Thursday, December 25, 2008

Kesah Chenta Di Hari Derita

Hari ini hari indah - bagi orang berchenta
Bagi orang putus chenta hari ini hari derita
Deraian airmata singgah dipipi sebelum menetes ke riba

Makan tak lalu tidur tak lena
Perut lapar tapi bila nasi disuap tekak menjadi loya
Dah beberapa hari tak makan - badan yang agak naik kebelakangan ini lemah longlai dan kembali susut musut
Ini tanda sakit

Mata rasa pedih - mengantuk sangat tapi bila baring teringat kenangan bersama gades manis yang mengundur diri
Jiwa gelisah tak jadi tidur

Bila malam tiba jiwa lagi rasa tertekan - rasa nak siang sepanjang zaman
Malam dah larut. Nak ajak bonda berkesah tentang hati bonda dah tidur
Nak ajak ayah bercherita soal jiwa luka ayah sudah lena

Ini tak kena itu tak kena
Baring tak kena duduk tak kena
Ini juga tanda-tanda zaman sakit telah datang
Sakit ini tiada ubat sakit ini sangat derita sakit ini kalau tak betul rawat bolih jadi gila

Pernah dengar kesah chenta Laila Majnun?
Pernah baca kesah Yusuf Zulaikha?
Pernah tatap monumen Taj Mahal?
Pernah khatam kesah-kesah gades manis dari saya di blog ini?

Ini semua kesah chenta
Ada chenta yang berkesudahan ada yang sangkut di tengah jalan
Ada yang terbang tinggi kemudian jatuh - patah sayap bertongkat paruh
Chenta satu magis - bolih buat ubat bolih buat racun
Bolih bahagia bolih derita

Tisu akan dibeli lagi untuk mengesat air mata
Entah bila air mata ini akan kering
Dalam hati bertelagah sendiri. Mana datang dulu. Tubuh akan kering dahulu atau air mata akan kering dahulu

Dahulu melihat kawan derita dan sengsara - badan sasa tinggal tulang semua sebab chenta
Mata saya dapat merakam sengsara kawan ini tetapi hati tidak merasa sakit derita
Macam melihat timbunan sampah kotor dari dalam kereta
Mata nampak busuk tetapi hidung tak berbau

Hari ini giliran saya
Bukan melihat sampah dari dalam kereta lagi
Saya kini telah terhumban ke dalam timbunan sampah
Mata nampak sampah hidung berbau busuk hati merasa kesemuanya - derita sengsara

Sakit ini bukan kepalang
Tapi apa bolih buat
Saya orang biasa yang tiada mukjizat
Saya orang biasa yang tiada kekuatan
Saya orang biasa yang selalu melakukan kesilapan

Kalau dapat saya undur masa pasti saya akan mengundur ke dua minggu lalu
Masa itu masa bahagia. Rasa macam semalam baru berlalu. Tapi mustahil.

Tekanan saya hadapi ini telah melebihi dari ketahanan yang saya ada
Macam tembok yang akhirnya pecah dibadai air
Saya fikir saya kuat - mampu melawan musuh negara
Rupa-rupanya rapuh tanpa cinta

-Farid-

Monday, December 22, 2008

Cerita Tentang ‘Dia’ sebagai Tanda Kenang-Kenangan

Semasa zaman persekolahan, saya dan ‘dia’ pernah menjadi kawan. Walaupun tidak pernah berada di dalam kelas yang sama tetapi saya dan ‘dia’ di satu tingkatan. Saya dan ‘dia’ pernah kenal-mengenal. Saya dan ‘dia’ pernah bersua muka. Saya dan ‘dia’ selalu beradu kekuatan di atas padang bola. Hari ini saya menang esok lusa giliran ‘dia’ pula. Kami kawan lama. Kawan yang kini sudah terpisah oleh jarak dan waktu.

Setelah tamat zaman persekolahan saya tidak lagi mendengar khabar berita daripadanya. Seingat saya kali terakhir saya dikesahkan tentang ‘dia’ sudah menjadi pengacara rancangan di televisyen oleh seorang kawan. Saya jarang menonton televisyen. Saya memang ketinggalan dalam hal ehwal televisyen. Saya jarang membuang masa di depan televisyen. Internet menjadi sumber utama saya mencari maklumat. Sekarang ‘dia’ masih belajar. Saya pula mengajar. Setelah sepuluh tahun kami berubah haluan. Haluan yang berbeza.

Setelah sepuluh tahun kami kembali bertemu. Kami bertemu di Pantai Cherating.

Saya menunggu kedatangan kawan-kawan yang lain sambil memasak ayam panggang di atas bara. Kami bergilir mengipas bara. Kami bergilir membalikkan ayam di atas panggang. Dalam kelam asap bara berkepol, saya dapat melihat jelas kelibat seorang lelaki berkemeja datang dan menghampiri saya. Saya menghulurkan tangan tanda menyambut kedatangan ‘dia’.

‘Dia’ bertopi dan rambutnya kelihatan agak panjang. Dalam genggaman tangan kirinya sebungkus kotak rokok. Saya mengandaikan bahawa ‘dia’ perokok tegar. Kami berpandangan sebagai tanda hormat menghormati.

Dalam kelam asap bara berkepol itu kami mula berkesah. Kami kembali berkenalan setelah sepuluh tahun terpisah. Antara saya dan ‘dia’ tersenyum gembira. Dalam senyuman itu ‘dia’ menghisap rokok lagi.

‘Dia’ datang menaiki kereta persendirian. Sambil menunjukkan ke arah kawasan gelap tempat meletak kereta. Kedudukan kami bercerita agak terasing dari teman-teman yang lain. Dia mula membuka satu rahsia. Rahsia yang dia masih bujang. Kami ketawa terbahak-bahak. Saya juga membuka satu rahsia. Rahsia yang sama. Rahsia dimana saya juga masih bujang. Ketawa kami membawa deraian air mata.

Sambil ditiup angin laut, kami kembali ke zaman silam. Zaman dimana tidak perlu runsing untuk mencari duit. Zaman tidak perlu runsing untuk mencari makan. Zaman tidak perlu runsing untuk itu dan ini. Rupa-rupanya di dalam kelam asap bara berkepol kami berkongsi persamaan. Kami berkongsi kegilaan. Kami berkongsi kegilaan tentang politik. Saya juga memberitahu bahawa saya kini seorang penulis. Saya memberi alamat blog supaya dia dapat membaca hasil kerja tangan saya. Saya tidak menjangkakan semua ini akan terjadi pada malam itu kerana sukar untuk mencari teman bercerita yang sebegini.

‘Dia’ mula menceritakan kesah tentang kehidupan dan pengalaman yang dilaluinya. Saya juga menceritakan kesah tentang kehidupan dan pengalaman yang saya lalui. Saya dan ‘dia’ berkongsi cerita, berkongsi pandangan , berkongsi itu dan ini. Saya dan ‘dia’ sudah jauh meninggalkan alam sekolah. Kami ketawa. Adakala serius. Adakala lucu.

Kami berceritakan kesah sampai lewat malam. Kami terbahak-bahak sampai menjelang pagi. Rokok terus dihisap. Cerita kami ini cerita istimewa. Cerita kami ini tidak diceritakan oleh teman-teman lain. Mungkin kami anak-anak muda yang sudah dituakan sebelum waktunya.

Setelah perut kenyang. Setelah berkesah panjang. Setelah pagi menjelang. Setelah usai sudah acara kami meminta diri untuk beransur pulang. Kami sempat bertukar nombor talipon. ‘Dia’ mengajak saya menghadiri sidang Dewan Rakyat di Parlimen suatu hari nanti. Saya berjanji untuk mengurus pemergian kami bersama.

Cerita ini cerita tentang ‘Dia’. Cerita ini tanda persahabatan. Cerita ini tanda kenang-kenangan. Cerita ini tidak ada orang yang tahu kerana saya dan dia orang-orang biasa sahaja.

Monday, December 15, 2008

Jemputan Menonton Teater Bukan Teater



Saya mendapat kiriman khidmat pesanan ringkas dari Isham Rais agar menguar-uarkan Teater Bilik Sulit ini.

BILIK SULIT - Teater Bukan Teater - SECRET CHAMBER

Skrip: Hishamuddin Rais
Arahan: Hishamuddin Rais/Mislina Mustaffa

Di Dewan Majlis Peguam ( Bar Council )
No 13,15,17, Leboh Pasar Besar 50050 Kuala Lumpur
(di belakang bangunan Pasar Seni / Central Market)

Pada : 20, 21 , 22, 23 Disember 2008 - Jam 8.30 malam

Untuk Tempahan Tempat sila hubungi : 012-465-16-71 atau 012-384-29-72

Derma Rm10 untuk keluarga tahanan ISA.
Sila tempah tempat dan pilih malam yang sesuai.Tempat terhad.

Kejulingan Protokol Dan Ahli Politik

Petang ini petang yang cerah. Petang ini tidak kelihatan awan yang mendung. Petang ini petang yang biasa-biasa sahaja. Petang ini petang yang tidak membawa malapetaka. Petang ini saya telah mendengar seseorang berkesah mengenai protokol. Sebenarnya, protokol bukanlah satu perkara yang asing bagi saya.

Semenjak kecil saya telah diasuh diajar dengan protokol. Saya beranggapan protokol yang diterapkan oleh ayah dalam keluarga untuk mendisiplin diri saya. Mungkin juga ayah seorang pendidik maka cara dia mendidik kami adik-beradik begitu. Waktu maghrib kesemua ahli keluarga perlu berada dirumah. Kami sekeluarga perlu makan bersama setiap malam. Tiada ahli keluarga yang dibenarkan keciciran. Jika masih ada yang keciciran ini bermakna tiada ketenangan bagi kami untuk bersantap. Kata ayah ‘cara’ untuk mengikat silaturahim – ini dinamakan protokol.

Selepas makan perlu mengemas meja makan sendiri. Selepas makan perlu membasuh pinggan dan cawan sendiri. Selepas makan perlu memasukkan kembali kerusi makan ke bawah meja. Selepas makan - meja makan perlu berada dalam keadaan seperti sebelum makan. Waktu berita berkumandang kami semua perlu diam memberi perhatian. Tidak dibenarkan membuat bising. Protokol ini menjadi rutin kami sekeluarga. Lama-kelamaan ianya menjadi adat dan budaya di dalam keluarga.

Tetapi hari ini saya bukan mendengar protokol di rumah. Bukan mendengar protokol untuk menjadi adat dan budaya yang baik. Apa yang saya dengar hari ini amat memualkan anak tekak saya. Protokol yang saya dengar ini ialah protokol untuk memperlihatkan kuasa. Protokol yang ingin memperlihatkan pangkat, darjat dan nama. Protokol jenis ini amat menjelekkan.

Mari kita berfikir dengan waras. Untuk apa sesuatu majlis diadakan? Sebagai contoh : acara sukan di sekolah. Acara sukan sekolah diadakan untuk memperlihatkan kekuatan anak-anak sekolah. Acara sukan sekolah untuk kita melihat anak-anak sekolah bertarung. Acara sukan sekolah diadakan untuk kita melihat kemenangan anak-anak sekolah. Tetapi saya melihat acara ini selalunya dihadiri oleh politikus, yang berpangkat Dato’, Datin dan Tan Sri. Mereka ini datang perlu disambut balik perlu diiring. Mereka ini datang perlu dikompang balik perlu digendang. Kedatangan mereka ini disertakan dengan protokol yang amat menyusahkan. Sehingga untuk menaikkan bendera perlu mengikut prosedur yang rapi.

Jika kita berjaya berfikir dengan waras kita akan merasakan bahawa ini satu kesongsangan budaya. Acara sukan diadakan bukan untuk meraikan kemenangan politikus ini di dalam pilihanraya atau kemenangannya sebagai ketua cawangan badan politik. Hari sukan hari untuk anak-anak kita. Anak-anak sekolah seharusnya kita beri perhatian yang lebih. Ini hari anak-anak sekolah memperlihatkan kejantanan mereka. Ini hari anak-anak sekolah menjadi hero. Apa kena-mengena acara ini dengan politikus, Dato’, Datin dan Tan Sri?

Apa tujuan untuk menjemput orang-orang politik ini datang? Apa tujuan orang-orang politik ini datang? Kedatangan mereka amat menyusahkan. Kedatangan mereka perlu berpuluh-puluh protokol. Kedatangan mereka membazirkan banyak wang dan tenaga kerja. Ini bukan perhimpunan politik. Ini bukan tempat meraih undi. Ini bukan pilihanraya kecil. Untuk apa kita membiarkan protokol yang memeningkan kepala otak kita ini dari terus menerus menyusahkan kita?

Pada fikiran saya, kita perlu membebaskan diri kita dari terus dibayangi dengan protokol yang haprak ini. Kita perlu memerdekakan diri kita dari terus dibayangi ahli politik yang menyusahkan. Sepatutnya ahli politiklah yang seharusnya dibayangi kita sebagai rakyat. Mereka yang perlu lebih menghormati kita kerana mereka menang atas undi dari kita. Jika tanpa undi kita sudah lama ahli-ahli politik ini bungkus.

Satu perkara lagi, saya melihat jika sesuatu acara itu dihadiri olih orang politik acara itu akan menjadi lebih sopan dan santun. Acara akan dikawal untuk kelihatan lebih teratur – untuk dipersembahkan kepada politikus. Dengan kawalan ini kita berpendapat akan melahirkan sebuah masyarakat yang penuh kesopanan dan kesusilaan. Kita akan dapat melahirkan masyarakat yang lebih madani. Tolonglah. Ini satu pembohongan. Ini satu pandangan yang bodoh. Bayangkan dengan acara yang penuh kesopanan hingga bercakap pun perlu berbisik-bisik. Bayangkan anak-anak sekolah juga berlari dengan penuh kesopanan dan beradab. Adakah anak-anak sekolah ini akan dapat memecahkan rekod sukan olimpik?

Kehidupan ini milik kita. Kita mempunyai hak untuk terus mencorakkan kehidupan kita. Kehidupan ini tidak boleh terus dikongkong olih politikus yang berpangkat meleleh dari kepala sampai ke lutut. Saya mencadangkan agar setiap acara untuk keraian kita sebagai rakyat Malaysia tidak perlukan protokol yang menjahanamkan ‘mood’ majlis. Tidak perlu menjemput ahli-ahli politik. Cuba bayangkan jika majlis kenduri doa selamat ini juga dijemput ahli politik. Mati keringlah orang-orang kampung membuat persediaan dan mencari maklumat mengenai protokol.

Ahli politik tugasnya menyelesaikan masalah rakyat. Acara sukan sekolah bukan tempat rakyat bermasalah. Banyak lagi masalah dalam negara ini yang perlu diselesaikan. Negara ini sudah mahu terlingkup. Ekonomi sudah mahu terbalik. Air banjir sudah hampir sampai. Tanah sudah runtuh-rantah. Rumah di lereng bukit sudah terhumban ke bawah gaung. Kilang sudah beratus-ratus tutup. Pekerja semakin banyak kehilangan kerja – menganggur. Selesaikan masalah-masalah ini. Selesaikan masalah-masalah yang akan melingkupkan negara bukan terus berpoya-poya di padang sekolah. Jangan menyekat rakyat dari terus meraikan kehidupan mereka .

Sedang saya menulis ini saya terkenangkan seorang kawan. Kawan saya ini berkahwin dengan seorang anak orang kenamaan. Ramai dari kawan-kawan saya yang lain beranggapan kehidupan kawan saya ini akan menjadi lebih cerah. Kawan-kawan saya yang lain membuat andaian pasti dia akan menjadi kaya-raya selepas ini. Saya tidak mempedulikan hal ehwal kehidupannya. Jika dia menjadi kaya dan menjadi terkenal suatu hari nanti pasti saya akan berbangga kerana dia pernah menjadi kawan saya. Saya tidak akan meminta itu dan ini. Saya tidak akan menumpang senang jika dia telah menjadi jutawan. Saya tetap akan terus begini - menjadi penulis. Saya tetap akan menyampaikan cerita-cerita rakyat. Tetapi jika dia gagal dalam hidup - saya juga tetap berbangga kerana kami tetap menjadi kawan.

Apabila tiba majlis perkahwinan - saya telah dijemput sebagai tetamu khas yang membolehkan saya menikmati makanan di dalam dewan VIP. Saya telah mengambil tempat. Tetapi untuk makan saya perlu menunggu hampir satu jam. Ini kerana saya terpaksa menunggu tetamu kehormat lain sampai. Ini betul-betul gila. Protokol ini betul-betul menyusahkan saya. Duduk dihadapan makanan tetapi telah dilarang dari menyuapkan makanan ke dalam mulut kerana menunggu ‘orang besar turun dari kayangan’. Rasa saya ini memang protokol yang tidak masuk akal. Akhirnya saya telah cabut lari. Perut yang berkeroncong harus terus diisi. Saya telah menjumpai satu dewan lain yang dikhaskan untuk tetamu yang bukan VIP. Rasa saya jika saya tidak menjumpai dewan yang satu lagi ini sudah pasti saya akan cabut lari terus dari majlis dan singgah makan di kedai mamak.

Sampai ke akhir majlis itu saya tidak berkesempatan berjumpa dengan kawan saya untuk mengucapkan selamat pengantin baru kerana dia pula terpaksa menunggu tetamu kehormat yang mengelilinginya makan sampai habis. Saya terus cabut lari dan meninggalkan majlis dengan perut yang sudah kenyang.

Saya datang ke majlis untuk meraikan majlis kawan saya ini. Saya datang ke majlis untuk makan kerana perut saya lapar. Saya bukan datang untuk melihat gelang emas yang dipakai olih datin-datin. Saya bukan datang untuk melihat jambul datin-datin yang setinggi hampir setengah meter. Saya bukan datang untuk bertanya minyak wangi yang dipakai olih dato'-datin ini datang dari negara mana?

Marilah bersama saya untuk menghapuskan protokol-protokol yang tidak munasabah yang dicipta oleh orang politik bagi menunjukkan kuasa, pangkat dan nama. Marilah bersama saya menjadi orang-orang biasa yang waras akal fikirannya. Tamat.

Wednesday, December 10, 2008

I.S.A


Ketika saya mengetip jari untuk menulis kesah ini – di ibukota sedang diadakan forum ‘Hapuskan I.S.A’. Kepada warga yang masih sedang tidur dan tidak ambil ‘pot’ apa itu I.S.A ingin saya memberi sedikit kefahaman. I.S.A ialah satu akta dimana warga/rakyat/marhaen/kita boleh ditahan tanpa perlu bukti atau apa-apa soal. Kepada yang masih tidur, bangun seketika untuk mendengar saya berkesah tentang I.S.A.

Saya sebagai warga yang merasakan diri saya bertanggungjawab ke atas agama saya, bangsa saya, negara saya, saudara-mara saya, kawan-kawan saya, rakan taulan saya, kekasih hati saya telah menolak dengan jelas akta ini. Pada fikiran saya akta ini digunakan oleh pemerintah untuk terus mengekalkan kuasa secara bacul. Akta ini digunakan untuk menahan aktivis/ahli politik/rakyat yang menentang ideologi pemerintah. Mereka ditahan kerana pemerintah bimbang, gusar dan gundah gelana kelibat-kelibat ini mampu untuk menggoyangkan pemerintah yang sedia ada. Menggoyangkan ini tiada kena mengena dengan goyang gerudi. tiada kena mengena dengan Inul Daratista. Akta ini digunakan oleh pemerintah untuk mengelakkannya dari retak, relai, pecah dan berderai.

Saya telah menolak segala dakwa-dakwi yang mengatakan akta ini digunakan untuk pencegahan awal melindungi negara dari ancaman pengganas. Saya amat yakin berita/alasan yang sampai ke lubang telinga saya ini adalah satu cerita tahyul. Cerita tahyul ini tarafnya sama dengan cerita Orang Amerika telah sampai ke bulan. Alasan-alasan ini direkayasa untuk menghalalkan cara. Alasan-alasan ini terus didendangkan agar mendapat persetujuan kita sebagai rakyat.

Tiga minggu yang lalu ketika saya sedang di dalam perjalanan menuju ke utara saya telah melalui satu persimpangan. Persimpangan itu mempunyai beberapa papan tanda. Saya berhenti seketika disitu kerana salah satu dari papan tanda hijau itu telah menarik minat saya. Papan tanda hijau itu saya amati. Salah satu dari papan tanda hijau itu menunjukkan arah masuk ke suatu kawasan. Papan tanda hijau itu menunjukkan saya melintasi satu wilayah yang bernama Kamunting.

Kamunting ini adalah tempat dimana tahanan I.S.A ditahan. Rasa saya jika papan tanda ini boleh menangis pasti lama sudah ia meneteskan air mata. Jika papan tanda ini mempunyai sifat malu pasti lama sudah ia menutup muka. Jika papan tanda ini boleh bersuara pasti lama sudah ia meraung. Jika papan tanda diberi peluang untuk hidup dan mati pasti lama sudah ia cuba membunuh diri. Rasa saya papan tanda ini juga tidak lagi sanggup untuk menanggung segala keperitan yang telah, sedang dan akan berlaku.

Beberapa hari lalu satu berita telah sampai – singgah menyentuh cuping telinga saya. Berita yang sampai ini membuatkan saya terbahak-bahak ketawa – yoga diharamkan. Mata saya yang masih elok berfungsi ini telah mengeluarkan air. Saya amat yakin bahawa fatwa ini fatwa politik bukan fatwa agama. Yoga diharamkan kerana yoga diamalkan oleh rakyat marhaen yang tidak mempunyai kuasa.. Jika yoga ini diamalkan oleh pemerintah rasa saya ia akan terus dihalalkan. Jikalau fatwa ini fatwa agama saya amat yakin bukan sahaja yoga yang akan diharamkan diatas muka bumi ini tetapi I.S.A juga akan terjoblos di bawah tapak kaki ketuanan rakyat.

Sunday, December 7, 2008

Kesah Malam Ini – Selamat Hari Raya Qurban

Malam ini malam raya
Malam raya malam berkumpul sanak saudara
Malam berkumpul bersembang berkesah

Malam memberi kasih dan sayang
Masak bersama minum bersama
Ketawa terbahak-bahak pun bersama

Malam ini saya masih berdiri di perhentian bas
Masih menunggu bas untuk pulang ke kampung
Dunia sedang meleset
Saya lagi meleset
Ada kereta tapi naik bas ada stereng tapi beli tiket bas

Ini nasib saya - bukan nasib saya saorang tapi nasib ramai orang
Jika tak percaya malam ini pergi ke perhentian bas – tengok berapa ramai orang disana
Kalau bernasib baik boleh jumpa saya
Saya pakai baju kotak-kotak berseluar jeans

Baju ini dibeli bersama saorang gades manes
Tapi gades manes itu telah meninggalkan saya untuk terbang ke Jepun juga malam ini.
Raya qurban ini pasti tidak romantik macam raya puasa

Tapi raya qurban bukan untuk romantik
Tapi untuk mengenang pengorbanan nabi
Nabi junjungan serata alam

Selamat Hari Raya Qurban

Thursday, December 4, 2008

Malam Dua Puluh Lima

Malam ini - malam dua puluh lima. Malam ini - dimana malam dua puluh lima telah datang. Malam ini - dimana malam dua puluh lima telah datang singgah menyapa saya. Malam dua puluh lima ini singgah ketika saya keseorangan di dalam sebuah bilik kecil. Bilik ini telah menjadi saksi kedatangan malam dua puluh lima.

Malam ini malam yang cerah. Malam ini malam yang indah. Malam ini saya hanya membuka dua dari tiga tingkap yang ada. Malam ini sunyi sepi. Malam ini malam yang sesuai untuk saya bernolstalgia. Cerita-cerita lama kembali muncul dalam ingatan. Cerita-cerita lama sebelum kedatangan malam dua puluh lima berputar laju memenuhi ruang bingkai fikiran saya.

Malam ini saya hanya melepek di tepi tingkap. Dalam kegelapan malam dua puluh lima – bertemankan biskut Julie’s, saya telah melihat di belakang bilik yang saya sewa ini hutan telah gondol - yang tinggal hanya bukit yang botak. Dalam kebotakkan bukit ini dalam kegondolan hutan ini saya bernolstalgia.

Apa agaknya kesan ke atas muka bumi yang gondol ini? Bulan ini bulan hujan. Bulan dimana hujan mula menjunam dari awan ke bumi. Apabila titisan-titisan air ini sampai tanpa ditapis oleh daun-daun, pokok-pokok dan batang-batang kayu maka air ini akan terus terjoblos masuk ke dalam liang-liang tanah. Air ini tidak sempat meresap ke dalam tanah. Kegunaan daun-daun, pokok-pokok dan batang-batang kayu ini adalah untuk melambatkan pengaliran air hujan dari terus terjoblos ke liang tanah. Akibatnya banjir akan tiba. Saya masih perlu bersyukur, di malam dua puluh lima ini banjir belum memberi salam takzim kepada saya. Bilik yang saya sewa ini masih belum digenangi air.

Saya menyambut malam dua puluh lima ini keseorangan. Tidak mempunyai kawan. Tidak mempunyai teman. Tetapi tiada ada apa yang perlu disedihkan. Tiada apa yang perlu digembirakan sangat. Hari ini sama seperti hari-hari biasa sahaja. Hari biasa untuk orang biasa seperti saya. Petang tadi saya berpandangan dengan seorang teman. Dari isyarat tangannya dia ingin memberitahu sesuatu. Dari isyarat tangannya dia ingin memberi sesuatu.

Apabila malam dua puluh lima sampai – bermakna saya menjadi suku dari abad. Kendati itu saya masih berasa gembira. Apabila saya bangun esok pagi, saya masih seorang anak muda. Seorang anak muda yang ingin menyampaikan pesan. Seorang anak muda yang ingin menyampaikan ingatan. Seorang anak muda yang ingin menegakkan kebenaran.

Sedang malam dua puluh lima ini merangkak menuju terbit mentari baru saya teringat yang bilik sedang saya sewa ini hanya berharga dua ringgit lima puluh sen semalaman. Tetap dua dan lima.