Monday, September 22, 2008

Budaya Ramadhan Yang Lama Ditinggalkan

Semenjak saya dilahirkan ke dunia hingga ke hari ini, saya dapat merasakan kenikmatan hidup. Setiap hari saya merayakan kehidupan sebagai seorang warga. Saya memilih zaman kanak-kanak sebagai zaman yang paling romantik yang pernah saya lalui. Pada hemat saya zaman kanak-kanak adalah satu zaman yang cukup indah, bersih lagi suci. Cukup indah, cukup bersih dan cukup suci dimana saya hidup dengan mitos-mitos Melayu, adat yang masih asli dan belum begitu terpengaruh dengan dunia modeniti.

Sebagai kanak-kanak saya telah memilih bulan Ramadhan sebagai bulan paling romantik untuk dirayakan.Semasa saya kecil, pulang ke kampong untuk merayakan bulan Ramadhan adalah paling menggiurkan. Selalunya dalam bulan Ramadhan saya akan pulang ke kampong sebanyak dua kali. Kali pertama iaitu hari permulaan puasa dan kali kedua ialah pada akhir Ramadhan dan menjelang hari raya.

Kadang kala dengan kesibukan keluarga, saya memilih untuk pulang ke kampong dengan hanya menaiki bas. Walaupun ketika itu saya hanya berusia 13 tahun. Tetapi keseronokan merayakan ramadhan di kampong menyebabkan saya menyahut cabaran untuk menempoh perjalanan sejauh 118 kilometer tanpa ditemani oleh ahli keluarga. Selalunya apabila sampai di kampong saya akan mencari cermin yang panjang dan berdiri di hadapan cermin lalu merenung diri sendiri. Saya akan tersenyum dan mengucapkan tahniah ke atas diri sendiri kerana berjaya berdikari.

Ketika saya kecil, kampong saya sudah agak moden berbanding tahun 70-an. Sudah memakai lampu elektrik dan bukan pelita mahupun lampu minyak tanah. Sudah mempunyai dapur gas bukan lagi dapur arang. Sudah boleh mengunyah nasi bukan lagi ubi kayu dengan kelapa. Sudah mempunyai gerai Ramli Burger. Cengkerik juga ceria berlagu di hening pagi dan ia sungguh menyeronokkan.

Sahur bukanlah menjadi kewajiban untuk kami anak-anak kecil melahap sampai kenyang. Nafsu kami anak-anak kecil selalunya tertutup oleh tahi mata yang bergelimpangan ditepi birai-birai mata. Kami bangun hanya untuk merayakan detik-detik indah di dalam bulan Ramadhan. Sebelum berakhirnya sahur saya bersama datuk dan nenek akan bersiap untuk ke surau berhampiran rumah untuk berjemaah.

Selalunya kekusyukkan saya betul-betul terganggu olih tahi mata yang bergelimpangan di birai-birai mata. Mengikut mitos yang disampaikan olih teman-teman saya, tahi mata itulah menyebabkan kelopak mata susah untuk diangkat dan sentiasa melekat dan itulah punca utama kami mengantuk di waktu Tok Imam Bin Pak Lebai membaca Al Fatihah. Bagi saya mengantuk juga adalah satu perkara yang kami anak-anak kecil wajib rayakan. Maka kami anak-anak kecil di dalam surau terus menyimpan tahi mata dan tidur-tidur ayam. Ketika itu tiada siapa yang memarahi tingkah laku kami. Tiada siapa yang melarang kami terus dibuai perasaan mengantuk. Mungkin juga orang-orang tua begitu menghormati semangat yang ada pada anak-anak kecil untuk bersama-sama mereka meneruskan ritual agama. Ini juga dianggap sebagai satu rahmat.

Sebagai anak-anak kecil, waktu siang adalah waktu yang sangat menyeksakan. Melihat teman-teman lain makan ais krim sambil mengayuh basikal amat memanaskan hati. Pernah saya beberapa kali cuba untuk mengamuk sambil mengacukan muncung botol air kickkapoo kearah mulut. Nenek saya dengan ‘cool’ dan ‘steady’ berkata bahawa dia tidak akan menolong saya jika saya dicampakkan ke dalam api neraka. Kata-kata itu sungguh menakutkan dan saya terus membatalkan niat untuk berbuka puasa. Kata-kata itu betul-betul potong stim saya ingin berbuka.

Jam adalah satu benda penting untuk berada disisi pada waktu siang. Pada waktu ini kami anak-anak kecil merasakan jam bergerak begitu lambat sekali. Seolah-olah jam itu mengejek supaya kami terus berlapar dalam jangka masa yang panjang. Untuk memberi laluan kepada masa supaya cepat berlalu pergi kami anak-anak kecil menyelesaikan masalah dengan tidur. Apabila tidur, kami dapat rasakan masa seakan laju meninggalkan waktu.

Waktu petang. Inilah waktu yang ditunggu-tunggu. Inilah waktu yang dipuja-puja jutaan anak-anak kecil. Menunggang basikal dengan teman-teman ke Pasar Ramadhan sambil dibekalkan duit oleh nenek. Selalunya nenek adalah sumber biasiswa saya. Saya tidak perlu berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri Papua New Guinea untuk memohon biasiswa. Nenek saya lebih memahami dari pembesar di Papua New Guinea.

Setiap petang nenek saya akan berniaga cendol untuk meraih pendapatan. Saya membantunya di gerai. Saya juga menghantar cendolnya di gerai-gerai lain di kawasan sekitar untuk diniagakan. Hasil dari kerja yang saya lakukan, saya memperoleh sedikit upah dan dengan upah inilah saya ke Pasar Ramadhan bersama teman-teman. Kadang-kadang saya menggunakan kapcai datuk saya untuk meraikan zaman indah kanak-kanak. Walaupun saya tidak mempunyai lesen tetapi saya tidak pernah disaman? Berbeza dengan sekarang dimana saya sudah mempunyai lesen tetapi surat saman sentiasa mengekori dimana jua saya berada. Sebagai anak-anak kecil, dapat menunggang motosikal mengelilingi kampong sudah dianggap sesuatu yang sangat mengujakan.

Adakalanya saya mengikuti datuk ke sungai untuk menjala ikan buat sajian berbuka puasa. Saya hanya mengikut saja dan membawa plastik beras untuk diisi dengan ikan. Menangkap ikan memang bukan minat saya dan sampai sekarang saya tidak pernah pandai menangkap mahupun menjala ikan. Satu lagi kelemahan saya ialah untuk menghafal nama ikan. Pernah suatu ketika saya membawa pensil dan kertas ke tebing sungai. Setiap kali ikan dapat dijala saya akan melukis gambar ikan dan menamakannya. Tapi sehingga kini kertas itu tidak pernah saya baca hilang entah kemana dan sehingga kini saya tidak pernah mengenal ikan selain jerung. Itupun selepas menonton filem yang datang dari barat.

Waktu azan maghrib menjelang tiba. Kami anak-anak kecil sudah berkumpul di depan rezeki. Nenek saya memang pandai memasak. Jika nak dibandingkan dengan Fasha Sandha saya berani berjanji dan menyatakan bahawa masakan nenek saya lebih cun dan sedap dari masakan minah itu. Selalunya nenek akan masak ikan patin sambal tempoyak. Ayam masak pedas dan sayur-sayuran. Air soya menjadi hidangan wajib juga cendol yang tidak habis dijual. Masa ini kami akan membuka cerita seharian berpuasa. Nenek akan bercerita mengenai cendol yang dijualnya. Datuk akan bercerita mengenai kehebatannya menjala ikan di sungai. Saya hanya bercerita yang saya sudah kehabisan tenaga untuk berpuasa keesokan harinya. Bolehkah sekiranya saya tidak berpuasa? Nenek saya menjawab dengan ‘cool’ dan ‘steady’ bahawa dia tidak akan menolong saya jika saya dicampakkan ke neraka.

Selesai makan, kami berjemaah menunaikan sembahyang maghrib dan ke surau untuk berterawikh. Selesai berterawikh ada jamuan di surau. Saya akan cuba menyonglap pisang sebanyak mungkin untuk menjadi hidangan kawan-kawan yang ponteng sembahyang terawih di belakang surau. Kami anak-anak kecil pulang lewat berbanding orang-orang dewasa. Kami merancang aktiviti-aktiviti keesokan harinya dan sedikit taktik mengumpul duit raya. Paling menyeronokkan ialah bermain mercun. Pernah juga sekali saya cuba bermain meriam buluh. Tetapi hanya sekali sahaja kerana bunyinya yang kuat menyebabkan kami dihambat oleh Ustaz Yaakob. Dengan bunyi yang begitu kuat juga menyedarkan saya bahawa meriam buluh bukanlah seorang kawan yang sejati.

Malam semakin pekat. Lampu hampir dipadamkan. Cicak semakin kuat berdengus. Cengkerik semakin berani bernyanyi. Mata saya semakin layu. Saat untuk tidur datang lagi. Sebelum tidur saya berdoa kepada Tuhan Yang Maha Esa supaya menyedarkan saya untuk bangun sahur. Saya berdoa kepada Yang Maha Esa supaya merahmati datuk dan nenek saya. Saya berdoa kepada Yang Maha Esa supaya Lailatul Qadar itu milik saya. Saya berdoa agar Lailatul Qadar itu milik datuk dan nenek saya. Pangjangkan lah usia mereka dan limpahankanlah rahmat buat kami sekeluarga. Amin

Kini, budaya yang datang di dalam bulan Ramadhan sudah lama saya tinggalkan. Budaya ini semakin menjauh. Saya tidak lagi berpeluang bermain mercun. Mercun kotak, mercun lidi, mercun papan dan mercun bawang semuanya telah dirampas Kastam Di Raja Malaysia. Kastam telah merampas hak saya untuk merayakan budaya seperti dulu. Saya sebagai warga semakin hari semakin tidak mampu mengumpul masa-masa yang indah bersama kampong halaman.

Bunyi cengkerik semakin perlahan. Cicak berdengus semakin kelam. Katak hijau sudah tidak melompat lagi. Kemanakah perginya makhluk tuhan ini? Adakah makhluk tuhan ini juga semakin hilang ditelan arus modeniti?

Datuk dan nenek semakin tua. Saya semakin dewasa. Semakin sibuk mengumpul masa. Masa yang tidak ketahuan untuk apa dikumpulkan. Masa yang dikumpulkan hanya untuk menjauhkan hubungan antara saya yang dulu sebagai anak-anak kecil dengan dia.

Ramadhan yang datang bukan hanya untuk kita lapar dan dahaga. Ramadhan yang datang bukan hanya untuk kita beribadat kepada Yang Maha Esa. Ramadhan yang datang juga perlu kita mengeratkan kembali silaturrahim sesama ahli keluarga. Ramadhan yang datang juga menjemput kita untuk kembali kepada fitrah sebagai manusia. Ramadhan yang datang juga menuntut kita mempunyai perasaan kasih dan sayang kepada manusia. Begitulah romantiknya budaya masa lampau.Nostalgia itu tidak akan berakhir kerana ramadhan datang setiap tahun. Nostalgia ini akan terus diceritakan dari generasi ke generasi akan datang dan ingatan tidak akan luput untuk terus membenarkan jari mengetip kesah yang klasik.

12 comments:

Hanggokan said...

Aku amat terharu dgn cerita zaman kanak-kanak ko. Aku masih ingat bagaimana ko hantar kad raya menjemput aku beraya di kg jengka 26 semata-mata utk merasa buah kelapa sawit tp tidak dihiraukan aku. hahaha! budaya kad raya kini sudah terhakis cume ada emel dan SMS raya.

fadzil hafiz said...

"mana peginya katak yg melompat???"

mana nak ade dah...kan dah abes lompat parti semuanya!!!hahaha....

Rock Oi! said...

aku x sempat baca lagi la..kesah klasik sela on seben aku sempat baca

Amir S. said...

ah aku baca cerita kau.aku rindu tok mak aku.nanges2.

er satu lagi persoalan.aku student leh tak mohon biasiswa dari kerajaan Papua New Guinea?aku three pointer student jugak.hehe.

razuwahanim said...

zaman dah berubah. rugi betol budak2 zaman sekarang yang tak dapat kemeriahan mcm kita dulu kan?

p/s: paling best bila dapat kumpul ramai2 dengan sepupu sepapat. skrg ni semua dah bawak haluan masing2

syafiqah said...

seronoknya dapat berpuasa dgn nenek dan atuk ye.

so0tspirit said...

aihhhh pjg gile ko tulis :P
btw aku tak pernah tinggal bersama nenek @ atuk aku
however sgt rindu kat diorang :(

hafiz said...

segala mitos dan cacatan diari sejak puluhan tahun lamanya telah dikeluarkan. zaman kanak2 memang romantis dan zaman bebujang lebih romantis! kalau pergi menjala iki, tak dapat ikan, apakah ada makna di petang ramadhan!?hahaha best la bro kisah kecik2 ko!

Farid Abu Talib said...

did : Balasan kad raya kamu itu masih saya simpan walaupun sudah genap 10 tahun lamanya. melukis gambar kartun rambut spt leonardo caprio menjadi trend ketika itu.

padelkopak : kahkahkah. katak itu akan menjadi sejarah

rock oi! : kamu boleh berjumpa zira on seven untuk kesah klasik seperti itu

amir syafiq : kahkahkah. kerajaan papua new guinea sedia menyediakan biasiswa. cuma pastikan kamu memohon warganegara papua new guinea terlebih dahulu

are-name : zaman sudah berubah. Kita semakin terpengaruh dengan modeniti.

syafiqah : mmg seronok dan sungguh menggiurkan

soot spirit : rindu hanya untuk datuk dan nenek kamu sahaja?

hafiz : jika tidak mendapat ikan. kami akan menyembelih ayam kampung. kahkahkah. menjerat ayam menggunakan umpan beras.

hafiz said...

hahaha kalau anda mencucuk leher ayam itu, maka, jadilah ayam cucuk. hahaha

Anonymous said...

..iye, menyambut ramadan sekarang tak seindah zaman kecil di kampung..dan saya tertanya2 kenapa sambutan syawal juga semakin tidak seronok tahun demi tahun... ;)

hafiz said...

bro. Selamat Hari raya Idulfitri Maaf Zahir dan Batin!!! hati-hati dijalanan! Teruskan perjuangan!