Monday, August 4, 2008

Terbarainya Daulah Demokrasi

Kali ini saya tidak terbarai lagi.Saya tidak terbarai kerana saya telah menjadi marah.Saya menjadi marah kerana dalam negara ini banyak berita yang tidak betul.Dalam negara ini banyak berita yang telah diselewengkan.Saya menjadi marah bukan sebab Miss Universe Si Cantik Manis Dayana Mendoza sudah menemui cinta baru.Saya tidak pedulikan hal ehwal Dayana Mendoza.Tetapi saya menjadi marah apabila cerita karut marut ini sedang dijaja dan menjadi fitnah yang amat dahsyat.

Setiap kali saya menonton berita di televisyen dan acap kali saya membaca surat khabar bersepah-sepah sekali berita yang saya anggap tipu, karut bin marut dan sesat lagi menyesatkan yang sentiasa menjalar dan bertebaran kesana-kemari.Selalunya pihak-pihak pembangkang kepada pemerintah akan menjadi mangsa fitnah.Puak-puak yang tidak menjadikan pihak pemerintah sebagai idola menjadi mangsa tohmah dan caci.Pihak-pihak yang tidak memberi sokongan kepada pemerintah akan di cap sebagai khianat kepada negara.Pihak-pihak yang tidak sealiran dengan pemerintah akan dituduh pro-Yahudi, pro-Cina, pro-India, pro-gol, pro-liwat dan berbagai-bagai pro lagi.Apa punya lahanat semua ini?

Sebelum kita tersesat dengan lebih jauh marilah bersama saya kembali kepada fitrah manusia.Fitrah manusia yang dilahirkan melalui pelbagai latar belakang.Ada miskin, ada kaya, ada sederhana, ada papa kedana, ada dari keluarga tentera, ada dari keluarga perubatan, ada dari keturunan petani, ada dari salah silah pendidik ,ada dari zuriat perompak dan lanun, ada dari kaum yang menjarah tanah dan bukit, ada yang berkulit hitam, ada yang bermata sepet, ada yang berambut gerewel dan ada yang berhidung mancung.Jadi kita ini dilahirkan dari pelbagai sosok.Apabila kita dilahirkan dari pelbagai sosok dan latar belakang maka cara hidup, cara berfikir dan persepsi kita juga akan berbeza.

Adalah tidak adil bagi kita sesama manusia memaksa orang lain untuk berfikir cara kita berfikir.Kita tidak akan berjaya memaksa seorang doktor untuk berfikir seperti orang yang suka menjarah tanah dan bukit.Ini mustahil untuk kita lakukan.Dengan memaksa orang lain menyokong gagasan atau pemikiran kita adalah satu perkara yang sangat durjana.Adalah tidak adil bagi kita sebagai manusia untuk menuduh orang lain sebagai pro-yahudi kerana orang lain tidak menyokong kita.Adalah tidak adil menyatakan orang lain pro-hindu kerana orang lain tidak menyokong kita.Pada hemat saya ini adalah satu propaganda yang sangat biadap lagi memualkan.Semakin lama saya mendengar propaganda sebegini semakin saya meluat.Kucing saya yang bernama Gibut juga terberak mendengar propaganda busuk ini.

Adakah jika saya bergambar dengan kawan zaman sekolah saya seorang India yang bernama Prabhu maka saya sudah dianggap murtad dan menyembah Dewa Vishnu? Adakah dengan bergambar dengan kawan saya yang bernama Khoo Yih Cheong saya sudah dianggap tidak lagi Melayu dan saya sebagai pengkhianat kepada agama bangsa dan negara? Siapa yang ajar teori politik yang bebal begini.

Saya mempunyai perasaan simpati terhadap puak yang tidak menyokong pihak pemerintah.Saya simpati kerana mereka sentiasa digambarkan sebagai penjahat dan ingin menjual negara ini kepada pihak asing.Ini satu propaganda bebal.Saya yakin propaganda ini diplagiat dari seorang aparatus yang datang dari Texas bernama George W Bush saudara rapat kabal-kabal Zionis.Propaganda ini sama sahaja dengan propaganda yang mengatakan Islam agama menganjurkan keganasan.Tuduhan yang tidak ada asas sama sekali.

Adakah jika tidak setuju dengan dasar pemerintah yang sedia ada akan membawa tanda dan makna kita mahu menjual negara ini kepada malaun yang bernama Ehud Olmet? Adakah jika kita tidak bersetuju dengan pemerintah maka jalan penyelesaiannya ialah bersekongkol dengan kabal-kabal zionis? Ini satu pemikiran yang bebal dan dangkal sama sekali.Ini satu tuduhan yang bengap dari otak beku yang tidak pernah berfikir secara waras lagi rasional.Ini propaganda bankrupt dari puak-puak yang terdesak.Saya ingin bertanya jika negara ini ingin dijual, di pasar tani manakah yang menjadi pilihan untuk berurusniaga? Di Selayang? Di Old Al-Ghannin? Di Oslo? Atau di Bordeaux? Berapa ringgit harga negara ini sekilo? Berapa sen sekati? Berapa rial seliter?

Kini apabila rakyat sudah mengalih perhatian untuk tidak lagi memberikan sokongan kepada pihak pemerintah maka rakyat akan dianggap sudah tertipu dan menjadi mangsa kepada propaganda Yahudi.Saya ingin bertanya Yahudi mana telah berjaya mempengaruhi otak dan pemikiran rakyat? Siapa nama Yahudi itu? Berapa umurnya? Masih bujang atau sudah berkahwin? Berapa ramai zuriatnya? Adakah dia mempunyai anak gadis yang cun lagi bergetah? Apa kerjanya? Adakah dia mempunyai jambang seperti Radovan Karadzic?Saya tidak terbarai ketawa tetapi saya menjadi marah.

Mari bersama saya untuk berfikir secara waras lagi rasional.Negara ini negara demokrasi yang memilih pemimpin melalui pilihanraya.Negara demokrasi pastinya mempunyai parti-parti politik.Parti-parti politik ini adalah pertubuhan yang ditubuhkan untuk merebut dan mempertahankan kuasa.Kuasa digunakan untuk membuat keputusan politik bagi sesebuah negara mencapai matlamatnya.Negara demokrasi ini juga membenarkan pelbagai parti politik mengikut pilihan dan kesesuaian sendiri tidak kira ideologi sama ada islamis, nasionalis, komunis, sosialis, kapitalis mahupun Sheril Merlis.Ini kerana yang akan memilih mereka adalah rakyat.Rakyat yang menentukan kekuasaan sesebuah parti politik itu.Jika mereka berjaya meyakinkan rakyat maka mereka akan menang dan memegang kuasa.Parti politik yang kalah akan menjadi pembangkang yang akan mengkritik tindakan pemerintah.Pembangkang ini juga dikira sebagai suara rakyat yang minoriti.Apabila menjadi pembangkang bukan bererti mereka mempunyai pertalian darah dengan Yahudi atau ketua mereka bertukar menjadi ipar duai Ariel Sharon.

Pihak pembangkang ini juga seperti pemerintah mahu merebut kekuasaan untuk memperkukuhkan ideologi mereka.Mereka juga adalah rakyat Malaysia yang mempunyai kesedaran mengenai ekonomi politik mahupun sosial.Mereka membesar dalam negara ini mempunyai ibu bapa adik beradik sanak saudara dan ipar duai disini.Mereka juga mempunyai semangat patriotik dan sayang akan negara ini.Mereka juga prihatin masalah dan kehendak rakyat.Apa masalah mereka untuk menjadi pembangkang.Tanpa pembangkang negara ini bukan negara demokrasi lagi.Tanpa pembangkang siapa yang ingin membetulkan kesilapan pihak pemerintah.

Ketidakadilan ini perlu diperbetulkan.Meracuni fikiran rakyat kepada satu kepercayaan yang salah adalah jenayah bagi hukum-hakam demokrasi.Demokrasi tidak akan subur jika hanya tidak menyokong pemerintah maka akan dituduh menjadi aparat kepada kabal-kabal zionis.Ini kerja gila.Ini kerja gila.Ini kerja gila.Hanya orang gila buat kerja gila.

Apabila rakyat tidak lagi menyokong aspirasi pemerintah bukan kerana rakyat terlalu bebal untuk mengenal yang mana Yahudi yang mana Kabal Zionis.Tetapi ini adalah tindakan mereka untuk keluar dari kesesakan hidup yang melampau.Mereka ingin mencari satu saluran lain yang diyakini boleh mengurangkan penderitaan mereka.Mereka ingin satu saluran alternatif untuk menyelamatkan generasi mereka dari terus dijarah.Mereka inginkan perubahan.Mereka ingin melihat negara ini sebagai satu platform yang mempunyai nilai kemanusiaan.Mereka ingin menghapuskan ‘explotasion harlom parlom’ penindasan manusia ke atas manusia.’Explotasion Harlom Parlom’ ini tidak tinggal di Marseilles atau di Helsinki mahupun di pekan Guadalajara.Explotasion Harlom Parlom ini sedang menjalar di depan biji mata kita yang wajib kita hapuskan.

6 comments:

Anonymous said...

habis lu ingat gibut je yg terberak mendengarnya!!!puss, browny n becky pon turut sama tercirit berjejes-jejes di atas carpet lalu disepak betol2 di bahagian perut oleh tuan empunya carpet!!!!lu pikir la sendiri!!!lalalala....marah ni...

Farid Abu Talib said...

Gibut, Puss, Browny dan Becky adalah senarai nama kuceng kesayangan keluarga saya.Walaupun begitu hanya Gibut yang kelihatan meminati politik bebal dari sang pemerintah

razuwahanim said...

politikus mereka lebih hebat daripada kehebatan remy si tukang masak yang berbangsa tikus di dalam Ratatouille. dan sejujurnya aku sungguh kurang berselera dengan masakan mereka! miahahahaha.

p/s: cekgu padil, sungguh marah beliau ittewww!

Amz CamPro said...

kenapa bila cina cerita lain,bila india cerita lain bila melayu cerita lain? kenapa tiada tuntutan islamic state? kenapa setuju Cin Peng buat parti?huhu

Farid Abu Talib said...

Adakah jika tiada tuntutan islamic state itu anda sudah dikira bersahabat dengan Condoleeza Rice? Mengapa tindakan menjerut leher rakyat tidak dianggap sebagai plagiat dari zionis utk rakyat Palestin? Mengapa perlakuan rasuah hingga jambatan MRR2 retak tidak dipanggil sebagai perangai kabal-kabal zionis?

Rock Oi! said...

ehehe jalan OAG pun adaa