Monday, July 28, 2008

Terbarainya Teori Darwin dan Beruk-Beruknya

Satu ketika dahulu ketika saya masih bersekolah di darjah empat, saya mempunyai seorang ustaz yang mengajar matapelajaran Agama Islam.Saya sangat mengagumi ustaz ini kerana ketinggian ilmunya.Ketinggian ilmu ustaz ni adalah lebih tinggi dari cikgu pendidikan seni saya yang suka membaling pemadam papan hitam ke arah pelajar.Ustaz ini tidak suka membaling pemadam papan hitam ke arah pelajar tetapi suka membaling pelajar ke arah papan hitam.

Satu hari ustaz ini bersurah.Dia bersurah mengenai Charles Darwin.Tidak semena-mena saya terbarai ketawa.Saya terbarai ketawa kerana mendengar nama Charles Darwin.Begitu lucu sekali.Saya tertanya-tanya siapakah gerangan si mamat Darwin ini? Adakah dia seorang penjual berger depan kedai mamak di Putra Country Height? Atau tukang jaga parking kereta di Kompleks PKNS? Atau kucing peliharaan Gita Gutawa?

Ustaz saya ini terus bersurah mengatakan Charles Darwin adalah orang yang bertanggungjawab mencipta Teori Darwin.Saya melopong ternganga.Teori Darwin ini pula mengikut ustaz saya ialah satu teori yang mengatakan manusia ini berasal dari beruk dan kemudiannya berubah menjadi manusia secara evolusi.Perubahan evolusi ini berlaku mengikut arus kemodenan sesuatu tempat atau kawasan

Sekali lagi saya terbarai ketawa.Kali ini nyaris-nyaris saya ditampar oleh ustaz itu.Saya terbarai ketawa bukan kerana ingin memperlekehkan cerita ustaz itu.Jauh sekali untuk tidak menghormatinya.Tetapi bagi saya kejadian manusia berasal dari beruk amat lucu sekali.Pada hemat saya mana mungkin saya berdatuk dan bermoyangkan beruk.Kahkahkahkah.Saya langsung tidak ambil peduli mengenai Teori Darwin ini.Apa yang saya ambil peduli adalah mengenai Kumpulan Evolusi yang penyanyinya berasal dari Raub yang sedang meletup-letup dengan lagu Mei Hua.

Saya menolak dakwa-dakwi yang mengatakan manusia berasal dari beruk.Mengikut kitab suci yang saya baca, manusia ini berasal daripada Nabi Adam A.S yang diciptakan oleh Allah SWT daripada tanah.Keturunan Nabi Adam inilah yang berkembang-biak menjadi manusia yang tersebar ke merata dunia.Tidak mungkin ada beruk yang akan menjadi manusia.Dari mana idea Charles Darwin ini? Apakah ini sahaja yang sempat dipelajarinya di Christ’s College Cambridge?

Suatu hari saya ingin ke kota untuk berpeleseran.Saya menaiki bas untuk kesana.Ketika saya menunggu bas saya telah menjadi hairan.Kehairanan saya ini muncul apabila saya melihat aparat-aparat manusia yang sedang duduk bertenggek menunggu bas di stesen.Cara mereka duduk bertenggek amat ganjil sekali.Aparat-aparat ini melabuhkan punggung di atas tempat bersandar manakala meletakkan kaki di tempat duduk.Saya menjadi hairan.Sejak bila warga kita pandai bertenggek sedemikian rupa?Adakah ini satu cabang seni bertenggek yang baru di zaman glokal? Walaupun ada ruang kosong untuk bertenggek, saya telah menarik diri kerana melihat kotoran melekat di tempat duduk itu.Untuk menyertai aparat-aparat ini tidak mungkin akan saya lakukan.

Suatu ketika yang lain pula, saya ingin mengambil seorang kenalan di sebuah perhentian bas berdekatan rumah.Saya sekali lagi terkejut melihat fenomena yang sama berlaku.Dari kanak-kanak, muda remaja hinggalah ke tua bongkok tiga kesemua mereka meletakkan kaki diatas tempat duduk dan meletakkan punggung mereka ditempat bersandar.Rupa bentuk keadaan mereka semasa itu saling tak tumpah seperti keadaan di dalam kandang Zoo Negara.Rupa-rupanya barulah saya sedari bahawa cara bertenggek ini telah meresap dan menjadi budaya di kalangan warga kita.Rupa-rupanya budaya bertenggek jenis ini merupakan satu budaya baru yang perlu kita sama-sama rayakan.

Jika anda masih ragu-ragu, anda bolehlah berpeleseran di mana-mana stesen bas atau stesen teksi untuk melihat penularan budaya songsang ini.Anda pasti akan terjoblos sama menikmati pemandangan yang menjulingkan anak mata.

Setiap perkara yang terjadi di dalam dunia ini mempunyai sebab dan akibat.Mempelajari dari setiap sebab dan akibat ini dinamakan pengalaman.Pengumpulan segala pengalaman ini kita boleh jadikannya sebagai satu ilmu.Dari satu ilmu ini kita boleh kembangkan menjadi cabang-cabang ilmu.Sehingga kini saya masih belum menemui sebab musabab aparat-aparat ini melakukan kerja bebal meletakkan kaki di atas tempat duduk ini.Sehingga hari ini saya masih belum dapat menemui sebab musabab budaya ini perlu kita rayakan.Hendak dikatakan budaya ini budaya globalisasi saya juga pernah melintasi Ochard Road dan Arab Road di seberang tambak tetapi saya tidak pula pernah melihat warga temasik bertenggek sedemikian rupa.

Tiba-tiba saya teringatkan kembali cerita ustaz saya di sekolah belasan tahun yang lepas.Mengikut cerita ustaz ini Charles Darwin mengatakan beruk mempunyai sifat yang suka duduk di tempat yang tinggi.Antara tempat yang paling tinggi yang mampu diduduki oleh beruk ini adalah pokok.Jadi pokok telah menjadi pilihan beruk.Akibat bosan berada di atas pokok beruk-beruk ini tadi akan turun ke tanah untuk berpeleseran.Apabila mereka mula merasakan keseronokan akibat berpeleseran di atas tanah akhirnya mereka merasakan tidak lagi sesuai bagi mereka untuk tinggal di atas pokok.Lama kelamaan ekor yang digunakan untuk mengimbangi badan untuk melompat dari dahan ke dahan tidak lagi berfungsi.Apabila tidak lagi berfungsi maka ia akhirnya hilang.Rupa bentuk juga mengalami tranformasi ke arah lebih cantik.

Apabila saya mengaitkan teori Darwin ini dengan aparat-aparat yang bertenggek di atas kerusi menunggu di stesen bas ianya mempunyai kaitan yang amat rapat sekali.Sekali lagi saya terbarai ketawa.Saya ketawa kerana telah menolak dakwa-dakwi Teori Darwin ini.Tetapi apa yang difikirkan oleh Darwin ini mempunyai persamaan dengan perilaku warga kita.Satu pertanyaan telah bermain dibenak saya.Adakah Charles Darwin ini sempat singgah di Pelabuhan Batu Sawar di zaman kegemilangan kerajaan Melayu Johor untuk membuat kajian lalu terbentuknya Teori ini? Sungguh tidak dapat saya menjawabnya.

Suatu petang ketika saya berpeleseran di kampung, saya terlihat seorang tua sedang mengheret basikal ke sebuah ladang.Sedang dia mengheret basikal itu dia meletakkan beruk diatas tempat duduk basikal itu.Ternyata beruk itu melabuhkan kakinya diatas tempat duduk dan bukan melabuhkan punggungnya.Untuk kesekian kalinya saya sekali lagi terbarai ketawa.Saya terbarai ketawa kerana perlakuan beruk ini sama seperti aparat-aparat bertenggek yang di perhentian menunggu bas.Kali ini orang tua dan beruknya pula hairan melihat saya terbarai.

8 comments:

Anonymous said...

apabila manusia cuba berperilaku seperti beruk...maka akan runtuhlah akhlak dan adab suatu tamaddun itu!!oleh yg demikian ayuh kira mengheban aparat-aparat renji ini kea papan hitam!!moh kite....lalalaa...

Amz CamPro said...

hahaha...teori thevenin dan teori putaran atom lg elok dr teori mamat tu...aku teringat uztaz zaib yg telah menerajang mamat cina kelas kite dikala mereke dok snyap2 mnyusup nak amik buku moral blakang kelas..hahaha

Farid Abu Talib said...

Kisah Klasik itu masih segar dalam ingatan.Semenjak dari itu hikmat terajang kaki ustaz zaid menjadi satu mitos lagenda dan menjadi igauan ngeri kepada aparat-aparat manusia yang melanggar hukum sosial pendidikan di sekolah

Anonymous said...

orang barat ni mmg sengal...kita jerr
dok terkinja-kinja agungkan dorang
jadi dan agungkan diri sendiri...itula teori terbaik

razuwahanim said...

entri anda kali ini mengingatkan saya kepada cendikiawan->(btol ke aku eja nih??!) islam iaitu Harun Yahya. Dia jugak seperti kita, seperti anda yang membaraikan segala teori Darwin yang hampes ittewww

http://www.harunyahya.com/

Farid Abu Talib said...

Sempat menelaah pojok dari harun yahya yang membaraikan teori darwin.Tetapi mengapa kita sebagai warga yang menolak dakwa-dakwi darwinisme sudi memperlakukan diri seperti yang terungkap di dalam imaginasi celaka Charles Darwin? Menolak dakwa-dakwi sahaja tidak cukup untuk membaraikannya harus diteliti tindakan yaang rasional juga.

Rock Oi! said...

teori darwin aku x tahu la, tapi teori hukum hooke aku tau la..teori proba mackintosh ker.. keh keh...

jap jap,


ahhhhh...legenye lepas kentut..

Rock Oi! said...

eheheh jalan OAG pun adaa