Monday, June 30, 2008

Rasuah Dan Bolasepak

Krisis rasuah kini semakin parah.Parah lagi memarahkan.Parah yang amat dasyat sekali.Kini keparahan rasuah bukan lagi melibatkan projek atau kontrak membuat bangunan, keparahan rasuah bukan lagi melibatkan pembinaan longkang di Jalan Loke Yew tetapi kegilaan rasuah telah menular ke dalam sukan.

Kini sukan telah menjadi salah satu daripada penularan cabang seni rasuah.Beberapa minggu yang lalu saya telah terbaca berita mengenai rasuah bolasepak Malaysia.Sebenarnya rasuah bolasepak di Malaysia bukanlah satu perkara yang baru.Semasa saya kecil, negara ini pernah digemparkan dengan rasuah.Akhirnya ramai pemain bolasepak negara ketika itu ditangkap dan diusung ke lokap lalu dikenakan larangan bermain.Peristiwa itu telah menjadi titik tolak kepada alasan kejatuhan bolasepak negara kita.

Mengikut lunas undang-undang pemain yang didapati bersalah mengambil rasuah ini akan dikenakan hukuman.Tidaklah saya dapat pastikan apakah jenis hukuman yang akan dikenakan.Mungkin pemain-pemain bolasepak ini akan mati menggelitik di atas kerusi elektrik tidaklah dapat saya pastikan.

Saya akan menolak sebarang dakwa-dakwi mengatakan rasuah adalah satu amalan mulia.Tidak ada ruang atau medium yang akan menyebabkan saya bersetuju dengan pendapat khurafat tersebut.Tetapi setiap perbincangan untuk mengetahui atau menyiasat sebab musabab atau punca berlakunya rasuah amat saya pandang dengan nilai yang sangat mulia.Pada hemat saya berlakunya rasuah dalam sukan bolasepak ini ada sebab dan musababnya.Setiap bencana yang terjadi mempunyai hukum yang tersendiri.Ia tidak akan berlaku dengan sendiri.Samalah dengan kejadian tanah yang runtuh-rantah, banjir, kesesakan jalanraya, hujan, kilat dan qada hajat kesemuanya mempunyai hukum,sebab dan musabab yang masuk akal.

Pernah satu ketika di bulan puasa, saya telah menonton berita di televisyen.Apa yang dipaparkan melalui televisyen tersebut amat mengejutkan saya.Beberapa orang pemain bolasepak sebuah negeri di Malaysia telah berbuka puasa dengan hanya makan megi kerana gaji mereka telah beberapa bulan tidak dibayar oleh persatuan bolasepak negeri.Mereka telah kebuluran dihimpit kesesakan hidup.Cuba bayangkan bagaimana pemain bolasepak di dalam sesebuah negara yang menjadi model senatero dunia ingin bermain bolasepak sedangkan mereka hanya makan megi dan gaji mereka tidak dibayar.Bagaimana pemain ini hendak bermain bolasepak dengan otak mereka bernanah dan berdarah memikirkan hutang bank, ansuran kereta, sewa rumah yang tertunggak dan hanya menunggu masa untuk dilelong.Berjayakah pemain yang bernanah dan berdarah otak ini membawa Malaysia menjuarai Piala Dunia 2010 di Afrika?

Sabar dulu, saya menolak dakwa-dakwi mengatakan pemain bolasepak Malaysia tidak patriotik.Saya menolak dakwa-dakwi mengatakan pemain bolasepak Malaysia ini bermain kerana wang ringgit.Saya ingin bertanya, siapakah di dalam dunia ini bekerja yang tidak mahukan duit.Orang yang bekerja yang tidak mahukan duit hanyalah orang-orang yang mempunyai lidah bercabang.

Pemain bolasepak di Malaysia ini selalu dibandingkan dengan pemain bolasepak zaman dahulu kala dimasa Malaysia gah sebagai gergasi bolasepak Asia Tenggara.Pemain zaman itu digembar-gemburkan sebagai tidak mementingkan wang ringgit dan hanya dibayar beberapa ringgit sebagai elaun latihan.Saya ingin bertanya adakah pada zaman itu tandas awam perlu dibayar 30sen untuk kita melepaskan hajat? Adakah pada zaman itu harga minyak di Malaysia mencecah RM2.704 seliter? Adakah harga ikan cencaru di Merlimau pada masa itu mencecah RM8 sekilo? Hujah-hujah yang mengatakan pemain bolasepak negara ini mata duitan hanyalah propaganda untuk mengelakkan kelemahan-kelemahan persatuan bolasepak menguruskan persatuan tersebut dari terbarai ke pengetahuan umum.Mereka sememangnya memerlukan duit untuk hidup, untuk menyara kehidupan, untuk menyara anak bini dan untuk meneruskan kehidupan sebagai khalifah dimuka bumi ini.Apa yang susah sangat hendak difahami? Apakah kita terlalu bebal untuk memahami budaya dan nilai kehidupan?

Pada hemat saya, rasuah yang berlaku ini adalah bukan berpunca dari sikap yang tidak patriotik atau mata duitan mengejar imbuhan tetapi kerana keperluan asas pemain bolasepak kita tidak diuruskan dengan baik.Gaji tidak dibayar seperti yang dijanjikan.Dari apa yang saya baca ada gaji tertunggak sampai lima bulan.Anak bini mengerang kelaparan di rumah.Ini bukan kisah dongeng dari Sumatera.Ini kisah benar dari Malaya

Jika pemain mendapat gaji yang cukup dan segala terma dan syarat dalam kontrak mereka dipenuhi, kemungkinan mereka terjebak di dalam rasuah adalah amat tipis sekali.Jadi apabila rasuah melanda sukan bolesepak negara kita, ini mempunyai tanda dan makna.Tanda dan makna kegagalan kita menguruskan sumber tenaga manusia yang ada dengan baik dan profesional.

Apa yang menghairankan saya ialah pemain bolasepak yang rasuah ini akan keluar terpampang di dada akhbar kerana kesalahan yang mereka lakukan.Mereka akan ditangkap, dikutuk, dicaci, dimaki dan dihukum.Tetapi yang berkot dan bertali leher yang memegang duit persatuan tetapi tidak membayar gaji pemain dan melanggar kontrak ini masih duduk dikerusi empuk di dalam bilik yang berhawa dingin.

2 comments:

Anonymous said...

cikgu pared...
pada hemat saya amatlah benar kata-kata mu itu.sesungguhnya saya amat bersetuju 'ganah kolanah'.jika tidak cukup dengan itu...nah amik ni...'sedak sghupo sekut mary'!!takpon yg ini pon bley...'kicak engka'!!sbb saya tahu en pared suka mkn nasik ngan kicap...

Farid Abu Talib said...

Rasuah yang merebak kini sudah membarah sedang menuju masuk ke setiap inci ruang institusi rakyat, makanya adalah menjadi kewajiban setiap anak muda menghunus keberanian mendobrak segala ketidakadilan dari terjoblos ke masa depan yang bobrok