Wednesday, November 12, 2008

Perasaan ‘Kita’ Terhadap ‘Bukan Kita’

Berada di tengah-tengah ibukota bukanlah satu perkara yang menyeronokkan. Terperangkap dalam kesesakan lalulintas kadang kala mencabar kesabaran saya sebagai warga. Duduk terperuk di dalam berhala bergerak berjam-jam lamanya adalah aktiviti yang memang membosankan. Mujur juga saya hanya sesekali melintasi ibukota. Jika saya begini setiap hari mungkin kepala saya akan menjadi botak.

Sedang saya terperangkap di dalam kesesakan, saya telah melihat seorang buta yang sedang berjalan. Tangan kanannya memegang tongkat manakala tangan kirinya memegang bekalan. Rasa saya bekalan itu adalah bekalan makanan. Dia berjalan di hadapan sebuah hotel yang terkenal. Di hadapan hotel itu kelihatan beberapa kereta mewah tersadai. Mungkin kereta ini kereta orang kenamaan yang berpeleseran di hotel mewah ini. Di sebelah deretan kereta mewah itu berdiri beberapa orang lelaki yang lagaknya seperti ‘pemandu’ kereta mewah . Mereka mundar mandir di hadapan hotel dan berlabon panjang sesama mereka. Adakala terbarai ketawa sambil mengasap keretek.

Orang buta ini melintasi kawasan yang dipenuhi dengan ‘pemandu’ kereta mewah. Keadaan permukaan jalan disitu agak berbukit dan menyukarkan pergerakan orang buta ini bergerak. Seorang pemandu kereta mewah datang menghampiri orang buta dan menawarkan bantuan untuk membawanya beberapa langkah ke hadapan.

Apabila melihat orang buta ini. Saya teringat di awal-awal tahun sembilan puluhan. Waktu itu saya masih bersekolah rendah. Apabila cuti sekolah bermula, saya adalah orang yang paling sibuk untuk pulang ke kampung. Pada hemat saya cuti sekolah harus saya rayakan di kampung. Saya mempunyai satu perasaan yang tidak lengkap jika masih melangok di bandar. Memandangkan ayah ketika itu seorang pegawai pendidikan, dia sibuk sepanjang masa. Jadi saya mengambil keputusan menaiki bas untuk pulang ke kampung. Adakalanya datuk dan nenek saya dari kampung datang menjemput saya. Jadi kadangkala saya ditemani datuk dan nenek untuk pulang menaiki bas.

Ketika itu hanya ada sebuah stesen bas di Bandar Kuantan. Stesen bas itu terletak di tepi Sungai Kuantan. Di gigi air sungai ini akan kelihatan ikan todak berenang-renang. Bot-bot nelayan juga tersadai di tepi tebing berdekatan stesen bas. Setiap kali saya menaiki bas untuk pulang ke kampung di musim cuti sekolah, bas akan dipenuhi penumpang. Ada masanya lebih ramai yang berdiri dari yang duduk. Apa yang saya perhatikan ialah setiap kali saya menaiki bas ini akan ada seorang pakcik tua yang cacat penglihatan naik ke dalam bas dan menjual telur puyuh. Saya selalu perhatikan pakcik tua yang buta ini memegang tongkat disebelah tangan kanan dan memegang bakul yang berisi telur puyuh, plastik, bekas duit dan tisu di sebelah tangan kiri.

Sebagai seorang anak kecil. Saya berasa begitu simpati melihat pakcik tua yang buta ini. Dia menjual telur puyuh dari bas ke bas. Ayah akan membekalkan sedikit duit untuk saya membeli makanan selain tambang bas. Duit untuk membeli makanan itu saya akan simpan untuk membeli telur puyuh. Pada hemat saya sosok tua yang buta ini perlu saya bantu.

Malangnya apabila orang tua yang buta ini menaiki bas untuk menjual telur puyuh, kita sebagai manusia yang merasakan kita sempurna tidak melakukan perkara yang betul. Apabila sosok tua yang buta ini datang menghampiri bas, pemandu dan penumpang akan mengatakan bahawa tiada siapa ingin membeli telur puyuh itu. Saya yang terperosok di belakang bas yang dipenuhi penumpang lain gagal untuk membeli telur puyuh itu. Duit yang ayah berikan masih dalam genggaman.

Di sini saya bukan ingin menimbulkan kesalahan golongan orang cacat. Apa yang ingin saya timbulkan ialah sikap kita orang yang tidak cacat terhadap mereka. Kita yang menganggap diri kita sempurna telah melihat golongan orang cacat ini sebagai satu ancaman. Kita melihat golongan orang cacat ini sebagai ‘mengerikan’. Rasa saya, kita sebenarnya telah gagal untuk melihat. Saya memahami bagaimana perasaan ini timbul. Saya memahami bagaimana perasaan ini datang. Tetapi pernahkan kita bertanya kenapa perasaan ini timbul dan kenapa perasaan ini datang? Pernahkah kita memikirkan jawabannya?

Perasaan ini timbul dan datang kerana selama ini kita telah menjauhkan pandangan kita dari golongan orang cacat ini. Kita telah malu untuk melihat mereka. Kita sebagai insan yang menganggap diri kita selama ini sudah sempurna telah terlalu angkuh dan sombong untuk melihat keadaan ketidaksempurnaan di alam ini. Keangkuhan kita dari melihat kekurangan yang ada pada golongan orang cacat ini telah melahirkan satu sistem awam yang bobrok dalam negara kita. Keangkuhan yang kita miliki ini telah menyebabkan kita tidak mengambil peduli bagaimana golongan orang cacat ini ingin terus hidup.

Sebenarnya di dalam dunia ini golongan orang cacat ada di merata-rata. Baik di Eropah, baik di Asia, baik di Afrika, baik di negara maju dan di negara dunia ketiga. Kesemua negara-negara ini mempunyai golongan orang cacat. Tetapi saya melihat di negara kita ini kelihatan sebagai satu dunia yang agak ganas dan kasar untuk golongan orang cacat.

Kita sebagai anak semua bangsa perlu mengetahui bahawa mereka – golongan orang cacat ini juga mampunyai perasaan, cita-cita dan impian. Sebagai anak semua bangsa kita perlu menyedari bahawa mereka juga adalah sebahagian dari kalangan kita, saudara-mara kita dan kaum kerabat kita. Mengapakah kita takut dan gusar untuk membina lantai budaya yang sama rata? Ini persoalan yang wajib kita halakan kepada batang tubuh kita.

Ketika saya sampai ke negara Jepun, saya telah melihat bagaimana lantai budaya antara orang-orang yang sempurna dengan golongan orang cacat telah didirikan sama rata. Di merata-rata tempat telah dibina lantai budaya yang adil dan saksama. Di merata-rata tempat jika ada fasiliti untuk orang-orang sempurna maka akan ada juga fasiliti untuk golongan orang cacat ini. Kadang-kadang saya melihat bagaimana golongan kurang upaya dan cacat ini diberi layanan yang lebih baik dari golongan sempurna.

Sebagai contoh tandas untuk kegunaan golongan kurang upaya dibina lebih luas dari saiz biasa. Tandas ini kelihatan begitu selesa bagi mereka yang kekurangan anggota badan. Tandas ini juga kelihatan begitu selesa jika yang ingin melepaskan hajat ini sedang menaiki kerusi roda. Saya telah menjumpai tandas jenis ini di merata-rata tempat.

Di tengah-tengah bandar juga disediakan landasan pejalan kaki untuk orang-orang buta. Di atas landasan pejalan kaki ini dibina garisan lurus untuk memberitahu orang-orang buta bahawa jalan itu selamat untuk mereka bergerak. Garisan-garisan diatas landasan pejalan kaki ini dapat dikesan melalui tongkat yang digunakan oleh orang buta. Jika garisan-garisan ini bertukar rupa bentuk kepada bentuk bulat. Ini membawa tanda dan makna orang buta perlu berhenti kerana lampu isyarat sudah tersergam indah di hadapan batang tubuh mereka.

Lampu isyarat juga telah memainkan peranan yang penting di dalam pembinaan kesamarataan lantai budaya ini. Untuk golongan cacat penglihatan, lampu isyarat ini akan berbunyi menandakan lampu hijau sedang menyala. Jika lampu ini tidak berbunyi, tandanya lampu merah sedang menyala.

Begitu juga jika golongan ini melintasi jalan. Kesemua kenderaan akan berhenti untuk memberikan mereka laluan. Ini membawa tanda dan makna golongan kurang upaya atau cacat ini didahulukan dan dihormati. Rasa saya di negara kita jika melintasi jalan sewenang-wenangnya sudah lama golongan kurang upaya ini menjadi arwah.

Cerun-cerun kecil juga telah dibina di setiap landasan pejalan kaki. Cerun-cerun ini bertujuan untuk memudahkan pergerakan golongan orang cacat yang menaiki kerusi roda. Cerun-cerun ini memberikan dunia tanda kesamarataan lantai budaya.

Tetapi apa yang saya lihat ini tidak berlaku di dalam negara kita. Pada hemat saya kegagalan kita untuk menyediakan fasiliti-fasiliti ini adalah kerana kita telah gagal untuk melahirkan perasaan kasih dan sayang kepada golongan orang cacat. Kita selalu beranggapan kesempurnaan kita adalah yang terbaik. Kesempurnaan yang kita miliki telah menjadi selaput tebal di hadapan biji mata kita untuk menghalang kita dari melihat perihal kemanusiaan. Kita beranggapan orang yang sempurna ini sebagai warga kelas satu. Golongan orang cacat sebagai warga kelas dua.

Pada hemat saya selagi kita gagal untuk membina lantai budaya yang sama rata ini, selagi itulah kita telah gagal untuk memahami salah satu aspek perjuangan pejuang agung Muhammad di Tanah Arab beberapa kurun yang lalu.

Hari ini saya telah kembali ke stesen bas yang telah lama saya tinggalkan. Pakcik tua yang buta yang menjual telur puyuh sudah tidak kelihatan lagi. Ikan todak yang bermain di gigi air juga tidak kelihatan lagi. Kemana perginya makhluk tuhan ini atau adakah saya sudah buta untuk melihat kegagalan kita membina lantai budaya yang sama rata?

19 comments:

Anonymous said...

sedih bukan
melihat anak bangsa yang kononya dah moden ; intelek tetapi hatinya buta. Penat dan kelakar melihat anak bangsa yang kononya berjuang untuk dapatkan hak sama rata.
Mengeluh*
Kenapa dengan kita-kita ini sebenarnya?
Hurm.
Selamat Malam En Farid. Jangan lupa berdoa untuk dunia.

Anonymous said...

kadang-kadang kita lupa, besar kemungkinan kita juga akan cacat.siapa yg bleh beri kita jaminan kita akan selamat, sihat utk seminit akan dtg utk sejam akan dtg atau utk sepnjg hidup kite? eh! blog ko lain kali ini berani membincangkan ruang minda yg berbeza dari sebelum ini, teruskan! jgn lupa utk berdoa jg utk anak bangsa kite

fadzil hafiz said...

bila lu pergi bus stand benteng brader?gua mmg dah lama x pergi...

*setakat lalu depan benteng tu gua selalulah!

Rock Oi! said...

aku kalau kat mana2 ada facilities utk org cacat,aku paling suka gunakannya,,,mcm kat R&R highway..aku parking kat tempat disable person, tandas pun sama..pasal mmg special dari yg biasa..kalau kantoi aku tak kisah pasal aku ada point, nnti dia org tanya aku mcm2,aku akan 'eh eh eh eh eh, semua janjeyy!!!! hahahaa..so bole considered la kan hohohoho...

razuwahanim said...

sekurang-kurangnya kita masih ada warga yang celik hatinya seperti encik ini. sekian

Hanggokan said...

geng bas steng?

Amir S. said...

beb.serius cakap.aku cukup pantang kalo ada orang duduk kat kusi oren kat dalam bas rapid kl tu.

raisadora said...

alhamdulillah syukur kita kerna kita sempurna... X rasa kita apa yg bukan kita rasa kerana kita bukanlah bukan kita... Sempat 4bulan saya rasa apa yang bukan kita rasa dan pandangan org sgt lah berbeza... Entah mereka pandang kerana tak tahan nak ketawa atau benar2 cuba rasa apa yg saya rasa... Tp kita takkan rasa apa yg bukan kita rasa sekiranya kita terus di kerusi kita... Bila rasa baru terasa... Perit dan menyedihkan... Tp doa saya buat kita semua dan kepada bukan kita juga... Kita tak selamanya akan kekal kita...

Farid Abu Talib said...

yanhashim : selamat juga untuk kamu.

shampd : kahkahkah. woit. bila kamu ingin menjadi blogger?

padelkopak : gua jarang pergi bus stand ni. tapi masa menyiapkan tulisan ni gua ada beli top up disitu. kahkahkah.

rock oi! : kamu memang fei mau. kahkahkah.

are-name : mari kita menjadi warga yang celik mata hati. kahkahkah

did : kahkahkah. saya tidak menganggotai geng bas steng. saya menganggotai angkatan muda keramaian. kahkahkah.

amir syafiq : woit, anak muda. saya juga pantang. pantang jumpa. kahkahkah.

raisadora : salam takziah buat kamu. saya betul-betul putus hubungan ketika kamu terlantar. perkuatkan tulang pelvis untuk terus mendobrak dunia. kahkahkah.

Anonymous said...

Bro..aku pun ader citer pasal "bukan kita" ni..alkisah..1 hr yg indah aku gi Kl sentral ingin menaiki LRT..semasa nk beli tiket aku tserempak dgn seorg gades buta..cantek..tinggi lampai..bergaya dgn spec itamnyer..pakcik guard anta dia smpi kt landasan..smpai kt landasan skali lg aku jmp dia..searah ngan aku rupenyer..mse LRT smpi,org berasak2..dia terumbang ambing kene langgar..so,ingin menunjukkan rse prihatin aku pimpin dia bwk smpai kat kerusi..mmg ramai yg prihatin..seorg gades india bg dia tmpt duduk..so,aku rse dah abis tggungjwb aku kat situ..pas dia dah duduk..dia lipat2 tongkat dia..pastu xlme tu,enset dia bunyi..dgn selambenyer dia bukak spec itam dia dan baca sms..dan seterusnya membalas sms..aku ngan gades india td berpandangan sesama sendri..kahkahkah..kesimpulannyer????aku pun xtau,ko simpul la sendri..hahaha

Farid Abu Talib said...

shazy : kahkahkah. woit cherita yg sukar untuk disimpulkan. kahkahkah.

Anonymous said...

fasiliti? huhu..kantoi!!

Farid Abu Talib said...

kak long : kahkahkah. kamukan cerdik pandai kejuruteraan. kamulah tempat paling ideal untuk menjadi pakar rujukan. kahkahkah.

Anonymous said...

pada aku
biar cacat fizikal
jgn busuk hati dan cacat mentaliti
sedih aku baca post ko pasal org jual telr puyuh tu :(

FarhanaLicious said...

saya tak leh tengok golongan tu. sedih ya amat.

Anonymous said...

org malaysia x ada sivik. walaupun adat dan kesopanan melayu terus diturunkan dari mulut ke mulut dari yg terdahulu ia seakan2 carita dongeng sekarang. ini kerana mulut2 yg berkata itu sendiri tidak memperaktikkannya di dalam kehidupan mereka. contoh terdekat ibubapa kepada anak2. mereka mengajar anak mereka supaya bersabar. tetapi mereka sendiri yg selalu memotong 'Q' ketika jalan sesak. sama2 lah kita ingat mengingatkan dan perbaiki 'sikap' kita semua. aku malu menjadi rakyat di negara dimana rakyatnya tidak mempunyai sivik. aku malu.

Farid Abu Talib said...

sootsprite : saya turut bersedih ketika mengetip jari menulis cherita ini.

farhanalicious : sedih mata memandang sedih lagi hati menanggung. boleh? kahkahkah

shamcoi : kahkahkah. kesedaran sivik sudah mula menjalar keluar dari hati nurani budaya kita.

syafiqah said...

saya pernah terjumpa dengan tiga pelajar sekolah yang cacat penglihatan. masa tu dorang nak lintas jalan. saya nak tolong tapi masa tu saya memang rushing gila. sampai sekarang saya masih fikir yang dorang tu berjaya lintas jalan or tak. since jalan tu busy gila sebab dekat stesen lrt wangsa maju.

Farid Abu Talib said...

syafiqah : kita tidak dapat membeli masa. selaju mana kita bergerak kita masih tidak dapat memendekkan jarak. tetapi kita mampu menyelamatkan nyawa. kita sebenarnya mempunyai pilihan.