Monday, November 17, 2008

Terbarainya Ketuanan Bahasa Melayu

Ketika saya duduk mengadap komputer riba ini saya telah membaca satu laporan berita mengenai gerombolan United Malays National Organization - UMNO. Sebenarnya laporan mengenai gerombolan ini memang bersepah-sepah di dalam dunia maya dan juga dunia bukan maya. Sebenarnya berita mengenai gerombolan United Malay National Organization ini sentiasa menjalar di dada-dada akhbar kerana akhbar-akhbar ini adalah hak milik mereka.

Tetapi rasa saya berita yang saya baca ini betul-betul membuatkan saya terbelahak ketika menelan kentang goreng.Apa yang saya telah baca ini betul-betul membuatkan saya terbarai ketawa. Pada hemat saya berita yang telah saya baca ini betul-betul pelik. Saya menjadi takjub. Ketakjuban saya ini adalah lebih takjub dari saya melihat ketuanan melayu sampai ke stesen angkasa lepas. Ketakjuban saya ini adalah lebih takjub dari melihat Shaberi Cheek sampai ke Angkasa Puri.

Berita ini menulis tentang ahli gerombolan United Malay National Organization telah membantah tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat. Bantahan ini dibuat kerana papan tanda yang berselirat di Pulau Pinang telah semakin terbarai dengan penambahan tulisan dari bahasa-bahasa lain selain Bahasa Melayu.

Di Pulau Pinang bukan sahaja Bahasa Melayu digunakan pada papan tanda tetapi juga Cina, Tamil dan Inggeris. Bahasa dan tulisan selain dari Bahasa Melayu ini telah meresahkan gerombolan United Malays National Organization. Gerombolan United Malays National Organization telah merasakan penggunaan bahasa dan tulisan-tulisan lain selain dari Bahasa Melayu ini sebagai satu ancaman. Ancaman ini dilihat wajib untuk dilawan. Ahli-ahli gerombolan ini telah menggunakan media untuk mengolah persetujuan orang ramai untuk melawan ancaman-ancaman yang mengancam Ketuanan Melayu ini.

Sebagai sebuah parti yang dipunyai oleh Orang Melayu, berjuang untuk Bangsa Melayu dan presidennya dari keturunan Melayu, gerombolan United Malays National Organization telah melihat dengan satu pandangan yang sangat bertanggungjawab dalam hal ini. Menegakkan ketuanan Bahasa Melayu di dalam sebuah negara yang majoriti Melayu dirasakan amat wajar bagi gerombolan United Malays National Organization ini. Gerombolan United Malays National Organization ini ingin melihat di seluruh Tanah Melayu ini hanya tulisan dan Bahasa Melayu sahaja yang terunggul. Bahasa Melayu sahaja yang boleh menjadi tuan. Bahasa Melayu saja yang dilihat lebih mulia dari bahasa dan tulisan lain.

Warga perlu ditakut-takutkan bahawa bangsa lain ingin menguasai Tanah Melayu ini. Bahasa Melayu ingin dirobek-robekkan. Bahasa Melayu menjadi sasaran untuk dimusnahkan. Warga yang takut dengan keadaan ini akan mencari pelindung untuk terus bergayut dan berpegang. Warga yang takut akan mencari perlindungan dari gerombolan yang kelihatan mahu mempertahankan mereka. Jawabannya ialah gerobolan United Malays National Organization.

Sebenarnya saya amat jarang bersetuju dengan gerombolan United Malays National Organization. Ini tidak memberi tanda dan makna saya bukan seorang yang tidak patriotik. Tetapi saya tidak akan setuju dengan pandangan-pandangan yang bebal untuk cari makan. Saya tidak akan bersetuju dengan pandangan-pandangan yang bebal untuk mendapatkan kontrak untuk membina longkang di Janda Baik.

Melihat dari berita ini saya telah terbarai. Ahli gerombolan United Malays National Organization kelihatan begitu taksub sekali dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu. Mereka kelihatan begitu gian sekali dalam menobatkan Bahasa Melayu di bumi bertuah ini. Kahkahkah. Saya ingin bertanya kepada ahli gerombolan ini. Perkataan United Malays National Organization - UMNO ini datangnya dari bahasa apa? Kahkahkah. Jangan jadi ngok. Jangan jadi bebal. Jawab soalan ini dahulu. Pada hemat saya soalan yang saya halakan ini wajib dijawab sebelum ahli gerombolan United Malays Nation Organizations menghunus keris setiap kali bermesyuarat. Kahkahkah. United Malays National Organizations ini dalam Bahasa Melayu membawa makna Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau PEKEMBAR. Mengapakah perkataan PEKEMBAR tidak digunakan.

Barisan National Backbencher Club pula adalah satu gerombolan sokongan bagi United Malays National Organization. Saya ingin bertanya kepada gerombolan United Malays National Organization ini. Bahasa apa ini Wak? Kahkahkah. Jangan jadi bengong. Ini Bahasa Inggeris. Kenapa tidak gunakan Bahasa Melayu?. Kahkahkah. Buatlah demontrasi di depan PUSRAWI. Bahasa Inggeris ini wajib dilawan. Ini penghinaan kepada Bahasa Melayu. Kahkahkah

Ketika saya muda remaja, saya telah berkenalan dengan seorang mahasiswi dari Universiti Malaya. Memandangkan saya tidak tinggal di Kampong Kerinchi dan dia tinggal di kampus Lembah Pantai maka kami telah merancang untuk berjumpa di tengah-tengah ibukota. Kami telah mengambil keputusan untuk beronggi-ponggi di Kuala Lumpur City Centre bersebelahan dengan Kuala Lumpur Convention Center. Kami berdua berpeleseran di taman air pancut. Saya ingin bertanya Kuala Lumpur City Centre dan Kuala Lumpur Convention Centre ini bahasa apa? Kahkahkah. Adakah penjajah British masih tinggal di dalam bangunan ini? Adakah bangunan ini hak milik abadi Frank Swettenham? Kahkahkah. Persoalan-persoalan saya ini betul-betul membuntukan. Tolong lah wak jawab.

Suatu ketika saya diberi tugasan membawa rombongan ahli keluarga saya ke kota. Memandangkan Putrajaya adalah sebuah bandar yang terunggul di dalam tamadun dunia maka saya mencadangkan agar mereka dibawa kesana. Ahli rombongan keluarga saya cukup gembira dan berhajat untuk bersembahyang di Masjid Putrajaya. Malangnya apabila saya sampai disana saya telah tersesat. Saya tidak tahu kemana harus saya tuju. Semua tempat menggunakan perkataan precint? Apakah binatang precint ini? Adakah ianya merupakan seekor langsuir yang sering kelihatan bergentayangan di Bangsar? Kahkahkah. Encik ahli gerombolan United Malays National Organization boleh saya bertanya. Apa jadahnya precint ini? Kahkahkah.

Beberapa tahun yang lalu saya telah berkenalan dengan seorang gades cun dan bergetah yang belajar di Jepun. Saya mengakui saya telah jatuh cinta padanya. Lalu dia mempelawa saya datang kesana. Dia mempelawa saya untuk berpeleseran di Rokkomichi. Lalu saya bersetuju untuk ke sana. Untuk sampai ke Jepun saya perlu menaiki kapal terbang. Apabila saya tiba di Kuala Lumpur International Airport ini saya telah melihat berbagai-bagai bahasa yang digunakan pada papan tanda. Ada tulisan seperti cacing. Ada tulisan seperti gigi buaya. Ada tulisan seperti bertih sawi. Yang sahih saya langsung tidak memahami isi butir tulisan ini. Mengapakah ahli gerombolan United Malay National Organizations tidak membawa sepanduk dan melakukan bantahan di Kuala Lumpur International Airport? Pelik, hairan, takjub dan ajaib. Kahkahkah. Soalan saya seterusnya Kuala Lumpur International Airport ini dari bahasa bangsa mana wak? Jawa? Bugis? Cina? Senoi? Kahkahkah. woit! Jangan jadi bebal. Jangan jadi ngok. Ini Bahasa Inggeris.

Bantahan yang dikemukan olih ahli gerombolan United Malays National Organization adalah bantahan yang poyo sahaja. Apa itu poyo? Tak tahu? Boleh kemas pakaian dan menetap di Congo. Kahkahkah. Jika ingin menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang unggul mengapa hanya perlu membantah papan tanda di Pulau Pinang? Mengapa tidak membantah di seluruh negara? Adakah kerana Pulau Pinang dikuasai oleh Pakatan Rakyat? Adakah kerana Pulau Pinang telah membaraikan United Malays National Organization di Permatang Pauh? Kahkahkah

Pada hemat saya bantahan yang dikemukakan oleh ahli gerombolan United Malays National Organization hanya untuk mengolah persetujuan Orang Melayu untuk terus berpayung di bawah United Malays National Organization. Melihat tulisan dan bahasa lain sebagai ancaman sambil slogan untuk terus membela Melayu digunakan untuk membolehkan mereka kembali mendapat sokongan. Selepas pilihanraya pada bulan Mac sokongan Orang Melayu dan rakyat Malaysia kepada United Malays National Organization ini semakin merosot. Bantahan ini tidak bersifat menyeluruh. Bantahan ini tidak bersifat ilmiah. Bantahan ini bantahan yang bersifat retorik sahaja.

Sebenarnya jauh disudut hati nurani saya menyokong usaha untuk terus memartabatkan Bahasa Melayu dimana-mana ceruk dalam negara ini termasuk di Cheruk Tok Kun. Bukan kerana saya seorang Melayu. Bukan kerana saya bersifat rasis. Sebenarnya ini sudah termaktub di dalam perlembagaan. Tak percaya? Sila bertanya dengan Mat Ghani Patail. Dia lebih mengetahui.

Saya menyokong usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu kerana bahasa ini dipelajari oleh anak semua bangsa di negara ini. Sebenarnya ada satu rahsia yang saya sembunyikan. Saya sebenarnya bebal dalam Bahasa Inggeris. Semasa saya bersekolah dahulu saya tidak belajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris. Sampai sekarang saya tidak tahu apa makna Midvalley. Ahli gerombolan United Malays National Organization boleh saya bertanya? Midvalley itu apa? Kahkahkah. Khalas.

14 comments:

Anonymous said...

panjangnye entry sampai tersengguk2 membaca..kahakahkah. rilek la de..midvalley tu tempat i selalu ronggi ponggi la.. u kan selalu gi uptown shah alam..ada apa di shah alam??? kahkahkah

Hanggokan said...

hahaha...uptown tuh bahasa apa? hahaha! liverpool bahasa apa? tak paham bahasa mungkin orang2 yg berkenaan itu.

raisadora said...

Did, liverpool = kolam hati... Man U bahasa apa? Ha3... Tp sy suka karangan anda kali ini...Saya x kata saya sokong 100% sbb saya rs x slh belajar Bahasa Inggeris... Saya pn bdk baru belajar... Tapi x bermakna saya setuju kalau Bahasa Melayu diperlekehkan...Apa2 pn saya x malu mengaku saya org melayu n walau sy ubah apa2 pn warna rambut saya, saya tetap akan jadi anak melayu :)

John Leh said...

Hahaha.Memang kepala bana puak-puak United Malays National Organisation ni. UMNO sibadigolso'ot ini langsung tidak sedar yang mereka ini telah lupa untuk membasuh berak mereka.Saya rasa jijik.Kalaulah saya yang tidak basuh berak, mesti dah rasa gatal-gatal agaknya dikawasan 'bunga' tu.Iskk..jijik.Jijik betul si UMNO badigolso'ot.Saya tidak paham dan langsung rasa rugi jika saya paham akan kenapanya si UMNO badigolso'ot ini berkelakuan seperti ini.Saudara Farid, sila tolong jangan tanya Mat Ghani Patail tentang isu ini.Kerana Pada zaman di UM dulu, si Patail(sila tolong jangan keliru dengan Patil.Patil adalah India penjual perabot pada zaman dahulu ) ini lansung haram tak boleh pakai.Si Patail ini diberitakan pernah di halau olih pakguard kerana menyangka si Patail ini seorang lembu.Ini bukan ayat saya cakap, ini En.Esham cakap.

Anonymous said...

saya nak berhujah dalam hal ini.
tapi.. saya rasa..
encik carilah jawapan nya.
ada jawapan yang menyokong semua faktor tersebut. nanti kalau saya rajin saya balas apa yang encik huraikan pada tuisan di atas.
;)

hafiz said...

hahah bro. bab bahasa sememangnya telah menjadi sebuah alat untuk berperang, menakut-nakutkan, dan untuk menunjuk poyo. UMNO ini sebenarnya adalah sejenis kelompok manusia yang hipokrit. kalaulah benar2 nak perjuangkan bahasa melayu, diaorang mesti wajib pertama sekali menukar nama mereka menjadi PKMB=pertubuhan kebangsaan melayu bersatu. bagi aku, kalau tidak tukar lagi maka semuanya adalah poyo.

Amir S. said...

nama pertubuhan kebangsaan melayu bersatu tak cool lah.tak bunyi macam republican atau democrat.hehe.

fadzil hafiz said...

esok gua akan berkhemah di janda baik!lu mau ikut?selamat brader...

Rock Oi! said...

bergentayangan!! kah kah kah kah kah...gua respect bahasa melayu kita yg di cipta oleh gua,,kah kah,,sintappp,sebannnnnnnnn... taplekkkkkkk....precint,mmg mcm haram..kalau cakap pasal BM,aku suka pasaraya Kini,pasaraya Jamal pak tongkol, pasaraya gedung harian,,

jaya jusco? giant? tesco? parkson ria? skudai parade? apa punya turr!!! (tapi kat sini la yg syok ek,,,eh eh eh eh eh eh eh eh)

Farid Abu Talib said...

kak long : kahkahkah. di up town (ops bahasa inggeris maaf dewan bahasa dan pustaka) ada gades cun dan bergetah menemani saya. kahkahkah.

did : bahasa inggeris ke? kahkahkah saya kurang pasti sebab tidak sempat belajar sains dan ilmu kira-kira dalam bahasa inggeris. kahkahkah.

raisadora : kahkahkah. cuba kamu baca berulang kali kamu akan faham the whole articel. (ops maaf lagi kerana menggunakan bahasa inggeris). kahkahkah. artikal ini bukan mendiskriminasikan mana-mana bahasa tetapi kepoyoran kuasa daulah untuk terus berpolitik bebal harus kita dobrak agar ia pecah dan terbarai. saya tidak menghina apa-apa bahasa. saya tidak peduli sesiapa mahu belajar bahasa apa. saya seorang realis yang berfalsafah ingin berkata benar dan mebcari kebenaran. kahkahkah. rambut kamu cantiklah.

pok leh : encik isham baik dengan pak jaga. sebab itu dia boleh keluar masuk buat demonstrasi setiap hari. kahkahkah.

yanhashim : saya ingin mencari kebenaran dan ingin bercakap benar. saya seorang realis yang semakin jengkel melihat segala kebebalan untuk membodohkan melayu. kahkahkah.

hafiz : kadang-kadang saya juga rasa takut. kahkahkah.

amir syafiq. kahkahkah. kamu mmg 'cool' (ops maaf kepada dewan bahasa dan pustaka kerana menggunakan bahasa inggeris)

padelkopak : kahkahkah. kirim salam dengan janda yang cun dan bergetah di janda baik. kahkahkah.

rock oi! : di tempat kamu ada ochard road. geyland road. tetapi masih ada bahasa melayu saperti pulau sentosa. kahkahkah.

raisadora said...

mebcari perkataan baru ya? he3... Saya faham dan saya akan cuba giatkan usaha mempraktikkan bahasa melayu sehari2 tanpa mencampur adukkan bahasa... Kalau nak berbahasa inggeris biar la betul2 dan kalau nak berbahasa melayu haruslah menggunakan perkataan bahasa melayu sepenuhnya tanpa kita rojakkan bahasa kita... Kata ingin memartabatkan bahasa betul tidak :)

Farid Abu Talib said...

raisa dora : kahkahkah. iya dong. mari memartabatkan bahasa bukan memurtabakkan bahasa. kahkahkah.

AkuKopiKauSiapa? said...

saya sokong anda..

Anonymous said...

aku punya pemikiran mcm ni.

satu papan tanda tulisan plg besar mestilah bahasa Malaysia. Kemudian kecil sedikit bahasa inggeris (krn ia bahasa kedua dan juga bahasa antara bangsa).

isu umno tu bhasa urdu ke apa cerita lain. ini cerita papan tanda. x perlu lah nk letak bahasa cina atau tamil sampai 2 3 lapis kt papan tanda tu. buat semak dan pening je baca. org carik jalan mana sempat nk tgk lama2. kalau nk kena sapu dgn lori boleh lah.

kalau guna bahasa Malaysia semua org Malaysia blh faham dan bahasa inggeris satu dunia boleh faham. adakah org Malaysia sndr tidak faham bahasa Malaysia? adakah kerana mereka itu bersekolah di sekolah jenis kebangsaan? jika begitu mengapa perlu mereka pertahankan bermati2an sekolah jenis. sedangkan mereka ingin kesaksamaa. sekolah di sekolah kebangsaan, gunakan bahasa Malaysia. baru senang baca papan tanda.