Ketika saya duduk mengadap komputer riba ini saya telah membaca satu laporan berita mengenai gerombolan United Malays National Organization - UMNO. Sebenarnya laporan mengenai gerombolan ini memang bersepah-sepah di dalam dunia maya dan juga dunia bukan maya. Sebenarnya berita mengenai gerombolan United Malay National Organization ini sentiasa menjalar di dada-dada akhbar kerana akhbar-akhbar ini adalah hak milik mereka.
Tetapi rasa saya berita yang saya baca ini betul-betul membuatkan saya terbelahak ketika menelan kentang goreng.Apa yang saya telah baca ini betul-betul membuatkan saya terbarai ketawa. Pada hemat saya berita yang telah saya baca ini betul-betul pelik. Saya menjadi takjub. Ketakjuban saya ini adalah lebih takjub dari saya melihat ketuanan melayu sampai ke stesen angkasa lepas. Ketakjuban saya ini adalah lebih takjub dari melihat Shaberi Cheek sampai ke Angkasa Puri.
Berita ini menulis tentang ahli gerombolan United Malay National Organization telah membantah tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat. Bantahan ini dibuat kerana papan tanda yang berselirat di Pulau Pinang telah semakin terbarai dengan penambahan tulisan dari bahasa-bahasa lain selain Bahasa Melayu.
Di Pulau Pinang bukan sahaja Bahasa Melayu digunakan pada papan tanda tetapi juga Cina, Tamil dan Inggeris. Bahasa dan tulisan selain dari Bahasa Melayu ini telah meresahkan gerombolan United Malays National Organization. Gerombolan United Malays National Organization telah merasakan penggunaan bahasa dan tulisan-tulisan lain selain dari Bahasa Melayu ini sebagai satu ancaman. Ancaman ini dilihat wajib untuk dilawan. Ahli-ahli gerombolan ini telah menggunakan media untuk mengolah persetujuan orang ramai untuk melawan ancaman-ancaman yang mengancam Ketuanan Melayu ini.
Sebagai sebuah parti yang dipunyai oleh Orang Melayu, berjuang untuk Bangsa Melayu dan presidennya dari keturunan Melayu, gerombolan United Malays National Organization telah melihat dengan satu pandangan yang sangat bertanggungjawab dalam hal ini. Menegakkan ketuanan Bahasa Melayu di dalam sebuah negara yang majoriti Melayu dirasakan amat wajar bagi gerombolan United Malays National Organization ini. Gerombolan United Malays National Organization ini ingin melihat di seluruh Tanah Melayu ini hanya tulisan dan Bahasa Melayu sahaja yang terunggul. Bahasa Melayu sahaja yang boleh menjadi tuan. Bahasa Melayu saja yang dilihat lebih mulia dari bahasa dan tulisan lain.
Warga perlu ditakut-takutkan bahawa bangsa lain ingin menguasai Tanah Melayu ini. Bahasa Melayu ingin dirobek-robekkan. Bahasa Melayu menjadi sasaran untuk dimusnahkan. Warga yang takut dengan keadaan ini akan mencari pelindung untuk terus bergayut dan berpegang. Warga yang takut akan mencari perlindungan dari gerombolan yang kelihatan mahu mempertahankan mereka. Jawabannya ialah gerobolan United Malays National Organization.
Sebenarnya saya amat jarang bersetuju dengan gerombolan United Malays National Organization. Ini tidak memberi tanda dan makna saya bukan seorang yang tidak patriotik. Tetapi saya tidak akan setuju dengan pandangan-pandangan yang bebal untuk cari makan. Saya tidak akan bersetuju dengan pandangan-pandangan yang bebal untuk mendapatkan kontrak untuk membina longkang di Janda Baik.
Melihat dari berita ini saya telah terbarai. Ahli gerombolan United Malays National Organization kelihatan begitu taksub sekali dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu. Mereka kelihatan begitu gian sekali dalam menobatkan Bahasa Melayu di bumi bertuah ini. Kahkahkah. Saya ingin bertanya kepada ahli gerombolan ini. Perkataan United Malays National Organization - UMNO ini datangnya dari bahasa apa? Kahkahkah. Jangan jadi ngok. Jangan jadi bebal. Jawab soalan ini dahulu. Pada hemat saya soalan yang saya halakan ini wajib dijawab sebelum ahli gerombolan United Malays Nation Organizations menghunus keris setiap kali bermesyuarat. Kahkahkah. United Malays National Organizations ini dalam Bahasa Melayu membawa makna Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau PEKEMBAR. Mengapakah perkataan PEKEMBAR tidak digunakan.
Barisan National Backbencher Club pula adalah satu gerombolan sokongan bagi United Malays National Organization. Saya ingin bertanya kepada gerombolan United Malays National Organization ini. Bahasa apa ini Wak? Kahkahkah. Jangan jadi bengong. Ini Bahasa Inggeris. Kenapa tidak gunakan Bahasa Melayu?. Kahkahkah. Buatlah demontrasi di depan PUSRAWI. Bahasa Inggeris ini wajib dilawan. Ini penghinaan kepada Bahasa Melayu. Kahkahkah
Ketika saya muda remaja, saya telah berkenalan dengan seorang mahasiswi dari Universiti Malaya. Memandangkan saya tidak tinggal di Kampong Kerinchi dan dia tinggal di kampus Lembah Pantai maka kami telah merancang untuk berjumpa di tengah-tengah ibukota. Kami telah mengambil keputusan untuk beronggi-ponggi di Kuala Lumpur City Centre bersebelahan dengan Kuala Lumpur Convention Center. Kami berdua berpeleseran di taman air pancut. Saya ingin bertanya Kuala Lumpur City Centre dan Kuala Lumpur Convention Centre ini bahasa apa? Kahkahkah. Adakah penjajah British masih tinggal di dalam bangunan ini? Adakah bangunan ini hak milik abadi Frank Swettenham? Kahkahkah. Persoalan-persoalan saya ini betul-betul membuntukan. Tolong lah wak jawab.
Suatu ketika saya diberi tugasan membawa rombongan ahli keluarga saya ke kota. Memandangkan Putrajaya adalah sebuah bandar yang terunggul di dalam tamadun dunia maka saya mencadangkan agar mereka dibawa kesana. Ahli rombongan keluarga saya cukup gembira dan berhajat untuk bersembahyang di Masjid Putrajaya. Malangnya apabila saya sampai disana saya telah tersesat. Saya tidak tahu kemana harus saya tuju. Semua tempat menggunakan perkataan precint? Apakah binatang precint ini? Adakah ianya merupakan seekor langsuir yang sering kelihatan bergentayangan di Bangsar? Kahkahkah. Encik ahli gerombolan United Malays National Organization boleh saya bertanya. Apa jadahnya precint ini? Kahkahkah.
Beberapa tahun yang lalu saya telah berkenalan dengan seorang gades cun dan bergetah yang belajar di Jepun. Saya mengakui saya telah jatuh cinta padanya. Lalu dia mempelawa saya datang kesana. Dia mempelawa saya untuk berpeleseran di Rokkomichi. Lalu saya bersetuju untuk ke sana. Untuk sampai ke Jepun saya perlu menaiki kapal terbang. Apabila saya tiba di Kuala Lumpur International Airport ini saya telah melihat berbagai-bagai bahasa yang digunakan pada papan tanda. Ada tulisan seperti cacing. Ada tulisan seperti gigi buaya. Ada tulisan seperti bertih sawi. Yang sahih saya langsung tidak memahami isi butir tulisan ini. Mengapakah ahli gerombolan United Malay National Organizations tidak membawa sepanduk dan melakukan bantahan di Kuala Lumpur International Airport? Pelik, hairan, takjub dan ajaib. Kahkahkah. Soalan saya seterusnya Kuala Lumpur International Airport ini dari bahasa bangsa mana wak? Jawa? Bugis? Cina? Senoi? Kahkahkah. woit! Jangan jadi bebal. Jangan jadi ngok. Ini Bahasa Inggeris.
Bantahan yang dikemukan olih ahli gerombolan United Malays National Organization adalah bantahan yang poyo sahaja. Apa itu poyo? Tak tahu? Boleh kemas pakaian dan menetap di Congo. Kahkahkah. Jika ingin menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang unggul mengapa hanya perlu membantah papan tanda di Pulau Pinang? Mengapa tidak membantah di seluruh negara? Adakah kerana Pulau Pinang dikuasai oleh Pakatan Rakyat? Adakah kerana Pulau Pinang telah membaraikan United Malays National Organization di Permatang Pauh? Kahkahkah
Pada hemat saya bantahan yang dikemukakan oleh ahli gerombolan United Malays National Organization hanya untuk mengolah persetujuan Orang Melayu untuk terus berpayung di bawah United Malays National Organization. Melihat tulisan dan bahasa lain sebagai ancaman sambil slogan untuk terus membela Melayu digunakan untuk membolehkan mereka kembali mendapat sokongan. Selepas pilihanraya pada bulan Mac sokongan Orang Melayu dan rakyat Malaysia kepada United Malays National Organization ini semakin merosot. Bantahan ini tidak bersifat menyeluruh. Bantahan ini tidak bersifat ilmiah. Bantahan ini bantahan yang bersifat retorik sahaja.
Sebenarnya jauh disudut hati nurani saya menyokong usaha untuk terus memartabatkan Bahasa Melayu dimana-mana ceruk dalam negara ini termasuk di Cheruk Tok Kun. Bukan kerana saya seorang Melayu. Bukan kerana saya bersifat rasis. Sebenarnya ini sudah termaktub di dalam perlembagaan. Tak percaya? Sila bertanya dengan Mat Ghani Patail. Dia lebih mengetahui.
Saya menyokong usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu kerana bahasa ini dipelajari oleh anak semua bangsa di negara ini. Sebenarnya ada satu rahsia yang saya sembunyikan. Saya sebenarnya bebal dalam Bahasa Inggeris. Semasa saya bersekolah dahulu saya tidak belajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris. Sampai sekarang saya tidak tahu apa makna Midvalley. Ahli gerombolan United Malays National Organization boleh saya bertanya? Midvalley itu apa? Kahkahkah. Khalas.
RANCANGAN JAHAT ZELENSKY
3 years ago
