Monday, July 14, 2008

Bermotosikal Merayakan Kemudaan

Negara kita kini kian diancam.Ancaman yang dialami negara kita kini bukanlah satu perkara yang main-main.Ianya perlu dipandang secara serius lagi ilmiah.Melalui pandangan secara serius dan ilmiah sahajalah ancaman ini akan berakhir.

Saya tidak mahu membicarakan mengenai ancaman Washinton terhadap Teheran mahupun ancaman Hindraf terhadap kerajaan.Saya mahu menceritakan ancaman versi yang lain yang tidak ada kena-mengena dengan Uthayakumar mahupun Nasi Terbakar Condoleeza Rice.

Ancaman yang ingin saya utarakan ini ialah mengenai Rempit.Sebenarnya penggunaan perkataan rempit ini begitu meluas dan mungkin telah sampai ke Stesen Angkasa Antarabangsa setidak-tidaknya ke Angkasapuri.

Kini, saya sedang bercuti panjang.Jadi dengan mempunyai masa yang terluang berpeleseran di bandar dan kota telah menjadi satu acara yang menggiurkan.Apa yang menghairankan saya ialah dimana sahaja saya berada saya sentiasa dikelilingi manusia bermotor yang menunggang secara berbahaya, membisingkan lagi memekakkan telinga.Mungkin inilah yang dipanggil Rempit.Saya telah menjadi rimas, lemas lagi menyesakkan.Seperti kata pepatah ‘dimana ada lalat disitulah ada tahi’.Dimana sahaja saya berada, saya sentiasa bertemu dengan golongan rempit ini.

Begitu juga di dalam kawasan perumahan, bermula petang hinggalah ke malam hari pencemaran bunyi hampir sama taraf dengan Litar Monaco di Negeri Uncle Bernard.Jika mamat-mamat rempit ini dibawa ke Bandar Isla Margarita sudah pasti Cik Scarlet Ortiz akan terbelahak menelan pasta.Pelbagai aksi boleh ditonton dari tayar depan ke atas sampailah ke tayar belakang pun diatas.Jika anda mempunyai masa terluang sila hubungi saya kerana saya ingin menjemput anda semua menyaksikan aksi sarkis ini secara percuma.Saya memberi jaminan aksi mereka tidak mengecewakan mungkin sama taraf dengan aksi Royal London Circus.

Sebelum ini kita selalu terbaca di dalam akhbar mahupun di televisyen tentang kehaprakan golongan rempit ini.Mereka bukan sahaja dianggap ganas tetapi juga penjenayah terbesar di dalam negara kita.Apabila ada kes ragut golongan rempit ini dipersalahkan.Apabila ada kemalangan yang melibatkan motosikal maka golongan rempit dikatakan memandu secara merbahaya.Apabila motosikal ini melanggar kanak-kanak di tepi jalan maka wajib bagi media massa negara kita menyalahkan golongan rempit.Jika ada anak gadis yang diperkosa maka golongan ini juga yang dikatakan membuat onar.Pendek kata semua bala bencana yang terjadi di bumi Malaysia ini semuanya diletakkan ke atas bahu golongan rempit ini.Jadi sesiapa yang membawa motosikal anda berisiko dicap sebagai golongan rempit yang tidak bermoral.Maka Martina Navratilova akan dipandang lebih mulia dari anda.

Tahukah kita mengapakah fenomena rempit ini terjadi?

Sebenarnya budaya bermotor ini sudah lama bertapak di Malaysia iaitu sebelum Boon Siew membuka Kedai Honda.Jika kita menyingkap sejarah silam, Tentera Jepun datang dan menjajah negara ini juga menggunakan motosikal.Tentera Jepun ini juga telah merempit ke serata kampung.

Suatu masa dahulu di dalam tahun 60-an telah muncul satu budaya baru iaitu budaya yang dipanggil Pop Yeh-Yeh, dimana pemuda ketika itu juga merempit.Keadaannya adalah sama sahaja dengan kini cuma bezanya di tahun 60-an mereka merempit menggunakan vespa.

Mengapakah fenomena bervespa ini muncul? Fenomena ini muncul adalah kerana disebabkan oleh masalah pengangguran golongan muda di dalam era 60-an.Mereka ini tidak mempunyai kerja dan membuang masa dengan menunggang vespa dan kepala mereka berjambul.Mengapakah mereka ini tidak mendapat kerja? Disurahkan remaja pada masa itu tidak mendapat kerja kerana mereka tidak mahir Berbahasa Inggeris.Kerungsingan mereka memikirkan masa hadapan yang tidak menentu dan keadaan ekonomi yang kacau bilau menyebabkan mereka telah mengambil keputusan untuk mententeramkan jiwa dengan melakukan aktiviti bermotor.

Jadi masalah utama gejala ini berlaku adalah kerana masalah pengangguran.Saya amat percaya gejala rempit yang berlaku kini berkait rapat dengan masalah pengangguran.Dua atau tiga tahun lepas kita telah dikejutkan dengan statistik siswazah yang menganggur seramai lebih 80,000.Saya amat mempercayai statistik ini dan amat percaya setiap gejala buruk yang berlaku di Malaysia ini berkait rapat dengan statistik ini.

Merujuk kepada dua fenomena yang berlaku ini iaitu budaya merempit juga Pop Yeh-Yeh bervespa ini dapatlah dirumuskan ianya berpunca dari kekurangan pekerjaan di dalam sebuah negara.Percayalah, dengan keadaan ekonomi yang tidak kukuh telah menyebabkan pengangguran yang sebegini ramai.Apabila ketiadaan pekerjaan, ditambah dengan bebanan kenaikan kos kehidupan, kenaikan harga minyak di pasaran dunia, kenaikan harga barang dan kenaikan harga tol ramai diantara kita telah menjadi sesak.

Di dalam mencari jalan keluar dari kesesakan inilah mereka mengambil apa sahaja peluang untuk berhibur menghilangkan resah kehidupan yang tidak terjamin dan tidak menentu.Jika anda masih ragu-ragu kenyataan saya ini, marilah sama-sama kita lihat dan kaji dari kelas manakah mereka ini datang? Mereka ini datang dari kelas bawahan.Kelas bawahan merujuk kepada golongan miskin.Lihat saja cara mereka berpakaian dan jenis motosikal yang mereka gunakan.Sehingga hari ini saya masih belum berjumpa dengan mamat-mamat rempit ini yang menggunakan motosikal Cagiva Mito dan singgah di Hotel Shangri-La untuk minum petang.

Di tengah-tengah kegawatan keadaan ini, muncul satu kumpulan pihak berwajib yang tiba-tiba sahaja dengan rela dan penuh ketakwaan cuba untuk menjadi penyelamat kepada gejala merempit ini.Saya kurang pasti sama ada kumpulan penyelamat itu ikhlas untuk menyelamat atau sekadar ingin membuat lawak sarkis sahaja.

Ketua kepada kumpulan penyelamat ini telah berdondang sayang ke seluruh negara dengan ideanya yang geliga.Ketua kumpulan penyelamat pihak berwajib ini menyatakan bahawa mamat-mamat rempit ini akan dibawa berkonvoi bersama minah-minah rempit ke seluruh negara dan berbakti kepada masyarakat bagi mengurangkan jenayah yang dilakukan.

Tanpa dapat ditahan saya telah terbarai ketawa.Terbarainya ketawa saya ini hingga mengeluarkan air mata dan air hidung.Saya beranggapan ini adalah satu idea yang dihasilkan oleh manusia yang kurang daya akal fikrahnya.Adakah dengan membawa mamat-mamat rempit ini bersama-sama pasangan masing-masing menunggang motosikal ke seluruh negara akan menyelesaikan masalah pengangguran lalu mengurangkan kesesakan hidup mereka? Porfaor!! Stupidas stupidas stupidas!! Ini adalah idea yang sungguh khurafat.

Apa yang ingin saya tegaskan disini, punca utama kejadian jenayah ini adalah disebabkan masalah pengangguran.Masalah pengangguran ini yang menyesakkan kehidupan masyarakat.Dengan ketiadaan wang untuk meneruskan kehidupan ditambah bebanan kos yang melampau manusia akan mencari apa sahaja peluang untuk untuk mendapatkan duit termasuk melakukan jenayah dan merempit.

Pada hemat saya, untuk mengurangkan kadar gejala ini ialah pihak berwajib wajib menyediakan peluang pekerjaan kepada warganya.Untuk menyediakan peluang pekerjaan ini ekonomi negara perlulah dipacu dengan mampan.Bagi memacu ekonomi dengan mampan pihak berwajib wajiblah memerangi rasuah.

Saya telah bersyukur kerana ketika zaman saya merempit, golongan bermotosikal masih lagi tidak dipandang lekeh oleh dunia.Sebenarnya merayakan kemudaan dengan menunggang motosikal adalah satu nikmat yang sangat menggiurkan untuk anak muda seperti saya.

3 comments:

Anonymous said...

cikgu pareddddddd.....
maaf saya mencelah...klu ke sekolah ber2 lebih baik dgn cikgu padelllll menaiki scoot dgn berpakaian pejabat sambil menggalas beg laptop, adakah itu juga dikira sbg merempit??lu pikir la sendiri...

Farid Abu Talib said...

Itulah yang dinamakan bermotosikal merayakan kemudaan

Rock Oi! said...

selamat hari raya..