Monday, August 18, 2008

Antara Itu Dan Ini

Baru-baru ini saya telah terbaca mengenai satu pertubuhan yang mewakili beberapa pihak yang ingin mempersoalkan mengenai Melayu dan Agama Islam.Sebenarnya perkara mempersoalkan itu dan ini sudah lama berlaku dan banyak kali berlaku.Dalam negara demokrasi tiada salahnya untuk kita mempertikaikan atau mempersoalkan itu dan ini.Khalas.Tetapi apa yang menghairankan saya ialah beberapa pihak lain telah melakukan demonstrasi untuk menghalang dari perkara ini dibincangkan.

Sejak dari kecil lagi saya telah dididik untuk mempersoalkan itu dan ini.Ayah saya juga telah banyak meninggalkan saya paradoks untuk memaksa saya bertanya itu dan ini.Ayah saya bersurah apabila saya bertanya itu dan ini saya akan menjadi pandai.Maka untuk menjadi pandai saya perlu bertanya itu dan ini.Pernah saya bertanya kepada ayah saya kenapa beruk itu mempunyai ekor? Kenapa tidak berenjin seperti kapal selam dari Poland? Ayah saya tidak melenting tetapi dengan penuh kesedaran dia memberitahu bahawa ekor itu dikurniakan oleh tuhan yang mencipta makhluknya.Jadi, beruk mempunya ekor adalah untuk mengimbangi badannya ketika melompat dari pohon ke pohon.Enjin tiada di bahagian tubuh beruk kerana enjin itu buatan manusia.Manusia tiada kepakaran untuk memodifikasi beruk untuk dijadikan mesin kerana keupayaan manusia itu terbatas berbanding tuhan yang maha esa.Saya tidak pernah dimarahi atau diketuk menggunakan pinggan yang berjenama alcopal kerana bertanya mempersoalkan itu dan ini.Selepas saya bertanya soalan, saya dapat rasakan yang saya telah menjadi pandai dari beberapa rakan lain yang hanya sibuk bermain guli dan dam aji.

Sebagai penyokong demokrasi tegar saya sangat berbangga dengan negara yang mengamalkan kebebasan bersuara.Pada hemat saya kebebasan bersuara adalah satu amalan yang baik dan menghormati kebebasan bersuara adalah perkara yang terpuji.Mempersoalkan itu dan ini adalah satu cara untuk menjadikan kita lebih pandai.Mempersoalkan itu dan ini menjadikan kita lebih tahu.Mempersoalkan itu dan ini membolehkan kita membebaskan diri dari kebebalan.

Apa yang saya pelik lagi hairan ialah mengapa dalam negara kita ini mempunyai isu yang sensitif.Mengapa dalam negara kita ini perlu ada isu yang tidak boleh dibincangkan? Mengapakah dalam negara kita ini ada isu yang menjadi hak milik orang-orang tertentu sahaja.Pada hemat saya ini bukanlah satu amalan yang sihat.Mengapakah kita tidak boleh mempersoalkan satu perkara yang kita ingin ketahui.Mengapakah kita tidak boleh mempersoalkan apa yang kita tidak fahami.Mengapa ada perkara sensitif? Mengapa ada perkara tidak sensitif? Siapa yang menentukan perkara itu sensitif atau tidak sensitif.Bagaimana jawaban itu sampai ke pengetahuan warga?

Hah!! Bernanah kepala otak warga untuk menjawab persoalan ini kerana akan ada kuasa daulah yang akan memerhati, mencuri dengar dan menangkap sesiapa yang berbicara soal yang sensitif.Amat menakutkan.Pada masa yang sama kita didendangkan sebagai negara demokrasi dan bebas bersuara.Kahkahkah.Siapa yang membuat lawak badul ini?

Pada hemat saya, sebagai warga yang bertanggungjawab kita perlu bertanya untuk mengetahui apa yang sedang berlaku dalam negara ini.Sebagai warga yang bertanggungjawab kita perlu mempersoalkan perkara-perkara untuk menjadikan kita lebih faham akan negara kita ini.Saya menolak segala dakwa-dakwi yang mengatakan beberapa isu itu sensitif dan tidak boleh dibincangkan.Ianya hanya boleh dibincangkan secara tertutup.Jika tertutup maknanya tetap dibincangkan.Tetapi warga lain tidak boleh ambil pot? Mengapa akan ada sesetengah warga sahaja yang mempunyai kuasa untuk membincangkan itu dan ini.Manakala yang lain hanya perlu menerima kedudukan sesuatu isu.Mengapa ada beberapa pihak lain yang hanya perlu menerima paradoks tanpa ada keperluan untuk berbahas dan bertanya itu dan ini? Mengapa perlu ada pihak yang tidak boleh masuk campur untuk berbincang soal yang dianggap sensitif.

Mari bersama saya untuk berfikir dengan lebih waras.Ruang demokrasi ini perlu kita gunakan sebaik mungkin untuk melahirkan warga yang bertanggungjawab dan berpengetahuan.Jangan kita jadikan negara kita ini hanya sebagai slogan sahaja dan menerima sesuatu perkara tanpa ada usul periksa.

Sebagai warga FELDA adakah kita perlu melarang dari mereka bertanya mengapa kerajaan menanam kelapa sawit? Mengapa tidak tanam kelapa bali? Mengapa tidak ditanam pokok berbunga lalang.Soalan ini wajib kita jawab kerana pokok kelapa sawit akan menghasilkan minyak untuk kegunaan dunia.Hasil dari jualan minyak ini akan kembali kepada warga felda dan juga kerajaan dapat menikmati hasil untuk memajukan negara.Warga felda akan mendapat pulangan untuk meneruskan hidup, beranak pinak dan mempunyai pekerjaan.Cuba kita bayangkan jika kita melarang warga felda dari mempersoalkan perkara ini.Sampai berkurunlah mereka tidak berpuas hati mengapa mereka perlu menanam kelapa sawit.Sebenarnya dengan menjawab soalan ini kita dapat menjadikan warga felda lebih berpengetahuan.

Bayangkan jika disekolah kita mengamalkan budaya songsang ini.Guru-guru melarang pelajar-pelajarnya untuk bertanya itu dan ini.Itu sensitif dan ini sensitif.Apa agaknya anak-anak kita akan belajar disekolah? Jika mereka bertanya soalan maka guru-guru akan menampar muka mereka sehingga merah.Apakah anak-anak kita akan menjadi lebih bijak? Ini bukan cara kita mengendalikan dunia ini dengan betul.Cara ini akan menghunjam kita ke arah kebongsaian fikrah warga dan anak-anak kita.Ini satu gejala yang tidak sihat.Ini satu jenayah sosial demokrasi yang mengancam habitat otak dan fikrah dari berfikir.Untuk menjadi pandai adalah hak setiap warga.

Begitu juga dengan mempersoalkan mengenai Melayu dan Agama Islam.Apabila ada pihak yang mula ingin bertanya mengapa Melayu itu mempunyai keistimewaan dan mengapa memeluk Islam itu mempunyai kelebihan disisi undang-undang dalam negara ini? Pada hemat saya ini satu soalan yang cukup baik dari mereka yang bukan Melayu dan bukan Islam.Mereka bertanya kerana mereka ingin mengetahui.Mereka bertanya kerana mereka bebal dalam berkara ini.Dengan perkataan mudah mereka bertanya kerana mereka bangang dalam hal ini.Sudah menjadi tugas kita sebagai warga Malaysia yang berbangsa Melayu dan beragama Islam untuk menerangkan perkara sebenar.Ini peluang yang sangat baik untuk kita menyingkap sejarah silam kemerdekaan negara dimana Melayu sudah berkorban melalui konsep jus soli, termaktubnya kontrak sosial dan perlembagaan persekutuan yang telah dipersetujui oleh pemimpin dahulu.

Jika mereka berforum mempersoalkan itu dan ini.Kita perlu menggunakan medium yang lebih besar seperti televisyen untuk menerangkan kepada mereka dan keseluruhan warga mengenai perkara ini.Kesudahnya bukan mereka sahaja yang kehilangan kebebalan itu tetapi juga kita akan menyedarkan anak-anak muda kita supaya lebih prihatin terhadap negara ini.Adakah ini menjadi masalah besar kepada kita?

Setiap soalan yang dipersoalkan memerlukan jawaban.Setiap jawaban memerlukan kebertanggungjawaban.Adakah kerana kita malas untuk berfikir menyebabkan kita perlu haramkan itu dan ini.Kita perlu letakkan itu dan ini sebagai sensitif bagi menghalang orang lain mengetahui tentang suatu perkara.

Pada hemat saya ruang untuk kita bersoal jawab, berhujah, berbincang dan berbeza pendapat adalah budaya yang perlu kita rayakan.Jika kita tidak mempersoalkan itu dan ini, berhujah, berbincang dan berbeza pendapat ini membawa tanda dan makna yang kita tidak pernah berfikir.Orang yang berfikir akan mempersoalkan itu dan ini.Orang yang bijak pandai akan menjawab itu dan ini.Tanpa persoalan itu dan ini kita tidak mampu terbang ke angkasa lepas dan tanpa itu dan ini kita akan mempercayai yang manusia itu berasal daripada beruk.

4 comments:

Hanggokan said...

oleh kerana byk soalan tanpa jawapan membuatkan org ramai membuat andaian sendiri..ada yg salah,ada yg betul. stiap soalan memerlukan jawapan yg pasti dari guru yg menanda buku,tidak begitu encik farid? siapakah guru,siapakah murid dan siapakah yg memadam papan putih di bumi malaysia kini? hahaha...sudah tentu bukan beruk berekor itu.

Farid Abu Talib said...

Aparat-aparat pencacai kepada kebebasan demokrasi sentiasa mengintip dan mencuri ruang menutup segala wacana segar untuk pencerahan fikrah warga.. tentunya mereka bukan seekor beruk tetapi terdiri dari segerombolan wujudiah sosok manusia yang berperangai seperti beruk.

Anonymous said...

tu la pasal!!!orang nak mempersoalkan sesuatu isu....biarlah.....yg penting kita selaku warga yg berdaulat, kenalah memberi penerangan kepada si bebal yg x penah tau tu!!!sadis...sadis....

illmatic said...

itu dan ini, aku menyahut kata-kata socrates yang mengatakan pembelajaran bermula dengan persoalan dan jawapan. seharusnya sosok-sosok itu menyedari akan kebenaran ini tetapi mereka lebih gemar berselindung dibalik pohon2 rimbun kerana mereka lebih senang dengan panggilan beruk dari menjadi manusia sebenar.