Thursday, November 20, 2008

Bagitu Lama Dahulu

Bagitu lama dahulu. Ketika itu saya masih kecil. Ketika itu nenek masih kelihatan gagah. Dunia masih belum bagitu canggih. Walaupun pelita sudah dijadikan hiasan lampu kalimantang sudah mengambil tempat. Tetapi saya kira itu zaman kegembiraan saya. Zaman penuh dengan kemurnian nilai. Zaman dimana ‘kita’ masih mengetahui garis pemisah diantara yang betul dan salah. Tetapi zaman itu - zaman yang sudah berlalu. Zaman itu – zaman yang sudah dimakan masa. Zaman itu – bagitu lama dahulu.

Bila cuti sekolah sampai saya cukup gembira. Bukan sebagai kanak-kanak yang meninggalkan sekolah. Tetapi kerana dapat pulang ke kampung. Tetapi kerana dapat berdampingan dengan nenek. Tetapi kerana dapat menikmati sosiobudaya asli. Tetapi itu semua - bagitu lama dahulu

Bagitu lama dahulu. Semuanya kelihatan indah. Menikmati suasana kampung. Menikmati keaslian budaya. Menikmati ikan sungai. Menikmati petai. Menikmati jering. Menikmati gulai tempoyak. Menikmati gades kampung berkain batek. Menikmati pemuda kampung menggalang sabit. Menikmati kelapa sawit menjadi metafora kepada kehidupan. Tetapi itu - bagitu lama dahulu.

Saya membesar di kampong yang penuh adab dan tatasusila melayu. Berjalan kaki dan berbasikal menjadi agen penggerak utama. Berhala bergerak masih belum dapat mengambil tempat. Berhala bergerak masih di pinggiran. Berhala bergerak yang kini melintas ganas masih belum berjaya memiliki hati dan nurani kami - masyarakat melayu kampong. Tetapi itu – bagitu lama dahulu.

Rumah nenek berhampiran surau. Setiap pagi beduk akan berbunyi. Beduk akan diketuk menandakan subuh telah sampai. Hari baru telah bermula. Harapan baru untuk pencari rezeki. Pagi-pagi lagi mengikut nenek berjalan ke surau. Sejuk – menggigil. Nenek membelikan saya sehelai jaket. Jaket ‘bundle’ di pasar malam untuk melindungi cucu kesayangan dari digigit embun pagi. Pagi yang cukup romantis. Kami berpegang tangan tanda ikatan mesra. Berjalan merentasi kabus subuh. Kadangkala sambil berjalan saya melentukkan kepala di pinggang nenek. Cukup romantis. Tetapi itu – bagitu lama dahulu.

Di surau yang kecil. Hanya ada manusia bertaraf datuk dan nenek juga anak-anak kecil. Kami bagaikan saudara. Pertalian kami sungguh rapat dan erat. Tiada beza jiran tetangga dengan kami. Tiada beza antara ‘kita’ dan ‘bukan kita’. Kami berjemaah memohon ampun kepada Yang Esa. Memohon rahmat kepada Yang Esa. Memohon seribu satu permintaan kepada Yang Esa. Bagi saya yang masih kecil, saya tidak meminta intan dan berlian. Saya hanya meminta masa zaman kegembiraan saya bersama nenek ini akan berterusan untuk seribu tahun. Selepas sembahyang. Jemaah mula membuka pot di beranda surau. Mengasap keretek sambil menghirup kopi pagi. Tetapi itu – bagitu lama dahulu.

Rumah kami memiliki concorong. Concorong ini satu bahasa yang digunakan - bagitu lama dahulu. Concorong kami menggunakan wayar elektrik yang menjulur panjang bagi mendapatkan siaran. Concorong ini selalu kehabisan bateri. Tetapi dunia masih indah. Masih indah walaupun concorong tidak kedengaran. Tetapi itu – bagitu lama dahulu

Kampong kami mempunyai struktur binaan yang hampir sama. Jamban terperosok jauh dibelakang rumah. Bagi kanak-kanak saperti saya – untuk membuang air besar menjadi igauan ngeri. Nenek menjadi penyelamat. Membawa lampu suluh memimpin tangan untuk ke pelosok belakang rumah. Cukup romantis. Ini zaman cukup menggembirakan saya. Tetapi itu - bagitu lama dahulu.

Bagitu lama dahulu cukup meninggalkan kesan. Bagitu lama dahulu sudah jauh saya tinggalkan. Bagitu lama dahulu sudah menjauhi saya. Bagitu lama dahulu mungkin beranggapan saya sudah terlalu sombong untuk didekati.

Kenangan bagitu lama dahulu masih kekal dalam ingatan. Kenangan bagitu lama dahulu ini terus kekal dijadikan kenangan tanda kaseh dan sayang. Kenangan bagitu lama dahulu ini tanda setia saya kepada adat dan budaya. Kenangan bagitu lama dahulu ini memberi seribu makna dalam kehidupan. Tetapi ianya tetap bagitu lama dahulu.

12 comments:

raisadora said...

:) Bagitu lama dahulu kanak2 x mengerti apa itu PS3... Kanak2 x tahu apa itu KLCC mahupun WTC... Kanak2 x tahu apa makna 'stress' apa makna 'emosi'... Kanak2 dahulu benar2 menikmati nikmat bermain dan akur jika harus pulang sebelum maghrib... Tak sama bagitu lama dahulu dan bagitu lama kemudiannya... Rindu juga saat bagitu lama dahulu :(

Hanggokan said...

begitu lama dahulu...
kite ada gaban...
kite ada flashman...
kita ada tora dan dendang...
kita ada bola chap...
kita ada apa yang kanak2 kini takda...

Anonymous said...

komen ini tiada kena mengena ngan entri ini..
aku cuma nak cakap.
aku sangat suka ngan tulisan kau, idea kau, cara penyampaian kau..
kalu aku cikgu BM kau..
aku kasi kau A siap ade bintang2..
tahniah!

troskan blogging..

Rahimin Idris said...

ah, masa kan cepat berlalu. entah2 sekejap lagi semua akan mati.

Anonymous said...

kampung la best!
aku duduk bandar dari kecik
bila balek kampung mcm over excited plak~

Anonymous said...

rindu kan?
kenangan..
senyum*
hehe

Rock Oi! said...

besuk kita pergi main teng2 kak padang ye supaya kita bolih terkenangkan masa lalu

K-ReXz said...

mula jugak terkenang zaman zaman dulu

fadzil hafiz said...

adakah motor kapcai masih belum bertakhta di hati penduduk?saya rasa mustahil...

Anonymous said...

ke mana menghilang?

hafiz said...

bro. walaupun ia sebuah kenangan, pengalaman, yang lama dulu. kekadang, terasa seperti semalam. aku teringat, menangkap ikan di parit belakang rumah, ritual mingguan yang menyenangkan!

Anonymous said...

dulu - bangun pagi berkabus nun dibukit sana.
skrg - tiada kabus lagi (pemanasan global)

aku kehilangan.....sesuatu yg sangat berharga.. kabus itu sangat berharga bagiku.....aku rindu.