Monday, June 9, 2008

Tamadun Minyak Hampir Ke Penghujung


Saya telah tinggal di asrama ketika zaman persekolahan.Tinggal di asrama bukanlah satu perkara yang menyeronokkan.Kadang-kadang tinggal di asrama ini saya samakan dengan tinggal di dalam Zoo Negara.Saya menghadapi pelbagai masalah ketika di asrama tetapi tidak mengapalah sebab saya bukan anak bangsawan untuk hidup selesa dari tinggal di Zoo Negara.

Salah satu masalah yang saya hadapi ketika di asrama ialah krisis makanan.Saya amat jarang makan di dewan makan sekolah.Saya hanya akan ke dewan makan ketika minum petang sahaja selain dari itu saya jarang bertandang ke sana.Ini adalah disebabkan makanan yang disajikan adalah amat tidak menggiurkan saya.Bayangkan jika kita makan nasi yang lebih keras dari beras atau mengunyah ikan goreng lebih garing dari batu jalan, saya fikir jika Slobodan Milosevic sempat bersekolah bersama saya sudah pasti abang-abang dan kakak-kakak dewan makan ini akan mendapat penampar percuma dari Serbia.

Jadi seboleh-bolehnya saya akan menolak untuk bertandang ke sana.Jika saya bertandang juga itu bermakna bukan kerana makanan tetapi kerana dewan makan sekolah kami berkongsi dengan pelajar perempuan.Kantin sekolah dan dewan makan adalah dua lokasi yang berbeza.Kantin berada di sekolah manakala dewan makan terletak di asrama.

Untuk mengelakkan krisis kebuluran, saya hanya makan di kantin sekolah atau koperasi asrama, malangnya koperasi dan kantin ini tidak dibuka dalam jangka masa yang panjang, malahan saya tidak mempunyai cukup wang untuk membeli makanan selalu.

Apabila saya menolak untuk makan di asrama, bermakna saya akan lapar apabila malam kunjung tiba.Saya tiada pilihan lain selain dari mencari tokan megi.Di kalangan rakan saya di asrama, ada yang menjadi peniaga berjaya.Saya katakan berjaya kerana mereka berjaya menyeludup megi secara besar-besaran ke dalam sekolah untuk berniaga tanpa dihidu oleh pihak berkuasa sekolah.Apa yang mengagumkan saya ialah cara mereka berniaga ini mengikut hukum ekonomi dan mereka berjaya dengan hukum itu.Saya sungguh kagum.Kekaguman itu adalah sama seperti mana saya kagum dengan rakyat Amerika yang berjaya ditipu oleh George W. Bush hidup-hidup.Kekaguman saya juga ialah dimana mereka begitu berdikari berniaga tanpa melibatkan dokumen sokongan ahli parlimen mahupun kuota bumiputera mahupun AP dari kerajaan.

Suatu malam saya begitu lapar, lalu saya pergi mencari tokan megi ini.Saya telah berniat malam itu untuk makan megi kerana duit sudah semakin berkurangan untuk membaham lauk di kantin sekolah.Apa yang mengejutkan saya ialah apabila diberitahu oleh tokan megi yang harga megi malam itu telah naik melambung dari 50 sen ke RM2.Saya sudah berkira-kira ingin mengadakan demonstrasi jalanan di perkarangan asrama untuk membantah kenaikan harga megi.Nasib baik si tokan megi ini cepat menerangkan hukum ekonomi yang dianutinya, maka saya diwajibkan untuk memahami hukum ekonomi itu.

Kenaikan harga megi ini berpunca dari kekurangan bekalan megi yang diseludup dari luar.Kenaikan ini disebabkan bekalan megi telah putus, jumlah megi telah berkurangan tetapi orang yang senasib dengan saya lapar ketika malam tiba begitu ramai.

Pada mulanya saya tidak percaya tetapi apabila melihat dari senarai orang yang menempah megi saya mulai percaya.Jadi untuk mengelakkan perebutan megi berlaku si tokan megi ini telah membuat peraturan.Peraturannya ialah siapa yang menawarkan harga megi paling tinggi akan dapat hak mutlak membaham megi tersebut.Tawaran boleh dibuat sehingga menjelang tengah malam.Akhirnya dalam keadaan lapar saya terpaksa mengalah dengan tuntutan hukum ekonomi ketika itu dan mendapat hak mutlak membaham megi dengan harga RM2 sebungkus.Situasi inilah yang dipanggil hukum ekonomi.

Jadi apabila harga minyak naik di pasaran dunia saya tidak terkejut.Ini adalah kerana hukum ekonomi menjadikan ianya sedemikian rupa.Lagipun sejak akhir-akhir ini menaikkan harga minyak di negara kita telah mula menjadi warisan agung dan nilai seni.

Kini harga minyak dunia sudah melintas AS$138 satu tong.Kenaikan minyak ini di pasaran dunia adalah kerana faktor minyak yang sudah kehabisan di dalam perut bumi.Kita perlu menyedari bahawasanya kuantiti minyak di dalam perut bumi semakin hampir pupus.Minyak adalah sumber ekonomi yang tidak boleh diperbaharui.Maka kita seharusnya menerima qada’ dan qadar dengan hati yang terbuka.

Cuma yang pasti semahal mana pun megi yang dibeli, ia tidak perlu dimasak menggunakan minyak.


*tokan megi ialah penjual megi di asrama sekolah secara haram tanpa permit dari warden asrama


4 comments:

nasrul said...

Semua kene ditipu. Kerajaan bukan tak mampu tanggung subsidi... fikir guna otak... Kita ni negara keluaran petrol, sama dgn Saudi Arabia, Brunei dan etc, macam mana tak de duit?
Melayu senang ditipu.

projek bilion2...tapi faedahnya sekelompok je rasa...

Farid Abu Talib said...

Untuk pengetahuan, artikel ini berkaitan dengan harga minyak di pasaran global bukan harga minyak shahrir samad.Kenyataan shahrir samad tidak diterima pakai sebagai hukum ekonomi.Shahrir samad tidak relevan di dalam blog ini, jika dia relevan sudah pasti nasibnya sama seperti Slobodan Milosevic

ItuAku said...

elok la tu..
x per.. kita masih boleh pakai bskal lagi lepas nie..
#kurangkan makan nasi.. banyakkan makan angin..kluar asap tanggung sendiri..
#raykat malaysia kan pemurah..

SABAR SABAR dan trus SABAR..

Rock Oi! said...

hawau betol,aku yg keje jadi org minyak pun x dapat diskaun hebat..agak2 kalau pakai jusco card gi isik minyak kat petronas leh dapat diskaun hebat tak ek..lepas ni x yah beli la myk kat msia ni,carik sorang agensi import myk dari venezuela la pasni,,subsidi taik kuceng msia ni,tu pun duit rakyat jugak...