Monday, December 15, 2008

Kejulingan Protokol Dan Ahli Politik

Petang ini petang yang cerah. Petang ini tidak kelihatan awan yang mendung. Petang ini petang yang biasa-biasa sahaja. Petang ini petang yang tidak membawa malapetaka. Petang ini saya telah mendengar seseorang berkesah mengenai protokol. Sebenarnya, protokol bukanlah satu perkara yang asing bagi saya.

Semenjak kecil saya telah diasuh diajar dengan protokol. Saya beranggapan protokol yang diterapkan oleh ayah dalam keluarga untuk mendisiplin diri saya. Mungkin juga ayah seorang pendidik maka cara dia mendidik kami adik-beradik begitu. Waktu maghrib kesemua ahli keluarga perlu berada dirumah. Kami sekeluarga perlu makan bersama setiap malam. Tiada ahli keluarga yang dibenarkan keciciran. Jika masih ada yang keciciran ini bermakna tiada ketenangan bagi kami untuk bersantap. Kata ayah ‘cara’ untuk mengikat silaturahim – ini dinamakan protokol.

Selepas makan perlu mengemas meja makan sendiri. Selepas makan perlu membasuh pinggan dan cawan sendiri. Selepas makan perlu memasukkan kembali kerusi makan ke bawah meja. Selepas makan - meja makan perlu berada dalam keadaan seperti sebelum makan. Waktu berita berkumandang kami semua perlu diam memberi perhatian. Tidak dibenarkan membuat bising. Protokol ini menjadi rutin kami sekeluarga. Lama-kelamaan ianya menjadi adat dan budaya di dalam keluarga.

Tetapi hari ini saya bukan mendengar protokol di rumah. Bukan mendengar protokol untuk menjadi adat dan budaya yang baik. Apa yang saya dengar hari ini amat memualkan anak tekak saya. Protokol yang saya dengar ini ialah protokol untuk memperlihatkan kuasa. Protokol yang ingin memperlihatkan pangkat, darjat dan nama. Protokol jenis ini amat menjelekkan.

Mari kita berfikir dengan waras. Untuk apa sesuatu majlis diadakan? Sebagai contoh : acara sukan di sekolah. Acara sukan sekolah diadakan untuk memperlihatkan kekuatan anak-anak sekolah. Acara sukan sekolah untuk kita melihat anak-anak sekolah bertarung. Acara sukan sekolah diadakan untuk kita melihat kemenangan anak-anak sekolah. Tetapi saya melihat acara ini selalunya dihadiri oleh politikus, yang berpangkat Dato’, Datin dan Tan Sri. Mereka ini datang perlu disambut balik perlu diiring. Mereka ini datang perlu dikompang balik perlu digendang. Kedatangan mereka ini disertakan dengan protokol yang amat menyusahkan. Sehingga untuk menaikkan bendera perlu mengikut prosedur yang rapi.

Jika kita berjaya berfikir dengan waras kita akan merasakan bahawa ini satu kesongsangan budaya. Acara sukan diadakan bukan untuk meraikan kemenangan politikus ini di dalam pilihanraya atau kemenangannya sebagai ketua cawangan badan politik. Hari sukan hari untuk anak-anak kita. Anak-anak sekolah seharusnya kita beri perhatian yang lebih. Ini hari anak-anak sekolah memperlihatkan kejantanan mereka. Ini hari anak-anak sekolah menjadi hero. Apa kena-mengena acara ini dengan politikus, Dato’, Datin dan Tan Sri?

Apa tujuan untuk menjemput orang-orang politik ini datang? Apa tujuan orang-orang politik ini datang? Kedatangan mereka amat menyusahkan. Kedatangan mereka perlu berpuluh-puluh protokol. Kedatangan mereka membazirkan banyak wang dan tenaga kerja. Ini bukan perhimpunan politik. Ini bukan tempat meraih undi. Ini bukan pilihanraya kecil. Untuk apa kita membiarkan protokol yang memeningkan kepala otak kita ini dari terus menerus menyusahkan kita?

Pada fikiran saya, kita perlu membebaskan diri kita dari terus dibayangi dengan protokol yang haprak ini. Kita perlu memerdekakan diri kita dari terus dibayangi ahli politik yang menyusahkan. Sepatutnya ahli politiklah yang seharusnya dibayangi kita sebagai rakyat. Mereka yang perlu lebih menghormati kita kerana mereka menang atas undi dari kita. Jika tanpa undi kita sudah lama ahli-ahli politik ini bungkus.

Satu perkara lagi, saya melihat jika sesuatu acara itu dihadiri olih orang politik acara itu akan menjadi lebih sopan dan santun. Acara akan dikawal untuk kelihatan lebih teratur – untuk dipersembahkan kepada politikus. Dengan kawalan ini kita berpendapat akan melahirkan sebuah masyarakat yang penuh kesopanan dan kesusilaan. Kita akan dapat melahirkan masyarakat yang lebih madani. Tolonglah. Ini satu pembohongan. Ini satu pandangan yang bodoh. Bayangkan dengan acara yang penuh kesopanan hingga bercakap pun perlu berbisik-bisik. Bayangkan anak-anak sekolah juga berlari dengan penuh kesopanan dan beradab. Adakah anak-anak sekolah ini akan dapat memecahkan rekod sukan olimpik?

Kehidupan ini milik kita. Kita mempunyai hak untuk terus mencorakkan kehidupan kita. Kehidupan ini tidak boleh terus dikongkong olih politikus yang berpangkat meleleh dari kepala sampai ke lutut. Saya mencadangkan agar setiap acara untuk keraian kita sebagai rakyat Malaysia tidak perlukan protokol yang menjahanamkan ‘mood’ majlis. Tidak perlu menjemput ahli-ahli politik. Cuba bayangkan jika majlis kenduri doa selamat ini juga dijemput ahli politik. Mati keringlah orang-orang kampung membuat persediaan dan mencari maklumat mengenai protokol.

Ahli politik tugasnya menyelesaikan masalah rakyat. Acara sukan sekolah bukan tempat rakyat bermasalah. Banyak lagi masalah dalam negara ini yang perlu diselesaikan. Negara ini sudah mahu terlingkup. Ekonomi sudah mahu terbalik. Air banjir sudah hampir sampai. Tanah sudah runtuh-rantah. Rumah di lereng bukit sudah terhumban ke bawah gaung. Kilang sudah beratus-ratus tutup. Pekerja semakin banyak kehilangan kerja – menganggur. Selesaikan masalah-masalah ini. Selesaikan masalah-masalah yang akan melingkupkan negara bukan terus berpoya-poya di padang sekolah. Jangan menyekat rakyat dari terus meraikan kehidupan mereka .

Sedang saya menulis ini saya terkenangkan seorang kawan. Kawan saya ini berkahwin dengan seorang anak orang kenamaan. Ramai dari kawan-kawan saya yang lain beranggapan kehidupan kawan saya ini akan menjadi lebih cerah. Kawan-kawan saya yang lain membuat andaian pasti dia akan menjadi kaya-raya selepas ini. Saya tidak mempedulikan hal ehwal kehidupannya. Jika dia menjadi kaya dan menjadi terkenal suatu hari nanti pasti saya akan berbangga kerana dia pernah menjadi kawan saya. Saya tidak akan meminta itu dan ini. Saya tidak akan menumpang senang jika dia telah menjadi jutawan. Saya tetap akan terus begini - menjadi penulis. Saya tetap akan menyampaikan cerita-cerita rakyat. Tetapi jika dia gagal dalam hidup - saya juga tetap berbangga kerana kami tetap menjadi kawan.

Apabila tiba majlis perkahwinan - saya telah dijemput sebagai tetamu khas yang membolehkan saya menikmati makanan di dalam dewan VIP. Saya telah mengambil tempat. Tetapi untuk makan saya perlu menunggu hampir satu jam. Ini kerana saya terpaksa menunggu tetamu kehormat lain sampai. Ini betul-betul gila. Protokol ini betul-betul menyusahkan saya. Duduk dihadapan makanan tetapi telah dilarang dari menyuapkan makanan ke dalam mulut kerana menunggu ‘orang besar turun dari kayangan’. Rasa saya ini memang protokol yang tidak masuk akal. Akhirnya saya telah cabut lari. Perut yang berkeroncong harus terus diisi. Saya telah menjumpai satu dewan lain yang dikhaskan untuk tetamu yang bukan VIP. Rasa saya jika saya tidak menjumpai dewan yang satu lagi ini sudah pasti saya akan cabut lari terus dari majlis dan singgah makan di kedai mamak.

Sampai ke akhir majlis itu saya tidak berkesempatan berjumpa dengan kawan saya untuk mengucapkan selamat pengantin baru kerana dia pula terpaksa menunggu tetamu kehormat yang mengelilinginya makan sampai habis. Saya terus cabut lari dan meninggalkan majlis dengan perut yang sudah kenyang.

Saya datang ke majlis untuk meraikan majlis kawan saya ini. Saya datang ke majlis untuk makan kerana perut saya lapar. Saya bukan datang untuk melihat gelang emas yang dipakai olih datin-datin. Saya bukan datang untuk melihat jambul datin-datin yang setinggi hampir setengah meter. Saya bukan datang untuk bertanya minyak wangi yang dipakai olih dato'-datin ini datang dari negara mana?

Marilah bersama saya untuk menghapuskan protokol-protokol yang tidak munasabah yang dicipta oleh orang politik bagi menunjukkan kuasa, pangkat dan nama. Marilah bersama saya menjadi orang-orang biasa yang waras akal fikirannya. Tamat.

6 comments:

cikpuanmuda said...

yang ini saya setuju
saya rasa mereka (dato,datin, bla bla bla) yang sepatutnya menjaga hati rakyat dengan baik.

sebab, tanpa rakyat, dia belum tentu dapat nama.

ini tidak, segala macam sambutan
besar-besaran-pembaziran.

lebih-lebih lagi kalau si datin, macam dia pula yang wakil rakyat. lepas tu sibuk menegur itu tak kena. ini tak kena.

Anonymous said...

sebab datin2 tu adalah golongan yang sama taraf dgn bik mama..thats why kena sambut diorang. lain lah kalo cik monggol yang datang.kena senyap2..kalo tidak bik mama dengar nanti lagi parah

are-name said...

aku sokong. memang penat mengikut protokol yg ntah apa2 ini. protokol yg menyusahkan kita tetapi menyenangkan mereka yg sudah sedia senang

hafiz said...

protokol yang camni memang untuk manusia gila derajat! aku da bosan dengan protokol2 bodoh ni.

Farid Abu Talib said...

cikpuanmuda : kahkahkah. ada perkara kita berbeda. ada perkara kita sama. ini adalah tanda dan makna kesuburan sebuah tamadun meraikan perbezaan.

anonymous : woit. pasal bik mama kena tanya isham rais. saya tidak arif. bukan arif shah. arif maknanya tahu. kahkahkah.

are-name : mari kita susahkan mereka yg tidak pernah susah.

hafiz : derajat. wow! pinjam ayat bolih msk dlm blog.

Pok Leh said...

Ini satu protokol yang betul-betul memprokontolkan manusia lain.
Ini ciri dan tatatertib kapitalis.
Ini prokontol.Jangan anggap dia je yang ade kontol.

Ini prokontol.
Bukan protokol.