Monday, August 11, 2008

Penyembahan Berhala Bergerak

Saya telah terbaca satu berita yang sangat menakjubkan.Berita yang saya baca ini sungguh menggiurkan halwa fikrah saya.Saya terbaca berita mengenai satu syarikat besar di sebuah negeri di dalam negara kita.Syarikat ini telah membeli berbelas-belas kereta Mercedes Benz yang jumlah harganya mencecah jutaan ringgit.Mereka membeli kereta ini adalah untuk tujuan yang suci murni.Kesucian ini lebih suci dari Suci Musalmah.Mereka membeli berhala bergerak yang berjenama Mercedes Benz untuk kegunaan syarikat bagi menggantikan berhala bergerak syarikat yang lama iaitu Proton Perdana yang telah barai lagi membaraikan.

Jurucakap syarikat ini mengatakan mereka terpaksa membeli berhala bergerak jenis Mercedes Benz adalah kerana kos penyelenggaraan Proton Perdana yang tinggi dan membebankan syarikat mereka.Jadi jalan penyelesaian terbaik ialah membeli berhala bergerak Mercedes Benz untuk menjimatkan kos syarikat.Kahkahkah lawak lahanat jenis apakah ini? Lawak ini sungguh mencuit hati saya.Lawak ini telah membuatkan Lan Pet-Pet ingin pencen saja dari terus melawak.

Pada hemat saya kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat ini adalah kenyataan yang bebal.Mana mungkin untuk menjimatkan kos syarikat mereka terpaksa membeli berhala bergerak baru yang bernilai berbelas juta ringgit.Kos penyelenggaraan yang mahal ini pula telah dibaraikan oleh kilang yang membuat berhala bergerak Proton Perdana itu.Saya dengar Badan Pencegah Rasuah telah bertindak cepat untuk menyiasat dan sudah membuat tangkapan.Melalui pendengaran saya yang masih belum kotai ini, hanya berhala bergerak sahaja yang mereka berjaya tangkap.Tetapi pembeli kereta itu dan juga pemilik kedai servis yang telah mentekedarah duit rakyat itu masih belum ditangkap.

Saya tidak peduli jika syarikat ini ditubuhkan dari duit mereka yang diangkut menggunakan tongkang dari Mongolia atau melalui akaun rahsia En Mugabe mahupun duit ini telah melayang jatuh dari pucuk kelapa ke dalam poket mereka.Saya menjadi peka dan peduli kerana duit untuk menubuhkan syarikat ini adalah duit rakyat.Duit rakyat yang hidup dalam keadaan sesak lagi menyesakkan.

Persoalan yang bermain di kepala otak saya ketika ini ialah mengapa untuk menjimatkan kos operasi syarikat mereka terpaksa membeli Mercedes Benz? Mengapa tidak membeli berhala bergerak lain seperti Wira, Kancil, Waja atau Datsun Batman? Bukankah kereta-kereta ini lebih murah dan kos penyelenggaraannya juga tidak menjerut leher warga.Mengapa kos penyelenggaraan Proton Perdana lebih mahal dari kebiasaan? Adakah enjinnya sudah dimodifikasi sama seperti enjin kereta Juan Pablo Montoya?

Nanti dulu, kita jangan tersilap.Kita tidak boleh beranggapan ketua syarikat ini bodoh piang atau bebal.Kebebalan ketua syarikat ini untuk menilai berhala bergerak ini bukanlah kesalahan azalinya tetapi kesalahan kita sebagai masyarakat.Kita sebagai anggota masyarakatlah antara yang bertanggungjawab menjadikan sesiapa sahaja di dalam negara ini bebal.

Pada hemat saya, persepsi kita terhadap berhala bergerak ini sungguh menakutkan.Persepsi kita terhadap berhala bergerak ini sungguh songsang lagi menyongsangkan.Kita selalu beranggapan sesiapa sahaja yang memiliki berhala bergerak yang mewah mewakili kaum elit dan kaya.Sesiapa yang memiliki berhala bergerak yang mewah mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat.Sesiapa yang memiliki berhala bergerak yang mewah akan dipandang sebagai mempunyai status.

Persepsi ini telah menjadi ejen pendesak kepada warga kita untuk berlumba-lumba memiliki berhala bergerak yang mewah.Status yang diberikan oleh masyarakat ini telah menyebabkan ramai diantara kita yang tidak lagi berfikir secara waras.Status yang diberikan secara percuma oleh masyarakat ini telah menyebabkan ramai diantara kita tidak lagi berfikir secara ilmiah.

Jika anda masih ragu-ragu terhadap saya, mari kita lakukan pemerhatian.Setiap kali hari raya menjelang tiba akan berduyun-duyunlah warga kita untuk pulang ke kampung.Apabila kita pulang ke kampung kita dapat melihat kampung kita sesak dengan berhala bergerak ini dan sesiapa yang memiliki berhala bergerak ini akan dipandang mempunyai pekerjaan yang baik dan memiliki status.Awas! Sesiapa yang tidak memilikinya akan dipandang sebagai manusia yang masih belum stabil dan naïf kehidupannya.Semakin mewah berhala bergerak dipandu pulang maka semakin tinggi pandangan masyarakat kita terhadap si empunya berhala bergerak itu.Bukankah ini satu pandangan bebal dan songsang.

Mari kita berfikir dengan ilmiah lagi rasional.Dunia kini sedang mengalami krisis.Sesiapa yang berfikir dan beranggapan bahawa mereka tidak tergolong di dalam krisis ini adalah orang meletakkan otaknya di kepala lutut untuk menipu orang yang mempunyai otak di dalam kepala.Dunia mengalami krisis makanan, krisis ekonomi dan krisis minyak.Kini minyak sudah melintasi 134 dolar setong.Peningkatan harga minyak amat menyesakkan kehidupan kita sebagai warga.Ini membawa tanda dan makna sesiapa yang memiliki berhala bergerak semakin menghampirkan dirinya untuk dijerut leher.

Saya melihat jika situasi sekarang berterusan kita tidak akan mempunyai peluang untuk merasai penurunan harga minyak lagi.Saya yakin ketika rencana ini ditulis ramai diantara kita termasuk mat rempit, kontraktor kelas F dan guru kimia Sekolah Teknik Sungai Abong sedang menghadapi krisis kesesakan untuk hidup.

Memiliki kereta semasa kenaikan harga minyak naik secara mendadak mengundang malapetaka yang amat dahsyat sekali.Memiliki berhala bergerak ketika dunia dalam krisis mengundang malapetaka.Semakin mewah berhala bergerak yang kita miliki semakin sesak kehidupan kita.Ini adalah kerana harga minyak akan terus melonjak.Kenaikan harga minyak ini tidak akan sama nisbahnya dengan kenaikan gaji.Ini bermakna kos kehidupan semakin meningkat.Peningkatan kos kehidupan ini menyebabkan kita akan bertambah miskin.

Mari kita membuat perbandingan yang mudah.Jika si Mamat A mempunyai jumlah nilai gaji sama dengan Mamat B.Mamat A memakai berhala bergerak berjenama Mercedes Benz manakala Mamat B memiliki berhala bergerak berjenama kancil.Maka kita tidak boleh mengatakan Mamat A adalah lebih kaya berbanding Mamat B.Maka kita tidak boleh mengatakan Mamat A mempunyai status dan Mamat B tidak mempunyai status.Kita perlu mengatakan Mamat B lah yang lebih kaya dan memiliki status tinggi.Bukan status berhala bergerak yang dinilai tetapi status akal dan fikrah yang lebih tinggi.

Bagi saya kita perlu memperbetulkan persepsi kita terhadap berhala bergerak ini.Perlumbaan untuk memiliki gaya hidup mewah melalui berhala bergerak perlu segera kita baraikan.Jika kita tidak lakukannya sekarang maka akan ramai lagi warga kita yang akan terikut-ikut mengagung-agungkan berhala bergerak ini.Mengagung-agungkan berhala bergerak ini mungkin akan sampai ke tahap munculnya mazhab baru yang sesat lagi menyesatkan.

Tidak dapat tidak, kita perlu melakukan perubahan gaya berfikir barulah kita dapat mengubah gaya hidup.Saya menolak segala perubahan gaya hidup yang didondang-dendang pihak berwajib kerana pihak berwajib adalah satu kuasa daulah yang buta perut.Perubahan yang mereka laungkan tidak datang dari daya fikrah yang luhur.Perubahan yang mereka laungkan tidak datang dari hati yang menderita menahan asakan krisis.Mereka mengeluarkan idea dari mulut yang haprak.Saya merasakan saya jauh lebih luhur dari mereka kerana saya adalah warga yang terpaksa menanggung kesesakan secara langsung dari peningkatan harga minyak ini.

Kini jika saya ingin ke kota saya hanya menaiki bas.Jika ingin berjumpa Si Jantung Hati saya hanya menaiki komuter.Jika hendak ke tempat kerja saya hanya menaiki motor sahaja.Berhala bergerak ini hanya digunakan seminimum yang mungkin.

7 comments:

Anonymous said...

alamak....gua terasa la beb!!!ni yg gua rase cam nak jual jep swift gua nih...huhu...pastu amik beskal tua jep!!!amacam???lagi kecik maintenance die....tayar baru rm10 selonggok, rim aloi baru rm15 sekilo dan minyak tak payah isi...ko kayuh la selagi termampu dek keringat sendiri!!!haha...lu pikir la sendiri...ianya kecil, mantap dan lebih terampil.....natang guh!!!

Anonymous said...

hidup matt saidd!!! yeahhh

Anonymous said...

Bukan niat aku utk terus merempit..tp keadaan yg memaksa aku memegang title tu..hahahah..Biar xbergaya asal poket aku bergaya..hihihi

Rock Oi! said...

yg pakai kancil tu aku kan kan kan kan? egegegegeggegegegegege...

org kita yaeyaoowaaaa,
bukan mewah,,wah wah wah wah..
tapi kayya..yayayayya
budi bahasa..budi bahasa...

ahahha ko teke pared ni lagu sape,x dpt teke,ko kunci je la..

razuwahanim said...

aku lagi best, hidup sebagai penumpang terhormat
hari2 aku tompang orang hahaha
sangat lah sep bajet aku!!!
marilahhh!!!!

Rock Oi! said...

hahahaha cekgu kimia skolah teknik sg abong namanya ialah cekgu azimah,dia telah memarahi ku kerna telah memecahkan tabung uji dgn sengaja dgn menjolok bontot kawan2..lantas di tajinya kepalaku dgn kaki retort,,aduhhh...

marilah kita beramai ramai menunggang kuda di lebuhraya utara selatan selepas ini,kali ini pasti amat meriah dgn tahi2 kuda yg bergentayangan di persiaran jalan raya seperti pasir bertabur taburan di tepi pantai..

pastikan wangmu tidak lebih mengalir pada kos2 minyak dan pengangkutan,akan ku keletuk kepala pak lah dgn kadar kilat kerna menjadi perdana menteri paling tersohor di abad ini dgn menaikkan harga minyak yg amet mendadak..

habiskan la wangmu yg di habiskan dgn kos pengangkutan itu dgn bersiar2 siaran,berchanda di pasir dan pantai..membeli perabot,gitar dan lain2...ehehehehe

Farid Abu Talib said...

Marilah bersama saya mendobrak kesesakan kita untuk terus hidup di bumi yang semakin kekurangan sumber ini tidak kira di kg kerinchi, muar, lubuk antu mahupun di pengkalan kubur.