Monday, June 23, 2008

Perniagaan, Nilai Budaya Dan Profesionalisme

Beberapa hari lalu saya telah menerima lamaran dari seorang rakan untuk bermain futsal.Mungkin ia adalah salah satu cara untuk merayakan demam bola sepak Euro 2008.Sebenarnya saya telah lama meninggalkan dunia bola sepak ini.Bukan kerana usia sudah lanjut atau saya sudah ganyut tetapi dengan kesibukan tugas duniawi ternyata membataskan keterlibatan saya.

Malam itu saya dengan penuh semangat yang meruap-ruap mempersiapkan diri untuk menonjolkan kembali kemahiran yang sudah lama tidak digilap.Saya kira pastinya saya masih mempunyai sentuhan yang mampu mendobrak dunia.Saya berasa cukup gembira untuk merayakan kehidupan muda saya.

Saya pun melilau-lilau mencari tempat yang dijanjikan itu.Tidaklah menjadi masalah besar untuk mencari tempat yang dijanjikan kerana saya difahamkan di kawasan itu hanya mempunyai satu sahaja tempat bermain futsal.Saheh, saya berjaya mencari tempat yang dijanjikan tanpa menghadapi banyak masalah.

Apabila saya tiba di tempat yang telah dijanjikan saya menjadi terkejut.Sebuah dewan yang tersergam indah kini berada di depan mata saya.Saya terkejut kerana semenjak saya hidup, inilah kali pertama saya bermain futsal di dalam dewan yang tersergam indah.Selalunya sebelum ini saya bermain hanya di dalam gudang atau pun tempat yang tidak berbumbung.Memandangkan inilah kali pertama menjejaki kawasan tersebut, saya menjadi begitu teruja.Barangkali inilah salah satu dari kejayaan Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan kerajaan.

Apabila saya sampai sahaja ke dewan tersebut, saya telah cuba untuk mencari kaunter untuk membuat pertanyaan.Puas saya kehulu kehilir tetapi tidak bertemu juga.Saya mula menjadi hairan, dimanakah kaunter saya ingin bertanya? Dimanakah kaunter tempat pembayaran perlu dibuat? Dimanakah kaunter pertanyaan jika saya ingin menempah untuk bermain di lain hari? Persoalan-persoalan ini tidak mampu untuk saya menjawabnya.Saya juga hairan bagaimana rakan saya berjaya menempah tempat yang penuh dengan misteri ini.Adakah kaunter dewan ini telah dijaga oleh orang bunian? Atau kawan saya ini telah menempah melalui e-booking melalui internet? Jika benar, pada hemat saya ini sebuah perniagaan Melayu Baru yang cukup hebat.Untuk bermain futsal hanya perlu menggunakan hujung jari.

Saya masih teringat satu peristiwa yang telah berlaku pada tahun lalu.Ketika itu saya telah merancang untuk merayakan kemudaan bersama buah hati.Kami telah merancang untuk untuk beriadah bersama.Kami merancang menyewa gelanggang untuk bermain badminton.Kemudian saya telah pergi ke sebuah dewan yang diuruskan oleh persatuan badminton negeri.

Apabila sampai ke dewan tersebut, saya telah mencari pejabat untuk berurusan.Saya telah disambut hambar oleh dua orang pegawai dewan tersebut.Lalu saya bertanya bagaimanakah cara menempah gelanggang untuk bermain badminton.Pegawai tersebut hanya menjawab saya hanya perlu memberi tarikh dan waktu sahaja.Saya akur dengan syarat-syarat seperti yang telah dinyatakan.

Keesokan harinya pada tarikh dan waktu yang telah saya janjikan saya kembali semula ke dewan badminton tersebut.Puas saya mencari pegawai tersebut tetapi tidak berjumpa.Pejabat pegawai tersebut telah dikunci.Dari maklumat yang saya terima, pegawai tersebut telah selamat beronggi-ponggi di rumah.Saya mengambil keputusan untuk terus masuk ke dewan.Apa yang mengejutkan saya ialah gelanggang didalam dewan telahpun penuh.Saya menghubungi pegawai dewan untuk kepastian, dia menjawab bahawasanya dia telah tersilap menyusun jadual gelanggang dan saya tidak boleh bermain kerana tidak membuat bayaran.Sedangkan di dalam terma syarat yang ditetapkan tidak dinyatakan sebarang pembayaran pendahuluan.

Melalui peristiwa yang saya alami diatas, saya sungguh terpegun dengan cara susuk Melayu Baru ini menguruskan perniagaan mereka.Dengan tidak mempunyai etika dan nilai profesionalisme, mereka telahpun sampai ke alaf baru yang dipanggil globalisasi.Dengan hanya tidur di rumah dan beronggi-ponggi mereka dapat menjalankan perniagaan.Pada hemat saya cara dan teknik perniagaan mereka ini seharusnya dijadikan satu ilmu sains perniagaan dan menjadi subjek wajib untuk dipelajari oleh pelajar-pelajar universiti di negara kita.Cabang ilmu baru ini juga boleh kita eksport ke Universiti Kobe atau University Yale untuk dikomersialkan.Kemungkinan besar selepas pelajar universiti ini tamat belajar mereka juga akan menjadi usahawan yang berjaya dan dapat mengurangkan gejala pengangguran yang menghantui negara kita.Budaya Melayu Baru ini amat signifikan sekali.

Apa yang saya pasti, saya hanya mampu memberi jaminan kepada dua perniagaan Melayu Baru ini, suatu hari pasti perniagaan mamat-mamat ini akan jatuh ke dalam lubang kubur yang digalinya sendiri.Cuma ianya tidak mempunyai dua batu nisan untuk tersergam indah di atas kubur.

3 comments:

Anonymous said...

cikgu farid...sebenarnya kaunter pertanyaan die terletak di atas bumbung!!ini bertujuan memudahkan alien2,makhluk2 asing dan clark kent utk membuat tempahan nnt...sekian, terima kaseh...

Rock Oi! said...

ketrampilan saya di situ juga telah di bebelkan awal oleh cek pared kita sblm munculnya luahannya di sini....ahhaii

Anonymous said...

whoah..begitu komplikated sekali dunia melayu huuuuuu....