantu kita untuk menyelesaikan masalah. Sebelum adanya kompas. Ibn Batutta belayar mengelilingi dunia ini menggunakan arah bintang. Bukankah ini cukup jelas kepada kita bahawa alam memberi tanda dan makna? Adakah begitu sukar kepada kita untuk memahaminya?

Kini sistem ekonomi kapitalis sedang memberi kita tanda dan makna. Sistem ekonomi kapitalis sedang mengalami kemelesetan. Sistem ekonomi kapitalis dunia diterajui oleh Amerika, Britain dan Yahudi. Ketiga-tiga malaun ini sedang mengalami krisis yang tenat. Lebih tenat dari krisis kewangan 97/98 dimana Anwar Ibrahim ketika itu telah dihumban ke dalam jeriji besi. Krisis ini telah membawa kepada kerugian lembaga-lembaga syarikat dan lembaga-lembaga bank elit. Untuk menyelamatkan lembaga-lembaga syarikat dan lembaga-lembaga bank ini, kuasa daulah terpaksa menggunakan dana yang ada iaitu wang rakyat. Jika sesebuah negara menggunakan wang rakyat untuk menyelamatkan lembaga-lembaga syarikat atau lembaga-lembaga bank, itu memberi tanda dan makna negara itu sedang mengalami krisis. Ini bukan hukum dari Gordon Brown tetapi ini adalah hukum ekonomi.

Kongress Amerika telah meluluskan dana negara sebanyak 700 bilion dolar untuk membantu lembaga-lembaga bank yang berkemungkinan jatuh muflis. Di Britain Perdana Menteri Gordon Brown telah meluluskan 500 bilion pound sterling untuk tujuan yang sama. Sebuah lembaga penyimpan/peminjam dana Northern Rocks telah di hak miliknegarakan oleh kerajaan Parti Buruh Gordon Brown.

Apabila krisis sistem ekonomi kapitalis ini sampai, kadar inflasi akan meningkat naik. Permintaan untuk barangan dikurangkan. Ini memberi tanda dan makna perusahaan akan mengurangkan pengeluaran. Keuntungan telah menurun, pekerja akan kehilangan pekerjaan. Gaji tidak mampu lagi dibayar. Berita terbaru hampir 50,000 pekerja Malaysia berdepan risiko dibuang kerja di Singapura.

Krisis ekonomi ini memberi tanda dan makna peperangan yang dihalakan oleh Amerika, Britain dan Yahudi ke atas Iraq, Afghanistan dan Palestin menemui kegagalan. Memang betul Saddam Hussein sudah menjadi arwah. Osama Laden hilang ghaib di Tora Bora dan Abdel Aziz Rantissi sudah menemui ilahi di Nazareth. Tetapi itu hanya kemenangan sementara pihak-pihak malaun ini. Apa yang perlu kita sedari sebagai rakyat dunia ialah perang memerlukan perbelanjaan yang besar - kemusnahan harta dan nyawa. Jika perang yang semakin melebar ini merebak ke negara-negara jiran – perang akan menjadi semakin parah. Maka semakin besarlah belanja perang yang terpaksa ditanggung oleh daulah kapitalis. Perbelanjaan besar akibat perang ini boleh mempercepatkan keruntuhan sistem ekonomi kapitalis.

Sistem ekonomi kapitalis menggunakan Dolar Amerika sebagai tukaran wang. Sistem ekonomi kapitalis menggunakan dolar Amerika di dalam urusniaga – termasuk minyak yang dikorek dari perut bumi di Terengganu hingga ke Sudan. Penggunaan Dolar Amerika juga akan menyebabkan negara yang bergantung kepada ekonomi Amerika akan mengalami kemelesetan ekonomi. Sebarang dagangan menggunakan Dolar Amerika oleh negara-negara lain akan turut sama terjebak di dalam krisis ini.

Kini rakyat dunia tidak lagi mahu menggunakan Dolar Amerika sebagai wang tukaran. Kini rakyat dunia sudah hilang keyakinan terhadap Dolar Amerika. Keadaan ini sama seperti gerombolan United Malays National Organization yang sudah hilang keyakinan terhadap Abdullah Badawi. Warga dunia sudah meluat melihat wang kertas Dolar Amerika. Keadaan ini sama seperti gerombolan United Malays National Organization meluat melihat muka Khairi Jamaluddin.

Maka nilai Dolar Amerika akan jatuh. Sistem ekonomi kapitalis akan rebah dan runtuh rantah. Saddam Hussein telah menjadi arwah bukan kerana beliau mempunyai senjata pemusnah tetapi kerana mamat ini telah meninggalkan tukaran wang Dolar Amerika. Iran yang menjadi musuh ketat Amerika kini sudah lama ingin meninggalkan tukaran Dolar Amerika. Venezuela bukan sahaja mempunyai gades-gades manis di tepi pantai yang seksi-meksi tetapi mereka juga telah lama membaraikan Dolar Amerika ini.

Negara kita juga mempunyai jalur perniagaan dan ekonomi dengan lembaga-lembaga daulah di Amerika Syarikat. Ekonomi kita juga saling bergantungan dengan ekonomi Amerika Syarikat. Negara kita juga akan mengalami tempias jika ekonomi dunia terus berlanjutan sedemikian rupa.

Tetapi apa yang telah membuatkan saya terus terbarai ialah pemimpin-pemimpin besar negara kita telah menafikan bahawa negara kita berada di dalam krisis. Mereka menafikan sekeras-kerasnya negara kita akan terjerumus di dalam kancah krisis ekonomi dunia. Mereka mengatakan negara kita mempunyai jalur ekonomi yang mampan dan berdaya tahan. Kah kah kah. Ini satu lawak yang cukup ‘cool’. Semua negara atas muka bumi ini mengalami krisis ekonomi yang tenat . Tetapi negara kita Malaysia tidak mengalaminya. Kah kah kah. Apakah teori ekonomi pemimpin negara kita pakai? Rasa saya pemimpin-pemimpin besar yang menguasai daulah kita ini patut menjadi Pengerusi Bank Dunia. Selepas itu rakyat dunia akan menjadi selamat, aman dan makmur kerana tiada lagi krisis ekonomi. Kah kah kah. Alangkah beruntungnya kita menjadi rakyat di yang bertuah ini. Negara ini mempunyai benteng yang kukuh untuk menghalang krisis ekonomi dunia dari terus menjalar. Poodah!

Apa yang menjadikan saya terus-menerus terbarai ketawa ialah lawak ini terus-menerus menular. Semalam saya telah membaca satu laporan dimana Kerajaan Malaysia telah meminjam RM 5 billion dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menyuntik dana sebuah syarikat pelaburan Valuecap Sdn Bhd untuk dilaburkan – mungkin dileburkan di bursa saham. Kah kah kah. Apa punya tur. Nak buat apa dengan RM 5 billion ini? Nak beli penyapu? Khir Toyo sudah belikan. Kah kah kah atau nak tampal atap parlimen yang bocor? Samy Vellu sudah tampalkan. Kah kah kah. Nak tampal Samy Vellu? Warga Sungai Siput sudah tampalkan. Kah kah kah.

Rakyat Malaysia diberitahu negara ini tidak mengalami krisis ekonomi dunia. Sistem yang dipakai oleh negara ini bukan kapitalis? Rakyat Malaysia diberitahu ekonomi negara semakin kukuh. KDNK terus melonjak. Inflasi paling rendah seantero dunia. Negara terus kaya-raya. Kah kah kah. Singapura yang lebih kaya lima kali ganda juga mengalami kemelesetan ekonomi. Tetapi negara kita yang lebih kaya dari Bangladesh dan Ivory Coast masih tetap utuh. Ini betul-betul ajaib.

Pada hemat saya ramai diantara warga kita yang semakin pening kepala dan mungkin mengalami serangan jantung. Ini kerana mereka terpaksa membaca laporan yang berlainan dari setiap helaian akhbar. Mungkin sudah ada yang naik sasau atau gila. Laporan menulis tentang ekonomi yang semakin kukuh. Muka surat sebelah laporkan kerajaan pinjam duit rakyat untuk pelaburan di bursa saham. Laporan mengatakan negara stabil. Esok warga membaca laporan kerajaan tidak jadi membeli helicopter kerana krisis ekonomi dunia. Harga minyak tak boleh dinaikkan. Lepas pilihanraya harga minyak naik mencanak. Pilihanraya tidak akan diadakan tahun ini. Sidang akhbar keesokannya memberitahu pilihanraya lagi dua minggu. Bernanah otak meleleh sampai ke lutut warga kita membaca laporan-laporan tahyul ini.

Saya tidak mahu menjadi gila dalam usia emas ini. Saya masih mahu merayakan kemudaan saya sebagai warga dunia. Ini kerana dunia ini milik anak semua bangsa. Untuk mengelakkan saya menjadi gila saya berjanji untuk tidak membaca surat khabar Utusan Malaysia dan Berita Harian. Mungkin selepas ini saya akan beralih kepada suratkhabar antarabangsa seperti Washington Post atau Jerusalem Post yang kelihatan lebih jujur. Ini memberikan kita tanda dan makna setiap laporan akhbar perlu dibaca dengan maksud terbalik Kah kah kah.

Friday, October 31, 2008

Nikmat Membuat

Hari ini cuaca redup
Tidak terlalu panas
Tapi perut berkeroncong tanda ia kosong
Tanda perlu ke dapur untuk memasak
Memasak untuk memenuhkan perut yang keroncong
Apa erti merdeka jika perut tidak dipenuhi dengan nasi?

Memasak bukanlah kerana pandai memasak
Memasak bukan juga disebabkan suka memasak
Memasak kerana menjimatkan dana
Dengan dana yang terhad tiada pilihan lain selain memasak

Mengapa kita selalu membeli?
Mengapa kita tidak memasak?

Memasak makanan sendiri mempunyai nikmat
Merasai nikmat memasak adalah erti kita merdeka

Memasak juga satu seni
Seni untuk memanipulasi masam masin manis pahit
Seni memerlukan daya imaginatif - daya untuk otak bergerak dan berpusing

Memasak adalah satu proses demokrasi
Makanan dibuat mengikut hati - masam manis masin pahit kita yang punya
Kebebasan untuk kita membuat makanan ini adalah satu proses demokrasi tulen
Kita merancang kita menentukan kita membuat pilihan
Bukankah itu satu nikmat dari yang maha esa ?

Memasak adalah satu proses membuat. Membuat adalah satu proses yang lebih murah dari membeli.
Menjadikan membuat lebih penting dari membeli adalah satu teori ekonomi yang cukup ampuh.
Teori ini lebih ampuh dari yang lain kerana ianya mempunya nikmat, seni dan demokratik.

Bayangkan jika kita tidak memasak
Bayangkan jika kita tidak membuat
Sama erti dengan negara yang tiada demokrasi
Sama erti dengan negara yang dijajah oleh aparat kolonial
Tiada ertinya hidup.

Esok sila buka dapur
Jemput sahabat handai
Mari merasa nikmat membuat
Rasai betapa nikmatnya sebuah demokrasi terhidang diatas meja makan.

Tuesday, October 28, 2008

Iklan Yang Tidak Diundang

Ada yang menganggap berlegar dan berpeleseran di gedung-gedung membeli belah adalah satu cara terbaik untuk membuang masa. Ada yang menganggap berlegar dan berpelesaran di gedung-gedung membeli belah ini merupakan satu aktiviti yang seronok dan menarik. Saya tidak menolak kenyataan ini dan pada masa yang sama saya terpaksa mengakuinya. Saya mengakuinya sebagai membuang masa yang sangat menyeronokkan.

Secara jujur saya sendiri dapat merasakan nikmat membuang masa beralih dari kedai ke kedai, dari tingkat ke tingkat dari bangunan ke bangunan dan dari gedung ke gedung. Saya mengakui melihat barang-barang yang dijual sangat memberahikan walaupun di akhir cerita saya tidak akan mampu untuk membeli barang-barang yang diperdagangkan itu. Saya tidak membeli bukan kerana saya tidak mempunyai nafsu untuk membeli-belah tetapi saya secara jujur dapat merasakan dana yang saya miliki tidak mencukupi untuk memiliki barang-barang dagangan itu.

Perangai suka berpindah dari satu kedai ke satu kedai lain ini bermula sejak saya kecil lagi. Pada asalnya saya suka berlegar dan berpeleseran di dalam gedung kerana dapat mendinginkan badan yang panas berjalan di bawah terik mentari. Sementara menunggu badan kembali normal saya akan berpindah dari satu kedai ke satu kedai yang lain.
Saya amat yakin dengan berpindah dari satu kedai ke kedai yang lain saya akan dapat mengetahui peredaran dunia. Saya dapat mengetahui permainan terbaru. Trend baju dan celana yang baru. Makanan yang enak. Juga buku terbaru.

Jika saya ditemuramah oleh Stephen Adam dari BBC antara kedai-kedai itu yang manakah menjadi pilihan saya. Saya secara jujur juga akan mengatakan kedai buku menjadi pilihan saya. Saya bukan ulat buku. Tapi saya tahi buku. Saya mengakuinya dengan jujur dan ikhlas.

Tetapi sejak akhir-akhir ini fenomena berlegar dan berpeleseran di gedung-gedung telah bertembung dengan budaya baru. Fenomena yang saya maksudkan ini semakin menjalar. Saya mengakui bahawa ianya mungkin telah lama berakar umbi. Tetapi akhir-akhir ini ianya dilihat begitu berkembang dan meluas.

Budaya baru yang saya maksudkan ialah budaya iklan yang tidak diundang. Ketika saya berlegar atau berpeleseran akan ada anak-anak muda yang akan mendekati saya untuk mengiklankan barang yang dijual oleh syarikat mereka. Biasanya gades manis yang akan datang mendekati saya. Gades manis ini adalah dalam kategori cun dan bergetah. Pada mulanya saya menjangkakan bahawa gades manis ini datang untuk berkenalan dengan saya kerana saya masih bujang dan berlegar seorang diri. Rupa-rupanya mereka datang untuk mengiklankan barang-barang yang dijual di dalam kedai mereka.

Ada yang datang ingin menjual kad prabayar. Ada yang ingin menjual nombor telefon pascabayar. Ada yang melemparkan saya senyuman manis dan kemudian menawarkan kad kredit. Ada yang datang lenggang lenggok menjual rumah yang belum siap. Ada yang datang lemah gemalai menjual cermin mata. Ada yang menjual lampu suluh untuk menyuluh gigi buaya. Ada yang menjual alat menjimatkan minyak. Ada yang menjual tiket kapal terbang ke Karachi. Ada yang menjual tiket kapal laut ke Kandahar .Seribu satu macam barangan datang menjalar di depan saya. Yang tidak dijual hanyalah tiket untuk menjadi menantu Perdana Menteri.

Paling melucukan ada seorang gades manis yang cun dan bergetah memberi saya helaian kertas. Pada mulanya saya telah menolak dengan baik helaian kertas itu. Tetapi gades manis itu terus mengekori saya. Gades manis itu menyuruh saya baca terlebih dahulu helaian kertas itu dan jangan berprasangka buruk terhadapnya. Lagipun dia memang cun dan bergetah. Saya mengalah atas desakannya. Apabila saya membaca dan memahami isi butir helaian itu saya telah terbarai ketawa dengan kuat. Kahkahkah.

Minah yang cun dan bergetah ini mula panik dan menggelabah. Helaian kertas ini menjemput saya untuk berjogging di hujung minggu. Aktiviti berjongging ini telah ditaja oleh gedung membeli belah tersebut. Kahkahkah. Saya mengatakan kepada gades manis ini jika saya ingin berjogging saya akan ke Taman Gelora atau Tasik Titiwangsa bukan ke gedung menjual baju dan celana. Lalu saya mengajaknya untuk keluar berdua berjogging pada sebelah petang keesokkan harinya. “Sudikah cik adik manis yang cun dan bergetah berjogging bersama abang esok petang?”. Akhirnya gades manis yang cun dan bergetah itu melarikan diri. Tinggallah saya keseorangan dengan ketawa yang belum sudah.

Kadang-kadang saya menjadi resah apabila berhadapan dengan anak-anak muda ini. Bukan niat saya untuk menghina pekerjaan mereka. Tetapi cara mereka mengendalikan dunia perniagaan ini bagi saya amat mengganggu ketenteraman saya untuk menikmati nikmat berlegar dan berpeleseran di kedai-kedai itu.

Selalunya mereka datang untuk memaksa saya membeli barang yang saya tidak perlukan. Bayangkan saya hanya keluar untuk melihat buku-buku yang sedang hangat di pasaran. Tetapi anak-anak muda ini datang untuk mengajak saya berjogging. Saya hanya keluar untuk membeli buku. Tetapi anak-anak muda ini datang untuk memperkenalkan saya lampu suluh untuk menyuluh gigi buaya. Bagi saya ini adalah satu penghinaan. Mengapa memperkenalkan barangan yang saya tidak perlukan.

Untuk melayan dan mendengar anak-anak muda ini berlabon mengenai kelebihan produk ini adalah cara terbaik untuk membunuh masa saya. Ada juga yang menghampiri untuk memperkenalkan barangan senaman yang harganya sama dengan harga tiket kapal terbang pergi balik ke Dublin. Kahkahkah. Saya tidak mempunyai dana sebanyak itu dan saya beranggapan saya telah membunuh masa jika meluangkan masa untuk mendengar mereka berlabon panjang.

Saya selalu bertanya kepada diri saya sendiri, dari manakah anak-anak muda ini belajar cara mengiklankan barangan? Universiti manakah yang mendidik anak-anak muda ini? Teori perniagaan yang mana satu yang mereka pegang dengan mundar mandir kehulu dan kehilir. Buku apa yang mereka baca? Professor kangkung manakah yang mengajar anak-anak muda berniaga cara begini? Ini bukan satu penghinaan. Ini adalah pertanyaan yang jujur. Pertanyaan ini saya ajukan kerana saya yakin bahawa saya ingin bercakap benar. Saya bukan seorang pakar rekonstruksi tetapi saya seorang realis.

Saya melihat pengunjung-pengunjung lain juga tidak ambil pot mengenai helaian kertas ini. Mereka mengambil helaian kertas untuk mengelakkan anak-anak muda ini bercakap lebih panjang lebar. Kemudian helaian kertas ini akan masuk ke tong sampah. Pada hemat saya ini satu perkara yang membazir dan membawa bencana. Pernahkan kita terfikir sudah berapa banyak pokok-pokok tumbang untuk membuat kertas yang akhirnya akan dimasukkan ke dalam tong sampah tanpa ada sebarang manfaat? Sudah berapa juta warga dunia ini kehilangan tempat tinggal akibat banjir besar yang asalnya dari tumbangnya pokok-pokok dan membawa kepada hakisan tanah? Sudah berapa banyak nyawa warga dunia hilang akibat tanah yang runtuh rantah? Sudah berapa banyak sungai-sungai musnah akibat tercabutnya pokok-pokok dari bumi ini untuk membuat kertas? Ini persoalan yang wajib kita sebagai warga dunia tanya dan halakan kepada batang tubuh kita.

Pada hemat saya kedatangan iklan yang tidak diundang ini sebenarnya mendatangkan tekanan sosial. Saya tidak lagi tenteram untuk berlegar dan berpeleseran. Setiap kali saya berpindah dari kedai ke kedai saya terpaksa memikirkan cara bagaimana untuk melepasi halangan-halangan dari iklan yang tidak diundang ini. Untuk memikirkannya membuatkan saya berisiko mendapat serangan jantung.

Jika saya tidak ambil peduli tentang anak-anak muda ini pasti saya akan dianggap menghina Ketuanan Melayu atau tidak berhati perut atau tidak cemerlang, gemilang dan terbilang atau tidak mempunyai nilai-nilai murni atau tidak belajar sivik ketika bersekolah. Jika saya melayan mereka sudah pasti saya akan dipaksa untuk membeli barangan yang saya tidak perlukan. Ini membuatkan saya betul-betul resah.

Mungkin selepas ini saya akan berlutut di hadapan Presiden Parti Cap Kapal Layar untuk memohon menjadi calon dalan pilihanraya. Jika saya menang saya berjanji untuk membawa permasalahan saya ini ke Dewan Rakyat untuk di perdebatkan.

Mungkin selepas ini juga saya akan menyediakan jawaban yang lengkap untuk mengelakkan diri dari dikerumuni gerombolan anak-anak muda ini. "Cik adik yang cun dan bergetah. Abang tidak perlukan barang-barang ini semua. Semuanya sudah tersedia. Abang hanya perlukan cik adik yang cun dan bergetah untuk menjadi suri rumah" kahkahkah.

Friday, October 24, 2008

Mari Anak Muda Kita Bersolidariti

Esok - 24 Oktober - selepas solat jumaat akan diadakan tunjuk perasaan di Bukit Timbalan Johor Bahru untuk membela nasib peneroka kota iaitu penduduk Kampung Baru Plentong yang mana rumah dan tanah mereka telah diroboh dan dirampas.

Rakyat ini hidup melarat. Dari berumah sekarang tiada tempat berlindung. Musim hujan mereka akan lenjun. Musim panas mereka akan garing. Mujur bunga sakura dan salji tidak melanda tanah ini. Mereka tiada tempat berteduh. Tiada dapur untuk makan. Tiada alas untuk lena. Beratapkan langit beralaskan bumi berdindingkan angin.

Ketidakadilan ini harus kita baraikan. Ketidakadilan ini harus kita dobrak bersama. Mari kita bersolidariti untuk memberi sokongan kepada peneroka kota yang ditindas lembaga-lembaga daulah. Ayuh anak muda.

Monday, October 20, 2008

Anak-Anak Kecil, Masjid Dan Jumaat

Ketika saya menulis ini, hari Jumaat telah sampai. Apabila Jumaat sampai telah menjadi tradisi kita untuk memakai baju melayu, sampin dan songkok. Ini bukan atas arahan Majlis Perbandaran Hulu Kinta tetapi ianya telah menjadi budaya sejak dari saya dulu lagi. Sejak dari sekolah rendah sehingga saya kini menjadi seorang warga yang bertanggungjawab ia terus menjadi tradisi.

Jumaat telah sampai. Jumaat menjadi begitu penting sekali di kalangan masyarakat Melayu yang beragama Islam. Sambutan Jumaat di negara ini sungguh meriah. Hari Jumaat adalah hari untuk berkumpul dan berjemaah di masjid. Ini peluang untuk kita anak semua bangsa bersama-sama, kenal-mengenal dan bersalam-salaman. Ini membawa tanda dan makna kita bersyukur kepada Yang Maha Esa dan ini membawa tanda dan makna kita merayakan kehidupan.

Apabila Jumaat sampai, masjid menjadi begitu sinonim sekali. Masjid menjadi tumpuan. Rasa saya ianya juga sama di tempat-tempat lain seperti Karachi, Riyadh, Cordova, Valencia mahupun Sarajevo. Warga akan berpusu-pusu memeriahkan masjid. Disini tiada makanan yang disediakan. Tiada minuman yang dihidangkan. Yang ada hanyalah permohonan doa dan ritual sembahyang untuk Yang Maha Esa.

Sejak saya kecil setiap hari jumaat lagi saya telah ke masjid untuk menunaikan Solat Jumaat. Ini telah menjadi kewajiban bagi saya. Jika saya tidak ke masjid saya akan ditibai oleh ibu saya. Saya tidak mempunyai keberanian untuk berpeleseran ke tempat-tempat lain. Ini kerana mengikut cerita nenek saya, tuhan akan mencampakkan orang yang tidak sembahyang ke dalam api neraka. Kata-kata dari nenek betul-betul menghantui saya. Ini betul-betul membuatkan saya potong stim untuk ponteng sembahyang jumaat dan melepak bersama kawan-kawan di bawah pohon jambu.

Tetapi sebagai anak kecil, saya merasakan kami telah diabaikan. Kami sebagai anak-anak kecil tidak diberikan perhatian sewajarnya. Kami anak-anak kecil selalu diperlekehkan. Kami anak-anak kecil selalu dianaktirikan oleh warga yang datang ke masjid. Pada hemat saya ini adalah satu tindakan jenayah yang perlu kita sama-sama nafikan. Ini satu tindakan jenayah yang perlu sama-sama kita dobrak agar ianya pecah dan terbarai.

Ketika kecil telah dibina sebuah masjid yang indah lagi mahal di kampong saya . Masjid ini gah sekali pembinaannya. Setiap kali saya ke sekolah pasti melintasi kawasan ini dengan bas. Saya pasti akan memandang masjid yang sedang dibina ini. Setiap kali saya melaluinya saya akan bertanya-tanya bilakah agaknya masjid ini akan siap. Kami anak-anak kecil sudah tidak sabar lagi untuk mengunjungi masjid dan bersembahyang disitu. Memandangkan kawasan itu luas maka kami telah menjangkakan kawasan itu akan menjadi pot kami merayakan zaman kanak-kanak. Kami juga memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa agar masjid ini berjaya disiapkan dengan secepat mungkin untuk kami sama-sama merayakan pembukaannya.

Hari berganti hari. Minggu bersalin minggu. Bulan bertukar bulan akhirnya masjid yang indah lagi mahal ini telah siap dibina. Kami anak-anak kecil ketika itu merasa sungguh gembira dan bangga. Apa yang lebih menggembirakan kami ialah masjid itu dibina dua tingkat. Kami anak-anak kecil semuanya terperanjat kerana belum pernah melihat sebelum ini masjid yang mempunya dua tingkat. Mengikut cerita yang sampai ke telinga kami anak-anak kecil, jemaah perempuan akan sembahyang di tingkat atas. Maka hampalah perasaan kami anak-anak kecil untuk melakukan sesuatu yang baru di dalam hidup iaitu untuk bersembahyang di tempat yang lebih tinggi. Berita yang sampai ke lubang telinga kami betul-betul potong stim. Tiba-tiba salah seorang dari kami anak-anak kecil bersuara. Katanya kami anak-anak kecil mempunyai peluang untuk bersembahyang ditingkat dua pada hari jumaat. Ini kerana tiada jemaah perempuan pada hari jumaat. Kami anak-anak kecil terbarai ketawa dan melompat kegirangan.

Jumaat tiba lagi. Masjid sudah siap.Hari yang ditunggu oleh kami anak-anak kecil untuk bersembahyang telah sampai. Setelah sampai ke masjid dan ketika khatib mula ingin mengambil tempat untuk menyampaikan khutbah, kami anak-anak kecil telah memanjat tangga masjid untuk ke tingkat atas. Inilah impian kami untuk sembahyang di tingkat atas buat kali pertama dalam hidup. Kami anak-anak kecil sangat gembira. Sambil memanjat tangga kami anak-anak kecil mengintai ke bawah. Kelihatan jemaah-jemaah lain sedang mengambil tempat. Alangkah hebatnya kami anak-anak kecil dapat bersembahyang lebih tinggi dari biasa.

Apabila kami sampai sahaja dan menjejakkan kaki ke karpet biru berbelang kuning telah muncul seorang tua yang menjaga masjid. Mukanya amat garang dan memang tidak kacak. Mukanya ada iras-iras Encik Mugabe. Kami anak-anak kecil tidak pernah melihat dia tersenyum. Dia telah mengherdik kamil. Dia telah memarahi kami dengan suara lantangnya. Dia telah menyimbahkan air liurnya kearah muka kami. Semua mata tertumpu kearah kami. Kami anak-anak kecil tidak dibenarkan untuk menyibukkan diri di bahagian atas masjid. Ini kawasan untuk orang-orang tua sahaja. Akhirnya kami dihalau turun kebawah.

Mengapa anak-anak kecil ini diperlakukan sedemikian rupa? Kami telah dimarahi kerana kami anak-anak kecil tidak layak untuk bersembahyang di bahagian atas. Tempat untuk kami ialah dibahagian belakang masjid. Tempat untuk kami ialah di bahagian simen bukan berkarpet biru berbelang kuning. Tempat untuk kami ialah bersebelahan tempat untuk mengambil air sembahyang.

Lihat, tengok dan perhatikan. Kami anak-anak kecil telah didiskriminasikan di dalam rumah tuhan. Tujuan kami datang adalah untuk memohon dan memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa. Kami bukan datang untuk memohon kontrak memotong rumput masjid atau mengopak tabung masjid. Kami anak-anak kecil telah diherdik dan di diskriminasikan. Mengapa kami tidak boleh bersembahyang bersama orang-orang tua? Mengapa kami tidak boleh bersembahyang di tingkat atas? Ini arahan dari siapa? Siapa yang bertanggungjawab menulis undang-undang ini? Rasa saya ini bukan kerja Zaid Ibrahim kerana dia belum menjadi menteri undang-undang ketika saya kecil. Rasa saya ini juga bukan kerja Rais Yatim kerana pada masa ini dia masih menjadi ahli Semangat 46.

Mengapa kami hanya layak bersembahyang di atas simen? Mengapa kami hanya boleh bersembahyang di sebelah kolah mandi? Masjid ini mahal. Masjid ini indah. Tetapi kemahalan dan keindahannya adalah untuk orang-orang yang terpilih. Kami anak-anak kecil bukan insan yang terpilih. Kami anak-anak kecil dianggap tidak penting di dalam struktur sosial masjid.

Pada hemat saya ini adalah satu jenayah sosial yang perlu dihapuskan. Anak-anak kecil bukanlah untuk kita pandang hanya dengan sebelah mata. Anak-anak kecil ini adalah pewaris kepada agama, bangsa dan negara. Cerita ini adalah cerita benar. Saya tidak chutia. Ini bukan cerita siakap senohong gelama ikan duri bercakap bohong lama-lama boleh jadi menteri.

Sebenarnya sehingga kini saya masih tidak faham kenapa peraturan bebal mendiskriminasikan anak-anak kecil ini dikuatkusakan di dalam masjid. Sebenarnya sehingga kini saya masih tidak faham bila peraturan ini sampai? Saya amat yakin peraturan ini tidak akan sampai dari langit terus menjunam ke dalam masjid. Saya amat yakin peraturan ini sebenarnya mengundang bahaya dan merosakkan nilai budaya masyarakat kita.

Saya melihat peraturan-peraturan yang dibuat dan dikuatkuasakan di dalam masjid ini hanyalah propaganda sahaja. Peraturan-peraturan yang dibuat ini hanya untuk melihatkan tukang jaga masjid ini mempunyai kuasa dan boleh menggunakan kuasa yang ada. Semakin banyak peraturan yang dikuatkuasakan maka semakin besarlah kuasa yang ada bagi penjaga masjid ini. Peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan ini wajib kita tolak sama sekali. Peraturan perlu dikuatkuasakan melalui kaedah ilmiah untuk membentuk nilai budaya. Peraturan dikuatkuasakan bukan untuk mematikan nilai budaya. Peraturan yang baik akan menghasilkan nilai budaya yang baik. Peraturan yang tidak ilmiah akan menghasilkan budaya bobrok.


Pada hemat saya anak-anak kecil ini perlu diraikan sama-sama sebagai jemaah. Anak-anak kecil juga wajib kita didik dan bawa bersama di dalam arus jemaah. Anak-anak kecil perlu kita sama-sama rayakan. Ini bertujuan untuk memastikan mereka tidak diperlekehkan dan dipinggirkan. Memperlekehkan dan meminggirkan anak-anak kecil akan memandulkan minat mereka untuk terus ke masjid.

Lihat, tengok dan perhatikan. Peraturan-peraturan untuk menyusun atur jemaah masjid kini semakin pecah dan terbarai. Hasil dari peraturan-peraturan diskriminasi ini boleh kita lihat setiap kali sembahyang jumaat. Anak-anak kecil kini mula memperlekehkan peraturan-peraturan yang suatu ketika dahulu memperlekehkan mereka. Mereka tidak lagi seperti generasi dahulu. Datang untuk memohon doa, datang untuk memperhambakan diri kepada Yang Maha Esa. Kini mereka anak-anak kecil tidak lagi ambil pot apa yang dikhutbahkan. Anak-anak kecil ini tidak lagi mahu bersembahyang bersama. Mereka lebih suka berkhutbah sendiri di luar masjid. Mereka lebih selesa melepak diluar rumah tuhan dari melangok mendengar tukang jaga masjid berlabon. Kah kah kah. Semua sudah pecah dan terbarai. Jalan menuju ke syurga bukan milik tukang jaga masjid dan orang-orang-orang tua sahaja. Jalan menuju ke syurga juga adalah milik anak-anak kecil kerana dunia ini milik anak semua bangsa.

Wednesday, October 15, 2008

Khidmat Pesanan Ringkas Untuk Gades Cun

Kepada cik adik gades yang cun dan manis
Kamu mungkin sudah tahu yang saya kini sedang bergelap
Satu kampung sedang bergelap
Satu kampung terputus bekalan elektrik
Nasib baik flat ini 5 tingkat dan saya di tingkat 4
Jika tidak sudah pasti saya berperang dengan nyamuk
Betul-betul macam cerita atok dan nenek masa zaman jepun dahulu
Setiap kali terputus bekalan elektrik dia akan berlabon zaman jepun.
Zaman itu tiada elektrik
Zaman itu Mahathir Muhamad masih muda lagi
Zaman itu Latifah Omar masih remaja jelita lagi
Zaman itu jamban jauh terperosok di belakang rumah
Untuk sampai ke jamban perlu diterangi lampu minyak tanah
Makan pun hanya ubi kayu dan kelapa
Tuan punya Restoran McDonald masih berurusan dengan Bank Of America untuk meluluskan pinjaman perniagaan
Hidup melarat hidup susah
Tetapi cerita sejarah lampau ini telah datang menziarahi batang tubuh saya malam ini
Memberi tanda dan makna betapa sukarnya hidup
Nak cari makan susah nak bergerak susah hati pun susah
Mengapa di kampung elektrik selalu terputus?
Mengapa di rumah menteri dan saudagar kaya elektrik tidak pernah putus?
Mengapa di zaman ini orang kampung masih terus disusahkan?
Bukankah orang kampung memang sudah susah
Mengapa disusahkan lagi orang yang sudah susah?
Menyusahkan orang yang susah bukan satu pekerjaan yang mulia
Beberapa gerai tutup tidak dapat menjalankan perniagaan tidak dapat mencari rezeki
Esok anak tiada belanja ke sekolah
Makan apa yang ada berlapar jika tiada belanja
Minggu depan bulan depan tahun hadapan cerita sejarah lampau ini akan sampai lagi menziarahi kami
Entah bila akan berakhir
Orang kampung wajib bersedia dan saya juga wajib bersedia
Kerana saya dan orang kampung ini bukan menteri dan saudagar kaya.

Monday, October 13, 2008

Kita Yang Bebal



Ketika kemuncak aidilfitri semakin menjelma dan ramadhan hampir-hampir melabuhkan layarnya, saya telah berlegar-legar di dalam kota. Saya berlegar-legar di dalam kota untuk membeli sedikit persiapan bagi menyambut hari raya. Keadaan begitu sesak sekali. Matahari terus menyimbahkan cahayanya. Cuaca cerah dan sungguh baik.Sebenarnya cuaca begini bukanlah perkara yang luar biasa. Ianya adalah norma yang berlaku saban hari.

Keadaan kota begitu sesak. Dipenuhi dengan ribuan warga yang keluar untuk membeli belah sebagai persediaan akhir untuk menyambut hari raya yang akan sampai dalam masa beberapa hari. Keadaan bertambah sesak apabila cuti telah bermula. Semua lapisan masyarakat yang merayakan hari raya telah keluar untuk menyibukkan diri dan menghabiskan duit. Ada yang keluar bersama keluarga, ada yang berlegar bersama teman dan ada yang beronggi-ponggi bersama ehem-ehem.

Lokasi yang paling sibuk lagi menjelekkan tentunya jalanraya. Untuk sampai ke tengah-tengah kota mengambil masa yang sangat lama. Untuk sampai ke tengah kota saya mengambil masa sehingga dua jam lamanya. Walaupun jarak antara kota dengan rumah saya hanyalah beberapa kilometer. Ini satu kerjaan yang agak tidak masuk akal. Duduk terperuk di dalam kenderaan yang berkunci rapat dan melihat dunia luar dari dalam tingkap kaca bukanlah satu perkara yang saya ingin lakukan. Saya mengandaikan bahawa kita telah menjadi setaraf dengan ikan di dalam akuarium. Berenang lama di dalam akuarium tetapi masih berada di tempat yang sama. Berenang lama di dalam akuarium tetapi masih tidak dapat menembusi dunia kacanya. Keadaan ini membuatkan saya sesak. Keadaan ini membuatkan kita harus melakukan sesuatu untuk menangani masalah ini.

Ketika saya duduk dan berehat seketika dengan melabuhkan punggung di sebuah perhentian bas di hadapan gedung membeli belah, saya melihat ratusan mungkin ribuan kenderaan yang bergerak perlahan sesekali tidak bergerak melintasi biji mata saya. Ini telah membuatkan saya terbarai ketawa, saya terbarai ketawa bukanlah kerana ada adegan lucu yang telah dipertontonkan tetapi saya terbarai ketawa kerana melihat betapa bebalnya kita sebagai manusia yang begitu bergantung dengan modeniti.

Kita yang keluar bersesak-sesak ini datang dari merata ceruk kampong, desa, bandar dan kota. Tujuan utama kita keluar adalah untuk merayakan kehidupan. Tujuan kita keluar dan bersesak-sesak ini hanyalah untuk ke pusat membeli-belah dan gedung-gedung. Tetapi cuba kita fikirkan betapa bebalnya kita sebagai manusia apabila tempat yang kita ingin pergi membeli-belah itu betul-betul berada di depan biji mata tetapi kita tidak dapat sampai ke pintu masuk hanya kerana terperangkap di dalam kenderaan. Betapa bebalnya kita tidak dapat masuk ke dalam pusat membeli belah kerana batang tubuh kita telah terkunci di dalam kereta akibat kesesakan jalanraya. Betapa bebalnya kita kerana tidak tahu bagaimana ingin keluar melalui pintu kereta dan sampai ke pintu masuk yang hanya beberapa meter dari batang tubuh kita hanya kerana kita berada di dalam kereta. Kah kah kah. Ini betul-betul bebal.

Mengapa kita menjadi begitu bebal? Ini adalah kerana batang tubuh kita begitu bergantung dengan modeniti. Kita hanya pandai menggunakan modeniti tetapi kita sudah lupa cara dan bagaimana kita menggunakan fikrah dan kudrat. Kita hanya pandai memuja dan memuji berhala bergerak tetapi kita sudah lupa cara dan bagaimana menggunakan kaki pemberian Tuhan Yang Esa. Sebagai manusia kita kelihatan begitu angkuh dengan Yang Maha Esa. Keangkuhan kita ini mahu dibawa kemana?

Kita sudah tidak tahu lagi cara dan bagaimana menggunakan kaki untuk sampai ke destinasi yang kita tujui. Kita tidak pandai lagi memikirkan cara dan bagaimana untuk menggunakan kaki selain dari menggunakan kereta. Lihat betapa bongsainya akal dan fikrah kita. Kita sudah menjadi betul-betul bebal hanya kerana tidak dapat tempat untuk meletak kereta.

Bayangkan jika ada di kalangan kita ini yang datang dari kampung beratus kilometer dari pusat membeli belah dan gagal untuk mendapatkan tempat meletak kereta. Akhirnya kita terpaksa pulang dengan putih mata atau terpaksa datang di hari yang lain untuk membeli belah. Bukankah ini satu kerjaan yang bebal dan tidak bertamadun?

Mengapa keadaan bebal ini terjadi di dalam kota yang kita sendiri menetap? Mengapa keadaan bebal terjadi dalam kota yang kita sendiri bina dan dirikan? Ini membawa tanda dan makna kitalah sebenarnya punca kepada segala kebebalan kerana terlalu bergantung dengan dunia modeniti sehinggal lupa untuk menggunakan akal fikrah dan kudrat sendiri.

Kita perlu mengubah cara hidup. Kita perlu berubah untuk menangani masalah kesesakan jalanraya di dalam kota yang kita menetap. Untuk mengharapkan kenderaan awam memang tidak boleh diharap. Janji dari pihak kerajaan untuk meningkatkan taraf perkhidmatan awam terus tinggal janji. Mungkin sampai kiamat atau sampai cicit saya sudah bercucu pun keadaan sama akan terus berlaku.

Pada hemat saya untuk mengatasi masalah ini kita seharusnya memberi tumpuan untuk membina landasan pejalan kaki untuk warga. Landasan ini perlu dibina untuk memberi galakan dan mendidik warga agar mereka berjalan kaki untuk sampai ke destinasi yang di tuju tanpa menggunakan kenderaan persendirian yang akan menyesakkan jalanraya. Dengan menggunakan landasan pejalan kaki ini kita bukan sahaja tidak lagi menjadi bebal dengan hanya mampu melihat pusat membeli belah tapi kita juga dapat sampai, masuk dan membeli belah.

Selain itu, landasan pejalan kaki ini juga dapat menjimatkan penggunaan minyak petrol dan diesel yang semakin hari harganya semakin mahal dan mencekik batang leher kita sebagai pengguna. Dengan berjalan kaki juga kita dapat menyihatkan kota yang kita diami dengan mengurangkan pencemaran udara, pencemaran bunyi dan mungkin ozon akan menjadi lebih sihat dari sebelum-sebelum ini.

Landasan jalan kaki yang dibina ini harus menyeluruh dan menjalar di dalam kota dan mestilah berjaya menghubungkan tempat-tempat menarik dan penting seperti pusat membeli belah, taman-taman bunga, gedung-gedung, perpustakaan, balai orang ramai, panggung, perhentian bas, tempat meletak kenderaan, pejabat-pejabat kerajaan, pasar-pasar, pusat kewangan dan sebagainya.

Cuba kita bayangkan keadaan kota kita yang sebegini keadaannya. Bukankah kota yang sama-sama kita diami ini akan menjadi lebih baik. Bukankah kota yang sama-sama kita bina ini menjadi lebih aman dan kota yang sama-sama kita rayakan kehidupan ini akan menjadikan kita tidak lagi bebal dan dapat menyihatkan batang tubuh kita.

Saya menolak segala tanggapan bahawa di negara kita ini tidak sesuai untuk berjalan kaki kerana panas. Saya juga menolak segala tanggapan bahawa di negara kita ini tidak sesuai untuk berjalan kaki kerana terik mentari.Ini satu pandangan yang bebal. Mana mungkin manusia tidak dapat berjalan kaki kerana cuaca yang panas. Sesiapa yang memberi hujah ini perlu dicampakkan ke Selatan Afrika untuk melihat dengan jelas bagaimana warga-warga di Afrika ini berjalan kaki di atas gurun dengan berkaki ayam. Mereka warga afrika ini terus hidup dari zaman batu hinggalah ke zaman menyembah modeniti ini. Tidak pernah sampai berita kepada saya bahawa warga afrika ini telah mendapat sakit jantung kerana berjalan di bawah terik mentari. Tahukah kita cuaca di afrika adalah lebih panas dari negara kita?

Dengan berjalan kaki barulah kita dapat mengetahui budaya dan tamadun di dalam kota yang kita menetap. Dengan berjalan kaki, kita akan dapat melalui lorong-lorong yang sebelum ini diselindungkan. Dengan berjalan kaki kita dapat melihat sendiri betapa susahnya kehidupan seorang pengemis jalanan. Dengan berjalan kaki kita dapat mengetahui betapa sukarnya menjadi seorang yang cacat. Dengan berjalan kaki kita dapat mengetahui betapa kotornya kedai makan yang kita selalu kunjungi. Dengan berjalan kaki barulah kita dapat menyedari betapa angkuhnya kita sebagai pemandu kereta. Dengan berjalan kaki barulah kita mengetahui betapa susahnya menjadi orang miskin. Dengan berjalan kaki barulah kita menyedari betapa angkuh kita sebagai manusia terhadap Yang Maha Esa. Dengan berjalan kaki barulah kita menyedari betapa bebalnya orang yang berada di dalam kereta.